Hari ini hati saya dihimpit hiba; seorang wanita hadir dengan rintihan dan linangan airmata. Klien saya ini mempunyai enam orang anak, kelahiran anaknya agak kerap. Anak yang sulong telah mencecah usia 17 tahun dan telah tidak bersekolah, pernah terperangkap dengan gejala menghidu gam dan dihantar ke institusi pemulihan akhlak. Anak ke dua juga menjejaki langkah abangnya;menghidu gam, anak ke tiga juga telah berhenti dari sekolah (dia sendiri yang menulis surat untuk berhenti sekolah), anak ke empat dan ke lima masih di sekolah rendah dan anak ke enam berusia 4 tahun.
"Akak dah tak tahu apa nak dibuat lagi dengan anak-anak akak, esok akak perlu ke mahkamah kerana perbicaraan anak akak atas kesalahan menunggang motorsikal tanpa lesen"
"Setiap hari anak akak yang sulong menggertak akak supaya membelikan motorsikal untuknya"
Kenyataan di atas antara rintihan dari hati yang tidak berdaya oleh klien saya.
"Akak masih ada suami? tanya saya.
"Ya..tapi buat masa ini apa yang akak rasa, jika akak ditinggalkan pun akak tak rasa menyesal kerana akak rasa dah letih hidup bersuami tetapi seperti tiada suami" klien saya memulakan bicara setelah agak lama berdiam diri.
"Selama 19 tahun akak hidup bersama dengannya semua akak buat sendiri, bermula dengan menghantar anak ke sekolah, mengambil anak dari sekolah, makan minum akak perlu cari sendiri, jika ada hal di sekolah cikgu panggil, akak yang perlu ke sekolah suami akak dari awal lagi cakap yang dia tidak akan ambil tahu hal anak walau sedikit pun..." linangan airmata semakin menjadi-jadi.
"bila anak akak dah remaja, diorang menjadi semakin liar, sukar untuk dikawal, akak bangun seawal jam 2.30 pagi untuk membuat kuih untuk dijual, bila akak periksa dan tengok anak-anak tidur, anak yang sulong dan anak yang ke dua belum pulang, kadang diorang pulang awal tetapi bila akak masuk tidur diorang mula keluar semula, akak minta suami carikan, dia taknak, akak terpaksa keluar mencari anak-anak dalam waktu awal pagi begitu..." rintihannya semakin kuat kedengaran.
Saya....sejak tadi setia mendengar tanpa mencelah sedikitpun hanya sekadar memberi dorongan minima untuk beliau meluahkan segala yang terbuku di dada.
"jika akak ceritakan masalah rumahtangga akak sebenarnya sangat teruk, ketika akak mengandungkan anak bongsu, suami akak ada perempuan lain, akak bertanya padanya lalu dia sangat marah pada akak sehingga memukul dan mencekik akak. Waktu tu kandungan akak 8 bulan, sehinggalah kini akak tak berani lagi bertanyakan apa-apa tentang dirinya. Jika dia pulang kerja lewat sekalipun akak tidak akan bertanya kerana bimbang dia akan memukul dan mencekik akak lagi"
"Hubungan kami sekarang ini seolah-olah tiada kasih sayang lagi, sudah menjadi tawar. Suami akak langsung tidak menegur dan menyapa akak jika akak tidak memulakan perbualan, maka tidak akan ada komunikasi antara kami. Boleh kata di rumah, suami akak hanya ada tetapi tiada apa-apa kemesraan yang berlaku antara kami."
"Akak kini pasrah, jika dia lepaskan akak pun akak tak rasa apa-apa, akak dapat hidup tanpa suami"
"Dia ada cakap yang dia akan tinggalkan akak ke?" saya mencelah perlahan.
Dia hanya menggelengkan kepala.
Saya menarik nafas panjang, menghela nafas seolah-olah sedang merasai apa yang sedang dirasakan oleh klien ini. Saya teringat pepatah Melayu 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul"
Selepas penerokaan dijalankan dalam sesi, saya terjumpa sesuatu iaitu kekurangan dalam asas kepada pembentukan jiwa yang juga merupakan asas pembentukan keluarga Muslim. Suami klien tidak pernah solat.
"Apabila kita merasakan bahawa tiada siapa yang dapat membantu kita, ingatlah bahawa kita masih ada Allah, yang sangat pengasih dan sangat penyayang pada kita, rajinlah berhubung dengan Allah agar sentiasa membantu dan menurunkan rahmatNya buat kita. Masalah akak tidak akan jadi berkurangan tetapi Insya Allah akak akan rasa lebih tenang menghadapinya dan terasa lebih ringan" kata-kata saya yang terakhir sebagai ubat kesembuhan kepada hatinya yang terluka.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper
Ahad, November 25, 2012
Selasa, November 13, 2012
CATATAN KEMBARA SUCI - Siri 1
CATATAN KEMBARA SUCI - Siri 1
Menjadi salah seorang Petugas Haji merupakan impian saya semasa mula menjawat jawatan sebagai Kaunselor di sini. Alhamdulillah, tertunai impian tersebut setelah melepasi sesi temuduga dan menghadiri 3 siri kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji. Tanggal 22 September 2012 jam 8.00 pagi saya melaporkan diri di Kelana Jaya. Penerbangan dijadualkan pada jam 11.30 pagi dengan pesawat MH06 bersama Rombongan KT20 ke Madinah. Alhamdulillah, saya dihantar oleh suami, anak-anak, abang ipar serta biras ke sana.
Debaran hati menjadi semakin kencang, kesayuan di hati untuk meninggalkan keluarga mula terasa namun debaran untuk memenuhi Jemputan Yang Maha Agong melebihi segala-galanya. Pelukan dan ciuman terakhir sebelum bertolak diberikan buat suami tersayang..."Terima kasih abang kerana memberi restu dan redha untuk saya bertugas menyantuni Dhuyufurrahman" Dakapan mesra anak seakan-akan tiada perkara pelik yang akan berlaku, semuanya berlaku dengan lancar. Semuanya seolah-olah rela merelakan...
Kaki melangkah selangkah demi selangkah berjalan meninggalkan dewan. Selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW bersahut-sahutan bergema di dalam dewan. Saya terus mengatur langkah penuh kepasrahan terhadap Ilahi memenuhi panggilannya. Debaran di dada menjadi semakin kencang.
Lambaian dan ucapan selamat jalan oleh Petugas Operasi Haji Tanah Air OHTA semakin membuatkan hati saya semakin dihimpit kesayuan, airmata kesyukuran mula membasahi pipi..."Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu atas jemputan Agong ini"
Bibir masih setia mengucapkan selawat dan salam buat Habibullah SAW. Di hati terus mengukir tasbih, tahmid, tahlil dan takbir...Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahailla'lah dan Allahuakbar...
Bas mula bergerak meninggalkan dewan di Kelana Jaya...Sebuah bas demi sebuah bas terus berlalu dalam kesyahduan hati untuk menjadi Tetamu Allah. Sekilas saya melemparkan pandangan ke hadapan, bas kami 'dipandu' oleh Police Riders, terharu...begitu kehormatan sebegini diberikan kepada Tetamu Allah...
Tiba di KLIA saya berkumpul bersama-sama petugas yang lain. Urusan penerbangan begitu lancar sekali, tiada masalah. Sungguh! Allah permudahkan urusan ini...Subhanallah. Dalam pesawat hati dan lidah masih setia mengukir zikrullah...saya melihat beberapa gelagat jemaah, ada yang terlena keletihan, ada yang membaca al quran dan ada juga yang berbual-bual memulakan perkenalan mungkin. melihat kepada jam telah masuk waktu Zohor saya terus ke tandas pesawat berwuduk anggota yang wajib sahaja dan menunaikan solat Zohor. Dalam hati terasa begitu lazat, indah dan khusyuknya bersolat di tempat yang begitu tinggi, nun jauh tinggi di atas awan...sekali lagi hati saya tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi...Air mata kesyukuran terus membasahi pipi...
Bumi Madinah menyambut kami tika jam 4.30 petang. Selesai urusan mengecop passport dan sebagainya saya tiba di hotel menjelang Maghrib 22 September 2012.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper
Khamis, Julai 05, 2012
Awal pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari seorang klien. Suaranya begitu perlahan seolah-olah lidah sudah tidak mampu lagi untuk berkata-kata. Saya perlu memberi sepenuh tumpuan agar kata-katanya tidak 'hilang' dari pendengaran saya. Susunan kata-katanya satu-satu kedengaran...dan di hujung suara wanita tersebut terkesan oleh saya suara tangisannya...walaupun tidak begitu jelas tetapi cukup untuk saya mengerti bahawa wanita ini sedang dihimpit kedukaan...
"Puan...saya letih dan tak berdaya lagi untuk hadapi semua ini..." luahnya.
Saya memujuknya untuk bercerita perlahan-lahan.
"Puan, peristiwa ini bukanlah kali pertama, setiap tahun suami saya buat perangai, kami pernah bercerai dan bernikah kembali. Sebelum bercerai dulu, dia maki hamun saya dengan kata-kata yang bukan-bukan kerana ketika itu dia ada perempuan lain. Akhirnya dia kahwin dengan perempuan tu dan ceraikan saya. Selepas setahun berlalu, dia ceraikan perempuan tersebut dan memujuk saya untuk kembali bersama dengannya, saya terima semua itu seadanya. Saya maafkannya...."
"Kini, perkara yang sama berlaku lagi...yang menyedihkan saya, dia menyuruh saya gugurkan kandungan saya, dia tak mahu saya lahirkan anak lagi...sedangkan benihnya sedang membesar dalam rahim saya..."
Saban hari beginilah kes-kes yang didatangkan kepada saya. Lantas saya terfikir, kenapa agaknya proposal untuk penyelidikan PhD saya terlintas untuk saya jalankan tentang kemurungan wanita yang mengalami konflik perkahwinan. Mungkin Allah nak saya matang dalam keadaan ini untuk memudahkan penulisan dan kajian saya.
Banyak kajian yang saya jumpa menyatakan bahawa kaum lebih tertekan dari aspek mental dan psikologi ketika berhadapan dengan konflik perkahwinan. Lelaki bagaimana pula? Tidak semua lelaki yang tidak tertekan tetapi kaum lelaki lebih suka mengambil langkah selamat seperti tidak mempedulikan masalah yang mereka hadapi, 'ignorant', beranggapan bahawa tidak mengapa masalah itu akan selesai apabila tiba pada masanya. Ada juga dalam kalangan suami yang hadir meminta perkhidmatan kaunseling sehinggakan ada yang menangis dan sebagainya.
Langkah awal dalam intervensi saya kepada wanita yang mengalami masalah perkahwinan adalah :
1. Perasaan benci/dendam/curiga dan sebagainya yang para isteri rasakan adalah benar dari aspek psikologi tetapi janganlah mengheret perasaan itu ke arah menjadi nusyuz kepada suami.
2. Jika puan-puan rasakan dalam tempoh berkonflik itu perlu kepada tempoh bertenang, nyatakan kepada suami dengan sebaiknya. Jangan melarikan diri keluar dari rumah tanpa izin suami, keluar rumah dengan alasan untuk bertenang itu dengan keizinan suami (kecuali kes-kes penderaan yang mana suami telah memukul dan mencederakan - keluar untuk dapatkan bantuan walaupun tanpa keizinan suami).
3. Konflik yang berlaku dalam perkahwinan sebenarnya merupakan 'Alarm' kepada kita iaitu Allah nak sedarkan kita bahawa kita perlu muhasabah diri. Samada perkahwinan itu perlu diteruskan atau menemui jalan penceraian bukanlah isu tetapi 'alarm' yang dihantar oleh Allah itu kita perlu sedar dan peka. Samada kita (isteri) perlu berubah mungkin selama ini kita mengabaikan suami dari segi layanan dan perhatian atau suami yang perlu berubah atau kedua-duanya sekali.
4. Mohonlah bantuan daripada Allah, kerana Allah sahajalah penolong kita yang paling Agung. Banyakkan dan eratkan hubungan dengan Allah dengan melakukan solat-solat sunat seperti solat taubat, solat istikarah, solat hajat, membaca al-quran dan mentadabbur maknanya, berzikir, beristighfar dan berselawat. Insyaallah, puan-puan adan merasa tenang.
5. Sekiranya, masih berada dalam keadaan kekusutan dan tidak bertemu jalan perdamaian. Kemungkinan penceraian merupakan jalan keluar terakhir, bercerailah dalam keredhaan Allah. Penceraian yang diredhai oleh Allah dan diberkatiNya pasti akan mengundang seribu Rahmat. Mungkin puan-puan akan dijodohkan dengan lelaki yang lebih beriman, bertaqwa, berharta dan sebagainya.
Sekiranya puan-puan ingin memohon bantuan tele-kaunseling daripada saya, sila ke emel mazrie71@yahoo.com.
Wallahua'lam.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper
Langgan:
Catatan (Atom)


