Khamis, November 12, 2015
Hanya Menulis tentang rasa...
Kita akan sentiasa letih dan kecewa andai dalam hidup ini kita sering mengharapkan pengiktirafan dan penghargaan manusia.
...Kini telah hampir 3 bulan saya cuti belajar, kenangan zaman perkhidmatan dulu membuatkan saya tersenyum sendiri...
Suatu ketika dulu saya juga seperti manusia biasa yang lain, yang mendambakan ucapan 'terima kasih', menginginkan penghargaan untuk lebih bermotivasi...namun keinginan-keinginan serta keperluan-keperluan psikologi saya itu tidak diizinkan Allah.
Ketika itu saya sering bersedih, saya merasa kecewa setelah apa sahaja usaha yang saya lakukan dipandang sepi oleh orang lain. Selepas satu usaha demi satu usaha saya lakukan namun balasan yang saya terima amat mendukacitakan. Bukan balasan terima kasih atau penghargaan yang diterima, malah dicemuh, difitnah, dipulaukan, disindir, diperlekehkan dan terdengar jua suara mentertawakan sehinggalah pada ketika itu saya merasakan diri ini tidak berharga langsung... Ibarat seperti melukut di tepi gantang, ada dan tiada sama sahaja...ada pun tidak mencukupkan tiada juga langsung tidak mengurangkan! Saya hampir berputus asa akibat tekanan yang diterima...
Lantas, saya bangun daripada kekecewaan itu! Saya betulkan niat...segalanya bukan untuk makhluk tetapi segalanya untuk Allah Azzawajalla.
Takpe lah...andai perkhidmatan saya tidak diterima di tempat sendiri, saya berfikir saya perlu keluar memberikan perkhidmatan saya untuk orang luar. Akhirnya, dengan tekad yang nekad dan azam yang jitu, saya menjalankan program secara solo...bersendirian di hujung minggu. Saya korbankan masa di setiap cuti hujung minggu. Saya membawa LCD dan laptop sendiri, memasangnya sendiri dan menyampaikan ceramah serta menjalankan aktiviti juga secara sendiri...Sasaran program saya kepada golongan wanita. Habis program...saya bungkus barang dan balik!
Alhamdulillah, peserta program semakin bertambah dari minggu ke minggu. Saya amat bersyukur kerana dapat berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan komuniti. Sepanjang program yang dijalankan itu ramai juga yang berkunjung ke pejabat untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Secara perlahan-lahan...kecewa saya telah terubat! Biarlah...perkhidmatan kaunseling ini jika tidak diterima oleh pihak dalaman, biarlah orang luar yang menilai dan mengiktirafnya. Lama kelamaan barulah saya memahami kenapa pihak dalaman menolak perkhidmatan saya...mereka rasa ego, tercabar dan merasa persaingan dalam perkhidmatan ini. Ada juga pihak yang memperlekehkan dengan mengatakan ..'eleh...setakat kaunseling tu kami dah buat lama dah...'...'dok kaunseling apa lama-lama...' Saya belajar sampai peringkat Sarjana...tetapi setiap kali nak buat sesi kaunseling kena merujuk kepada kitab-kitab guru yang ada...huhu
Subhanallah! Rupa-rupanya Allah lebih menilai kerja saya! Setahun selepas itu, saya dijemput oleh Allah menjadi TetamuNya...bersama dengan Hajah Noorazura, orang yang sering mendorong dan memberi semangat buat saya. Saya dapat mengerjakan ibadah haji di samping bertugas sebagai Petugas Kaunseling Haji. Inilah saat-saat yang saya nantikan dan idam-idamkan ketika berkhidmat sebagai kaunselor di JKM. Anugerah TERINDAH buat saya!
Inilah hikmah di sebalik ujian - apabila diuji kita bersabar dan redha serta berbalik semula kepada Allah...nescaya Allah tidak tinggalkan kita sendirian. Selama menjalankan program sendirian tanpa sokongan moral, sosial mahupun kewangan dari mana-mana pihak tetapi ganjaran yang Allah berikan lebih besar daripada itu.
Nah! Catatan ini bukan untuk menonjolkan diri jauh sekali berniat riak, tetapi sekadar secebis coretan rasa sebagai kenangan zaman tertindas dulu...jua sebagai perangsang untuk adik-adik 'pejuang' dalam perkhidmatan kaunseling agar terus cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran. Lingkungan kerja kita berlandaskan pahala kebajikan lantaran itu jalannya penuh sukar dan berliku! Namun kalian perlu terus cekal ibarat karang di pantai, tidak sedikitpun berderai sekalipun sering dipukul badai! Kalian jua punya kisah yang tersendiri...saya pasti!
Berjuanglah...usah behenti! Juga...usah mengharapkan pengiktirafan manusia kerana penghargaan dan penilaian Allah lebih bererti dari segalanya. Jika Allah tak membalasnya di dunia ini jangan pula bersedih dan berkeluh kesah...nantikan balasan dan ganjaran nan indah dan abadi di akhirat sana...
"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim
Labels:
Doa isteri,
kasih sayang,
kaunseling,
kaunselor,
kental hati,
Perjalanan PhD,
PhD,
suka duka hidup
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan