Selasa, Disember 25, 2012

Bahagia Membahagiakan

Indahnya sang suria menyapa bumi

 
Pernah ketika menyampaikan ceramah seorang wanita bertanya kepada saya;
 
"Puan, bagaimana kita nak rasa bahagia sedangkan hidup kita dipenuhi dengan masalah?"
 
Audien yang lain ramai yang mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan soalan itu.
 
"Emm...iyalah ya...macam mana kita nak rasa bahagiakan jika kita banyak masalah" kata saya mengiakan apa yang disoalkan oleh wanita tersebut.
 
"Maknanya jika kita banyak masalah, kita tak berhak untuk bahagialah ya...dan sepanjang hidup kita dipenuhi dengan sengsara dan semua yang tidak membahagiakanlah..." sambung saya.
 
Audien-audien yang berada di hadapan saya mengangguk-angggukkan kepala. Ada juga yang mengerutkan dahi menandakan keliru dengan persoalan yang ditimbulkan.
 
Untuk meleraikan kekeliruan itu, saya bertanya "Kita senyum dahulu atau rasa bahagia dahulu baru kita senyum?" pertanyaan saya itu membuatkan ramai audien tersenyum.
 
"Tentulah rasa bahagia dulu puan, baru kita boleh memberikan senyuman, jika tak bahagia, sedang dalam derita bagaimana kita nak senyum...." kata-kata seorang audien memecahkan suasana dewan.
 
"emm...betul-betul...." kata yang lain pula. Ramai yang mengangguk dan ada juga yang memandang saya dengan wajah yang agak 'blur'...
 
"Sekarang, siapa rasa dia sedang ada masalah yang sangat banyak" kata saya. Ramai yang mengangkat tangan.
 
"Siapa rasa yang masalah yang dihadapinya itu sangat berat dan sukar untuk diselesaikan?" soal saya. Ada juga yang mengangkat tangan.
 
"Jadi semua kita mempunyai masalah yang pelbagai, hari ini saya ingin memberi satu kaedah untuk bahagia walaupun kita sedang dihimpit oleh pelbagai masalah"
 
Saya betulkan fahaman audien bahawa persepsi dan pandangan mereka iaitu bahagia dahulu barulah senyum merupakan fahaman  dan persepsi kebanyakkan orang tetapi saya ingin mengajak audien semua berfikir secara di luar kotak.
 
"Sekarang, saya nak membantu puan-puan semua untuk rasa bahagia dengan mula dengan senyuman, senyum dulu baru dapat bahagia. Kaedahnya mudah sahaja, bangun pagi mulakan dengan senyuman. Berikan satu senyuman yang paling manis buat diri anda. Elakkan mengeluh sakit sana sini, elakkan juga mengeluh banyak kerja yang belum siap, elakkan juga mengeluhkan penat dan banyak masalah".
 
"Sebagai orang Islam, bacalah doa bangun dari tidur, selepas itu baca selawat pada nabi sebanyak 3 kali hembuskan ke tapak tangan dan raubkan ke muka, dalam hati doakan  segala yang baik untuk hari itu, seperti contohnya "Ya Allah, jadikan hari ini hari yang lebih baik dari semalam, jadikan hari ini hari yang lebih bahagia buatku, jadikan hari ini hari yang sihat buatku, jadikan hari ini hari yang lebih amalan dan ibadatku buatMu dan permudahkan segala urusanku pada hari ini dan janganlah Engkau menyulitkannya, Amin"
 
"Selesai berdoa, duduk dalam keadaan tenang, beri satu senyuman yang paling manis dan paling bermakna untuk diri sendiri. Dalam hati ucapkan syukur pada Ilahi kerana dipanjangkan umur pada hari itu juga sematkan dalam hati prasangka-prasangka yang baik pada hari itu".
 
Sebenarnya bila kita tersenyum, muka kita akan menggunakan 17 otot di muka dan otot-otot ini akan memberi satu 'message' kepada otak yang kita sedang tersenyum dan bahagia. Otak pula akan memberikan suatu 'message' kepada anggota badan yang lain iaitu kita sedang bahagia. Secara tidak langsung seluruh anggota badan akan bergerak dan bekerja ke arah menjadi BAHAGIA.
 
Otak merupakan satu organ yang sangat ajaib yang dikurniakan Allah kepada manusia. Jadi gunakan kurniaan Allah ini Insya Allah kita semua akan beroleh manfaat. Kita akan menjadi seperti mana yang kita fikirkan, kita fikirkan bahagia, kita akan mendapat bahagia, sebaliknya kita fikirkan derita kita akan menempah derita...
 
Semoga kita semua berbahagia dan dapat membahagiakan.... 
 
 

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan