MEREKA PULANG KE RAHMAT ALLAH...
Gambar anak-anak yang sempat dirakamkan sebelum bencana menimpa.Al-Fatihah kepada yang telah kembali ke Rahmat Allah.
Tanggal 21 Mei 2011 memahatkan kisah pilu di hati kita semua umat manusia.Kejadian tanah runtuh di Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim At-Taqwa, Hulu Langat, Selangor mengejutkan kita dengan pelbagai persepsi dan tanggapan. Saya sendiri mendengar ramai pihak yang meletakkan kepada pelbagai sandaran seperti struktur tanah, aspek pembangunan fizikal dan hujan lebat yang turun dalam tempoh sehari sebelum kejadian. Saya menjadi gerun dengan berita yang kedengaran saban hari, bumi ini sentiasa dalam keadaan bencana dan malapetaka yang menghancurkan sekian banyak nyawa.
Kenapa semua ini berlaku agaknya? Mungkin betul apa yang dituturkan manusia kerana fenomena alam dan sebagainya tetapi saya melihat lebih daripada itu dari aspek keinsanan dan ketuhanan itu sendiri. Maka benarlah firman Allah dalam surah al-Hasyr Ayat 4 yang mahfumnya "Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan rasulNya. Barang siapa menentang Allah, maka sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya" Gentar hati ini bila mengenangkan bumi yang aman damai kita duduki ini sedang dalam perhatian Allah untuk diturunkan balaNya...
Jawapan yang hampir saya kenal pasti adalah kerana begitu banyaknya manusia pada hari ini yang ingin menentang Allah. Walau secara terang-terangan tidak dinyatakan ingin menentang Allah tetapi secara tingkah laku sering menzahirkan penentangan terhadap Allah SWT. Berapa ramai hari ini manusia yang tidak mengendahkan lagi kewajiban bersolat, berapa ramai pula anak-anak yang menderhaka kepada ibubapa, berapa ramai pula yang kononnya menutup aurat tetapi masih bertelanjang di jalanan, berapa ramai pula manusia yang mengekalkan tabiat suka berzina, berapa ramai manusia yang mengkhianati amanahnya, berapa ramai menipu dan memakan hasil pekerjaan menipu dan pelbagai kemungkaran lagi yang sedang berleluasa dalam kehidupan manusia hari ini.
Malaysia merupakan negara yang tidak terkecuali daripada pelbagai kemungkaran. Masalah seks bebas berleluasa di sana sini. Pada 1 November 1995, Menteri Kesihatan Malaysia melaporkan, mengikut kajian yang dibuat pada sekumpulan remaja berumur 16 hingga 18 tahun di Wilayah Persekutuan, didapati 50% daripada mereka mengadakan hubungan seks, termasuk dengan cara melanggan pelacur-pelacur. Kajian itu menunjukkan fenomena yang berlaku pada 16 tahun yang lalu. Bagaimanakah agaknya pada tahun 2011 ini? Semua aspek kehidupan manusia terarah kepada perlakuan tersebut. Teknologi yang begitu canggih yang dapat memuatkan segala yang dikehendaki oleh nafsu manusia. Zina berlaku di sana sini dengan sedikit sahaja perasaan hairan di hati manusia yang mendengarnya. Saya sendiri sudah agak 'lali'dengan saban hari mengendalikan kes-kes seperti ini. Di media-media elektronik dan di dada-dada akhbar manusia sudah terbiasa mendengar dan membaca artikel dan berita sensasi yang berunsurkan lucah dan memualkan. Sudah hilangkah agaknya sensitiviti ummah terhadap maruah dan harga diri seorang manusia yang begitu mudah diperlakukan semurah dan semudah itu.
Memanglah,ada pihak yang mengatakan itu adalah petanda akhir zaman, jadi soalan berikutnya jika benar semua ini petanda akhir zaman, adakah kita akan membiarkan ianya berlaku begitu sahaja? Bala yang Allah turunkan tidak mengenal orang beriman atau sebaliknya.
Bagi anak-anak yang telah diambil oleh Allah kembali kepada Rahmat dan Kasih SayangNya, InsyaAllah Syurgalah tempat mereka. Mereka pulang ke sana dalam keadaan yang masih suci dan bersih dari dosa. Bagaimana halnya dengan kita yang masih berada di medan perjuangan ini? Seharusnya kita mengambil iktibar daripada kejadian ini. Allah ingin memberi peringatan supaya kita kembali bermuhasabah diri dan mencari diri dengan mengenal Allah sebagai Pencipta dan kita sebagai hambaNya. Sebagai seorang hamba, kita perlu jalankan tugas sebagai seorang hamba. "Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu" Surah Az-Zariyat Ayat 56.
Semoga ketaqwaan kita bertambah...
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper
Tiada ulasan:
Catat Ulasan