Memaparkan catatan dengan label bala Allah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bala Allah. Papar semua catatan

Isnin, Jun 12, 2017

PhD : Perjalanan sunyi dan keseorangan?

Kita sering mendengar orang menyebut perjalanan pengajian PhD ini suatu perjalanan yang sunyi dan keseorangan. Justeru sangat sinonim, PhD juga menerima jolokan dengan pelbagai makna yang tersirat seperti Permanent head Damage, Pengajian Habis Dah dan juga Perjalanan Hati dan Doa.


Saya juga antara orang yang pernah mengalami situasi yang sama. Ada ketikanya agak sunyi dan keseorangan. Lalu, saya terfikir mengapa perasaan ini ‘dianugerahkan’ oleh Allah SWT kepada saya. Iya…tidak dinafikan jalan cerita dan lakaran ujian masing-masing di antara kita tidaklah sama. Namun, apa jua coretan suka dan duka dalam perjalanan ini akan berakhir dengan matlamat yang sama. Bukanlah sekadar berjaya menghabiskan pengajian ini dalam erti kata lain sekadar ingin memiliki sekeping ijazah yang membawa suatu gelaran. 

Bukan! Bukan itu sebenarnya nilaian ilmu yang dikutip sepanjang perjalanan ini. Ilmu yang diperoleh dengan cara digali melalui pembacaan buku, kajian, jurnal, menghadiri bengkel, konvensyen dan sebagainya hanyalah sekadar membantu kita memenuhi manuskrip tesis untuk keperluan akademik. Namun, ilmu yang ‘tersembunyi’ di sebalik pencarian tersebut adalah merupakan inti pati ilmu kehidupan yang amat berharga dan bernilai.

Kita merupakan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk melalui perjalanan ini. Pilihan Allah SWT itu sudah pastinya tepat! 


Bolehlah dianalogikan perjalanan pengajian ini ibarat memasuki suatu terowong yang panjang. Walaupun kita semua menuju suatu destinasi yang sama, namun jarak atau panjangnya terowong seseorang itu berbeza di antara satu sama lain. Usahlah kita merasa gusar dan berkeluh kesah apabila mengetahui terowong rakan kita lebih pendek perjalanannya daripada kita. Terlalu sukar dan subjektif untuk mengatakan bahawa panjang atau pendeknya jarak terowong seseorang itu bergantung kepada itu dan ini.

Di sepanjang perjalanan dalam terowong ini kita akan melewati pelbagai situasi. Ada kalanya tiada langsung cahaya yang menyinari, ada ketika pula kelihatan cahaya yang samar-samar dan mungkin bonus kepada kita apabila kita mendapat suluhan cahaya yang terang benderang daripada kiri dan kanannya. Dugaan melalui terowong yang gelap gelita ditambah pula dengan jalan yang retak dan berliku menyukarkan lagi perjalanan. Tentunya kita akan teraba-raba dan mungkin berkali-kali jatuh dan cuba bangun semula untuk meneruskan perjalanan. Hidup dalam terowong yang begitu gelap dan keseorangan sudah pasti membuatkan hati kita merasa terseksa. Jiwa kita bertambah derita apabila tiada seorang pun teman yang sudi menghulurkan tangan dan membimbing kita pada ketika itu.

Nah! Di sinilah kita temui jawapan mengapa perasaan sunyi dan keseorangan itu dialami.


Kita merasa sunyi kerana tiada teman yang kita rasakan boleh berkongsi kegusaran yang dialami. Kita sering mengeluh rasa sunyi ini, kita juga sering merasa resah dengan situasi yang dialami. Adalah menjadi suatu bebanan kepada kita sekiranya kita sibuk untuk menguruskan diri dan emosi kita sendiri tanpa memulangkan kembali urusan tersebut di bawah pentadbiran Allah.

Sebenarnya Allah SWT sengaja memberikan perasaan sunyi dan keseorangan itu agar kita dapat kembali ‘bersahabat’ denganNya. Maka, jalan paling awal untuk ‘bersahabat’ denganNya adalah melalui doa. Persediaan untuk berdoa pula adalah dengan menyediakan hati yang bersih dan ikhlas. Kita hendaklah sentiasa kita bersangka dengan sangkaan yang baik terhadap Allah SWT kerana Allah SWT akan berikan sesuatu mengikut sangkaan hambaNya.


Hati yang bersih dan ikhlas akan mengadu dan merintih kepada Allah SWT. Mengapa perlu lagi kita mengadu kepada Dia sedangkan kita sedia maklum bahawa jika kita tidak memberitahu dan mengadu sekalipun Allah sedia mengetahui. Allah bukan sekadar tahu dan mengetahui tetapi Allah Maha Mengetahui! Di sinilah rasa kecintaan kepada Allah, rasa ketaatan, rasa kehambaan dan keredaan atas pemberian Allah SWT. Perasaan sunyi ini adalah pemberian Allah. Maka uruslah ia dengan merujuk kembali kepada Dia.

Ganjaran yang bakal dikecapi bukanlah kerana berjaya menamatkan pengajian ini dengan jayanya sebaliknya mengecap nikmat perjalanan yang dilalui ini dengan penuh ketabahan dan kesabaran. PhD ini bukanlah hanya dimiliki oleh orang yang cerdik pandai tetapi ia dimiliki oleh mereka yang tabah dan sabar. Justeru, untuk mendapatkan skala ketabahan dan kesabaran yang tinggi memerlukan pengorbanan hati yang besar dan jiwa yang kental. Bersandar seluruh pergantungan dan harapan dengan jalinan perhubungan yang baik dengan Allah SWT.

Kita terlupa sebenarnya kita sedang berbahagia! Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menceritakan tentang kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu. Antaranya  Allah menjanjikan jalan yang mudah ke syurga, para malaikat melebarkan sayapnya dengan penuh redha, beroleh pahala seperti mengerjakan haji, mendapat kedudukan seperti orang-orang yang berjihad di jalan Allah dan diangkat darjat (kedudukan) dengan beberapa tingkatan. 

Oh ya…patutlah orang yang berada di luar ‘terowong’ melihat betapa bahagia dan indahnya kita yang sedang berada dalam ‘terowong’. Sedangkan pada hakikatnya, kita yang sedang berada dalam ‘terowong’ itu merasa sengsara dan dukacita kerana asyik menginginkan persahabatan dan pergantungan dengan makhluk.

Hidup kita tidak akan merasa sunyi lagi andainya kita rajin menyelak lembaranNya dan menghayati kalam-kalam yang berupa pesanan dan ingatan yang disampaikan kepada kita melalui Rasulullah SAW.  

Semoga menjadi ingatan dan bermanfaat buat yang diri yang menulis dan kepada semua yang sudi membacanya.


Salam Nuzul Al-Quran.



"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Isnin, Mei 23, 2011

MEREKA PULANG KE RAHMAT ALLAH...



Gambar anak-anak yang sempat dirakamkan sebelum bencana menimpa.Al-Fatihah kepada yang telah kembali ke Rahmat Allah.

Tanggal 21 Mei 2011 memahatkan kisah pilu di hati kita semua umat manusia.Kejadian tanah runtuh di Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim At-Taqwa, Hulu Langat, Selangor mengejutkan kita dengan pelbagai persepsi dan tanggapan. Saya sendiri mendengar ramai pihak yang meletakkan kepada pelbagai sandaran seperti struktur tanah, aspek pembangunan fizikal dan hujan lebat yang turun dalam tempoh sehari sebelum kejadian. Saya menjadi gerun dengan berita yang kedengaran saban hari, bumi ini sentiasa dalam keadaan bencana dan malapetaka yang menghancurkan sekian banyak nyawa.

Kenapa semua ini berlaku agaknya? Mungkin betul apa yang dituturkan manusia kerana fenomena alam dan sebagainya tetapi saya melihat lebih daripada itu dari aspek keinsanan dan ketuhanan itu sendiri. Maka benarlah firman Allah dalam surah al-Hasyr Ayat 4 yang mahfumnya "Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan rasulNya. Barang siapa menentang Allah, maka sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya" Gentar hati ini bila mengenangkan bumi yang aman damai kita duduki ini sedang dalam perhatian Allah untuk diturunkan balaNya...

Jawapan yang hampir saya kenal pasti adalah kerana begitu banyaknya manusia pada hari ini yang ingin menentang Allah. Walau secara terang-terangan tidak dinyatakan ingin menentang Allah tetapi secara tingkah laku sering menzahirkan penentangan terhadap Allah SWT. Berapa ramai hari ini manusia yang tidak mengendahkan lagi kewajiban bersolat, berapa ramai pula anak-anak yang menderhaka kepada ibubapa, berapa ramai pula yang kononnya menutup aurat tetapi masih bertelanjang di jalanan, berapa ramai pula manusia yang mengekalkan tabiat suka berzina, berapa ramai manusia yang mengkhianati amanahnya, berapa ramai menipu dan memakan hasil pekerjaan menipu dan pelbagai kemungkaran lagi yang sedang berleluasa dalam kehidupan manusia hari ini.

Malaysia merupakan negara yang tidak terkecuali daripada pelbagai kemungkaran. Masalah seks bebas berleluasa di sana sini. Pada 1 November 1995, Menteri Kesihatan Malaysia melaporkan, mengikut kajian yang dibuat pada sekumpulan remaja berumur 16 hingga 18 tahun di Wilayah Persekutuan, didapati 50% daripada mereka mengadakan hubungan seks, termasuk dengan cara melanggan pelacur-pelacur. Kajian itu menunjukkan fenomena yang berlaku pada 16 tahun yang lalu. Bagaimanakah agaknya pada tahun 2011 ini? Semua aspek kehidupan manusia terarah kepada perlakuan tersebut. Teknologi yang begitu canggih yang dapat memuatkan segala yang dikehendaki oleh nafsu manusia. Zina berlaku di sana sini dengan sedikit sahaja perasaan hairan di hati manusia yang mendengarnya. Saya sendiri sudah agak 'lali'dengan saban hari mengendalikan kes-kes seperti ini. Di media-media elektronik dan di dada-dada akhbar manusia sudah terbiasa mendengar dan membaca artikel dan berita sensasi yang berunsurkan lucah dan memualkan. Sudah hilangkah agaknya sensitiviti ummah terhadap maruah dan harga diri seorang manusia yang begitu mudah diperlakukan semurah dan semudah itu.

Memanglah,ada pihak yang mengatakan itu adalah petanda akhir zaman, jadi soalan berikutnya jika benar semua ini petanda akhir zaman, adakah kita akan membiarkan ianya berlaku begitu sahaja? Bala yang Allah turunkan tidak mengenal orang beriman atau sebaliknya.

Bagi anak-anak yang telah diambil oleh Allah kembali kepada Rahmat dan Kasih SayangNya, InsyaAllah Syurgalah tempat mereka. Mereka pulang ke sana dalam keadaan yang masih suci dan bersih dari dosa. Bagaimana halnya dengan kita yang masih berada di medan perjuangan ini? Seharusnya kita mengambil iktibar daripada kejadian ini. Allah ingin memberi peringatan supaya kita kembali bermuhasabah diri dan mencari diri dengan mengenal Allah sebagai Pencipta dan kita sebagai hambaNya. Sebagai seorang hamba, kita perlu jalankan tugas sebagai seorang hamba. "Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu" Surah Az-Zariyat Ayat 56.

Semoga ketaqwaan kita bertambah...
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Helper