Ahad, November 20, 2016

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam



Saya masih ingat menonton TV sewaktu usia masih budak-budak. Masa itu zaman TV hitam putih.

Tajuk ceritanya saya ingat-ingat lupa, mungkin Cucu Datok Merah tapi paling ingat adalah heronya, Nordin Ahmad (heronya ajer yang ingat dengan jelas hehe). Dalam cerita itu Nordin Ahmad memegang watak suami yang sombong, bongkak dan megah dengan keturunannya.

Antara skrip yang saya masih ingat adalah kata-kata ibu (bakal ibu mertua Nordin Ahmad) sebelum anak perempuannya berkahwin dengan Nordin Ahmad.

“Perkahwinan ini ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam”


Waktu itu saya masih tidak memahami konsep kedua-duanya. Mana satu yang lebih baik, menjadi sabut atau menjadi batu.

Saya amat jahil dalam menilai peribahasa itu tetapi kata-kata itu sering berlegar-legar dalam fikiran setiap kali saya memikirkan tentang perkahwinan.

Nasihat ibu kepada anaknya menggunakan peribahasa untung sabut timbul, untung batu tenggelam membawa maksud jika beruntung dan bernasib baik, perkahwinan akan mendapat kebahagiaan, jika tidak bernasib baik perkahwinan menjadi satu titik derita dalam kehidupan wanita.

Saya terus mencari makna - menjadi sabut. Apa untungnya menjadi sabut, jika timbul sekalipun sabut menghadapi risiko terus dihanyutkan dek arus deras!

Menjadi batu pula, dicampak ke dalam air terus ia tenggelam, lama kelamaan terus terbenam diselaputi dek lumpur dan danor kolam.

Apakah perkahwinan itu berkaitan dengan nasib semata-mata? Menjadi sabut atau batu ibarat berserah kepada takdir semata-mata. Sedangkan Rasululullah SAW pernah berpesan Qada’ boleh tertolak dengan doa!

Pesan guru saya, menjadi sabut pun beruntung jika taat dan bertaqwa pada Allah,menjadi batu juga beruntung andainya taat pada Allah. Allah always come first! Makanya, pilihan berada di tangan masing-masing kerana kita bahagia bukan kerana pasangan hidup, kerjaya, wang ringgit BAHKAN bahagia bermula dengan diri kita sendiri dan Allah.

Hidup ini adalah pilihan!

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan