Selasa, Mei 24, 2011

UJIAN HIDUP

Seorang ibu tua yang tidak mempunyai anak kandung kini dihimpit kedukaan akibat kerakusan anak angkat yang setelah mendapat semua harta ibu angkatnya, ibu malang ini dibiarkan sendirian dalam keadaan uzur.


Seorang isteri telah berkahwin selama 19 tahun digantung tidak bertali selama 2 tahun selepas sang suami berkahwin dengan wanita lain. Si isteri ingin menuntut fasakh tetapi suami meletakkan syarat 'pembebasannya' dengan membayar wang sebanyak RM100 ribu yang mana isteri tidak mampu lakukan.


Seorang gadis hamil tanpa nikah setelah mula menyerahkan dirinya kepada teman lelaki sejak 4 tahun yang lalu (semasa masih di tingkatan 5). Dengan mudah dan selamba menyatakan hal ini perkara biasa, sudah ramai teman-teman sekeliling juga menempah situasi yang sama.


Seorang ibu yang merayu simpati pembelaan dan penjagaan kepada 6 orang cucunya yang ayah kanak-kanak itu berada di penjara sedang ibunya hilang bersama teman lelaki.


Itulah antara kes yang masuk ke 'akaun' pejabat saya pada hari ini. Apa yang boleh dinukilkan lagi dengan segelintir kisah-kisah yang saya paparkan ini?




Kadang-kadang, saya menolak tepi profesional saya sebagai kaunselor. Saya cuba masuk ke ruang masalah klien-klien ini. Dalam keadaan mereka yang tidak berdaya, dengan batasan ilmu pengetahuan dan keupayaan lain, saya terfikir bagaimanakah agaknya jika saya berada dalam kedudukan mereka? Sudah tentu saya juga menjadi seperti mereka.

Dalam 'mahzab' kaunseling saya, sering saya pegang bahawa manusia sebenarnya bermasalah kerana diri mereka sendiri. Mungkin cara berfikir, cara merasa dan cara bertingkah laku membuatkan manusia bermasalah. Setiap diri manusia yang dibekalkan oleh Allah akal fikiran perlu membuat beberapa pertimbangan yang sewajarnya sepanjang mengemudikan hidup. Kegagalan manusia menggunakan akal bagi memandu jalan yang sejahtera menjerat diri ke arah kesulitan.

Tetapi, agak malang apabila kita berada dalam kesulitan itu, jarang sekali kita merujuk kepada diri sendiri. Kecenderungan manusia menyalahkan orang lain dan persekitaran adalah tinggi apabila menghadapi masalah.

Ramai yang tertewas dalam merencanakan kehidupannya. Bak kata orang cerdik pandai "Manusia yang gagal merancang merupakan manusia yang merancang untuk kegagalannya". Tetapi jika diteliti kembali, jika hidup kita berpandukan AlQuran dan Hadis Rasulullah SAW, InsyaAllah kita dapat merencanakan kehidupan dengan teratur dan wajar.




"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

2 ulasan:

  1. Teruskan perjuangan, sesungguhnya usaha murni anda ini sudah pasti diberkati Allah

    BalasPadam
  2. Saudara Arjunasetia, terima kasih atas sokongan anda. Ya, saya juga mengharapkan usaha yang sekecil ini mendapat keberkatan dariNya. InsyaAllah. Amin.

    BalasPadam