Isnin, Januari 24, 2011

Ibu Oh Ibu, Tulusnya Kasihmu.....



Pagi ini semasa memandu ke pejabat, hati saya menjadi sebak dan sayu apabila mendengar suatu kisah dalam slot motivasi pagi oleh seorang ustaz di IKIM FM. Bagi pembaca yang kemungkinan juga mendengar siaran tersebut tentunya juga dapat merasakan apa yang saya rasakan. Biarlah saya kongsikan cerita tersebut di sini...

...pengalaman seorang pegawai Bomba ketika membantu menyelamatkan mangsa kemalangan jalan raya. Pegawai ini tiba di tempat kejadian dan melihat keadaan pemandunya yang sudah tidak dapat bergerak lagi. Kepalanya berdarah dengan pendarahan yang agak teruk dan tersembam di stereng kereta. Dalam kereta yang terbabas ini seorang wanita yang duduk di kerusi penumpang dalam keadaan menggeletar kesakitan. Kepalanya terhentak di cermin kereta mengakibatkan cermin tersebut pecah dan percikan kaca memenuhi bahagian badan wanita tersebut. Kepala wanita ini dalam keadaan terselinap kulit tengkoraknya akibat hentakan yang amat kuat. Dalam keadaan menggeletar menahan kesakitan kelihatan dalam ribaannya menangis seorang anak yang hanya luka ringan. Badan ibu ini tidak dapat bergerak kerana terhimpit dan tersepit dengan besi-besi kereta di tempat duduknya. Dengan bantuan petugas-petugas bomba dan pasukan penyelamat dapat membuka pintu kereta tersebut dan mengambil bayi yang sedang menangis ini. Ibu ini melihat dengan ekor matanya bayinya diambil dari pangkuannya dalam keadaan bayinya menangis. Lalu dengan kudratnya yang masih ada, si ibu memberi isyarat untuk diberi semula bayi itu kepadanya. Lalu, pegawai bomba ini mengembalikan semula bayi ini kepangkuan ibunya.

Dalam keadaan si ibu menggeletar tangannya menahan kesakitan yang amat sangat dan dalam keadaan badannya yang disimbahi dengan darah yang sedang mengalir. Ibu ini mengambil anaknya lalu mendakap anaknya yang dalam keadaan menangis ini ke dadanya dengan pelukan yang mendalam lalu si ibu menyelak bajunya dan diberi susunya kepada bayi yang tidak mengerti apa-apa pada ketika itu. Bayinya yang dalam keadaan ketakutan, kesakitan dan seribu satu perasaan yang sukar diterjemahkan mungkin pada masa itu lalu terdiam dan terus menikmati nikmatnya berada dalam pelukan dan kehangatan lazatnya susu ibu. Bayi tadi terus menghisap susu sementara si ibu secara perlahan-lahan rohnya berpisah daripada jasadnya. Dalam penuh kebaktian kepada anak, si ibu pergi mengadap Ilahi.... Subhanallah...tulusnya kasih ibu.....ikhlasnya ibu, setianya ibu....terkedu pegawai bomba ini melihat keajaiban kasih seorang ibu. Biarpun dirinya berada di ambang sakaratulmaut namun sifat pengasih seorang ibu mengenepikan kesakitan dan kepentingan dirinya pada ketika itu demi kasih pada seorang anak. Aduhai...wajarlah Allah meletakkan bahawa syurga itu terletak di telapak kaki ibu sekiranya begini kasih dan pengorbanan seorang ibu...

Petang semalam, saya ke pasar membeli barangan untuk makan malam. Hati saya sayu melihat perlakuan seekor ibu kucing. Ibu kucing ini sedang menggonggong seekor anaknya. Saya pelik melihatnya kerana anaknya dalam keadaan keras dan tidak bergerak. Lalu, saya perhatikan ke mana ibu kucing ini ingin membawa anaknya. Saya mengekori ibu kucing ini...saya melihat ibu kucing ini meletakkan anaknya di suatu tempat sambil menjilat-jilat anaknya dan menguis-nguis badan anaknya seolah-olah memanggil-manggil anaknya. Malang bagi ibu kucing itu, rupa-rupanya anaknya telah mati...Hati saya menjadi belas kasihan melihat perlakuan ibu kucing itu tanpa disedari saya bercakap seorang diri..."Ya Allah...kasihan engkau wahai ibu kucing, anakmu telah mati".

Saya termenung seketika...perasaan kasih seumpama ini sebenarnya bukan hanya pada manusia, bahkan binatang juga sangat sayangkan anaknya...tetapi dalam dunia manusia hari ini ke mana perginya sifat keinsanan ini sehingga ramai gadis-gadis yang ingin menutup noda dan dosanya membuang bayi yang tidak berdosa malah ramai juga yang sanggup membunuh insan kecil ini. Dua kisah yang boleh kita renungkan bersama...dalam dua dunia yang berbeza tetapi menterjemahkan satu rasa yang sama.

Buat pembaca semua, marilah kita menggunakan kesempatan yang ada memberi kebaktian yang suci dan murni kepada insan yang paling banyak menabur jasa untuk kita selama ini. Walaupun kita ingin membalas segala jasanya ingatlah bahawa tidak dapat sekali-kali membalas walau sedikit pun jasa mereka kerana besarnya jasa mereka terhadap kita. Saya teringat sebuah hadis yang lebih kurang begini maksudnya...seorang sahabat pernah berjumpa Rasul SAW lalu bertanya "Wahai Rasulullah, saya telah mendukung ibu saya bertawaf di sekeliling Kaabah, sudahkan saya membalas jasa-jasa ibu saya terhadap saya?" Rasul SAW menjawab yang maksudnya "Tidak, walaupun hanya sekali sakit ketika kesakitan ibu kamu hendak melahirkan kamu".

Bagi yang ibunya telah kembali ke rahmatullah...panjatkan doa, bacakan al-Quran agar ibu tenang di perkuburan.

Buat ibuku tercinta, Bonda Harison Ahmad...anakanda ingin merakamkan kasih sayang yang menggunung tinggi atas kasih yang tidak pernah bertepi bonda berikan. Anakanda mohon halalkan setiap titis susu yang pernah anakanda minum yang kini menjadi darah yang mengalir dalam sekujur tubuh anakanda. Jua..anakanda ingin bermohon keampunan bonda atas segala kekhilafan diri semasa bonda membesarkan anakanda...Doa anakanda tidak pernah putus dititipkan buat kebahagiaan bonda dan ayahanda. Kebahagiaan dan kejayaan anakanda pada hari ini tidak lain dan tidak bukan melainkan dengan mendapat redha daripada ayahanda dan bonda berdua dan rahmat kasih sayang daripada Allah SWT.

Terima kasih bonda atas redhamu selama ini...

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper

Rabu, Januari 12, 2011

Ingatan Buat Wanita : Sayangi Pasangan Seadanya



Assalamualaikum dan salam sejahtera buat buat semua pembaca yang budiman.
Hari ini suka saya berkongsi sesuatu dengan pembaca sekalian. Isu yang mungkin kurang menarik dan popular dan jarang diperkatakan orang.

Isunya ringkas sahaja...sayangi pasangan anda seadanya. Rasul SAW pernah bersabda yang lebih kurang begini maksudnya; Sayangilah seseorang itu seadanya kerana suatu hari mungkin anda anda membencinya, bencilah seseorang itu seadanya kerana mungkin suatu hari anda akan menyayangi dirinya.

Pesanan Baginda sangat mendalam kepada umatnya, tetapi hari ini saya ingin mengajak pembaca berfikir dan menghayati pesanan ini dalam kehidupan kita hidup berkeluarga terutamanya seorang wanita. Biarlah saya ceritakan beberapa kes untuk menjadi renungan kepada kita semua :

Kes 1 : Seorang isteri berpangkat Guru Kanan sekolah yang sangat menyayangi suaminya, seorang Penjaga Stor di sebuah kilang. Suaminya dibelikan pakaian yang mahal-mahal dan berjenama, dihadiahkan kereta dan segala kemewahan mengikut kemampuan dirinya. Pendek kata sang suami tidak kenal erti kesusahan dan kesempitan hidup. Selama 23 tahun hidup berumahtangga, si isteri telah menghadiahkan sebidang tanah kebun kepada suami. Rupa-rupanya di sebalik keghairahan isteri 'membelai' sang suami dengan limpahan kasih sayang dan wang ringgit suaminya menghadiahkannya seorang 'madu' yang dinikahinya secara senyap. Terkedu dengan 'hadiah' yang tidak pernah disangka dan diramal itu, si isteri menjadi hilang pedoman.

Kes 2 : Seorang isteri yang berpendidikan tinggi dan seorang peguam. Isteri ini bukan sahaja bijak menjadi peguam tetapi juga bijak mencari sumber rezeki lain dengan berniaga MLM. Pendapatannya mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan yang memberi peluang kepadanya 'berbakti' kepada suami lebih daripada yang sepatutnya. Isteri ini membelikan kereta mewah kepada suami, pakaian yang mahal-mahal dan segala keperluan mewah suami disediakan. Walaupun penat mencari rezeki, si isteri tidak pernah melupakan tanggung jawabnya sebagai isteri dengan menyediakan makanan dengan memasak sendiri setiap hari, membasuh, mengemas dan menyediakan ruang rumah yang selesa untuk diduduki oleh suami tanpa bantuan pembantu rumah. Ujian berat yang dihadapi oleh sang isteri apabila perniagaannya 'bankrap' tambahan pula beliau telah berhenti kerja, suami yang dikasihinya telah tinggalkan dirinya dalam situasi keberhutangan yang tinggi. Akhirnya suaminya telah berkahwin dengan kekasih gelapnya yang dipunyainya semasa masih dalam 'belaian' si isteri.

Cukuplah 2 kes yang saya paparkan ini untuk dijadikan renungan kepada kaum wanita. Agak-agak saudara semua, kenapa hal ini berlaku? Jawapan yang paling sinonim dengan wanita adalah...kerana KASIH....
Aduhai...kasih yang bagaimana? Kasih yang tidak bertepi? Kasih yang tiada tolok bandingnya? Kasih yang sejati? Kasih yang tulus ikhlas? Kasih yang .....?

Walaupun alasan kita, saya ada sesuatu yang boleh kita jadikan renungan. Kenapa kita belanja duit untuk 'membelai' dan 'manjakan' suami?

Sekiranya jawapannya adalah kerana untuk memenangai hati suami yang mungkin suami seorang yang panas baran, untuk menyejukkan hatinya dan bolehkan mendapat rumah tangga yang tenang.

Sekiranya jawapannya adalah kerana suami ada orang ketiga, mencurahkan segala untuk memenangi hatinya agar dalam persaingan tersebut, kita berada di pihak yang menang?

Sekiranya jawapannya kerana untuk menunjukkan kepada suami bahawa kita seorang isteri yang penyayang dan pemurah, agar apabila dia membandingkan kita dengan perempuan lain kita mempunyai 'kedudukan' yang kukuh.

...dan sekiranya....banyak lagi 1001 alasan kepada apa yang telah dinyatakan di atas. Sebagai isteri kita perlu ingat bahawa tidak berdosa jika kita tidak menolong suami dalam harta benda tetapi berdosa sekiranya setelah kita memberi kita mengungkit semula pemberian tersebut. Fitrah jiwa seorang wanita tidak boleh melihat kesempitan hidup seorang suami tetapi apabila 'disakiti' segala pemberiannya dia akan menyebutnya semula. Kesilapan berlaku di sini kerana tiada sifat ikhlas dan redha. Apabila kita diuji dalam perkahwinan maka akan akan timbullah rasa sakit hati, kecewa yang mendalam, rasa dikhianati, rasa tidak berguna, jiwa luluh dan hancur berkecai, ingin rasa tamatkan riwayat hidup dan bermacam-macam lagi perasaan yang cukup membuatkan seorang wanita menderita.

Perkara yang sangat penting dalam isu ini adalah sayangilah suami selepas mengasihi Allah dan Rasul. Suami adalah tempat ketiga dalam hati seorang isteri. Apabila mengasihi suami keterlaluan dan meletakkan suami di tempat yang paling atas di mana tempat tersebut merupakan tempat Allah, nescaya Allah akan menghantar ujian agar kita cepat tersedar bahawa cinta dan kasih yang kita miliki rupanya tidak kekal lama. Cinta dan kasih yang hakiki adalah cinta Allah yang memiliki segala Kebesaran dan Keagungan.

Justeru, saya ingin mengajak pembaca semua betulkan niat kita. Kasihilah diri kita dengan meletakkan cinta yang sebenarnya kepada yang berhak. Wa'llahua'lam.

DOA SEORANG ISTERI
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kau ampunilah dosa ku yg telah ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yg tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala ujianMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah
Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu di Arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suami ku ini adalah suami yg akan membimbing tanganku dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati olehMu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya

Tetapi Ya Allah
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang
Kau tunjukkanlan aku jalan yg terbaik untuk aku harungi segala ujianMu
Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya suami ku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan
Kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku memperbetulkan keadaanya
Sekiranya suami ku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena

Ya Allah
Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhiratMu
Sekiranya aku engkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu

Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa RahmatMu

Ya Allah
Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala ujianMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yg kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi dugaanMu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu

Ya Allah Ya Tuhanku...
Aku ingin hidup di sisinya hingga ke akhirnya
Biar ku hembus nafas terakhirku atas ribaannya
laksana Siti Khadijah AlQubra pergi diribaan Rasulullah
Atau...
Aku ingin membelainya tika ia menderita sakit
Agar kesakitannya hilang
Aku ingin berbakti sehingga hujung hayatnya
Biar diribaanku dia tinggalkan dunia
laksana Rasulullah pergi diribaan Aisyah Azzahra

Ya Allah Ya Tuhanku...
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang diredhai
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa di hati




Amin, amin Ya Rabbal Allamin..

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Helper

Selasa, Januari 11, 2011

Teori Struktural Salvador Minuchin

Terapi Keluarga Struktural pada awalnya berasaskan pengalaman seorang doktor iaitu Salvador Minuchin dan rakan-rakannya di Wiltwyck School. Menurut Minuchin dalam Gladding ST (1998), Sifat agresif yang ditunjukkan oleh ahli keluarga di Wilwyck School dan kecenderungan mereka untuk menyalahkan orang lain membuatkan terapis perlu lebih kuat dan cepat bertindak dalam membantu menangani permasalahan mereka. Sejak terapi ini diperkenalkan ia menjadi begitu popular dan seterusnya ia dimurnikan pada tahun 1960an dan 1970an ketika Minuchin menjadi Pengarah di Philadelphia Child Guidance Clinic. Hingga kini terdapat ramai pengamal terapi ini dalam bidang kesihatan mental dan Philadelphia menjadi pusat utama pendekatan terapi keluarga ini. Terdapat beberapa tokoh terkenal dalam Terapi Keluarga Struktural ini termasuklah Braulio Montalvo, Bernice Rosman, Harry Aponte dan Charles Fishman tetapi yang lebih dikenali adalah pengasasnya sendiri iaitu Dr Salvador Minuchin. Latar Belakang Pengasas Salvador Minuchin dilahirkan pada 13 Oktober 1921 di Argentina dan dibesarkan dalam keluarga Yahudi. Beliau mendapat kelulusan Ijazah Perubatan di Argentina. Pada tahun 1948 beliau menjadi doktor kepada tentera Israel selama 18 bulan. Pada tahun 1950, beliau ke United State dengan harapan ingin menyambung pelajaran bersama Bruno Bettelheim di Chicago. Walau bagaimanapun beliau telah berjumpa Nathan Ackerman di New York dan memilih untuk tinggal di sana. Pada tahun 1954, beliau mula belajar Psikolanalisis dan beberapa tahun kemudiannya beliau menjadi Pengarah Perubatan di Wiltwyck School. Sepanjang pengalaman beliau berada di Wiltwyck menjadi terapis sistem bersama-sama dengan Dick Auerswald dan Charles King pada tahun 1959 mula mengembangkan pendekatan tiga tahap dalam membantu keluarga berkulit hitam yang berada dalam kelas sosio-ekonomi yang rendah. Mereka mengembangkan suatu bahasa dalam menerangkan struktur keluarga dan kaedah bagaimana untuk memperbaiki organisasi dalam sesebuah keluarga. Intisari penggunaan kaedah ini telah diterbitkan melalui sebuah buku yang bertajuk Families of the Slums pada tahun 1967. Pada tahun 1965, Minuchin menjadi Pengarah Philadelphia Child Guidance Clinic. Beliau telah mengubah klinik tersebut kepada pusat terapi keluarga. Selepas itu Institute for Family Counseling pula ditubuhkan untuk menyediakan program latihan kepada pembantu perkhidmatan komuniti. Di Philadelphia, Minuchin bekerja bersama-sama dengan Braulio Montalvo dan Jay Haley. Pada tahun 1974, beliau menerbitkan buku Families and Family Therapy.

KONSEP TERAPI KELUARGA STRUKTURAL Terdapat tiga konsep utama dalam Terapi Keluarga Struktural iaitu Struktur Keluarga (Family Structure), Subsistem Keluarga (Family Subsystems) dan Sempadan / Batasan (Boundaries). Struktur Keluarga (Family Structure) Menurut Gladding (1998, m.s 212) pendekatan struktural adalah sebagai suatu teori yang sangat pragmatik. Teori ini dipengaruhi oleh falsafah dari Ortega y Gasset di mana ia menekankan interaksi individu dengan persekitaran. Pendekatan terapi ini menekankan bahawa setiap keluarga mempunyai struktur atau susunan yang tersendiri. Cuma struktur ini kelihatan tersembunyi di mana fungsi-fungsinya diperlukan oleh mana-mana ahli keluarga yang terbabit. Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai struktur dapat mempengaruhi keluarga tersebut menjadi lebih baik atau lebih buruk. Sesetengah keluarga dapat membina struktur yang baik mengikut pola hireiki. Sesetengah keluarga pula mempunyai struktur kecil dan juga mewujudkan beberapa ketetapan dalam keluarga lebih mudah dan membuatkan interaksi lebih bermakna. Dalam pendekatan struktural, keluarga yang berfungsi dengan baik dilihat secara keseluruhan sebaik-baiknya mempunyai interaksi di antara sub-unit dalam keluarga tersebut. Dalam sesetengah keluarga yang disfungsi, muncul penyatuan (coalition) yang bermaksud penyatuan di antara seseorang ahli keluarga dengan seorang atau lebih ahli keluarga yang untuk menentang atau melawan dengan seorang ahli atau lebih ahli keluarga yang lain. Ini berlaku apabila wujud ketidaksetujuan antara dua orang ahli keluarga dan ahli keluarga yang ketiga akan bergabung dengan ahli keluarga yang dianggap lemah supaya “perlawanan” menjadi seimbang. Selain daripada bersifat penentang atau musuh, coalitions biasanya merahsiakan kewujudan mereka. Coalitions akan muncul jika sekumpulan ahli keluarga tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah secara terbuka. Sesuatu masalah akan dapat diselesaikan dengan mudah jika coalitions atau gabungan itu besar dan mempunyai kuasa autonomi. Subsistem Keluarga (Family Subsystem) Aspek kedua penting dalam terapi keluarga ini adalah merupakan unit yang kecil yang wujud dalam sistem keluarga secara keseluruhan. Terdapat 3 bahagian subsistem yang penting dalam keluarga iaitu, Subsistem pasangan suami isteri, Subsistem keibubapaan dan Subsistem antara adik beradik. Jika sebuah keluarga yang mempunyai keluarga luas, datuk, nenek dan ipar duai juga mempunyai subsistem dalam keluarga tersebut. Setiap ahli keluarga mempunyai peranan yang berbeza dalam setiap subsistem yang dipunyai oleh mereka. Struktur keluarga akan menjadi bermasalah jika sesuatu subsistem tidak menjalankan peranannya dan mengambil alih atau memainkan peranan subsistem yang lain. Subsistem pasangan Suami Isteri Subsistem pasangan suami isteri merujuk kepada hubungan suami dan isteri. Suami mempunyai tanggungjawab terhadap isteri dan begitu juga sebaliknya. Ia akan membentuk kumpulan berpasangan yang saling menyokong dan memerlukan di antara satu sama lain. Subsistem Keibubapaan Secara umumnya Ibu bapa mempunyai tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak, juga berfungsi menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada anak-anak dalam banyak hal seperti menyediakan kemudahan tempat tinggal, makanan, pelajaran dan persekitaran keluarga yang baik dan selesa kepada anak-anak. Dalam subsistem ini akan wujud masalah jika timbul gabungan merentas generasi (cross-generational alliance) iaitu gabungan dua generasi yang berbeza seperti gabungan ibu atau bapa dengan anak secara rahsia untuk mendapatkan sesuatu keperluan atau mencapai sesuatu objektif. Subsistem keibubapaan perlu berubah sejajar dengan perkembangan tumbesaran anak-anak. Peraturan yang boleh diterima ketika anak berusia 8 tahun perlu diubah ketika anak tersebut berusia 18 tahun. Subsistem Antara Adik Beradik Bagi menjamin kebahagiaan dan keseronokan hidup dalam keluarga hubungan adik beradik perlu mempunyai kemesraan dan kasih sayang di antara satu sama lain. Mereka belajar cara saling menolong dalam penyelesaian masalah serta bertanggungjawab di antara satu sama lain. Dalam sesetengah keluarga, terdapat adik beradik yang sama seibu sebapa tetapi terdapat juga yang mempunyai adik beradik tiri di mana ibu atau bapa yang berkahwin lain. Perbezaan umur juga memberi kesan kepada kefungsian subsistem antara adik beradik. Sempadan (Boundaries) Sempadan adalah kawasan fizikal dan psikologikal yang dimiliki oleh setiap individu atau sesuatu subsistem dalam sistem keluarga. Menurut Lily Mastura Harun dan Ramlan Hamzah (2007) sempadan dapat disamakan seperti maruah diri atau harga diri. Setiap individu akan menjaga sempadan ini agar tidak dicerobohi oleh individu lain. Jika pencerobohan berlaku, individu akan bertindak balas untuk menjaga sempadannya. Minuchin (1974) dalam Gladding (1998) untuk mendapat kefungsian keluarga yang sempurna sempadan dalam subsistem-subsistem ini perlulah jelas.
Dalam sistem pemetaan struktural keluarga kekuatan sempadan ini dilukiskan seperti berikut :

- - - - - - - - - Jelas
__________________ Rigid
.. .. .. .. .. .. Kabur
Rajah 1 : Sempadan dalam keluarga

Sempadan yang jelas adalah terdiri daripada peraturan dan tabiat yang dibenarkan oleh ahli keluarga untuk meningkatkan komunikasi dan perhubungan sesama mereka dengan mengamalkan komunikasi dua hala. Dalam keluarga yang mengamalkan sempadan yang jelas, ahli keluarga bebas bertukar-tukar maklumat dan saling memberi dan menerima maklumbalas yang membina. Sempadan yang rigid adalah tidak fleksibel dan mengasingkan ahli-ahli keluarga di antara satu sama lain.

Dalam keluarga yang mempunyai sempadan yang rigid, ahli keluarga tersebut menghadapi kesukaran dalam perhubungan yang lebih rapat di antara satu sama lain. Oleh itu, ahli keluarga akan menjadi lebih terpisah di antara satu sama lain secara emosional. Dalam situasi sempadan kabur pula, tidak terdapat pengasingan yang cukup di antara ahli keluarga. Terdapat juga beberapa orang ahli dalam keluarga yang dikatakan bersatu. Berbeza kewujudan kebergantungan dan kebebasan di antara individu seperti dalam sempadan yang jelas, sempadan kabur lebih menggalakkan ketidakbergantungan individu. Dalam pembangunan sesebuah keluarga, sempadan-sempadan tersebut boleh bertukar mengikut jenis dan perkembangan keluarga tersebut. Dalam perkembangan tersebut meluruskan semula (alignment) merupakan suatu cara ahli-ahli keluarga tersebut berhubung kembali atau menentang mana-mana ahli bagi meneruskan aktiviti keluarga tersebut. Sebagai tambahan kepada struktur, subsistem dan sempadan, Terapi

Keluarga Struktural berpandukan juga kepada peranan & peraturan (roles & rules) dan kuasa (power). Peranan (roles) menjadi sukar jika dalam keluarga tersebut mempunyai ahli yang berhubungan dengan ahli yang lain di mana ahli tersebut mempunyai suatu jangkaan terhadap ahli yang lain. Sebagai contoh, ahli keluarga yang paling muda dalam keluarga akan dianggap berperanan seperti bayi dan ahli keluarga tidak akan mengendahkan sesuatu yang diperkatakan. Peraturan (rules) merupakan peraturan yang mula-mula dibentuk dalam keluarga dan akhirnya tidak dapat dipisahkan lagi (melekat) dalam struktur dan sistem keluarga tersebut tanpa menghiraukan perubahan yang berlaku dalam keluarga. Sebagai contoh, seorang bapa yang berpendapatan tinggi tiba-tiba dibuang kerja tetapi ahli keluarga tersebut masih mengamalkan cara berbelanja seperti sebelum bapa dibuang kerja. Peraturan yang melekat ini memburukkan keluarga sebagai unit yang berfungsi.

Secara keseluruhan, peraturan dalam keluarga boleh jadi jelas atau tersirat. Secara umumnya keluarga yang berfungsi dengan lebih baik mempunyai peraturan yang lebih jelas. Kuasa (power) adalah kemampuan untuk melakukan sesuatu. Dalam sebuah keluarga, kuasa adalah berkaitan dengan autoriti dan tanggung jawab iaitu ahli yang membuat keputusan atau pemberi kata putus. Terapi Struktural Keluarga mendapati dalam keluarga yang disfungsi, kuasa hanya diberikan kepada beberapa ahli tertentu sahaja. Campur tangan dan kebolehan ahli keluarga yang lain untuk memberi pendapat dalam proses membuat keputusan sangatlah terhad. Ahli keluarga yang merasakan diri mereka tidak mempunyai hak bersuara ini kemungkinan akan menarik diri daripada keluarga.

Teknik-teknik Terapi Keluarga Struktural Terapi Keluarga Struktural merujuk kepada cara bagaimana melihat sesuatu keluarga itu berfungsi. Set disfungsi keluarga adalah merujuk kepada reaksi keluarga, tindak balas kepada tekanan berulang-ulang tanpa berlaku modifikasi setiap kali berlaku konflik keluarga. Terdapat beberapa teknik dalam Terapi Keluarga Struktural iaitu : Joining ’Joining’ adalah proses yang berlaku antara terapis dan ahli keluarga. ‘Joining’ merupakan salah satu prasyarat penting dalam proses penstrukturan semula keluarga. Menurut Lily Mastura Harun dan Ramlan Hamzah (2007) joining merupakan istilah yang digunakan dalam Terapi Struktural Keluarga dalam membina hubungan (rapport). Pada waktu ini, kaunselor mempamerkan kemahiran-kemahiran lisan dan tanpa lisan, kecekapan, tidak menyebelahi mana-mana ahli keluarga, empati dan memahami kehendak dan perasaan setiap individu dalam keluarga terbabit. Prasyarat ini adalah perlu untuk mewujudkan keadaan yang selesa dan selamat agar klien dapat merasakan suasana saling percayai mempercayai di antara satu sama lain. Terdapat empat cara ‘joining’ mengikut pendekatan Terapi Keluarga Struktural. Pertama, ‘tracking’ iaitu terapis menggunakan soalan terbuka untuk mendapatkan maklumat. Semasa ‘tracking’ penilaian tidak diperlukan. Contoh yang terbaik tracking adalah apabila terapis memberi maklum balas. Sebagai contoh terapis memberi maklum balas dengan mengatakan “Jadi seperti mana yang saya faham situasi puan adalah puan dan suami menndirikkan rumah tangga pada bulan Mei tahun lalu dan telah melahirkan anak pertama pada bulan Mac yang lepas. Jadi, puan tidak terfikir yang puan mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan diri dalam hubungan puan dengan suami sebelum puan melahirkan anak”. Cara yang kedua adalah mimesis iaitu terapis menjadi seperti keluarga iaitu cuba menyesuaikan diri dalam keluarga tersebut mengikut cara atau konteks keluarga tersebut berkomunikasi dan sebagainya. Cara yang ketiga confirmation of a family member iaitu menggunakan perkataan-perkataan yang menyentuh perasaan untuk merefleksikan ekspresi perasaan dan tingkah laku ahli keluarga. Manakala cara yang terakhir adalah accomodation iaitu terapis membuat penyesuaian peribadi untuk kesepaduan teraputik. Reframing Menurut Lily Mastura Harun dan Ramlan Hamzah (2007) reframing bermaksud memberi makna yang baru dan berbeza dalam pengertian yang lebih positif. Ia melibatkan pertukaran persepsi dengan menerangkan sesuatu situasi dalam konteks yang berbeza. Dalam proses ini, situasi yang negatif kadang kala dapat dilihat dalam sudut yang berbeza. Sebagai contoh, ahli keluarga mengatakan anak mereka teruk dan jahat tetapi terapis membuat reframing sebagai nakal. Oleh itu, ahli keluarga dapat mencari jalan untuk mengubah sikap mereka kepada persepsi baru iaitu anak nakal dan berfikir bagaimana dapat membantu anak mereka untuk berubah. Unbalancing Unbalancing merupakan prosedur di mana terapis menyokong mana-mana individu atau subsistem menentang ahli keluarga yang lain. Dalam teknik ini, terapis boleh duduk di sebelah anak perempuan yang dituduh tidak mengikut cara hidup keluarga tersebut. Terapis boleh memberi perhatian kepada anak perempuan tadi dan menentang keluarga dengan memberi sebab-sebab kenapa anak perempuan itu bertingkah laku seperti itu. Ahli keluarga secara individual dan kelompok seolah-olah dipaksa untuk memberi reaksi secara berbeza terhadap anak perempuan tadi. Mereka akan memperkembangkan peranan dan fungsi mereka dalam keluarga tersebut. Apabila teknik ini digunakan untuk menyokong orang yang tertindas dalam sistem keluarga tersebut. Enactment Enactment adalah proses di mana keluarga tersebut membawa tingkah laku bermasalah ke dalam sesi kaunseling dengan menunjukkan demonstrasi kepada terapis. Sebagai contoh, ahli keluarga yang sering bertengkar dalam isu meluangkan masa pada hari cuti hujung minggu. Teknik ini untuk melihat bagaimana ahli keluarga berinteraksi. Working with Spontaneous Interaction Terapis memberi perhatian terhadap sesuatu tingkah laku tertentu. Melalui teknik ini, ia dapat memperlihatkan tingkah laku asal dan dinamika interaksi sesebuah keluarga itu. Oleh itu, terapis akan membantu ahli keluarga untuk mengenal pasti pola interaksi dan apakah perubahan yang mereka perlu lakukan untuk memperbaiki corak komunikasi dalam keluarga. Boundary Boundary adalah garisan yang tidak kelihatan yang memisahkan individu atau subsistem dengan individu atau subsistem yang lain secara psikologikal. Untuk memastikan keberkesanan fungsi keluarga, keluarga tersebut perlu menggunakan boundary yang berbeza pada setiap ketika tahap perkembangan keluarga. Sebagai contoh, pada masa krisis keluarga tersebut mungkin memerlukan rigid boundary untuk memastikan semua ahli keluarga bekerjasama sebagai satu pasukan. Peranan terapis samada menguatkan atau melonggarkan boundary bergantung kepada situasi keluarga tersebut. Intensity Kaedah struktural untuk menukarkan tingkah laku yang tidak adaptif dengan menggunakan perasaan yang kuat, intervensi yang berulang atau tekanan yang berpanjangan. Nada, volume dan pemilihan perkataan digunakan untuk meningkatkan perasaan bersungguh-sungguh. Restructuring Restructuring melibatkan pertukaran struktur keluarga. Rasional penggunaan teknik ini adalah untuk membuatkan keluarga itu lebih berfungsi dengan mengubah suai hierarki sedia ada dan pola interaksi agar masalah tidak dikekalkan. Shaping Competence Terapis membantu keluarga menjadi lebih berfungsi dengan memberi fokus kepada tingkah laku yang positif. Terapis boleh memberi pengukuhan kepada ibu bapa yang menunjukkan tingkah laku yang baik kepada anak-anak. Diagnosing Salah satu tugas utama dalam Terapi Keluarga Struktural adalah menjalankan diagnos untuk mengenal pasti sistem perhubungan antara ahli keluarga. Dengan itu terapis dapat melihat apa yang diperbaiki atau ditukarkan untuk membantu keluarga tersebut berfungsi dengan sebaiknya. Dianosing dilakukan pada awal proses teraputik. Adding Cognitive Constructions Terdapat beberapa teknik dalam teknik ini termasuklah advice, information, pragmatatic fictions dan paradox. Advice dan information adalah didapati daripada pengalaman dan pengetahuan keluarga dalam proses terapi tersebut. Ia digunakan untuk meredakan kemarahan beberapa ahli keluarga dan meyakinkan mereka beberapa tingkah laku. Pragmatic fictions adalah pengumuman yang dibuat untuk membantu keluarga dan ahlinya untuk berubah. Paradox adalah membantu keluarga mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah mereka.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper

Ahad, Januari 09, 2011

Cinta Yang Membawa Sengsara



Remaja yang saya kasihi sekalian...

Apakah yang para remaja sekalian faham dan maklum tentang cinta? Cinta ketika remaja (sebelum berkahwin), adakah harus, perlu atau tidak? Terdapat pelbagai pendapat tentang cinta remaja.

Perasaan untuk mencintai dan dicintai merupakan fitrah keinsanan kepada semua manusia yang dikurniakan oleh Allah tetapi persoalannya bagaimana cinta yang dibolehkan oleh syariat?

Cinta sebenarnya merupakan perhubungan sosial yang menghasilkan ganjaran keseronokan dan rasa bahagia yang membawa kepada nikmat psikologikal. Keseronokan, kemesraan dan perhubungan interpersonal ini dimanifestasikan dalam bentuk tingkah laku yang dicerminkan sebagai cinta.

Ramai remaja sukar membezakan antara cinta dan seks. Klien yang saya temui ketika ditanya kenapa melakukan hubungan seks, jawapannya 'kerana cinta'. Salah tafsir maksud cinta ini telah mengakibatkan muncul pelbagai pola tingkah laku yang antaranya membawa permasalaha sosial. Dewasa ini, remaja Melayu begitu cenderung kepada 'cinta' sehingga telah mengakibatkan berlakunya krisis dan tragedi seperti pembuangan janin dan bayi-bayi yang tidak berdosa.

Cinta dan seks merupakan isu peribadi yang akhirnya boleh menjadi fenomena sosial. Bermula dengan pandangan, senyuman, bertukar-tukar nombor telefon, SMS dan berbual-bual di telefon (semua ini isu peribadi) yang akhirnya membawa kepada melakukan hubungan seks (masih isu peribadi) tetapi kesan daripada perlakuan tersebut mengakibatkan si gadis mengandung akhirnya menggugurkan kandungan atau membuang janin atau bayi tersebut yang akhirnya membawa fenomena sosial.

Apakah cinta? Dan apakah pula seks? Cinta adalah untuk mendapatkan kasih sayang, manakala seks untuk mendapatkan zuriat. Jika cinta perlulah pula kepada 3 elemen iaitu komitmen (tanggung jawab), keintiman dan passion. Elemen-eleman ini hanya boleh didapati dan dirasai dengan 'sah' dan 'halal' apabila pasangan tersebut mendirikan rumah tangga. Malangnya ramai remaja pada masa ini tidak menyedari bahawa yang mereka gelarkan sebagai cinta sebenarnya tersasar jauh daripada cinta dalam erti kata yang sebenar.

Apa pula seks? Seks bermula hanya dengan bertukar-tukar senyuman, renung merenung, keluar bersama sambil berpimpin tangan...di sinilah bermulanya segala perlakuan 'zina' yang menghasilkan zuriat yang pada awalnya dianggap cinta.

Cinta yang teragung adalah cinta kepada Allah dan RasulNya..seterusnya kepada ibubapa..sayangilah diri sendiri dengan menegakkan syariat Islam agar anda semua beroleh lindungan Allah di akhirat nanti.

Bangunlah adik-adik remaja, sedarlah dari lena bahawa kehidupan kita ini tidak akan sampai ke mana kerana dunia jika kita sering mengejarnya dia akan lari dari kita, tetapi biarlah dunia yang mengejar kita. Jagalah diri anda semua, hormati diri sendiri dengan menjaga maruah dan kehormatan diri.

Benteng kepada perlakuan ini adalah dengan cara menghayati ajaran Islam, sifat malu sangat penting buat remaja semua. Hilang malu, hilanglah maruah, hilang malu tergadai juga diri dan pada ketika hilangnya malu, maka hilanglah iman dalam diri.
Wallahua'lam.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper

Sabtu, Januari 01, 2011

Azam Baru Semangat Pun Baru



Salam tahun baru 2011 buat semua.


Tahun 2010 telah melabuhkan tirainya, 1 Januari 2011 telah membuka lembaran baru. Azam baru begitu sinonim dengan sambutan setiap tahun di awal tahun. Bagaimana agaknya dengan azam tahun lepas? Adakah semua azam tersebut telah tercapai atau hanya tinggal azam di mulut sahaja. Persoalan seterusnya adakah setiap kali muncul tahun baru azam juga perlu baru tetapi secara praktisnya hanya bagai 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja. Dalam keghairahan melakar azam baru terdapat juga insan yang masih tercari-cari sesuatu untuk dilontarkan apabila ditanya apakah azam baru untuk tahun ini...Catatan ini boleh juga menjadi pencetus dan simulasi kepada yang belum memahatkan azam untuk memulakan lembaran baru.

Kedengaran suara azam-azam baru seperti ingin mendekati masjid dan bersolat jemaah setiap kali bersolat, ingin menabung, ingin berpuasa sunat, ingin berhenti mengumpat, ingin bercakap dengan kata-kata positif, ingin ke pejabat lebih awal dan beberapa-beberapa keinginan dan azam yang lain...Bagus atas segala azam yang positif tersebut tetapi bagaimana agaknya untuk mengekalkan dan beristiqamah dengan tingkah laku dan sikap baru tersebut.

Yang manisnya apabila menyambut tahun baru, diari baru dibuka, catatan baru bermula dengan semangat dan langkah juga baru. Secara fitrahnya manusia apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru mempersepsikan dengan nilai yang berharga. Justeru, fitrah manusia juga sentiasa mencari-cari sesuatu yang terbaik bagi dirinya dan sentiasa ingin melakukan yang terbaik bagi dirinya bagi mencapai nirwana kendiri.

Ingin beristiqamah dengan tingkah laku dan sikap yang baru? Cadangan saya anda boleh jadikan sebagai panduan untuk memodifikasikan tingkah laku tersebut...

Contoh : Ingin berhenti merokok/mengurangkan merokok

Anda perlu sediakan satu jadual yang dalamnya termuat tarikh, target anda seperti berapa batang rokok yang akan dikurangkan. Mulakan dengan yang paling minima dan realistik untuk anda lakukan. Contohnya untuk minggu yang pertama target anda untuk mengurangkan merokok kepada 3 batang sehari, catatkan dalam jadual tersebut. Jika anda tersasar, tidak mengapa catat juga yang anda telah merokok lebih. Berlaku jujurlah dengan diri sendiri.Di akhir bulan Januari anda akan dapat melihat kembali target anda dengan pencapaian diri sendiri. Bagi memulakan jadual bulan Februari, jadual yang sama juga perlu anda bina dan target pada bulan ini perlulah lebih tinggi daripada bulan Januari contohnya target mengurangkan hanya 2 batang rokok sehari. Sehinggalah bulan-bulan berikutnya anda akan memberi target kepada tabiat merokok kepada sebatang sebulan...Nah! Akhirnya pada hujung tahun 2011 anda akan berjaya membentuk tingkah laku baru iaitu berhenti merokok sepenuhnya.

Begitu juga bagi yang ingin menunaikan solat secara berjemaah...kaedahnya sama sahaja dengan membina jadual yang di dalamnya termuat tarikh, waktu solat dan catatan. Bagi setiap kolum solat yang anda berjemaah tandalah 'tick' dan bagi yang tidak tandalah 'pangkah' atau biarkan kosong sahaja. Pada akhir bulan, anda boleh memeriksa dan bermuhasabah sendiri tentang azam dan tingkah laku baru anda. Lakukanlah secara istiqamah / berterusan InsyaAllah anda akan beroleh tingkah laku baru yang dapat anda banggakan sendiri .(Jadual tersebut tidak perlulah ditunjukkan kepada orang lain, jadikan ia milik peribadi anda sebagai cara anda menghisap diri).

Selamat menyambut tahun baru 2011, semoga anda terus berjaya merealisasikan azam dan semangat baru.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"