Ahad, Ogos 22, 2010

Ilmu Tonggak Kesempurnaan Amal

Hari ini merupakan hari yang ke-12 umat Islam menunaikan ibadah puasa bermakna kita kini sedang berada pada fasa ke-2 dalam bulan Ramadhan yang Allah janjikan keampunan. Bagaimana agaknya keadaan diri kita? Fizikalnya bagaimana? Masih sihat atau sudah lemah-lemah? Mentalnya pula bagaimana? Adakah kita kurang konsisten dalam pemikiran kerana pemerhatian saya pada saf-saf di masjid sejak kebelakangan ini ada yang berkurangan. Psikologikal pula agaknya bagaimana? Adakah sejak akhir-akhir ini berita tentang hadis daif berkaitan kaifiat solat terawih membuatkan kita menjadi kurang bermotivasi dan enggan melakukannya lagi?

Apa yang saya nyatakan di atas sebenarnya tidak akan berlaku sekiranya kita mempunyai ilmu dalam beribadah. Menjadi keresahan di hati saya ketika menunaikan solat terawih, masjid yang besar dan indah MasyaAllah membanggakan kita tetapi apa yang ingin disebutkan di sini, para jemaah yang kurang dari segi ilmu tidak dapat memanfaatkannya. Kehadiran jemaah untuk menunaikan terawih al-Hamdulillah tapi ketika sesekali menoleh ke belakang meninjau saf-saf di belakang alangkah kecewanya hati saya. Ada di kalangan jemaah yang suka-suka hati membuka saf tanpa berhubung dengan saf-saf yang lain. Ada pula di antara jemaah yang membiarkan saf 'berlompang' dan tidak terpanggil untuk memenuhkan ruang saf yang di hadapan. Jika saf yang berhampiran, yang mampu saya tegur, akan saya panggil untuk penuhkan saf tapi malangnya dalam bilangan yang ramai mana mampu untuk menegur semua kecuali imam boleh menggunakan kaedah memberi ingatan kepada makmum setiap kali sebelum solat untuk merapatkan saf dan memenuhkan saf yang dihadapan. Lalu...bersolatlah saya dalam keadaan keresahan.

Ilmu memandu hidup kita menjadi lebih sempurna. Tanpa ilmu, amalan yang dilakukan menjadi sia-sia. Kita sepatutnya ke masjid menunaikan solat terawih secara berjemaah dan mengharapkan pahala berlipat ganda tetapi sebaliknya pula yang kita dapat. Dalam isu kaifiat dan kelebihan solat terawih, kenapa kita perlu membesar-besarkannya. Jika sekiranya hadis tersebut daif sekalipun rugikah kita jika kita menghidupkan sunnah nabi? Apa salahnya jika hadis daif ini boleh menjadi perangsang kepada manusia untuk beribadah? Tetapi adakah kita beribadah semata-mata untuk mendapatkan apa yang ditawarkan menurut hadis itu? Di sini, kita perlu kembali semula kepada niat yang asal, tanya hati dan berbicaralah dengan iman apakah tujuan sebenarnya kita beribadah? Adakah kita ingin mendapatkan kelebihan-kelebihan dan tawaran itu atau ingin mencari keampunan dan keredhaan Allah? Bagi saya, cukuplah jika kita melakukan ibadah semata-mata ingin mencari keampunan dan keredhaan Allah kerana sebagai hamba Allah kita perlu sedar bahawa dalam firman Allah ada menyebut yang maksudnya, "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu" Nah...jelas kepada kita tujuan kita dihidupkan adalah untuk beribadah kepada Allah. Jadi, jalankan tanggung jawab kita sebagai hamba Allah dengan penuh keikhlasan dan selebihnya untuk memberi ganjaran pahala dan sebagainya adalah milik Allah.

Fasa ke-2 dalam Ramadhan ini bermula malam 10 Ramadhan bersamaan 20 Ogos sehinggalah 20 Ramadhan bersamaan 30 Ogos nanti. Maka, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan dan memohon berbanyak-banyak keampunan daripada Allah SWT. Kita semua merupakan insan yang berdosa, tidak kira siapa, ustaz, guru, peguam, kaunselor, pegawai kerajaan, CEO, pelajar, kerani, atau apa jua jawatan kita bukan bermakna kita adalah orang yang kalis dosa. Hanya yang maksum dan terpelihara adalah Kekasih Allah Rasulullullah SAW yang kita cintai. Oleh itu, marilah kita sama-sama manfaatkan 10 hari dalam fasa ke-2 ini seperti tarikh yang saya nyatakan di atas untuk memohon keampunan daripada Allah SWT atas dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan daripada Allah SWT.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan