Isu remaja yang semakin hilang perasaan malu, semakin luntur maruah diri dan semakin hanyut oleh arus keseronokan hidup semakin menjadi-jadi dan nampaknya bagai tiada cara untuk dibendung lagi. Yang menyedihkan kita semakin hari, semakin banyak akhbar yang melaporkan insiden-insiden 'malang' ini semakin berleluasa pula para remaja menonjolkan kebiadaban mereka dalam menterjemahkan sikap dan tingkah laku yang tidak berakhlak. Di mana silap kita agaknya? Adakah remaja itu sendiri? Atau ibu bapa yang tidak tahu mendidik? Atau institusi pendidikan yang gagal mencorakkan diri remaja tersebut? Aduhai...letih lisan berbicara, letih jiwa berkelana...jawapannya tidak akan kita temui jika asyik menuding jari ke sana dan ke mari. Saya ingin mengajak saudara semua, marilah kita bermuhasabah diri, menghitung diri dengan segala yang telah kita laburkan kepada komuniti/masyarakat.... Duhai yang bergelar ibu dan bapa, marilah kita bersepakat dalam suara yang senada mengembalikan kegemilangan hidup berkeluarga. Malang bagi anak-anak kita jika kita tidak menggunakan kuasa yang ada sebagai ketua. Ingin saya berkongsi di sini, kes yang terbaru saya kendalikan adalah kes yang membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun telah melakukan hubungan seks secara rela dengan dua orang kanak-kanak lelaki berusia 8 dan 9 tahun. Menyedihkan dan memilukan kerana kanak-kanak ini tidak tahu dan kenal dengan perbuatan mereka sendiri. Menurut Teori Pembelajaran Sosial, kanak-kanak belajar melalui pemerhatian, apa sahaja yang dilihatnya akan dilakukan mengikut tindakan 'pelakon' tersebut. Nah, di sini agaknya di mana perlakuan ini dipelajari oleh kanak-kanak tersebut? Jika dilihat pelajar yang lebih remaja, begitu enteng dan mudah maruah dicanang dari mulut ke mulut bagai tiada apa yang perlu ditutup lagi. Amat mudah bagi remaja (klien-klien yang dirujuk kepada saya) menjawab bagi soalan 'sudah berapa kali melakukan hubungan seks?' Tiada perasaan malu lagi, tiada rasa bimbang dan resah lagi...malah jawapan yang diberikan cukup selamba dan bersahaja. Aduhai...inikah yang pernah dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai tanda akhir zaman? Saya ingin mengajak semua supaya marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, marilah kita kembali ke jalan yang Allah redha supaya kita selamat di perhitungan nanti. Duhai adik-adik remaja sekalian, malumu amat besar peranan, akhlakmu menjadi tontonan, perilakumu menjadi hitungan kepada sebuah negara dan bangsa yang terbilang. Kepada siapa lagi hendak disandarkan harapan dan amanah menjaga negara suatu masa nanti jika tidak kepada anda wahai remaja semua... Hisablah diri dengan mencari kebaikan dan kebenaran sendiri daripada meneliti salah dan silap orang. Jadikan Islam sebagai cara hidup yang sangat indah agar maruah kita dapat dijulang... "HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan