Merafakkan segala rasa kesyukuran dan terima kasih buat yang
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah Rabbul Jalil atas kurniaan dan
kesempatan meraikan Majlis Konvokesyen pada usia saya menginjak ke-48 tahun.
Semalam merupakan hari keramat yang menjadi kenangan buat saya
selamanya. Saya tidak pernah bermimpi untuk menggenggam segulung ijazah di
peringkat tertinggi suatu ketika dulu kerana saya merupakan pelajar yang
tercicir pada zaman persekolahan akibat kemiskinan keluarga. Saya terpaksa
berhenti dari meneruskan persekolahan semasa berada di tingkatan 6 rendah dan
keluar bekerja kilang demi menampung perbelanjaan keluarga.
Proses pencarian ilmu saya bermula sejak tahun 1997 (ketika itu
saya sudah pun mempunyai 2 orang anak). Saya mula mendaftar sebagai pelajar UTM
Perlis dalam Program Diploma in Business Study secara PJJ.
Malangnya, pengajian terhenti di situ setelah beberapa semester
disebabkan oleh kekangan tugas dan anak yang masih kecil waktu itu. Namun, doa
sang pencinta ilmu ini sentiasa didengari Allah. Pada tahun 2002, saya
menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda secara sepenuh masa dan
berjaya meraih anugerah dekan sebanyak 4 kali. Pada tahun 2008, saya meneruskan
lagi usaha pencarian ilmu secara sambilan di peringkat sarjana. Alhamdulillah,
berkat dorongan seorang pensyarah Master yang amat saya kasihi, Dr Nadiyah Elias, saya mula berazam untuk
melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Alhamdulillah, pada tahun 2014 saya
mendapat tawaran HLP bagi pengajian PhD (saya jangkakan mungkin inilah kasih
sayang Allah buat saya dengan menggantikan Biasiswa Persekutuan yang terpaksa
saya lepaskan ketika berada di Tingkatan 6 dulu).
Namun, lakaran perjalanan pengajian PhD saya penuh berliku.
Beberapa bulan selepas mendapat tawaran tersebut, Allah kurniakan saya seorang
bayi perempuan selepas 8 tahun keluarga kami sunyi dari tangisan seorang bayi.
Kehadirannya telah lama ditunggu dan dinantikan oleh saya dan suami.
Alhamdulillah, bayi saya lahir dengan sedikit ujian. Beliau disahkan mengalami
penyakit jantung kongenital, Pulmunory Atresia – Intact Ventricular Septum
(PA-IVS). Semasa rakan-rakan lain menjalani kursus QA di INTAN, saya menemani
bayi saya yang sedang berjuang dalam PCICU.
Memandangkan bayi saya yang sentiasa berada dalam keadaan
kritikal (pernah mengalami episod jantung terhenti sebanyak 3 kali dan menerima
bantuan CPR sebanyak 4 kali), Saya menghantar surat memohon penangguhan dan
menyerahkan segala-galanya kepada Allah, jika ada rezeki saya, Insya Allah
tahun depan saya akan mengikuti kursus QA tersebut bagi melayakkan saya untuk
mendapat HLP.
Dalam tempoh tersebut, bayi saya telah menjalani dua kali
pembedahan jantung. Pada tahun 2015, sebaik sahaja saya menamatkan kursus QA di
INTAN, bayi saya sekali lagi dipanggil untuk menjalani pembedahan jantung yang
ke-3 (Glenn Shunt). Selepas 2 bulan pembedahan jantungnya, saya mendaftar diri
sebagai seorang pelajar PhD pada September 2015. Saya bukan sahaja seorang
pelajar ketika itu, tetapi merangkap seorang jururawat di rumah! Dalam keadaan
bayi saya yang masih minum menggunakan ‘ryles-tube’, penjagaan tiub tersebut
perlu sangat teliti, kadang kala tercabut (dia cabutkan) sedar-sedar tiub
makanan sudah berada di tangannya, perlu dimasukkan semula tiub yang baharu!
Waktu makannya selang 3 jam sekali, bermakna jika saya tidur pada jam 10 malam,
jam 1 pagi saya perlu bangun semula untuk ‘feeding’ dia, dan seterusnya 3 jam
selepas itu. Begitulah perjalanan PhD saya, anak saya hanya minum susu
menggunakan tiub selama 3 tahun. Sepanjang tempoh itu, ketika saya keluar
mengutip data kualitatif, saya perlu membawa suami dan anak bersama. Persiapan
untuk kajian saya dan penjagaan anak perlu seimbang. Oleh itu, semasa keluar
mengutip data saya perlu memastikan membawa segala peralatan seperti
‘ryles-tube, syiringe 10ml, syiringe 50ml, selotep khas (untuk lekatkan tiub di
muka), stetoskop, botol susu, susu, air dan ubat-ubatan dibawa bersama.
Bukan sahaja sebagai pelajar PhD, saya juga seorang
‘bread-winner’ pada ketika itu kerana suami terpaksa memilih untuk bersara
pilihan (suami membuat keputusan sedemikian memandangkan tempat beliau bertugas
hanya di Langkawi, sedangkan anak saya perlu berada di sekitar Hospital Serdang
sebagai usaha memberi bantuan kecemasan untuknya pada bila-bila masa atas
keperluannya, maka kami mengambil keputusan berpindah dari sana), tambahan pula
demi menjaga keperluan khas anak kami ketika itu yang mempunyai 7 tempat temu
janji rawatan perubatan dan kesihatannya dan jadualnya agak padat. Saya masih
ingat lagi, ketika berada di semester 2, saya menghadapi masalah kewangan, duit
gaji dan biasiswa yang diperoleh tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan
saya sekeluarga. Tambahan pula, anak saya ketika itu perlu minum susu khas yang
harganya agak mahal. Pada ketika itu, saya mempunyai dua orang anak lagi yang
masih belajar, manakala anak sulung sudah disunting orang ketika saya memulakan
pengajian PhD (mungkin Allah ingin meringankan satu bebanan saya). Pada ketika
keadaan kewangan yang mendesak, saya membuat pelbagai pekerjaan bersama suami.
Pekerjaan yang paling mudah tanpa mengeluarkan modal adalah berniaga secara
online, tetapi tidak dapat bertahan lama kerana saya tidak mampu memberikan
komitmen dalam perniagaan sebegitu kerana terpaksa memperuntukkan banyak masa
terhadap PhD. Akhirnya, saya mendapat idea berniaga nasi lemak. Saya bangun
seawal jam 3 pagi menyiapkan nasi lemak, sementara sambal dan lauknya
disediakan oleh suami. Kami membungkus nasi lemak bersama-sama. Selepas subuh,
suami menghantar nasi lemak mengikut tempahan yang diterima. Saya di rumah,
mengemas dan membersihkan dapur lantas mandi dan bersiap untuk ke library bagi
menyiapkan proposal. Saya hanya pulang ke rumah lewat petang, kebiasaannya
ketika azan maghrib berkumandang saya akan tiba di rumah bagi mengambil alih
tugas menjaga anak daripada suami. Ada juga harinya yang saya pulang awal
kerana panggilan kecemasan daripada suami (tiub minum susu anak tercabut)!
Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang memandang saya dengan penuh rahmat-Nya,
dengan tidur dan rehat yang tidak menentu, saya lulus pembentangan proposal
semasa di semester ke-2.
Sebaik sahaja lulus proposal, saya memberi perhatian sepenuhnya
kepada kerja-kerja kajian. Tugas menyediakan nasi lemak untuk jualan diambil
alih sepenuhnya oleh suami sehingga ke hari ini dengan menjenamakan nasi lemak
tersebut dengan nama Nasi Lemak Syarha sempena nama anak syurga kami.
Semasa menghadiri follow-up di hospital, doktor selalu
mengingatkan saya bahawa anak saya perlu menjalani satu lagi siri pembedahan.
Justeru, saya sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa menghargai setiap detik
waktu yang diberikan. Masa amat bernilai bagi saya. Jika anak saya dalam
keadaan sihat dan kesihatannya tidak membimbangkan, saya akan menghabiskan masa
selama 10 hingga 15 jam sehari di library. Dataran Tun Sri Lanang menjadi
saksi, ada kala saya menghabiskan masa sehingga 18 jam di sana, pernah juga
saya tidak pulang ke rumah, meneruskan tugas sebagai pelajar sehingga ke
dinihari (selepas mendapat restu suami) kerana meraikan ‘idea’ dan ‘semangat’
menulis yang hadir pada ketika itu.
Kemuncak kepada ujian ini, sehari sebelum viva, saya mendapat
khabar yang meluluhkan jiwa. Abah saya yang mengalami demam sejak hampir 2
minggu dimasukkan ke ICU dengan bantuan pernafasan. Sebaik sahaja selesai
sidang viva (keputusan lulus dengan pembetulan kecil 3 bulan) saya pulang ke
kampung menjaga abah di hospital. Keadaan kesihatan abah semakin merosot dan
memandangkan keadaan abah yang sangat lemah, saya tidak sampai hati untuk
menceritakan kepada abah yang saya sudah lulus PhD. Bagi saya, tiada
kepentingan lagi untuk abah mengetahui keadaan saya, cukuplah sekadar bisikan
sayu di dalam hati saya… “Bah, anak abah dah lulus PhD”, biarpun abah tak
dengar, namun tatapan sayu mata abah mungkin memahami suara hati anaknya ini.
Keutamaan saya pada ketika itu hanyalah sumbangan bakti terakhir saya buat
abah. Genap sebulan abah di hospital, abah pergi mengadap Ilahi. Saya mengambil
masa hampir dua minggu juga untuk pulihkan semangat dan jiwa yang kekosongan
selepas pemergian abah.
Tempoh yang diberikan untuk saya menyiapkan tesis berbaki satu
bulan lebih sahaja lagi. Saya pulang semula ke rumah dan perlu menyegerakan
pembetulan tesis. Dalam tempoh itu juga, saya dihubungi oleh IJN memaklumkan
tarikh pembedahan anak saya pada minggu hadapan. Ya Allah! Segala-galanya perlu
berjalan dengan pantas…saya cuma ada seminggu untuk menyiapkan
segala-galanya…Iya! dalam tempoh hanya seminggu! Setelah anak saya menjalani
pembedahan, saya tiada masa lagi untuk memikirkan tentang tesis. Itulah
kemuncak huru-hara dalam hidup saya sepanjang bergelar pelajar PhD.
Saya perlu menyiapkan pembetulan tesis, dan dalam masa yang sama
persiapan perlu dilakukan untuk anak masuk operations. Alhamdulillah, akhirnya
pembetulan tersebut berjaya dilakukan dan tesis dihantar untuk binding hard
cover. Selama tempoh tersebut saya bekerja tanpa henti, tanpa rehat, tanpa
tidur yang cukup, tanpa mengenal penat dan lelah.
Saya menghantar tesis berjilid keras sehari sebelum anak saya dijadualkan masuk
wad untuk operations.
Sebaik sahaja menyerahkan tesis di pejabat fakulti, saya
menerima panggilan daripada IJN yang memaklumkan bahawa operations tersebut
terpaksa ditunda memandangkan saiz ‘device’ yang akan dipasangkan di jantung
anak saya lebih besar daripada jantungnya. Terus terasa letihnya saya berkejar
masa!
Namun, Allah al-Bari pengatur segala-galanya. Hikmahnya, saya
beroleh GOT (sebenarnya pada awal pengajian saya tidak pernah memahami maksud
GOT dan kriteria mendapatkannya, saya hanya concern untuk menyiapkan kajian
demi menggalas amanah HLP).
Setiap orang mempunyai ujian dan medan tempur yang tersendiri.
Saya percaya sahabat-sahabat di luar sana juga tidak kurang hebatnya dalam
perjuangan menyiapkan PhD masing-masing. Catatan ini bukanlah bertujuan untuk
menunjukkan kehebatan diri, jauh sekali merasa megah mahupun bangga diri.
Lakaran sebahagian perjalanan pengajian ini mungkin memberi inspirasi kepada
sahabat yang sedang diuji dan merasa lemah dalam perjuangan. Perjalanan jihad
mencari ilmu di peringkat PhD mengajar saya tentang ilmu kesabaran dan
ketabahan. Ada kalanya kita diuji dengan perasaan sedih dan kecewa, boleh jadi
dengan rakan, penyelia, kaum keluarga dan sebagainya. Ada kalanya kita menjadi
buntu, kabur dan hilang arah tanpa sokongan daripada mereka yang signifikan
dengan kita. Ada kalanya juga kita menjadi kurang bermaya kerana masalah
kewangan. Justeru, semakin hari kita menjadi semakin matang dalam memproses
ujian yang mendatang. Ujian-ujian tersebut hadir untuk mendekatkan diri kita
kepada Sang Khaliq, membantu kita merasai nikmatnya menjadi seorang hamba.
Nikmat tersebut dapat kita rasai ketika mengadu, meminta dan mengharap
sepenuhnya kepada Dia.
Ketika saya ditanya bagaimana saya beroleh GOT sedangkan saya
menghadapi pelbagai ujian kehidupan, saya terfikir sejenak, jika persoalan
tersebut hanya memerlukan jawapan dalam sebaris ayat, mungkin inilah
jawapannya, siapalah saya tanpa pandangan rahmat dari-Nya!
Lakaran PhD
Dr Mazita Ahmad
UKM/2019
Dr Mazita Ahmad
UKM/2019
"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan