Selasa, Ogos 10, 2010

Ahlan Ya Ramadhan Al-Karim

Salam Ramadhan buat semua.

"Apabila tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan" Hadis Riwayat Abu Hurairah.

Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berpuasa adalah untuk mendidik nafsu. Allah menciptakan kepada manusia 2 perkara iaitu akal dan nafsu. Apabila Allah bertanya kepada akal, Siapa engkau dan siapa Aku? maka jawab akal, Engkau adalah Tuhanku dan aku adalah hambaMu, tetapi apabila soalan yang sama ditanya kepada nafsu, maka dengan sombong dan takburnya nfsu menjawab Engkau adalah Engkau dan aku adalah aku. Maka Allah penjarakan nafsu beberapa ribu tahun dan bertanya lagi, namun jawapan yang diberikan adalah sama tetapi setelah dikurung dan tidak diberi makan barulah nafsu mengalah dan tunjuk kepada Allah SWT. Maka, didikan untuk menundukkan nafsu kita hanya dengan berpuasa. Maka, jalanilah bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini dengan memohon keampunan daripada Allah SWT semoga tarbiah yang kita perolehi dalam bulan ini dapat mendidik kita agar kita keluar daripada Ramadhan dalam keadaan yang fitrah pada pagi Syawal nanti.

Luqman al-Hakim pernah berpesan, jangan banyak makan kerana hati boleh menjadi buta. Enam perkara yang perlu ada kepada orang yang berpuasa iaitu :
1. Jaga mata, jangan pandang yang tercela
2. Jaga lidah supaya tidak bercakap bohong dan bersengketa
3. Jaga telinga supaya tidak mendengar yang tidak baik dan haram
4. Jaga anggota tubuh badan
5. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka
6. Tanam dalam diri, khuatir, cemas dan harapan segala ibadah adakah diterima oleh Allah.

Bulan Ramadhan dibahagikan kepada 3 iaitu 10 hari yang pertama adalah rahmat, 10 hari yang kedua adalah maqfirah dan 10 hari yang terakhir adalah pembebasan daripada api neraka. Oleh itu, saudara sekalian tingkatkan ibadat kepada Allah dan bagi yang masih punya ibu dan ayah pada bulan ini tingkatkan doa dan khidmat kepada kedua mereka agar kita sama-sama mendapat keberkatanNya.

Di sini suka saya berkongsi tanda-tanda Malam Lailatulqadar :
1. Hati kita lembut, airmata mencurah-curah (jika kita beramal pada malam tersebut)
2. Doa sangat berkat sepanjang malam
3. Rasa terlalu mengantuk (ujian untuk kita bangun malam)
4. 10 malam akhir (malam ganjil)
5. Tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas
6. Tiada salakan anjing, pada sebelah pagi tiada cahaya matahari hanya kelihatan cahaya putih di kaki langit kesan daripada tebaran sayap malaikat yang berangkat ke langit. Dan sekiranya insan yang bertuah yang beramal pada malam tersebut, pasti diziarahi malaikat kerana para malaikat akan memasuki tiap-tiap rumah.

Berikut adalah pandangan ulama tentang berlakunya lailatul qadar (LQ); jika puasa jatuhnya pada hari Ahad atau Rabu, LQ berlaku malam 29, jika puasa pada hari Isnin LQ pada malam 21, jika puasa pada hari Selasa atau Jumaat LQ pada malam 27, jika puasa pada Khamis LQ pada malam 25 dan jika puasa pada hari Sabtu LQ pada malam 23. Ini adalah pandangan ulama-ulama terdahulu tetapi jangan hanya pada malam tersebut sahaja kita beribadah tetapi pada malam-malam yang lain kita terus tertidur dibuai mimpi dunia. Ingatlah, Allah Maha Mengetahui segala niat kita...

Akhir kalam, selamat menyambut Ramadhan alMubarak semoga ibadah kita diterima oleh Allah SWT.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan