Ahad, November 20, 2016

Diperlukan Vs Dihargai



Merasa diri diperlukan dan merasa dihargai adalah satu nikmat dan tuntutan psikologi yang diperlukan oleh setiap individu. Apabila individu merasa diri mereka diperlukan dalam suatu keadaan akan dapat meningkatkan motivasi dan semangat yang terdapat dalam diri.

Keadaan rasa dihargai pula akan membuatkan individu tersebut merasa lebih berkeyakinan terhadap diri sendiri.

Perasaan merasa tidak diperlukan adalah lahir daripada perasaan hati yang tersinggung, kecewa dan sedih dengan sikap seseorang terutamanya daripada individu yang signifikan dalam hidup mereka. Individu tersebut boleh jadi terdiri daripada keluarga terdekat seperti ibubapa, adik beradik, pasangan hidup, anak-anak serta individu lain yang tersenarai dalam kategori ‘eksklusif’ di hati mereka.

Jom periksa perasaan anda! Anda berada dalam quadran yang mana?

Quadran I – Anda diperlukan & Anda Dihargai
Anda sangat bertuah. Anda disayangi dan dihormati oleh orang sekeliling. Orang lain sering meminta bantuan daripada anda kerana personaliti anda yang mudah menolong orang lain ketika diperlukan. Orang amat menghargai atas setiap sumbangan anda, baik dari aspek idea, nasihat, tenaga dan juga kasih sayang. Pendek kata, apa sahaja yang anda lakukan mendapat pengukuhan psikologi menjadikan anda lebih berkeyakinan.

Quadran II – Anda tidak diperlukan, tapi anda dihargai
Anda mungkin dari golongan orang yang disegani. Anda tidak diperlukan di sini bukan bermakna anda tidak berguna tetapi orang merasa segan untuk meminta bantuan atau nasihat daripada anda. Mungkin kerana kedudukan tinggi anda membuatkan orang ‘segan’ dengan anda.

Quadran III – Anda diperlukan tetapi anda merasa diri tidak dihargai
Anda sangat suka menolong orang. Biasanya anda jenis yang mudah memberi pertolongan apabila diperlukan. Oleh sebab anda mudah memberi pertolongan nama dan wajah anda antara yang pertama terlintas dalam gambaran minda orang yang memerlukan pertolongan. Pendek kata, apabila orang menghadapi masalah mereka akan mencari anda. Namun, nasib anda kurang baik (mungkin Tuhan nak menguji keikhlasan anda), mereka hanya mencari anda ketika mereka kesusahan. Nama anda tiada dalam senarai orang yang dicari ketika mereka gembira.
Orang dalam quadran ini paling ramai berjumpa kaunselor untuk mencari katharsis atas kesedihan dan kekecewaan yang dialami.

Quadran IV – Anda tidak diperlukan dan tidak dihargai
Anda perlu perbaiki sikap dan tingkah laku anda. Bermuhasabah diri adalah jalan terbaik buat anda. Bertemu kaunselor mungkin memberi banyak manfaat buat anda!

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan