Pelbagai suka duka umat Islam melalui Ramadhan pada tahun ini. Ada yang gembira dan ada yang berduka. Ada di antara kita yang semakin hampir dengan Aidil Fitri tidak lama lagi sedang bergembira, bukan gembira kerana Ramadhan hampir meninggalkan kita tetapi gembira kerana bakal bertemu dengan insan-insan tercinta, ayahanda, bonda dan sanak saudara yang lain yang sekian lama dirindui.
Lain pula dengan kisah yang berlaku di pejabat saya pada pagi ini, luluh hati saya berhadapan dengan seorang klien yang juga seorang ibu. Ibu ini kehilangan anak tercinta yang berusia 15 tahun kerana dilarikan oleh ayah kandungnya sendiri. Ayah kandungnya menceraikan ibu ini ketika anaknya masih dalam kandungan dan selama 15 tahun ini juga anak ini tidak pernah kenal siapa bapa kandungnya. Namun, sejak akhir-akhir ini bapa kandung ini datang dan ingin mengambil hati anak ini semula setelah ditinggal tanpa khabar berita sejak dalam kandungan. Hati ibu tidak mengesyaki sesuatu atas permintaan ayah kandung ini, kerana baginya biarlah jika ayahnya telah insaf dan ingin menebus kembali dosa-dosa silam dan ingin menggantikan semula bahagian yang tidak tertunai ketika anak tersebut masih kecil.
Tetapi sebaliknya pula yang berlaku di mana, ayahnya mula mengumpan si anak dengan barang2 material seperti handphone dan sebagainya yang merupakan keinginan anak remaja selama ini yang belum pernah ditunaikan oleh ibu sebagai kawalan kepada pergaulan anak. Pujukan demi pujukan, akhirnya ayah berhentikan sekolah si anak dan membawanya bersama-sama tanpa pengetahuan si ibu.
Suatu kejutan yang amat sangat kepada ibu...anak hilang dalam sekelip mata. Pagi ini, ibu hantarmu ke sekolah tetapi kini di mana kau berada, sayang...? Ayah kandung hanya menghantar SMS mengatakan anak telah dibawa bersamanya pulang ke negeri asal. Berita tersebut disahihkan lagi dengan menghubungi pihak sekolah mengatakan anaknya telah diberhentikan sekolah oleh ayah kandungnya...
Saya tidak dapat menggambarkan apa yang berlaku dalam perasaan ibu dan apa yang sedang berkecamuk dalam fikiran ibu ini. Sebaik di bawa masuk ke dalam bilik saya untuk mendapatkan intervensi, ibu ini telah tidak boleh berkata-kata, ia mengalami Stress Disorder dan mungkin juga serangan panik. Akhirnya, ibu ini perlu dibaringkan, tidak dapat membuka mata, hanya air mata yang dapat menceritakan segala-galanya...Selepas intervensi krisis diberikan, ibu ini dipimpin keluar menuju ke kereta. Saya melihat keadaannya bertambah teruk apabila beliau tidak dapat berdiri dengan sendiri dan muntah-muntah. Luluh hati saya melihat keadaan ini....
Keadaan ini merupakan suatu keadaan normal yang berlaku kepada seorang ibu yang penyayang, yang mengasihi anaknya sepenuh hati dan sentiasa mengharapkan kebahagiaan buat anaknya. Namun, apa yang berlaku, kehilangan anak tersayang secara mengejut yang tidak pernah disangka-sangka suatu tamparan yang hebat membuatkan ibu yang penuh dengan sifat kasih dan sayang ini tidak dapat menerima keadaan ini.
Duhai anak, kalaulah saya mampu untuk rakamkan dan filemkan apa yang berlaku terhadap ibumu, akan saya tunjukkan padamu. Ketahuilah duhai anak, yang ibumu sangat menyayangimu di mana beliau telah menjagamu sepanjang dalam usia kandungan tanpa perhatian daripada ayahmu. Ibumu begitu tabah melalui saat-saat sukar ketika melahirkanmu tanpa sokongan dari ayahmu. Sepanjang 15 tahun ini, ibumu bersusah payah, bersengkang mata menjaga sakit demammu, berhempas pulas mempertaruhkan tulang empat keratnya untuk menyara dirimu dan memastikan dirimu tidak merasai lapar dan dahaga....Aduhai, mudahnya kau lupa pada jasa-jasa ibumu...Tidak sampai hati saya melihat penderitaan yang ditanggung oleh ibu ini...Sedih, terkilan, kesal dan kecewa...
Duhai anak, tidak salah jika kau mula menyayangi ayah kandungmu, kerana benihnyalah lahir dirimu tetapi dengan meninggalkan ibumu; kau telah menganiayai ibumu, kau telah mencampakkan kedukaan yang berpanjangan kepada ibumu, kau telah menyemai benih-benih kesengsaraan terhadap ibumu.
Duhai anak, mana mungkin ibumu dapat berhari raya dengan bahagia tanpa dirimu berada di sisinya kerana selama 15 tahun ini ibumu meraikan Aidil Fitri yang bahagia bersamamu.
Pulanglah Duhai anak...hanya engkau yang mampu mengembalikan kebahagiaan ibumu...
Pulanglah Duhai anak...hanya engkau permata yang bersinar di hati ibumu...
Pulanglah Duhai anak...kesatlah air mata ibumu yang tumpah ini...
Pulanglah Duhai anak...kerana kepulanganmu akan membahagiakan ibumu dan melontarkan kedukaan di hatinya.
Pulanglah...
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan