Pagi ini semasa saya mengemas laci di pejabat terpandang suatu catatan puisi yang saya lakarkan buat suami tercinta lapan tahun yang lalu. Semasa lakaran itu dibuat saya sedang menuntut ilmu agak berjauhan dari suami, lantas suka saya abadikan coretan ini agar ia terus kekal bersemadi di maya ini.
KAU YANG SATU
Suamiku,
Menyingkap tabir rasa di kejauhan
Hati ini bertanya sendirian
Mana mungkin aku membalas keseluruhan
Setiap jasamu jika aku perincikan
Harapanmu untuk aku meraih kejayaan
Masih nun jauh dalam ingatan
Namun kata-katamu kusemat diingatan
Agar tak lupa di hari kemudian
Ketahuilah Suamiku,
Dalam mengejar ilmu di perantauan
Tidak kulupa diri dan kedudukan
Berkat didikan yang kau berikan
Maruah dan kehormatan paling kuutamakan
Biar di mana sekalipun aku dicampakkan
...Suamiku sayang...
Terima kasih atas segala kasih sayangmu
Tanpamu tidak berertilah kehidupanku
Kerana jasad dan hatiku cuma satu...
Hanya padamu!
Isterimu,
10 Mac 2003
Hari ini tanggal 26 Disember 2011 adalah hari ulangtahun perkahwinan saya yang ke-18. Jika diperhitungkan sudah jauh perjalanan bahtera perkahwinan yang saya dan suami layari. Ini bermakna telah 216 bulan atau 864 minggu atau 6,570 hari telah kami lalui bersama. Pelbagai suka duka telah kami tempuhi bersama, namun saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi kerana memberi kenikmatan dunia yang tiada taranya. Bagi seorang wanita, jika beliau telah mendapat seluruh kasih sayang suaminya bermakna beliau telah memperoleh seluruh nikmat isi dunia...Alhamdulillah.
Jika dianalogikan dengan seorang bayi yang dilahirkan pada 26 Disember 1993 yang lalu, hari ini bayi tersebut telah berusia 18 tahun yang akan hampir menamatkan zaman remajanya beberapa tahun lagi dan sedang belajar menjadi dewasa. Dalam hubungan yang masih di tahap remaja rupanya banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki. Namun, setidak-tidaknya zaman remaja semasa berusia 15 tahun hingga 17 tahun telah banyak mencatatkan kisah duka lebih dari suka banyak mengajar saya dan suami erti kasih sayang yang sebenar.
Perkahwinan ini sebenarnya bukanlah hanya sebuah akad nikah yang dimeterai dengan sebuah perjanjian. Tersimpan seribu makna di sebalik erti pada sebuah perkahwinan. Perkahwinan merupakan suatu pakej untuk ke syurga, namun ramai kalangan kita yang terlupa dan tersasar sebenarnya. Dalam perkahwinan, banyak perkara yang kita belajar. Kita belajar erti pengorbanan, kita belajar tentang apa ertinya menjadi setia, kita kenal apa itu kesusahan, kesedihan, kerisauan, kecemburuan, kegelisahan dan pelbagai ragam yang berlaku dalam rencah kehidupan berumahtangga. Setiap kali kita belajar, kita memahami tentang sesuatu 'konsep' dalam perkahwinan maka mudahlah untuk kita memperbaiki diri dalam mengenali dan memahami pasangan.
Perkahwinan bertunjangkan keimanan kepada Allah adalah kecintaan yang hakiki. Perkahwinan yang dirahmati merupakan perkahwinan yang diredhai Allah. Maka, pasaklah keimanan dan ketaqwaan dalam melayari perkahwinan agar beroleh mawaddah, rahmah dan sakinah.
Wallahu'alam.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper
Good blog! You have described in a nice way.
BalasPadamThanks for sharing this information.
2dprops
Most welcome.
PadamMost welcome.
Padam