Isnin, November 21, 2016

JADILAH SEORANG YANG BAIK, MESKIPUN ENGKAU TIDAK DILAYAN DENGAN BAIK


Antara ungkapan Ibn al-Qayyim yang paling indah:
"Seseorang kawan rapat tidak berkongsi kesakitan denganmu, seorang kekasih tidak menanggung keperitanmu, seorang rakan karib tidak menggantikan tempatmu untuk berjaga malam.

Ambil beratlah tentang dirimu sendiri, jagalah ia, pimpinlah ia, jangan kamu layan peristiwa yang berlaku melebihi kadar yang sepatutnya.

Pastikan dengan sebenar-benarnya, ketika engkau bersedih, tiada yang boleh menenangkanmu kecuali dirimu sendiri. Ketika engkau tewas, tiada yang boleh memenangkanmu selain dirimu sendiri. Kemampuanmu untuk bangkit semula tiada yang memilikinya selain dirimu.

Janganlah kamu cari nilai diri kamu pada pandangan manusia. Carilah ia dalam jiwa kamu sendiri. Bila jiwa itu tenang, terangkatlah kedudukan. Bila kamu telah kenal diri kamu, maka apa yang dikatakan kepadamu tiada kesan mudaratnya lagi.

Usahlah kamu tanggung beban keresahan hidup di dunia kerana ia adalah milik Allah. Usah jua kamu pikul beban keresahan mencari rezeki kerana ia adalah dari Allah dan usahlah jua kamu pikul beban keresahan mengejar masa depan kerana ia adalah di Tangan Allah.

Yang perlu kamu pikul hanyalah satu beban keresahan sahaja, iaitu bagaimana hendak melakukan perkara yang meredhakan Allah, kerana bila engkau meredhakan Allah, Dia akan meredhaimu, mencukupi bagimu dan memadai untukmu.

Janganlah kamu berputus asa dengan kehidupan yang menyebabkan hatimu menangis. Sebaliknya, katakanlah: "Ya Allah! gantikanlah untukku dengan kedua2 kebaikan di dunia dan akhirat..

Kedukaan itu akan hilang dengan satu sujud. Manakala kegembiraan akan datang dengan satu seruan. Allah tidak akan sekali-kali melupakan kebaikan yang telah engkau buat atau keresahan yang telah engkau tolong hilangkan atau mata yang hampir menangis yang engkau tolong ceriakan.

Hiduplah di atas prinsip :
Jadilah seorang yang baik, meskipun engkau tidak dilayan dengan baik. Bukan kerana mereka. Tetapi kerana "Allah suka kepada orang yang baik".

Pesan berpesan dengan kebenaran, pesan berpesan dengan kesabaran.

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

️KEKUATAN DAN KEKURANGAN

Kadang-kadang ALLAH menguji kita dengan kekuatan yang ada pada kita..
Agar mampu meraih sabar bertahan ...
Atau menambahkan lagi kekuatan yang sedia ada...
Kadang-kadang ALLAH menguji kita dengan kekurangan yang ada pada kita...
Agar kita dapat menambah sesuatu di atas kekurangan tersebut..
Agar kita bertambah kuat mengatasi kekurangan itu...
Apa-apa pun semuanya dengan Laa Haula wa La Quwwata iLLa BiLLah
Dan kekuatan itu ada dalam sujud kita..

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Ujian Hidup


Selagi bernama hidup dan kehidupan, setiap insan pasti melalui ujian dan cabaran.

Namun...
Tika kita diuji dengan hujan yang mencurah jangan kita lupa bahawa Allah pernah kurniakan kita mentari yang bersinar.
.
.
Tika dunia kita dilitupi awan mendung usah kita lupa bahawa Allah pernah hadiahkan kita pelangi yang indah.
.
.
Tika sekeliling kita dipenuhi dengan jerebu yang menyesakkan pandangan, kita perlu ingat bahawa masih Allah kurniakan kita hari yang cerah lagi terang benderang.
.
.
Setiap titisan hujan yang menitis akan berakhir juga, walau lebat bagaimana sekali pun lambat laun hujan itu akan berhenti, dan mentari pasti akan muncul kembali.
.
Bersederhana lah dalam bersedih kerana kesedihan akan berakhir juga dan bakal diganti dengan kegembiraan dan kebahagiaan.

Sentiasalah bersangka baik dengan Allah kerana Allah akan memberi mengikut sangkaan hambaNya.

Justeru.. Sentiasalah bersyukur apa sahaja pemberian Allah tika ini, kerana semua ini hanyalah 'pinjaman', jua hargailah apa yang kita 'punya' sekarang kerana belum tentu esok atau lusa ia terus bersama kita.



"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Ahad, November 20, 2016

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam



Saya masih ingat menonton TV sewaktu usia masih budak-budak. Masa itu zaman TV hitam putih.

Tajuk ceritanya saya ingat-ingat lupa, mungkin Cucu Datok Merah tapi paling ingat adalah heronya, Nordin Ahmad (heronya ajer yang ingat dengan jelas hehe). Dalam cerita itu Nordin Ahmad memegang watak suami yang sombong, bongkak dan megah dengan keturunannya.

Antara skrip yang saya masih ingat adalah kata-kata ibu (bakal ibu mertua Nordin Ahmad) sebelum anak perempuannya berkahwin dengan Nordin Ahmad.

“Perkahwinan ini ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam”


Waktu itu saya masih tidak memahami konsep kedua-duanya. Mana satu yang lebih baik, menjadi sabut atau menjadi batu.

Saya amat jahil dalam menilai peribahasa itu tetapi kata-kata itu sering berlegar-legar dalam fikiran setiap kali saya memikirkan tentang perkahwinan.

Nasihat ibu kepada anaknya menggunakan peribahasa untung sabut timbul, untung batu tenggelam membawa maksud jika beruntung dan bernasib baik, perkahwinan akan mendapat kebahagiaan, jika tidak bernasib baik perkahwinan menjadi satu titik derita dalam kehidupan wanita.

Saya terus mencari makna - menjadi sabut. Apa untungnya menjadi sabut, jika timbul sekalipun sabut menghadapi risiko terus dihanyutkan dek arus deras!

Menjadi batu pula, dicampak ke dalam air terus ia tenggelam, lama kelamaan terus terbenam diselaputi dek lumpur dan danor kolam.

Apakah perkahwinan itu berkaitan dengan nasib semata-mata? Menjadi sabut atau batu ibarat berserah kepada takdir semata-mata. Sedangkan Rasululullah SAW pernah berpesan Qada’ boleh tertolak dengan doa!

Pesan guru saya, menjadi sabut pun beruntung jika taat dan bertaqwa pada Allah,menjadi batu juga beruntung andainya taat pada Allah. Allah always come first! Makanya, pilihan berada di tangan masing-masing kerana kita bahagia bukan kerana pasangan hidup, kerjaya, wang ringgit BAHKAN bahagia bermula dengan diri kita sendiri dan Allah.

Hidup ini adalah pilihan!

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Diperlukan Vs Dihargai



Merasa diri diperlukan dan merasa dihargai adalah satu nikmat dan tuntutan psikologi yang diperlukan oleh setiap individu. Apabila individu merasa diri mereka diperlukan dalam suatu keadaan akan dapat meningkatkan motivasi dan semangat yang terdapat dalam diri.

Keadaan rasa dihargai pula akan membuatkan individu tersebut merasa lebih berkeyakinan terhadap diri sendiri.

Perasaan merasa tidak diperlukan adalah lahir daripada perasaan hati yang tersinggung, kecewa dan sedih dengan sikap seseorang terutamanya daripada individu yang signifikan dalam hidup mereka. Individu tersebut boleh jadi terdiri daripada keluarga terdekat seperti ibubapa, adik beradik, pasangan hidup, anak-anak serta individu lain yang tersenarai dalam kategori ‘eksklusif’ di hati mereka.

Jom periksa perasaan anda! Anda berada dalam quadran yang mana?

Quadran I – Anda diperlukan & Anda Dihargai
Anda sangat bertuah. Anda disayangi dan dihormati oleh orang sekeliling. Orang lain sering meminta bantuan daripada anda kerana personaliti anda yang mudah menolong orang lain ketika diperlukan. Orang amat menghargai atas setiap sumbangan anda, baik dari aspek idea, nasihat, tenaga dan juga kasih sayang. Pendek kata, apa sahaja yang anda lakukan mendapat pengukuhan psikologi menjadikan anda lebih berkeyakinan.

Quadran II – Anda tidak diperlukan, tapi anda dihargai
Anda mungkin dari golongan orang yang disegani. Anda tidak diperlukan di sini bukan bermakna anda tidak berguna tetapi orang merasa segan untuk meminta bantuan atau nasihat daripada anda. Mungkin kerana kedudukan tinggi anda membuatkan orang ‘segan’ dengan anda.

Quadran III – Anda diperlukan tetapi anda merasa diri tidak dihargai
Anda sangat suka menolong orang. Biasanya anda jenis yang mudah memberi pertolongan apabila diperlukan. Oleh sebab anda mudah memberi pertolongan nama dan wajah anda antara yang pertama terlintas dalam gambaran minda orang yang memerlukan pertolongan. Pendek kata, apabila orang menghadapi masalah mereka akan mencari anda. Namun, nasib anda kurang baik (mungkin Tuhan nak menguji keikhlasan anda), mereka hanya mencari anda ketika mereka kesusahan. Nama anda tiada dalam senarai orang yang dicari ketika mereka gembira.
Orang dalam quadran ini paling ramai berjumpa kaunselor untuk mencari katharsis atas kesedihan dan kekecewaan yang dialami.

Quadran IV – Anda tidak diperlukan dan tidak dihargai
Anda perlu perbaiki sikap dan tingkah laku anda. Bermuhasabah diri adalah jalan terbaik buat anda. Bertemu kaunselor mungkin memberi banyak manfaat buat anda!

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim