Khamis, Disember 23, 2010

Merawat Luka Di hati



Saya kerap dikunjungi oleh klien yang meminta untuk diberi kaunseling tetapi selepas penerokaan dilakukan saya mendapati kebanyakkan klien-klien yang mengunjungi saya ingin merawat hati mereka yang luka.

Rupanya dalam hidup ini, sekali hati terluka bagi sesetengah manusia agak sukar untuk diubati. Ia memerlukan 'coping skill' yang tinggi dalam menangani masalah ini. Apabila hati yang luka ini berjaya dirawat maka ianya dapat mengurangkan rasa tertekan dan kegelisahan dan juga keresahan di hati.

Sebelum coretan ini saya panjangkan, sukalah saya untuk memperihalkan apa yang dimaksudkan dengan hati yang luka. Hati seperti yang disebut dalam al-Quran 'al-qalbu' ini merupakan suatu organ yang mana banyak pendapat menyatakan bahawa hati ini bukanlah dapat didefinisikan sebagai suatu yang fizikal seperti menurut ahli sains 'liver' itu adalah hati. Isu hati banyak dibahaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ullumuddin yang menceritakan kemahuan hati. Yang dimaksudkan oleh kemahuan hati menurut Imam al-Ghazali adalah mencintai Allah, mengenal Allah dan beribadah kepada Allah SWT. Semua bentuk kemahuan dan kecenderungan hati ini adalah sifat semula jadi manusia yang juga merupakan perintah Allah.

Rasul SAW pernah bersabda "Di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia. Jika seketul daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota lahir manusia. Itulah dia hati". Hadis ini menceritakan bahawa sifat terpuji lahir daripada hati yang baik dan mulia manakala sikap terkeji lahir daripada hati yang jahat dan tercela.

Nah...sekarang bagaimana pula jika hati kita dilukai? Hati terluka disebabkan oleh rasa sakit hati, marah geram, sedih dan sebagainya akibat daripada rasa dikhianati, dihina, dimarahi dan segala macam rasa lain yang ada. Adalah mustahil sebagai manusia untuk tidak merasa perasaan-perasaan yang seumpama itu sekiranya berhadapan dengan pelbagai suka duka kehidupan ini.

Tetapi bagaimana untuk kita menghadapi situasi apabila terluka bagi merawat hati sendiri? Adakah dengan melepaskan geram dan memarahi orang lain? Memberontak dengan mengeluarkan kata-kata kesat, memaki hamun, menangis semahu-mahunya dan sebagainya. Saya teringat suatu kata-kata yang mendewasakan saya iaitu 'Tidak berbaloi kita menangis kerana hal-hal keduniaan'..Wah! nampak hebat pada kata-kata tersebut, tetapi mampukah kita untuk melakukannya dengan buat tidak tahu atau 'ignore' sahaja perasaan kita yang hadir itu? Jika kita terus menyimpan rasa luka itu, hati dan jiwa kita sendiri yang akan merasai kesakitan dan merasa sepanjang hayat malah setiap kali kita merasa marah dan geram badan kita akan mengeluarkan sejenis racun yang lama-kelamaan akan membunuh diri sendiri secara senyap.

Ada beberapa tips yang ingin saya kongsikan di bawah ini bagi merawat luka di hati:

1. Redha - Cubalah memberi 'message' kepada otak yang kita ketika menerima musibah dan ujian tersebut adalah telah ditentukan daripada Allah SWT dan berpeganglah kepada Allah bahawa siapa kita yakni hamba dan makhlukNya untuk mempersoalkan ujian yang diberiNya. Redha dapat menghasilkan satu hormon yang dikenali sebagai endorfin bagi menyuntik rasa bahagia dan tenang dalam diri.

2. Tenang - Sifat redha dapat mencerna ketenangan dalam diri.

3. "Attachement" dengan Allah perlu kuat - semasa hati terluka, ubatnya adalah mengadu dan merintih kepada Allah. Hanya Allah tempat mengadu yang hakiki. Bukan salah mengadu pada manusia lain tetapi mengadulah pada Allah dengan cara mempertingkatkan ibadah sunat seperti banyak membaca al-Quran, bersolat, berzikir dan seumpamanya bagi memperkuatkan lagi hubungan kita dengan Pencipta iaitu Pencipta kita dan Pencipta kepada masalah yang kita hadapi.

4. Ujian bersifat sementara - Saya teringat kepada suatu kata-kata "Kesedihan ibarat air hujan yang menitis, berhenti hujan maka akan berhentilah kesedihan tersebut".

5. Carilah penghibur jiwa - Ops! Jangan salah tafsir ya...carilah penghibur jiwa yang mengikut syariat. Beri beberapa ganjaran kepada diri sendiri selepas berjaya merawat luka tersebut seperti kaum wanita, beri hadiah kepada diri sendiri dengan memanjakan diri mendapatkan urutan badan, rawatan muka dan sebagainya. Membeli pakaian baru juga boleh dikira hadiah kepada diri sendiri atau melancong ke mana-mana destinasi yang mententeramkan hati anda.

Akhir kata, kasihilah seseorang itu dengan seadanya kerana suatu hari nanti anda mungkin akan membencinya dan bencilah seseorang itu dengan seadanya kerana suatu hari nanti mungkin anda akan mengasihi dirinya. Dan sayangilah diri anda sebelum anda menyayangi insan lain.

Sekadar itu yang mampu saya kongsikan pada waktu ini.
Wassalam.


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

6 ulasan:

  1. terima kasihh...seronok sgt baca...sayangi diri kita dulu sebelum menyayangi org lain..betul2 :)

    BalasPadam
  2. terima kasih atas info ini...insyallah sy akan cuba redhakan apa yg berlaku....

    BalasPadam
  3. Ini juga sebagai penyuntik semamgat :)
    Terima kasih

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah...moga bermanfaat kepada pembaca semua.

    BalasPadam