Isnin, November 02, 2015

Sekadar insan biasa

Saya sering membawa kisah-kisah klien dalam perkongsian blog ini sebagai renungan dan iktibar buat kita semua. Saya nukilkan ia di dalam blog ini agar ianya terus tersimpan di sini, agar saya juga sesekali menjengah ke sini dapat mengimbau kembali kisah-kisah yang menjadi sejarah dalam hidup.
 
Selepas saya dianugerahkan seorang anak syurga Sayyidah Nur Syarha, kisah dalam blog ini banyak pula menceritakan tentang keperitan anak bertuah saya ini melalui kehidupannya. sebenarnya banyak yang hendak saya ceritakan namun, masa amat terbatas dengan tuntutan tugasan harian serta penjagaannya membuatkan saya menyimpan sahaja segala kisah-kisah tersebut di dalam lipatan diari kehidupan saya. Kini, Nur Syarha sudah berusia lebih 18 bulan dengan beratnya mencecah 7.2 kg, Alhamdulillah hiduplah dia kini dengan seadanya, yang mana tiub makanan (ryle tube) masih dihidung kerana masih tidak dapat menelan dengan baik. Saya kini menanti tarikh temujanji untuk pemeriksaan Nur Syarha selanjutnya untuk menjalani pemeriksaan dan penilaian ORL/ENT. Pemeriksaan itu untuk memastikan punca Nur Syarha tidak boleh menelan dengan baik, adakah disebabkan mengalami vocal cord palsy (kelumpuhan kotak suara) akibat terlalu lama menggunakan alat bantuan pernafasan atau mengalami masalah yang lain. Demikianlah satu demi satu ujian yang mewarnai kehidupan anak bertuah saya itu.
 
Kini, saya mempunyai lebih masa untuk bersama Nur Syarha selepas menerima Hadiah Latihan Persekutuan (hadiah belajar). Saya kini sedang cuti belajar sepenuh masa. Alhamdulillah, Allah kurniakan hadiah ini bersama dengan Nur Syarha. Nur Syarha dan pengajian saya ini sangat signifikan. Mengapa tidak? Semasa beliau berada dalam dua bulan di alam rahim, saya mendapat hadiah ini, namun kelahirannya lengkap dengan 'pakej' ujian. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian ini...


Alhamdulillah, selesai Nur Syarha menjalani dua pembedahan besar kini Allah masih menyimpan rezeki ini buat saya. Kadang kala tertanya-tanya juga saya pada diri sendiri, bagaimana saya boleh belajar sehingga ke peringkat PhD. Dahulu saya melihat pengajian PhD ini terlalu besar buat saya.
 
Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa saya merupakan 'mahasitua' ketika mula menyambung pengajian ijazah sarjana muda keh keh... Apa tidaknya 'mahasitua'? Memang saya dah berusia ketika mengambil ijazah sarjana muda iaitu pada usia 31 tahun. Dalam kelas saya adalah antara pelajar yang berusia (ada lagi pelajar yang berusia daripada saya sebenarnya).
 
Sejarah dan keunikan cerita kita mungkin berbeza, bagi sesetengah orang menjalani kehidupan yang normal. Maknanya selepas habis SPM, naik ke Tingkatan 6 mengambil SPTM dan terus ke univerisiti mengambil ijazah. Jalan cerita saya agak berbeza, selepas SPM, saya menyambung pelajaran di Tingkatan 6 tapi separuh jalan terpaksa berhenti untuk bekerja. Saya berkahwin di usia yang agak muda iaitu tika berusia 22 tahun. Ketika berusia 27 tahun dengan mempunyai dua orang cahaya mata ketika itu saya baru mula meneruskan pengajian Diploma di ITM (nama UITM dahulu) secara sambilan. Tetapi malang bagi saya sekali lagi, anak kecil saya asyik sakit, demam-demam dan sebagainya membuatkan saya meninggalkan pengajian saya begitu sahaja.
 
Pada tahun 2002 ketika anak kedua saya berusia 5 tahun, saya menerima tawaran melanjutkan pelajar di salah sebuah IPTA. Saya menamatkan pengajian Bachelor pada tahun 2006 dengan dikurniakan seorang lagi anak yang lahir 4 hari sebelum hari konvokesyen. Hrmm...memang sedih ketika itu kerana tidak dapat menaiki pentas menerima ijazah. Dalam hati, saya bertekad untuk mengambil Master supaya dapat naik ke pentas menerima ijazah. Pada tahun 2008 saya meneruskan pengajian di peringkat Master secara sambilan dan dapat menyiapkan Master saya dalam tempoh 2 tahun dan diijazahkan pada tahun 2011. PhD ini bukan pernah menjadi impian saya, kerana bagi saya untuk orang seperti saya ingin menggapai PhD seolah-olah sesuatu yang hanya tinggal dalam angan-angan dan impian sahaja. Namun, kuasa Allah menentukan segalanya... Saya dikurniakan rezeki ini...
 
Berjumpa lagi untuk episod seterusnya....

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan