Khamis, Julai 05, 2012
Awal pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari seorang klien. Suaranya begitu perlahan seolah-olah lidah sudah tidak mampu lagi untuk berkata-kata. Saya perlu memberi sepenuh tumpuan agar kata-katanya tidak 'hilang' dari pendengaran saya. Susunan kata-katanya satu-satu kedengaran...dan di hujung suara wanita tersebut terkesan oleh saya suara tangisannya...walaupun tidak begitu jelas tetapi cukup untuk saya mengerti bahawa wanita ini sedang dihimpit kedukaan...
"Puan...saya letih dan tak berdaya lagi untuk hadapi semua ini..." luahnya.
Saya memujuknya untuk bercerita perlahan-lahan.
"Puan, peristiwa ini bukanlah kali pertama, setiap tahun suami saya buat perangai, kami pernah bercerai dan bernikah kembali. Sebelum bercerai dulu, dia maki hamun saya dengan kata-kata yang bukan-bukan kerana ketika itu dia ada perempuan lain. Akhirnya dia kahwin dengan perempuan tu dan ceraikan saya. Selepas setahun berlalu, dia ceraikan perempuan tersebut dan memujuk saya untuk kembali bersama dengannya, saya terima semua itu seadanya. Saya maafkannya...."
"Kini, perkara yang sama berlaku lagi...yang menyedihkan saya, dia menyuruh saya gugurkan kandungan saya, dia tak mahu saya lahirkan anak lagi...sedangkan benihnya sedang membesar dalam rahim saya..."
Saban hari beginilah kes-kes yang didatangkan kepada saya. Lantas saya terfikir, kenapa agaknya proposal untuk penyelidikan PhD saya terlintas untuk saya jalankan tentang kemurungan wanita yang mengalami konflik perkahwinan. Mungkin Allah nak saya matang dalam keadaan ini untuk memudahkan penulisan dan kajian saya.
Banyak kajian yang saya jumpa menyatakan bahawa kaum lebih tertekan dari aspek mental dan psikologi ketika berhadapan dengan konflik perkahwinan. Lelaki bagaimana pula? Tidak semua lelaki yang tidak tertekan tetapi kaum lelaki lebih suka mengambil langkah selamat seperti tidak mempedulikan masalah yang mereka hadapi, 'ignorant', beranggapan bahawa tidak mengapa masalah itu akan selesai apabila tiba pada masanya. Ada juga dalam kalangan suami yang hadir meminta perkhidmatan kaunseling sehinggakan ada yang menangis dan sebagainya.
Langkah awal dalam intervensi saya kepada wanita yang mengalami masalah perkahwinan adalah :
1. Perasaan benci/dendam/curiga dan sebagainya yang para isteri rasakan adalah benar dari aspek psikologi tetapi janganlah mengheret perasaan itu ke arah menjadi nusyuz kepada suami.
2. Jika puan-puan rasakan dalam tempoh berkonflik itu perlu kepada tempoh bertenang, nyatakan kepada suami dengan sebaiknya. Jangan melarikan diri keluar dari rumah tanpa izin suami, keluar rumah dengan alasan untuk bertenang itu dengan keizinan suami (kecuali kes-kes penderaan yang mana suami telah memukul dan mencederakan - keluar untuk dapatkan bantuan walaupun tanpa keizinan suami).
3. Konflik yang berlaku dalam perkahwinan sebenarnya merupakan 'Alarm' kepada kita iaitu Allah nak sedarkan kita bahawa kita perlu muhasabah diri. Samada perkahwinan itu perlu diteruskan atau menemui jalan penceraian bukanlah isu tetapi 'alarm' yang dihantar oleh Allah itu kita perlu sedar dan peka. Samada kita (isteri) perlu berubah mungkin selama ini kita mengabaikan suami dari segi layanan dan perhatian atau suami yang perlu berubah atau kedua-duanya sekali.
4. Mohonlah bantuan daripada Allah, kerana Allah sahajalah penolong kita yang paling Agung. Banyakkan dan eratkan hubungan dengan Allah dengan melakukan solat-solat sunat seperti solat taubat, solat istikarah, solat hajat, membaca al-quran dan mentadabbur maknanya, berzikir, beristighfar dan berselawat. Insyaallah, puan-puan adan merasa tenang.
5. Sekiranya, masih berada dalam keadaan kekusutan dan tidak bertemu jalan perdamaian. Kemungkinan penceraian merupakan jalan keluar terakhir, bercerailah dalam keredhaan Allah. Penceraian yang diredhai oleh Allah dan diberkatiNya pasti akan mengundang seribu Rahmat. Mungkin puan-puan akan dijodohkan dengan lelaki yang lebih beriman, bertaqwa, berharta dan sebagainya.
Sekiranya puan-puan ingin memohon bantuan tele-kaunseling daripada saya, sila ke emel mazrie71@yahoo.com.
Wallahua'lam.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan