Ahad, April 16, 2017

Kesukaran Mengikhlaskan Kemaafan



Petang ini perkongsian Kelas Kaunseling Kekeluargaan akan menyambung Tajuk Stres Dalam Keluarga dan Pengurusannya Siri Ke 3.
Antara isu yang akan dibincangkan adalah Kesukaran Mengikhlaskan Kemaafan.
Kita sering mendengar orang berkata ‘Forgive but Not Forget’ – Memaafkan tetapi tidak melupakan’. Kata-kata tersebut seolah-olah telah memaafkan tetapi masih menyimpan rasa terluka dan tidak dapat melupakan perbuatan orang tersebut yang menyebabkan dirinya terluka. Ini yang bahaya kepada jiwa! Dalam pengertian lain, kata-kata tersebut membenarkan hatinya terus menyimpan rasa luka itu dan berdendam dengan kelukaan tersebut. Bahayanya perasaan ini kepada hati (qalb) yang mana Islam mencirikan sifat dendam itu tersenarai dalam senarai panjang sifat-sifat mazmumah yang dimiliki oleh hati yang kotor.
Untuk mencari bahagia kita tidak perlu mencari siapa yang bersalah, atau yang menyebabkan hidup kita menderita. Memaafkan dengan ikhlas orang yang telah menyakiti hati kita akan membuatkan hati kita menjadi tenang dan lapang. Memang ada yang berkata mudahlah untuk mengatakan begitu kerana merasakan terlalu sakit dan sukar untuk memaafkan. Iya...saya tidak menafikan...tetapi ia memerlukan latihan hati, latihan demi latihan. Practice makes perfect!
Mohonlah keampunan kepada Allah untuknya dan sikap itu membuatkan anda termasuk orang yang diberikan rahmat oleh Allah. Jika anda disakiti bererti anda sedang teraniaya. Orang yang teraniaya adalah orang yang sedang diuji sekali gus diberikan kemudahan oleh Allah. Allah memberikan dua pilihan membalas perbuatannya atau memaafkan. Jika anda tidak membalas tetapi bersabar dan memaafkan orang yang telah menyakiti anda maka Allah akan memberikan ampunan dosa-dosa anda dan Allah menganugerahkan kepada anda kehidupan yang lebih sihat, indah dan membahagiakan.
Pilihan terletak di tangan kita sendiri. Jika kita memilih kebahagiaan, kemaafan adalah sesuatu yang indah sebaliknya jika kita lebih suka berdendam, jiwa kita tidak kan damai dan sentiasa sesak seolah-olah ada yang menusuk di dada.
Di dalam al-Quran, terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah:
1. Mendapat keampunan daripada Allah SWT. “..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (An-Nuur [24] : 22)
 2. Mendapat redha Allah SWT. “...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”. (Asy-Syura [42] : 40)
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) (Surah Al- A’raf 7: Ayat 199)
Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” [HR Muslim]
“Orang yang paling sabar di antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Oh! Lupakan segalanya

Setelah memaafkan, jangan peduli apa yang telah berlaku sebaliknya teruskan perjalanan hidupmu dengan melupakan segala yang berlaku dan anggaplah ia satu pengalaman indah dalam hidup. Ingatlah, pasti ada yang lebih baik dalam aturan Allah di perhentian masa depan, jika tidak terus melangkah anda tidak akan sampai ke perhentian itu! Rancangan Allah maha sempurna, jangan calitkan dengan sedikit keraguan pun. Berdoalah agar diberi kekuatan, gantikan tangisan dengan senyuman dan ujian yang diberikan sebagai kekuatan untuk terus melangkah dan lebih dekat kepada- Nya. Sedarilah sesungguhnya, tiada yang lebih mengerti perasaan anda melainkan Allah SWT. Tiada yang lebih dekat dengan anda melainkan Allah jua. Maka mintalah dan mengadulah segalanya dalam sujud kepada-Nya. luahkan segala yang terbuku di dalam dada dan berserahlah kepadanya. Insya-Allah segala yang sukar akan dipermudahkan.
Namun, kemaafan haruslah dengan keikhlasan kerana tanpanya anda masih terasa buntu dalam menemui erti ketenangan sebenar. Muhasabahlah. Mungkin tanpa disedari ketika bibir laju memohon keampunan, kemaafan masih belum dihulur. Jadi bagaimana ketenangan dinikmati andainya masih lagi berbekas rasa marah dalam hati. Anda ingin Allah mengampunkan dosa, tetapi anda lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah, membuat mereka terluka.
Jika perasaan dendam masih lagi bertamu di hati anda, ‘nikmati’lah ia dalam tempoh masa yang sementara kerana hati anda yang pemaaf akan membuangnya tidak lama lagi. Percayalah! Dendam yang sementara adalah wajar dan normal kepada hati yang disakiti tetapi dendam yang berpanjangan menunjukkan anda memiliki rohani yang sakit. Berusahalah untuk mengubatinya.
Memaafkan bukan mudah selagi anda bernama manusia yang fitrahnya berteman khilaf, selalu kalah dengan ujian Allah SWT. Tidak mahu mengaku kalah sedangkan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah. Hati manusia seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dari-Nya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan. Jangan ingat yang membuatkan anda terluka itu kejam, sebaliknya anda lebih zalim kerana tidak mahu memaafkan.
Sedangkan Allah SWT, pemilik seluruh langit dan bumi, sedia mengampunkan hambanya sebagaimana sering ditegaskan dalam al-Quran bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mengapa anda sukar untuk memaafkan sedangkan kita hamba yang begitu kerdil dan tidak lepas daripada melakukan dosa? Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, mengapa harus kita mengeluh kesah? Percayalah, apabila memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang, tenang, damai dan lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasakan hati bersorak girang. Hati terasa bebas daripada dendam dan amarah kerana tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi.

Teknik Reframing


Gantikan corak pemikiran anda dengan frame (rangka pemikiran yang baru). Sebelum ini jika anda memikirkan kelukaan dan penganiayaan itu sebagai sesuatu yang menyakitkan tetapi gantikan dengan frame baru mengikut kesesuaian diri dan kehidupan anda. Biasanya praktis saya adalah memberi rangka berfikir yang baru kepada pemikiran saya seperti kesakitan dan kelukaan itu saya tukarkan kepada ilmu dan pengalaman yang bernilai dan berguna dalam kehidupan saya menjadi kaunselor. Apabila saya memberi pemikiran baru, kesakitan dan kelukaan itu akhirnya saya berjaya menterjemahkannya menjadi ilmu dan pengajaran dalam kehidupan yang amat bernilai sekali. Akhirnya, saya menerima peristiwa tersebut sebagai suatu ilmu yang bermanfaat. Pengalaman itu sebenarnya amat berguna, pengalaman itu juga sebagai guru kepada kehidupan yang bermakna.

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim