Selasa, November 13, 2012
CATATAN KEMBARA SUCI - Siri 1
CATATAN KEMBARA SUCI - Siri 1
Menjadi salah seorang Petugas Haji merupakan impian saya semasa mula menjawat jawatan sebagai Kaunselor di sini. Alhamdulillah, tertunai impian tersebut setelah melepasi sesi temuduga dan menghadiri 3 siri kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji. Tanggal 22 September 2012 jam 8.00 pagi saya melaporkan diri di Kelana Jaya. Penerbangan dijadualkan pada jam 11.30 pagi dengan pesawat MH06 bersama Rombongan KT20 ke Madinah. Alhamdulillah, saya dihantar oleh suami, anak-anak, abang ipar serta biras ke sana.
Debaran hati menjadi semakin kencang, kesayuan di hati untuk meninggalkan keluarga mula terasa namun debaran untuk memenuhi Jemputan Yang Maha Agong melebihi segala-galanya. Pelukan dan ciuman terakhir sebelum bertolak diberikan buat suami tersayang..."Terima kasih abang kerana memberi restu dan redha untuk saya bertugas menyantuni Dhuyufurrahman" Dakapan mesra anak seakan-akan tiada perkara pelik yang akan berlaku, semuanya berlaku dengan lancar. Semuanya seolah-olah rela merelakan...
Kaki melangkah selangkah demi selangkah berjalan meninggalkan dewan. Selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW bersahut-sahutan bergema di dalam dewan. Saya terus mengatur langkah penuh kepasrahan terhadap Ilahi memenuhi panggilannya. Debaran di dada menjadi semakin kencang.
Lambaian dan ucapan selamat jalan oleh Petugas Operasi Haji Tanah Air OHTA semakin membuatkan hati saya semakin dihimpit kesayuan, airmata kesyukuran mula membasahi pipi..."Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu atas jemputan Agong ini"
Bibir masih setia mengucapkan selawat dan salam buat Habibullah SAW. Di hati terus mengukir tasbih, tahmid, tahlil dan takbir...Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahailla'lah dan Allahuakbar...
Bas mula bergerak meninggalkan dewan di Kelana Jaya...Sebuah bas demi sebuah bas terus berlalu dalam kesyahduan hati untuk menjadi Tetamu Allah. Sekilas saya melemparkan pandangan ke hadapan, bas kami 'dipandu' oleh Police Riders, terharu...begitu kehormatan sebegini diberikan kepada Tetamu Allah...
Tiba di KLIA saya berkumpul bersama-sama petugas yang lain. Urusan penerbangan begitu lancar sekali, tiada masalah. Sungguh! Allah permudahkan urusan ini...Subhanallah. Dalam pesawat hati dan lidah masih setia mengukir zikrullah...saya melihat beberapa gelagat jemaah, ada yang terlena keletihan, ada yang membaca al quran dan ada juga yang berbual-bual memulakan perkenalan mungkin. melihat kepada jam telah masuk waktu Zohor saya terus ke tandas pesawat berwuduk anggota yang wajib sahaja dan menunaikan solat Zohor. Dalam hati terasa begitu lazat, indah dan khusyuknya bersolat di tempat yang begitu tinggi, nun jauh tinggi di atas awan...sekali lagi hati saya tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi...Air mata kesyukuran terus membasahi pipi...
Bumi Madinah menyambut kami tika jam 4.30 petang. Selesai urusan mengecop passport dan sebagainya saya tiba di hotel menjelang Maghrib 22 September 2012.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan