Isnin, Disember 26, 2011

Bagaimana Ingin Memanfaatkan Diri Sendiri?

Semasa sedang membuat kopi untuk minum petang saya terdengar beberapa orang sahabat sedang berbual, lantas saya mencelah dengan harapan dapat memberi semangat dan inspirasi baru kepada sahabat-sahabat yang sedang dalam kekalutan menyiapkan tuntutan kerja seharian.

Kata saya "apabila kita merasakan diri sentiasa diperlukan, yakinlah bahawa diri kita sedang menjadi manusia yang sebenar kerana manusia yang sebenar adalah manusia yang dapat memanfaatkan dirinya untuk kebaikan orang lain". Sekali terdengar agak tinggi falsafahnya tetapi inilah realiti kehidupan kita sebagai manusia. Sayangnya, bila kita sentiasa diperlukan, di sana sedang memanggil, di sini pula telefon tangan berdering, belum sempat menghabiskan ayat di talian telefon, telefon di pejabat pula berdering...emm, dengar seolah-olah begitu sibuk. Inilah kepentingan kita sebagai manusia. Tetapi berapa ramai orang yang sering berkeluh kesah kerana sibuk, letih melayan kerenah manusia, malas nak layan dan sebagainya.



Hari ini kita sudahpun memasuki 1hb Safar 1433 Hijri. Ini bermakna kita telahpun sebulan memasuki Tahun Hijri 1433. Sebulan Bulan Muharram yang lalu kita diinspirasikan dengan pelbagai azam dan niat baru. Lima hari lagi tahun 2012 pula akan melamar kita. Sudah tentu yang belum berazam atau yang ingin memperbaharui azam akan memulakan semangat baru. Bagaimana dengan azam kita tahun 2011, sudahkah tercapai atau entah ke mana hilangnya.

Bagi diri saya sendiri, setiap pagi saya bangun dari tidur pasti ada azam baru yang terpahat di hati. Samada tercapai atau tidak azam tersebut bergantung bagaimana saya memulakan hari dan bagaimana pula saya mengatur pilihan-pilihan dan keputusan-keputusan untuk hari tersebut.

Dalam hati azam sentiasa dipupuk agar saya tidak tersasar. Sebagai manusia biasa saya juga punya kekurangan dan kelemahan, saya juga perlukan kekuatan hati untuk melaksanakan azam dan semangat baru. Untuk tahun ini saya merasakan biarlah azam saya lebih kepada mentarbiah hati; saya ingin men'delete'kan semua perbuatan orang yang menyakitkan hati dan diri saya. Tahun 2011 ini, jika dilakarkan kisahnya banyak juga kisah pahit yang berlaku, namun saya ingin 'delete' semua buruk sangka manusia, fitnah, sindiran, kata-kata nista dan sebagainya. Jalan termudah bagi ketenangan hati adalah memaaf dan melupakan perbuatan tidak baik orang terhadap kita. Saya akan banyak mengenangkan kebaikan manusia terhadap saya.

Sabda Rasulullah SAW “Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga tetapi jauh dari neraka. Manakala orang yang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka. Orang jahil yang dermawan lebih dicintai oleh Allah daripada orang alim yang kikir. Ingatlah bahawa penyakit yang paling parah sekali ialah kikir”.

Saya mentafsirkan kikir yang dimaksudkan oleh Rasul SAW adalah luas pengertiannya. Orang yang berilmu tidak perlu kikir (kedekut) ilmu. Orang yang dikurniakan kelebihan dari segi ekonomi wang ringgit yang banyak tidak perlu kikir wang ringgit, orang yang seperti saya seorang 'helper' tidak perlu kikir dalam memberi nasihat, bimbingan, tarbiah dan sebagainya. Sudah tentu untuk melaksanakan segala tugas dan tanggung jawab yang dipikul saya perlu sabar dan tabah menghadapi kerenah manusia. Jalan untuk berdakwah sebenarnya sungguh berliku, alangkah kecilnya rintangan yang saya hadapi berbanding Rasulullah dan para sahabat yang terdahulu.

Justeru, muhasabah diri sendiri...tarbiah hati agar lebih tabah dan bermanfaat untuk manusia lain. Barakallahufikum.

Wallahua'lam.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Tiada ulasan:

Catat Ulasan