Isnin, Jun 12, 2017

PhD : Perjalanan sunyi dan keseorangan?

Kita sering mendengar orang menyebut perjalanan pengajian PhD ini suatu perjalanan yang sunyi dan keseorangan. Justeru sangat sinonim, PhD juga menerima jolokan dengan pelbagai makna yang tersirat seperti Permanent head Damage, Pengajian Habis Dah dan juga Perjalanan Hati dan Doa.


Saya juga antara orang yang pernah mengalami situasi yang sama. Ada ketikanya agak sunyi dan keseorangan. Lalu, saya terfikir mengapa perasaan ini ‘dianugerahkan’ oleh Allah SWT kepada saya. Iya…tidak dinafikan jalan cerita dan lakaran ujian masing-masing di antara kita tidaklah sama. Namun, apa jua coretan suka dan duka dalam perjalanan ini akan berakhir dengan matlamat yang sama. Bukanlah sekadar berjaya menghabiskan pengajian ini dalam erti kata lain sekadar ingin memiliki sekeping ijazah yang membawa suatu gelaran. 

Bukan! Bukan itu sebenarnya nilaian ilmu yang dikutip sepanjang perjalanan ini. Ilmu yang diperoleh dengan cara digali melalui pembacaan buku, kajian, jurnal, menghadiri bengkel, konvensyen dan sebagainya hanyalah sekadar membantu kita memenuhi manuskrip tesis untuk keperluan akademik. Namun, ilmu yang ‘tersembunyi’ di sebalik pencarian tersebut adalah merupakan inti pati ilmu kehidupan yang amat berharga dan bernilai.

Kita merupakan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk melalui perjalanan ini. Pilihan Allah SWT itu sudah pastinya tepat! 


Bolehlah dianalogikan perjalanan pengajian ini ibarat memasuki suatu terowong yang panjang. Walaupun kita semua menuju suatu destinasi yang sama, namun jarak atau panjangnya terowong seseorang itu berbeza di antara satu sama lain. Usahlah kita merasa gusar dan berkeluh kesah apabila mengetahui terowong rakan kita lebih pendek perjalanannya daripada kita. Terlalu sukar dan subjektif untuk mengatakan bahawa panjang atau pendeknya jarak terowong seseorang itu bergantung kepada itu dan ini.

Di sepanjang perjalanan dalam terowong ini kita akan melewati pelbagai situasi. Ada kalanya tiada langsung cahaya yang menyinari, ada ketika pula kelihatan cahaya yang samar-samar dan mungkin bonus kepada kita apabila kita mendapat suluhan cahaya yang terang benderang daripada kiri dan kanannya. Dugaan melalui terowong yang gelap gelita ditambah pula dengan jalan yang retak dan berliku menyukarkan lagi perjalanan. Tentunya kita akan teraba-raba dan mungkin berkali-kali jatuh dan cuba bangun semula untuk meneruskan perjalanan. Hidup dalam terowong yang begitu gelap dan keseorangan sudah pasti membuatkan hati kita merasa terseksa. Jiwa kita bertambah derita apabila tiada seorang pun teman yang sudi menghulurkan tangan dan membimbing kita pada ketika itu.

Nah! Di sinilah kita temui jawapan mengapa perasaan sunyi dan keseorangan itu dialami.


Kita merasa sunyi kerana tiada teman yang kita rasakan boleh berkongsi kegusaran yang dialami. Kita sering mengeluh rasa sunyi ini, kita juga sering merasa resah dengan situasi yang dialami. Adalah menjadi suatu bebanan kepada kita sekiranya kita sibuk untuk menguruskan diri dan emosi kita sendiri tanpa memulangkan kembali urusan tersebut di bawah pentadbiran Allah.

Sebenarnya Allah SWT sengaja memberikan perasaan sunyi dan keseorangan itu agar kita dapat kembali ‘bersahabat’ denganNya. Maka, jalan paling awal untuk ‘bersahabat’ denganNya adalah melalui doa. Persediaan untuk berdoa pula adalah dengan menyediakan hati yang bersih dan ikhlas. Kita hendaklah sentiasa kita bersangka dengan sangkaan yang baik terhadap Allah SWT kerana Allah SWT akan berikan sesuatu mengikut sangkaan hambaNya.


Hati yang bersih dan ikhlas akan mengadu dan merintih kepada Allah SWT. Mengapa perlu lagi kita mengadu kepada Dia sedangkan kita sedia maklum bahawa jika kita tidak memberitahu dan mengadu sekalipun Allah sedia mengetahui. Allah bukan sekadar tahu dan mengetahui tetapi Allah Maha Mengetahui! Di sinilah rasa kecintaan kepada Allah, rasa ketaatan, rasa kehambaan dan keredaan atas pemberian Allah SWT. Perasaan sunyi ini adalah pemberian Allah. Maka uruslah ia dengan merujuk kembali kepada Dia.

Ganjaran yang bakal dikecapi bukanlah kerana berjaya menamatkan pengajian ini dengan jayanya sebaliknya mengecap nikmat perjalanan yang dilalui ini dengan penuh ketabahan dan kesabaran. PhD ini bukanlah hanya dimiliki oleh orang yang cerdik pandai tetapi ia dimiliki oleh mereka yang tabah dan sabar. Justeru, untuk mendapatkan skala ketabahan dan kesabaran yang tinggi memerlukan pengorbanan hati yang besar dan jiwa yang kental. Bersandar seluruh pergantungan dan harapan dengan jalinan perhubungan yang baik dengan Allah SWT.

Kita terlupa sebenarnya kita sedang berbahagia! Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menceritakan tentang kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu. Antaranya  Allah menjanjikan jalan yang mudah ke syurga, para malaikat melebarkan sayapnya dengan penuh redha, beroleh pahala seperti mengerjakan haji, mendapat kedudukan seperti orang-orang yang berjihad di jalan Allah dan diangkat darjat (kedudukan) dengan beberapa tingkatan. 

Oh ya…patutlah orang yang berada di luar ‘terowong’ melihat betapa bahagia dan indahnya kita yang sedang berada dalam ‘terowong’. Sedangkan pada hakikatnya, kita yang sedang berada dalam ‘terowong’ itu merasa sengsara dan dukacita kerana asyik menginginkan persahabatan dan pergantungan dengan makhluk.

Hidup kita tidak akan merasa sunyi lagi andainya kita rajin menyelak lembaranNya dan menghayati kalam-kalam yang berupa pesanan dan ingatan yang disampaikan kepada kita melalui Rasulullah SAW.  

Semoga menjadi ingatan dan bermanfaat buat yang diri yang menulis dan kepada semua yang sudi membacanya.


Salam Nuzul Al-Quran.



"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Isnin, Mei 29, 2017

Puisi Kasih Buat Anakanda Sayyidah Nur Syarha


Puisi ini divideokan ketika Syarha berusia hampir 2 tahun. 

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Khamis, Mei 11, 2017

Syarha Menjalani Prosedur angiogram Ke 3

Baru-baru ni Syarha melalui prosedur angiogram tapi saya tak ingat kali ini kali yang ke-3 atau kali yang ke-4... Maklumlah dah banyak kali anak syurga saya jalani prosedur ni sampai ummi pun terkonfius kejap...tak kisah lah kali yang ke berapa kan...

Dipendekkan cerita angiogram kali ni adalah untuk mengkaji kondisi jantung Syarha untuk menjalani pembedahan akan datang.


Sebaik sahaja 'check-in' di IJN, Syarha macam biasa ceria...happy je mood dia...Cuba tengok gambar ni...happy dia kan, tambah-tambah lagi dapat bermain dalam bilik mainan tu...





Belum puas bermain, nurse dah panggil untuk ambil bacaan SPO2, timbang berat dan buat ujian ECG. Masa dan ambil bacaan SPO2 dan timbang berat, Syarha tak ada masalah tapi bila nurse nak buat ujian ECG mula lah dia meragam. Traumatik pun ada...dia sangat takut jika badannya dipegang orang dan nak lekatkan benda-benda alah tu kat badan dia bukan lah sesuatu yang mudah. Akhirnya, saya dan suami kena keluar dari bilik pemeriksaan tu tinggalkan dia dengan nurse-nurse sahaja.

Di luar bilik abangnya Si Alang rasa tak puas hati dengan tindakan saya. 
"Sampai hati ummi tinggalkan adik macam tu saja dengan nurse, Ummi tak kesian ke pada adik? dengan sedih Alang bertanya kepada saya. Saya cakap, di luar kuasa ummi...nurse yang suruh ummi keluar... 
Ummi perlu ikut lah...kata ummi kepada Alang.

Mengalir airmata si Alang...sedih juga tengok Alang tapi salah satu skilled yang perlu pada seorang ibu adalah berhati 'kering'...

Berakhir satu satu babak mengambil bacaan ECG, Syarha direhatkan sekejap. Dapatlah bermain dalam setengah jam, namanya dipanggil lagi. Kali ni untuk buat 'line' pula di tangan. 

Hati sang ibu perlu lebih kental dari tadi. Mendengar suara jeritan dan tangisannya dari luar bilik prosedur amat meluluhkan jiwa seorang ibu. 
Tapi apakah daya...

Selepas keluar dari bilik prosedur, tangannya sudah kemas berbalut. Syarha menunjukkan tangannya yang sakit sambil mengadu dalam sisa esak tangis yang masih ada. 
Macam biasa, ummi pun pujuk lah... 


Akibat keletihan menangis dan menjerit menahan sakit, Syarha tertidur. Seketika kemudian, nurse pun datang memeriksa suhu badan... Demam pula Syarha. Hrmm...mungkin kerana terkejut dan keadaan dirinya yang masih fobia dengan suasana hospital.

Tika tidur sepanjang malam...Syarha asyik mengigau memanggil 'Abah' dan 'Alang...Umi pun menepuk, memujuk...
Ummi ada sayang di sisimu...

Syarha dinasihatkan oleh doktor agar mula berpuasa pada jam 3 pagi. Tapi, jenuh la ummi mengejutkan dia bangun jam 2.30 untuk minum susu, dia tak nak bangun...mengantuk katanya. Kali terakhir  Syarha minum susu pada jam 11.30 malam, itu pun 50ml jer...
Semoga anak ummi dapat bertahan sehingga prosedur dijalankan esok yer...


Pagi ni, Syarha bangun dengan ceria. Tapi jenuh juga memujuk untuk mandi dan bersedia untuk ke bilik prosedur angiogram. Jam 9 lebih Syarha dan mandi dan dah ready nak ke sana...

Tapi, dia tak mengerti apa-apa pun...
Ke mana nak dibawa...
Kenapa perlu pakai baju yang dibutangkan kat belakang...
Iya...dia masih tidak mengerti.
Lebih baik baginya tidak mengerti dan tak tahu apa-apa...

Inilah detik yang paling meluluhkan hati ummi!
Semasa ummi membawa Syarha ke bilik operation tu untuk dibius oleh pakar bius. Syarha tercengang-cengang, memerhatikan di sekeliling...peralatan yang besar-besar dalam bilik tu. Semuanya menimbulkan kehairanan buat dia...

Semasa pakar bius memasukkan ubat-ubat bius tu dan perlahan-lahan Syarha semakin lali...Di bibirnya terus memanggil...ummi....ummi...ummi....sehinggalah terlelap.

Allahu...moment ini tidak akan ummi lupakan sampai bila-bila. Biarpun Syarha telah melalui 2 kali major operation dan 3 kali prosedur angiogram, moment inilah yang meluluhkan jiwa seorang ibu.

Akhirnya, Syarha lemah dalam dakapan ummi. Matanya separa tutup....tak bermaya lagi dan pakar bius memaklumkan bahawa Syarha telah pun tidur sepenuhnya. Pakar bius menyuruh ummi dan abah mencium Syarha dan meninggalkan Syarha di katil itu.

Ummi mencium berkali-kali...airmata mengalir tanpa henti. Bagai empangan pecah lagaknya airmata yang keluar...

Ummi serahkan dirimu wahai anak kepada takdir Allah. Allah lah yang menjagamu sayang... 


Selepas 2 jam masa berlalu, nama Sayyidah Nur Syarha bt Mohamad Sukri dilaungkan oleh petugas bilik itu.

Ummi dan abah bergegas ke bilik tersebut. 
Di sebalik tabir biru, ummi mendengar suara kanak-kanak merintih...'Ummi...akit...ummi...akit'
Tapi suara tu ummi macam tak berapa cam sebab dengar macam suara yang agak serak. Ummi gagahi menyelak tabir biru...
'Ohh...suara anak ummi rupanya!'

Ummi pun merapati Syarha, mencium dan mengusap pipinya. Menepuk-nepuk badannya...
"Ummi di sini sayang...tidurlah...Ummi ada" Ummi menahan sebak sebenarnya! Tapi, Ummi sembunyikan kesedihan hati ummi tu...Ummi perlu kuat untukmu sayang!

Seketika sahaja...
Hrmm...bagaikan Syarha mendapat ubat tidur!
Syarha tertidur semula.

Sesekali terjaga, Syarha akan merintih sakit...mengadu sakit sambil matanya tertutup.

Tabahlah Duhai Anakku...




Selepas jam 6 petang Syarha dah boleh makan sebenarnya. Ummi cuba memberikan air masak dulu. Syarha minum seteguk dua dan tertidur semula.

Jam 8 malam Syarha terjaga semula dan mengadu lapar. Dia pun dah nak bangun dari tidur. 
Nak duduk...mungkin badannya dah lenguh sebab dah tidur lama.

Ummi pun offer beberapa jenis makanan, akhirnya Syarha cuma pilih roti gardenia kismis. Dapatlah dia habiskan 3/4 keping. Alhamdulillah...

Tengoklah anak bertuah ummi ni...dah boleh beri senyuman untuk Ummi.



Prosedur angiogram kali ni agak teruk sedikit daripada yang lepas-lepas. Kata doktor, disebabkan Syarha pernah menjalani pembedahan Glenn jadi angiogram kali ni mungkin akan dimasukkan melalui saluran di leher juga. Benar jangkaan doktor! Kali ni terdapat kesan tiga tempat, di kedua-dua belah pangkal paha dan di leher.


Keputusan angiogram ini membawa kepada kemungkinan dua pilihan prosedur untuk Syarha. Doktor dan pakar-pakar jantung akan bersidang untuk berbincang prosedur yang terbaik untuk Syarha. Sama ada untuk menjalankan pembedahan Right Ventrical Overhaul atau Fontan operation.




Ya Allah...Moga Allah sentiasa membuka jalan-jalan kebaikan untuk rawatan dan kesembuhan puteri pejuang jantung ini!




"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim