Sabtu, Disember 31, 2011

RENUNGAN BUAT DIRIKU YANG SERING LUPA

Renungan buat diriku..
Usahlah kau menagih belas kasihan dari manusia,
kerana belas kasihannya sekejap sekejap saja.

Bila kau sebatang kara dan menangis,
mungkin manusia akan mendengar keluhanmu,
tapi sekejap sekejap saja.

Mereka akan bosan pada satu ketika,
kerana itulah tabiat manusia.

Lebih parah bila kau di uji muka-muka
yang gelumang nifaq dan cinta dunia
Kecuali mereka yang telah dikurniakan Allah
rahmat pada jiwa-jiwanya

Palingkan wajahmu hanya kepada Dia
yang lebih dekat dari urat lehermu
yang lebih Menyayangi dan Mengasihanimu..
walaupun kau sering saja lupa taat,
sujud dan bersyukur di atas segala nikmat,
yang telah zahir kepadamu
dan yang tidak terlihat..
bahkan kau selalu saja derhaka dan bermaksiat.

Jika sedikit ditarik nikmat-Nya,
kau pasti terduduk, ternganga.

Tiada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa Allah.
Jangan kau zalimi diri..
jangan kau berulah,
jangan kau zalimi orang yang lemah,
kerana Yang Membalas dan Membelanya adalah Allah.
Al-Jabbar, Yang Maha Gagah
Bila sakit, ingat.
Bila suka, lupa.
Sedarlah.
Malulah.
Beradablah kepada Allah.
Sebelum berakhir perjanjian,
antara jasad dan jiwa.

’Duhai Tuhan Pemilik Arasy yang Agung,
kepada-Mu kuserah jiwa dan raga,
Apa yang telah Kau tetapkan sebagai anugerah,
akan tetap sebagai anugerah.
Tanpa-Mu aku kan hilang segala-galanya.
Pandangan Kasih dan Rahmat-Mu,
yang kurayu dan kudamba,
sehingga ke penghujung nyawa.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper

Khamis, Disember 29, 2011

Senja Yang Bertandang



Senja Yang Bertandang


Suatu senja yang bertandang
Rona jingga di langit hati
Menggamit hati kembali pulang
Melabuh resah menuai tenang

Allahuakbar Allahuakbar
Gemersik laungan seru
Memuja Dia yang Satu
Hati sang perindu segera berseru
Membawa dahi mencecah sujud

Wahai Kekasihku yang Satu
Tiada cinta yang paling Agung
Dalam pasrah aku menyerah
Memohon dalam sendu nan pilu
Mengharap dan menadah tangan
Memohon restu dan redhaMu

Suatu senja yang bertandang
Mengheret jiwaku kembali pulang
Dalam seruan zikir
Hati bertaut riang
Melepaskan rindu nan syahdu
Atas sejadah aku berteleku
Khusyuk...
Tenang...dalam pengabdian


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Selasa, Disember 27, 2011

PTSD

PTSD

Apakah itu posttraumatic stress disorder (PTSD)?
Posttraumatic stress disorder (PTSD) adalah kecelaruan emosi berpanjangan yang berlaku selepas seseorang berhadapan dengan sesuatu tragedi di dalam kehidupan mereka. Trauma ini sangat menakutkan, mengancam nyawa dan merbahaya kepada individu atau keluarga individu tersebut.
Contoh trauma tersebut adalah seperti menjadi menjadi mangsa kemalangan, mangsa rogol, mangsa bencana alam seperti tsunami,

Apakah tanda-tanda yang membolehkan seseorang didiagnos sebagai mengidap PTSD?
Pakar psikiatri menggunakan DSM IV atau ICD 10 sebagai panduan untuk mendiagnos seseorang dengan PTSD. Di antara kriteria PTSD adalah:

1) Pendedahan (Exposure) terhadap trauma. Pendedahan ini melibatkan individu tersebut berhadapan secara langsung atau tidak langsung (seperti menyaksikannya sahaja) trauma tersebut,
2) Merasai kembali ( Re-experience) trauma. Individu tersebut merasai kembali seolah-olah trauma tersebut berlaku kembali terhadap dirinya. Ini termasuk mempunyai mimpi ngeri trauma, atau flashback tentang trauma sentiasa menyelubunginya
3) Mudah terkejut dan resah ( Hyperarousal). Individu menjadi mudah terkejut dengan sebarang perkara yang barkaitan dengan trauma, tersentuh dan resah gelisah, mula menjauhkan diri dari orang lain, cepat marah, susah tidur dan boleh mendapat anxiety dan kemurungan
4) Mengelak perkara berkaitan trauma ( Avoidance). Individu tersebut sedaya upaya tidak mahu mengingati apa-apa perkara yang berkaitan dengan trauma. Contohnya, jika PTSD berlaku selepas kemalangan jalan raya, individu itu cuba mengelak menaiki kenderaan, tidak melalui kawasan kemalangan dll.
5) Tanda-tanda di atas telah berlaku selama lebih sebulan selepas terdedah kepada trauma. Ia menyebabkan fungsi individu seperti pekerjaan, tugas seharian, hubungan dengan keluarga dan orang lain terjejas. Ia disahkan tiada kaitan dengan penyakit fizikal, pengambilan dadah atau ubat.

Berapa kerapkah PTSD?
Lebih kurang 7%-8% daripada individu mengidap PTSD. Peratusan meningkat kepada sehingga 10%-30% di kalangan mangsa rogol .

Apa berlaku jika PTSD tidak dirawat?
50% pesakit PTSD boleh mendapat kemurungan dan ini boleh mendedahkan mereka kepada perasaan ingin bunuh diri.
50% pesakit PTSD terlibat dengan ketagihan alcohol atau dadah seperti ubat tidur untuk menghilangkan kerisauan dan mengatasi masalah tidur mereka.

Bagaimana PTSD dirawat?
Rawatan Kecelaruan PTSD adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual. Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.Pesakit yang mengalami kecelaruan PTSD jarang sekali perlu dimasukkan ke hospital .

Ubat-ubatan
Ubat antianxiety seperti lorazepam (ativan) , alprazolam ( xanax) perlu untuk menangani keresahan dan serangan panik tetapi diberi untuk tempoh yang singkat . Pesakit harus sedar ubat ini boleh menyebabkan ketagihan.
Ubat antidepressant perlu diberi dan perlu dalam jangkamasa lama . Ia bolah bertindak sebagai antianxiety dan ia tidak menyebabkan ketagihan. Jika kecelaruan PTSD terlalu teruk sehingga pesakit mengalami episod kemurungan ia perlu juga diberi.

Rawatan Psikososial
Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation) Menyelesaikan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan

Psikoterapi
Behavioral therapy seperti teknik relaksasi, teknik pernafasan perlu dipraktikkan selalu.

Cognitive Behavioural Therapy (CBT) telah terbukti terbaik dan efektif untuk pesakit kecelaruan PTSD
Exposure Therapy: Mendedahkan semula pesakit kepada trauma secara imaginasi secara sistematik dan berterusan agar mereka mengetahui bahawa imaginasi tersebut hanyalah dalam kotak fikiran mereka dan tidak langsung merbahaya. Ini boleh membantu mereka lali dengan trauma yang telah dialami
Stress management: Menguruskan stress dengan baik
EMDR: Eye movement desensitization reprocessing. Pesakit menceritakan trauma yang telah berlaku dengan mata memberi tumpuan kepada pergerakan jari terapis


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Isnin, Disember 26, 2011

Harga Remaja

Berapakah sebenarnya harga remaja
Yang bersih dari gelora kecewa
Berapakah sebenarnya harga remaja
Bagai kehijauan pohon di perjalanan
Dengan apakah akan kau penuhi
Piala remajamu adakah cuka
Kesangsian dari cinta murah atau madu
Ajaran dari ilmu susah Remaja amat mahal sesungguhnya
Tiada terbeli oleh perjanjian
Remaja amat mahal sesungguhnya
Harga remaja pendirian keberanian
Remaja amat mahal sesungguhnya
Tiada terbeli oleh perjanjian
Remaja amat mahal sesungguhnya
Harga remaja pendirian keberanian
Harga remaja pendirian keberanian...

Sekali terlanjur bukan selamanya berdosa, kembalilah ke pangkal jalan. Allah Maha Pengampun lagi Penyayang. Sekiranya remaja perlukan bantuan sila hubungi saya untuk dibantu di mazrie71@yahoo.com atau mazita494@gmail.com. Ayuh! Lakukan sesuatu untuk diri sendiri, ibubapa, agama dan masyarakat.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Bagaimana Ingin Memanfaatkan Diri Sendiri?

Semasa sedang membuat kopi untuk minum petang saya terdengar beberapa orang sahabat sedang berbual, lantas saya mencelah dengan harapan dapat memberi semangat dan inspirasi baru kepada sahabat-sahabat yang sedang dalam kekalutan menyiapkan tuntutan kerja seharian.

Kata saya "apabila kita merasakan diri sentiasa diperlukan, yakinlah bahawa diri kita sedang menjadi manusia yang sebenar kerana manusia yang sebenar adalah manusia yang dapat memanfaatkan dirinya untuk kebaikan orang lain". Sekali terdengar agak tinggi falsafahnya tetapi inilah realiti kehidupan kita sebagai manusia. Sayangnya, bila kita sentiasa diperlukan, di sana sedang memanggil, di sini pula telefon tangan berdering, belum sempat menghabiskan ayat di talian telefon, telefon di pejabat pula berdering...emm, dengar seolah-olah begitu sibuk. Inilah kepentingan kita sebagai manusia. Tetapi berapa ramai orang yang sering berkeluh kesah kerana sibuk, letih melayan kerenah manusia, malas nak layan dan sebagainya.



Hari ini kita sudahpun memasuki 1hb Safar 1433 Hijri. Ini bermakna kita telahpun sebulan memasuki Tahun Hijri 1433. Sebulan Bulan Muharram yang lalu kita diinspirasikan dengan pelbagai azam dan niat baru. Lima hari lagi tahun 2012 pula akan melamar kita. Sudah tentu yang belum berazam atau yang ingin memperbaharui azam akan memulakan semangat baru. Bagaimana dengan azam kita tahun 2011, sudahkah tercapai atau entah ke mana hilangnya.

Bagi diri saya sendiri, setiap pagi saya bangun dari tidur pasti ada azam baru yang terpahat di hati. Samada tercapai atau tidak azam tersebut bergantung bagaimana saya memulakan hari dan bagaimana pula saya mengatur pilihan-pilihan dan keputusan-keputusan untuk hari tersebut.

Dalam hati azam sentiasa dipupuk agar saya tidak tersasar. Sebagai manusia biasa saya juga punya kekurangan dan kelemahan, saya juga perlukan kekuatan hati untuk melaksanakan azam dan semangat baru. Untuk tahun ini saya merasakan biarlah azam saya lebih kepada mentarbiah hati; saya ingin men'delete'kan semua perbuatan orang yang menyakitkan hati dan diri saya. Tahun 2011 ini, jika dilakarkan kisahnya banyak juga kisah pahit yang berlaku, namun saya ingin 'delete' semua buruk sangka manusia, fitnah, sindiran, kata-kata nista dan sebagainya. Jalan termudah bagi ketenangan hati adalah memaaf dan melupakan perbuatan tidak baik orang terhadap kita. Saya akan banyak mengenangkan kebaikan manusia terhadap saya.

Sabda Rasulullah SAW “Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga tetapi jauh dari neraka. Manakala orang yang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka. Orang jahil yang dermawan lebih dicintai oleh Allah daripada orang alim yang kikir. Ingatlah bahawa penyakit yang paling parah sekali ialah kikir”.

Saya mentafsirkan kikir yang dimaksudkan oleh Rasul SAW adalah luas pengertiannya. Orang yang berilmu tidak perlu kikir (kedekut) ilmu. Orang yang dikurniakan kelebihan dari segi ekonomi wang ringgit yang banyak tidak perlu kikir wang ringgit, orang yang seperti saya seorang 'helper' tidak perlu kikir dalam memberi nasihat, bimbingan, tarbiah dan sebagainya. Sudah tentu untuk melaksanakan segala tugas dan tanggung jawab yang dipikul saya perlu sabar dan tabah menghadapi kerenah manusia. Jalan untuk berdakwah sebenarnya sungguh berliku, alangkah kecilnya rintangan yang saya hadapi berbanding Rasulullah dan para sahabat yang terdahulu.

Justeru, muhasabah diri sendiri...tarbiah hati agar lebih tabah dan bermanfaat untuk manusia lain. Barakallahufikum.

Wallahua'lam.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Nikmat Kebahagiaan Di Dunia

Pagi ini semasa saya mengemas laci di pejabat terpandang suatu catatan puisi yang saya lakarkan buat suami tercinta lapan tahun yang lalu. Semasa lakaran itu dibuat saya sedang menuntut ilmu agak berjauhan dari suami, lantas suka saya abadikan coretan ini agar ia terus kekal bersemadi di maya ini.



KAU YANG SATU

Suamiku,
Menyingkap tabir rasa di kejauhan
Hati ini bertanya sendirian
Mana mungkin aku membalas keseluruhan
Setiap jasamu jika aku perincikan
Harapanmu untuk aku meraih kejayaan
Masih nun jauh dalam ingatan
Namun kata-katamu kusemat diingatan
Agar tak lupa di hari kemudian
Ketahuilah Suamiku,
Dalam mengejar ilmu di perantauan
Tidak kulupa diri dan kedudukan
Berkat didikan yang kau berikan
Maruah dan kehormatan paling kuutamakan
Biar di mana sekalipun aku dicampakkan
...Suamiku sayang...
Terima kasih atas segala kasih sayangmu
Tanpamu tidak berertilah kehidupanku
Kerana jasad dan hatiku cuma satu...
Hanya padamu!

Isterimu,
10 Mac 2003

Hari ini tanggal 26 Disember 2011 adalah hari ulangtahun perkahwinan saya yang ke-18. Jika diperhitungkan sudah jauh perjalanan bahtera perkahwinan yang saya dan suami layari. Ini bermakna telah 216 bulan atau 864 minggu atau 6,570 hari telah kami lalui bersama. Pelbagai suka duka telah kami tempuhi bersama, namun saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi kerana memberi kenikmatan dunia yang tiada taranya. Bagi seorang wanita, jika beliau telah mendapat seluruh kasih sayang suaminya bermakna beliau telah memperoleh seluruh nikmat isi dunia...Alhamdulillah.

Jika dianalogikan dengan seorang bayi yang dilahirkan pada 26 Disember 1993 yang lalu, hari ini bayi tersebut telah berusia 18 tahun yang akan hampir menamatkan zaman remajanya beberapa tahun lagi dan sedang belajar menjadi dewasa. Dalam hubungan yang masih di tahap remaja rupanya banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki. Namun, setidak-tidaknya zaman remaja semasa berusia 15 tahun hingga 17 tahun telah banyak mencatatkan kisah duka lebih dari suka banyak mengajar saya dan suami erti kasih sayang yang sebenar.

Perkahwinan ini sebenarnya bukanlah hanya sebuah akad nikah yang dimeterai dengan sebuah perjanjian. Tersimpan seribu makna di sebalik erti pada sebuah perkahwinan. Perkahwinan merupakan suatu pakej untuk ke syurga, namun ramai kalangan kita yang terlupa dan tersasar sebenarnya. Dalam perkahwinan, banyak perkara yang kita belajar. Kita belajar erti pengorbanan, kita belajar tentang apa ertinya menjadi setia, kita kenal apa itu kesusahan, kesedihan, kerisauan, kecemburuan, kegelisahan dan pelbagai ragam yang berlaku dalam rencah kehidupan berumahtangga. Setiap kali kita belajar, kita memahami tentang sesuatu 'konsep' dalam perkahwinan maka mudahlah untuk kita memperbaiki diri dalam mengenali dan memahami pasangan.

Perkahwinan bertunjangkan keimanan kepada Allah adalah kecintaan yang hakiki. Perkahwinan yang dirahmati merupakan perkahwinan yang diredhai Allah. Maka, pasaklah keimanan dan ketaqwaan dalam melayari perkahwinan agar beroleh mawaddah, rahmah dan sakinah.

Wallahu'alam.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Jumaat, Disember 23, 2011

"EMPTY-NEST"

Bulan lepas saya pulang menziarahi keluarga mertua. Semakin hari semakin kelihatan keuzuran fizikal kedua ibubapa mertua saya. Sayu juga hati bila mengenangkan jarak lokasi yang agak jauh menyukarkan kekerapan menziarahi mereka. Keadaan mereka semakin hari semakin lemah, uzur dan tidak bertenaga.

Lantas saya melihat ke dalam diri dan menyoal diri sendiri...bagaimana agaknya diri saya ketika berusia nanti (jika Allah panjangkan usia hingga saat itu)? Owh...inilah yang dikatakan sindrom 'Empty-Nest'...

Tiga puluh atau empat puluh tahun yang lalu...'sarang' itu dihuni oleh anak-anak yang ramai. Tiba masanya seorang anak demi seorang keluar meninggalkan rumah setelah mendirikan rumah tangga. Rumah yang besar yang dihuni oleh keluarga yang besar kini menjadi rumah yang begitu sunyi dan sepi. Tinggallah seorang ibu dan ayah yang sudah tua dimamah usia menjalani sisa-sisa hidup mereka dalam suasana yang sungguh memilukan. Sarang yang dulunya penuh dengan penghuni kini menjadi kosong. Sindrom ini menyerang setiap ibubapa yang sudah tua...

Namun, sebagai anak saya terfikir, apa yang dapat dilakukan untuk mengurangkan sedikit sindrom empty-nest tersebut.
Jawapannya juga saya perolehi, namun ketidakberdayaan diri menghalang untuk sentiasa pulang ke kampung. Bagi ibubapa yang masih bertenaga tidak mengapa kerana masih mampu untuk mengisi kesepian hari-hari mereka dengan 'bersosial' di masjid dan surau, di rumah-rumah kenduri dan sebagainya. Namun, bagi yang sudah uzur dan tidak berdaya....hanya meniti hari tua dengan penuh kesunyian dan kesepian di hati. Jauh di sudut hati mengharapkan kepulangan anak-anak dan kadang-kala perlu akur dan pasrah dengan tanggung jawab dan komitmen anak-anak yang bekerja. Sindrom 'empty-nest' ini boleh membawa kepada tekanan psikologi yang boleh membawa kemurungan di kalangan warga tua.

Sarang itu akan kembali ceria dan meriah ketika musim-musim perayaan dan cuti umum yang mana anak-anak dapat berpeluang untuk pulang ke kampung halaman menziarahi ibubapa yang kesunyian. Sedih bukan? Kebahagiaan hanya bermusim, habis cuti anak-anak akan pulang semula ke tempat kerja masing-masing. Keadaan riuh rendah dengan gelak tawa anak cucu tiba-tiba hilang dari pendengaran. Kelibat anak cucu yang pelbagai kerenag dan keletah tiba-tiba ghaib dari pandangan....ibu dan bapa terus kesepian dan kesunyian...

Saya merenung ke dalam diri...saya juga bakal menempuh hari tua yang sebegitu? Doa saya agar Allah memberi kesihatan di hari tua agar saya dapat menjalani sisa-sisa hidup itu nanti lebih baik...

Wallahua'lam.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper