Rabu, Disember 16, 2009

Tunaikan hak

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca.

Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menulis di blog ini dan saya juga sudah mendengar beberapa teguran daripada pembaca kerana telah lama tidak mengemaskini Laman Nurani ini. Maafkan saya...sebenarnya tuntutan kehidupan yang begitu sibuk melalaikan saya sehingga terlupa kepada tanggung jawab saya yang satu ini.

Minggu lepas saya mengendalikan sebuah kem yang diadakan di masjid. Tersentuh hati kemanusiaan saya dengan beberapa insiden yang saya lihat berlaku di hadapan saya. Pada pagi pendaftaran saya melihat seorang peserta datang dengan membawa bungkusan plastik yang berisi pakaian dan peralatan kem. Dengan kerjasama urusetia yang bertugas saya dapat menjejaki peserta tersebut. Saya bertanyakan beberapa soalan kepadanya, antaranya tinggal di mana, ayah kerja apa dan sebagainya. Alangkah terkejut dan sedihnya hati bila mendengar jawapan darinya bahawa ayahnya hanya berjudi dan minum arak. Saya menarik nafas dalam-dalam. Hampir menitis air mata saya saat saya mendengar kata-kata anak ini. Apalah yang anak ini tahu? Sejak dilahirkan sehingga berusia 10 tahun yang ia tahu dan sedar pekerjaan ayahnya hanya berjudi dan minum arak? Saya merenung jauh kehidupan anak ini pada masa akan datang...bagaimana agaknya kehidupan yang bakal ia lalui nanti.

Saya teringat suatu hadis yang menceritakan bahawa sebelum seorang anak derhaka kepada kedua ibubapanya sebenarnya ibubapanya terlebih dahulu menderhaka kepada anaknya. Mungkin inilah yang ingin disampaikan oleh Baginda Rasulullah kepada kita bahawa ibubapa yang tidak bertanggung jawab ini adalah tergolong dalam ibu bapa yang menderhaka kepada anaknya terlebih dahulu sebelum anaknya menderhaka kepadanya. Agama mencadangkan kepada kita untuk mencari pasangan yang baik-baik agar dapat menjamin benih yang bakal lahir nanti benih yang baik, tumbuhnya juga subur, hidupnya pula berbudi dan bermanfaat kepada semua.

Wahai Ibu dan bapa sekalian, kita bakal dibangkitkan dihadapan Allah dengan dengan pelbagai soalan yang mungkin tidak terjawab oleh kita sendiri. Anak merupakan amanah Allah yang perlu kita jaga dan kita laksanakan sebaik mungkin. Anak bakal menuntut kepada kita jika hak mereka tidak kita penuhi. Bagaimana agaknya keadaan kita nanti dalam kekalutan menghisap amalan sendiri, anak pula datang menuntut hak mereka, tetangga juga datang menuntut hak mereka, tidak cukup dengan itu, ibu bapa kita datang juga ingin menuntut hak mereka kepada kita. Ini belum disebut hak-hak orang Islam yang lain, hak al-Quran dan sebagainya...

Kita kadang-kala terlepas pandang dan terleka dalam kehidupan ini. Namun, apabila kita tersedar marilah kita pulang ke pangkuan Allah dengan menghitung diri sendiri dalam dunia yang sementara ini.


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"