Isnin, November 04, 2019

LAKARAN SANG PENCINTA ILMU MERAIH PhD



Merafakkan segala rasa kesyukuran dan terima kasih buat yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah Rabbul Jalil atas kurniaan dan kesempatan meraikan Majlis Konvokesyen pada usia saya menginjak ke-48 tahun.
Semalam merupakan hari keramat yang menjadi kenangan buat saya selamanya. Saya tidak pernah bermimpi untuk menggenggam segulung ijazah di peringkat tertinggi suatu ketika dulu kerana saya merupakan pelajar yang tercicir pada zaman persekolahan akibat kemiskinan keluarga. Saya terpaksa berhenti dari meneruskan persekolahan semasa berada di tingkatan 6 rendah dan keluar bekerja kilang demi menampung perbelanjaan keluarga.
Proses pencarian ilmu saya bermula sejak tahun 1997 (ketika itu saya sudah pun mempunyai 2 orang anak). Saya mula mendaftar sebagai pelajar UTM Perlis dalam Program Diploma in Business Study secara PJJ.
Malangnya, pengajian terhenti di situ setelah beberapa semester disebabkan oleh kekangan tugas dan anak yang masih kecil waktu itu. Namun, doa sang pencinta ilmu ini sentiasa didengari Allah. Pada tahun 2002, saya menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda secara sepenuh masa dan berjaya meraih anugerah dekan sebanyak 4 kali. Pada tahun 2008, saya meneruskan lagi usaha pencarian ilmu secara sambilan di peringkat sarjana. Alhamdulillah, berkat dorongan seorang pensyarah Master yang amat saya kasihi, Dr Nadiyah Elias, saya mula berazam untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Alhamdulillah, pada tahun 2014 saya mendapat tawaran HLP bagi pengajian PhD (saya jangkakan mungkin inilah kasih sayang Allah buat saya dengan menggantikan Biasiswa Persekutuan yang terpaksa saya lepaskan ketika berada di Tingkatan 6 dulu).
Namun, lakaran perjalanan pengajian PhD saya penuh berliku. Beberapa bulan selepas mendapat tawaran tersebut, Allah kurniakan saya seorang bayi perempuan selepas 8 tahun keluarga kami sunyi dari tangisan seorang bayi. Kehadirannya telah lama ditunggu dan dinantikan oleh saya dan suami. Alhamdulillah, bayi saya lahir dengan sedikit ujian. Beliau disahkan mengalami penyakit jantung kongenital, Pulmunory Atresia – Intact Ventricular Septum (PA-IVS). Semasa rakan-rakan lain menjalani kursus QA di INTAN, saya menemani bayi saya yang sedang berjuang dalam PCICU.
Memandangkan bayi saya yang sentiasa berada dalam keadaan kritikal (pernah mengalami episod jantung terhenti sebanyak 3 kali dan menerima bantuan CPR sebanyak 4 kali), Saya menghantar surat memohon penangguhan dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah, jika ada rezeki saya, Insya Allah tahun depan saya akan mengikuti kursus QA tersebut bagi melayakkan saya untuk mendapat HLP.
Dalam tempoh tersebut, bayi saya telah menjalani dua kali pembedahan jantung. Pada tahun 2015, sebaik sahaja saya menamatkan kursus QA di INTAN, bayi saya sekali lagi dipanggil untuk menjalani pembedahan jantung yang ke-3 (Glenn Shunt). Selepas 2 bulan pembedahan jantungnya, saya mendaftar diri sebagai seorang pelajar PhD pada September 2015. Saya bukan sahaja seorang pelajar ketika itu, tetapi merangkap seorang jururawat di rumah! Dalam keadaan bayi saya yang masih minum menggunakan ‘ryles-tube’, penjagaan tiub tersebut perlu sangat teliti, kadang kala tercabut (dia cabutkan) sedar-sedar tiub makanan sudah berada di tangannya, perlu dimasukkan semula tiub yang baharu! Waktu makannya selang 3 jam sekali, bermakna jika saya tidur pada jam 10 malam, jam 1 pagi saya perlu bangun semula untuk ‘feeding’ dia, dan seterusnya 3 jam selepas itu. Begitulah perjalanan PhD saya, anak saya hanya minum susu menggunakan tiub selama 3 tahun. Sepanjang tempoh itu, ketika saya keluar mengutip data kualitatif, saya perlu membawa suami dan anak bersama. Persiapan untuk kajian saya dan penjagaan anak perlu seimbang. Oleh itu, semasa keluar mengutip data saya perlu memastikan membawa segala peralatan seperti ‘ryles-tube, syiringe 10ml, syiringe 50ml, selotep khas (untuk lekatkan tiub di muka), stetoskop, botol susu, susu, air dan ubat-ubatan dibawa bersama.
Bukan sahaja sebagai pelajar PhD, saya juga seorang ‘bread-winner’ pada ketika itu kerana suami terpaksa memilih untuk bersara pilihan (suami membuat keputusan sedemikian memandangkan tempat beliau bertugas hanya di Langkawi, sedangkan anak saya perlu berada di sekitar Hospital Serdang sebagai usaha memberi bantuan kecemasan untuknya pada bila-bila masa atas keperluannya, maka kami mengambil keputusan berpindah dari sana), tambahan pula demi menjaga keperluan khas anak kami ketika itu yang mempunyai 7 tempat temu janji rawatan perubatan dan kesihatannya dan jadualnya agak padat. Saya masih ingat lagi, ketika berada di semester 2, saya menghadapi masalah kewangan, duit gaji dan biasiswa yang diperoleh tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan saya sekeluarga. Tambahan pula, anak saya ketika itu perlu minum susu khas yang harganya agak mahal. Pada ketika itu, saya mempunyai dua orang anak lagi yang masih belajar, manakala anak sulung sudah disunting orang ketika saya memulakan pengajian PhD (mungkin Allah ingin meringankan satu bebanan saya). Pada ketika keadaan kewangan yang mendesak, saya membuat pelbagai pekerjaan bersama suami. Pekerjaan yang paling mudah tanpa mengeluarkan modal adalah berniaga secara online, tetapi tidak dapat bertahan lama kerana saya tidak mampu memberikan komitmen dalam perniagaan sebegitu kerana terpaksa memperuntukkan banyak masa terhadap PhD. Akhirnya, saya mendapat idea berniaga nasi lemak. Saya bangun seawal jam 3 pagi menyiapkan nasi lemak, sementara sambal dan lauknya disediakan oleh suami. Kami membungkus nasi lemak bersama-sama. Selepas subuh, suami menghantar nasi lemak mengikut tempahan yang diterima. Saya di rumah, mengemas dan membersihkan dapur lantas mandi dan bersiap untuk ke library bagi menyiapkan proposal. Saya hanya pulang ke rumah lewat petang, kebiasaannya ketika azan maghrib berkumandang saya akan tiba di rumah bagi mengambil alih tugas menjaga anak daripada suami. Ada juga harinya yang saya pulang awal kerana panggilan kecemasan daripada suami (tiub minum susu anak tercabut)! Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang memandang saya dengan penuh rahmat-Nya, dengan tidur dan rehat yang tidak menentu, saya lulus pembentangan proposal semasa di semester ke-2.
Sebaik sahaja lulus proposal, saya memberi perhatian sepenuhnya kepada kerja-kerja kajian. Tugas menyediakan nasi lemak untuk jualan diambil alih sepenuhnya oleh suami sehingga ke hari ini dengan menjenamakan nasi lemak tersebut dengan nama Nasi Lemak Syarha sempena nama anak syurga kami.
Semasa menghadiri follow-up di hospital, doktor selalu mengingatkan saya bahawa anak saya perlu menjalani satu lagi siri pembedahan. Justeru, saya sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa menghargai setiap detik waktu yang diberikan. Masa amat bernilai bagi saya. Jika anak saya dalam keadaan sihat dan kesihatannya tidak membimbangkan, saya akan menghabiskan masa selama 10 hingga 15 jam sehari di library. Dataran Tun Sri Lanang menjadi saksi, ada kala saya menghabiskan masa sehingga 18 jam di sana, pernah juga saya tidak pulang ke rumah, meneruskan tugas sebagai pelajar sehingga ke dinihari (selepas mendapat restu suami) kerana meraikan ‘idea’ dan ‘semangat’ menulis yang hadir pada ketika itu.
Kemuncak kepada ujian ini, sehari sebelum viva, saya mendapat khabar yang meluluhkan jiwa. Abah saya yang mengalami demam sejak hampir 2 minggu dimasukkan ke ICU dengan bantuan pernafasan. Sebaik sahaja selesai sidang viva (keputusan lulus dengan pembetulan kecil 3 bulan) saya pulang ke kampung menjaga abah di hospital. Keadaan kesihatan abah semakin merosot dan memandangkan keadaan abah yang sangat lemah, saya tidak sampai hati untuk menceritakan kepada abah yang saya sudah lulus PhD. Bagi saya, tiada kepentingan lagi untuk abah mengetahui keadaan saya, cukuplah sekadar bisikan sayu di dalam hati saya… “Bah, anak abah dah lulus PhD”, biarpun abah tak dengar, namun tatapan sayu mata abah mungkin memahami suara hati anaknya ini. Keutamaan saya pada ketika itu hanyalah sumbangan bakti terakhir saya buat abah. Genap sebulan abah di hospital, abah pergi mengadap Ilahi. Saya mengambil masa hampir dua minggu juga untuk pulihkan semangat dan jiwa yang kekosongan selepas pemergian abah.
Tempoh yang diberikan untuk saya menyiapkan tesis berbaki satu bulan lebih sahaja lagi. Saya pulang semula ke rumah dan perlu menyegerakan pembetulan tesis. Dalam tempoh itu juga, saya dihubungi oleh IJN memaklumkan tarikh pembedahan anak saya pada minggu hadapan. Ya Allah! Segala-galanya perlu berjalan dengan pantas…saya cuma ada seminggu untuk menyiapkan segala-galanya…Iya! dalam tempoh hanya seminggu! Setelah anak saya menjalani pembedahan, saya tiada masa lagi untuk memikirkan tentang tesis. Itulah kemuncak huru-hara dalam hidup saya sepanjang bergelar pelajar PhD.
Saya perlu menyiapkan pembetulan tesis, dan dalam masa yang sama persiapan perlu dilakukan untuk anak masuk operations. Alhamdulillah, akhirnya pembetulan tersebut berjaya dilakukan dan tesis dihantar untuk binding hard cover. Selama tempoh tersebut saya bekerja tanpa henti, tanpa rehat, tanpa tidur yang cukup, tanpa mengenal penat dan lelah.

Saya menghantar tesis berjilid keras sehari sebelum anak saya dijadualkan masuk wad untuk operations.

Sebaik sahaja menyerahkan tesis di pejabat fakulti, saya menerima panggilan daripada IJN yang memaklumkan bahawa operations tersebut terpaksa ditunda memandangkan saiz ‘device’ yang akan dipasangkan di jantung anak saya lebih besar daripada jantungnya. Terus terasa letihnya saya berkejar masa!
Namun, Allah al-Bari pengatur segala-galanya. Hikmahnya, saya beroleh GOT (sebenarnya pada awal pengajian saya tidak pernah memahami maksud GOT dan kriteria mendapatkannya, saya hanya concern untuk menyiapkan kajian demi menggalas amanah HLP).
Setiap orang mempunyai ujian dan medan tempur yang tersendiri. Saya percaya sahabat-sahabat di luar sana juga tidak kurang hebatnya dalam perjuangan menyiapkan PhD masing-masing. Catatan ini bukanlah bertujuan untuk menunjukkan kehebatan diri, jauh sekali merasa megah mahupun bangga diri. Lakaran sebahagian perjalanan pengajian ini mungkin memberi inspirasi kepada sahabat yang sedang diuji dan merasa lemah dalam perjuangan. Perjalanan jihad mencari ilmu di peringkat PhD mengajar saya tentang ilmu kesabaran dan ketabahan. Ada kalanya kita diuji dengan perasaan sedih dan kecewa, boleh jadi dengan rakan, penyelia, kaum keluarga dan sebagainya. Ada kalanya kita menjadi buntu, kabur dan hilang arah tanpa sokongan daripada mereka yang signifikan dengan kita. Ada kalanya juga kita menjadi kurang bermaya kerana masalah kewangan. Justeru, semakin hari kita menjadi semakin matang dalam memproses ujian yang mendatang. Ujian-ujian tersebut hadir untuk mendekatkan diri kita kepada Sang Khaliq, membantu kita merasai nikmatnya menjadi seorang hamba. Nikmat tersebut dapat kita rasai ketika mengadu, meminta dan mengharap sepenuhnya kepada Dia.
Ketika saya ditanya bagaimana saya beroleh GOT sedangkan saya menghadapi pelbagai ujian kehidupan, saya terfikir sejenak, jika persoalan tersebut hanya memerlukan jawapan dalam sebaris ayat, mungkin inilah jawapannya, siapalah saya tanpa pandangan rahmat dari-Nya!
Lakaran PhD
Dr Mazita Ahmad
UKM/2019




"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Khamis, April 19, 2018

KEDAI MENJUAL BAJU PANAS TERPAKAI 24 JAM

Nampaknya hari ni hari saya rajin mengemaskini blog! 🙂

Sebenarnya saya baru pulang dari membeli baju panas yang terpakai untuk ke Turki pada minggu hadapan. Dalam perjalanan pulang tadi, baju tersebut saya telah hantar ke kedai dobi untuk dicuci. 

Baju panas ni jika nak beli baru memanglah mahal harganya. Bagi golongan marhaen seperti saya dapat membeli baju panas yang terpakai tapi berkualiti tinggi sudah cukup baik.

Bagi anda yang tercari-cari di mana ingin mendapatkan baju-baju panas terpakai yang berkualiti tinggi eloklah berkunjung sebuah kedai yang terletak di Puchong. Kedai ini terletak di kawasan perumahan. Saya mendapat maklumat tentang kedai ini daripada salah satu group whatsapp saya yang mengatakan harga barangan di kedai ini sangat berpatutan. Malah, pemilik kedai ini, Encik Eri juga menjalankan kerja-kerja amal dengan menyalurkan sebahagiaan hasil jualannya ke Tabung Bantuan Syria. Beliau juga mengumpulkan pakaian-pakaian panas hasil sumbangan badan-badan NGO ke Syria untuk membantu rakyat dan saudara kita di sana yang dalam kesejukan. 

Pandangan di hadapan kedai En Eri
Encik Eri, tuan empunya kedai yang peramah dan murah hatt orangnya
Produk-produk yang terdapat dalam kedai ini diambil daripada UK. Encik Eri telah menjalankan perniagaan ini selama lebih 22 tahun. Uniknya, kedai Encik Eri ni beroperasi selama 24 jam, kerana menurut Encik Eri kadang kala terdapat pelanggan yang membuat persiapan terakhir untuk ke luar negara. Jadi, beliau sentiasa membuka peluang untuk pelanggan yang ingin mendapatkan barangan dan keperluan sebelum berangkat ke luar negara. Tetapi anda perlu call atau whatsapp dahulu sebelum ke sana. Encik Eri akan menunggu anda dengan layanan yang mesra.

Baju tebal yang labuh banyak dalam koleksi ini. Pakaian untuk kanak-kanak juga banyak!

Jaket tebal untuk musim sejuk



Ini alamat jika anda ingin berkunjung ke sana, tapi pastikan anda call atau whatsapp dulu tau!
Saya ke sana dengan hasrat ingin mencari baju yang sederhana tebal dan labuh memandangkan musim ini di Turki tidaklah terlalu sejuk. Cuaca lingkungan 20 ͦ C pada waktu siang dan paling sejuk di waktu malam 
9 ͦ  C. Saya dapat sehelai baju seperti yang saya inginkan dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM100. (Nanti saya cuba uploadkan gambar baju tu nanti). Saya dihadiahkan pula dengan sehelai mafla. 






Kasut musim winter juga banyak dijual di sini

Ini lagi koleksi kasut

Sebelum pulang, Encik Eri menghadiahkan kami 2 helai baju yang agak nipis yang menurutnya pelanggan kurang berminat lagi kepada baju tersebut. Wah! Gembiranya hati...dapat baju yang murah dan hadiah lagi.

Saya doakan semoga perniagaan Encik Eri berkembang maju dan beroleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

MINGGU PENYELIDIKAN DAN INOVASI 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Dah lama rasanya saya tak update laman blog ni...Hari ni saya nak berkongsi pengalaman kali pertama menyertai Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2018 baru-baru ini.



Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) di bawah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi & Pengkomersilan, Research Management, Innovation & amp; Commercialization Centre (RMIC) telah menganjurkan MINGGU PENYELIDIKAN DAN INOVASI 2018 (MPI'18).

MPI’18 telah diadakan pada 7 - 9 April 2018 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. Sebenarnya saya telah lama tercari-cari pertandingan inovasi seumpama ini untuk saya pertandingkan model yang saya hasilkan melalui kajian PhD saya ini. Saya mendapat maklumat pertandingan inovasi ini selepas beberapa hari tarikh penyertaannya ditutup. Namun, saya cuba menghantar emel dengan bertanya kepada penganjur sama ada saya masih boleh menyertai pertandingan ini. Alhamdulillah... saya mendapat balasan emel yang positif daripada penganjur! Pihak pengajur meminta saya menghantar borang permohonan dan abstrak pada hari tersebut juga.

Untuk makluman semua, yuran sebagai peserta luar dikenakan sebanyak RM300.

Diringkaskan cerita....saya mula membuat persiapan untuk pertandingan inovasi tersebut.

Berikut adalah butiran mengenai poster dan booth:
1) Peserta bertanggungjawab untuk menyediakan poster.
2) Saiz poster adalah A1.
3) Saiz panel poster adalah 1m (lebar) dan 2.5m (tinggi).
4) Sebuah meja dan kerusi akan disediakan untuk setiap booth.

Dalam tempoh seminggu saya berusaha melakarkan reka bentuk poster dan brosur. Antara kandungan yang saya muatkan dalam poster tersebut adalah :
1. Tajuk
2. Pengenalan
3. Pernyataan masalah
4. Metodologi kajian
5. Dapatan kajian
6. Contoh aplikasi kes
7. Penutup

Saya menggunakan banyak imej grafik bagi menyokong 'text' agar persembahan poster nampak lebih baik dan tidak membosankan. Selepas siap draf tersebut, saya mendapatkan khidmat designer untuk kerja-kerja 'artwork' untuk design semula menggunakan grafik art work.

Berikut adalah perbelanjaan untuk pameran yang saya keluarkan untuk urusan pertandingan ini :
1. Upah design dan art work (poster, brosur dan kad nama) RM200
2. Print 2 keping poster (kertas glossy) + name card            RM35
3. Print Bunting  1 pc                                                             RM12
4. Print brosur                                                                         RM133

Untuk hiasan-hiasan atas meja, saya bawa sendiri pasu bunga kecil, raga, tudung meja, extension wire, peralatan dan alat stationery perlu bawa sebab kita sangat memerlukan peralatan seperti double sided tape, stapler, kertas A4. Even, printer pun suami saya angkut sekali...hehe.

Saya mula bertolak ke Kuala Terengganu pada pagi 6hb April tu, sebab saya dikehendaki mendaftar dan memasang poster di booth yang telah ditetapkan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Setiba di Stadium Gong Badak, saya terus mendaftarkan diri dan mendapatkan booth untuk memasang dan menghiaskan booth yang diberikan. Kerja-kerja pemasangan dilakukan oleh suami saya yang terkenal dengan sifat ringan tulangnya...! Sekejap jer...dah pun siap.

Suami saya sedang melakukan kerja-kerja pemasangan dan persiapan tempat


Pada hari kejadian, hati saya berdebar-debar juga sementara menunggu kedatangan dua orang juri untuk menilai poster dan projek yang saya jalankan ini. Berikut adalah komen juri:
1) Juri yang pertama seorang wanita - Juri bertanyakan tentang penerbitan buku. Ye...saya belum terbitkan buku berkaitan model yang saya hasilkan ini. Insya Allah..pembaca doakan suatu hari nanti saya akan terbitkan buku tersebut.

2) Juri kedua, seorang lelaki - bertanyakan tentang paten produk. Juga...jawapan yang sama belum ada. Juri ini memberi galakan agar saya teruskan usaha untuk mengetengahkan model ini. Saya bermotivasi mendengar saranan beliau.



Inilah booth saya. Atas meja tu saya letakkan raga yang ada brosur, buku pelawat, artikel-artikel saya dan name card.

...


Kami menginap di bilik cabin dengan sewa satu malam sebanyak RM50 sahaja (nak jimat kos).

Sebelum tidur, saya suruh anak bertuah saya, Syarha doakan saya bawa balik sebarang medal...tak kisah apa medal sekalipun... Jiran booth saya yang sudah kerap masuk pertandingan inovasi, beliau menyatakan sekiranya kita dapat memenangi hati juri dengan mendapat apa-apa medal, bermakna kerja-kerja kita sudah mendapat pengiktirafan orang...ooooh gitu rupanya.

...

Jeng-jeng!         

Pada hari terakhir majlis penutup, pemenang Gold Medal dijemput ke atas pentas untuk menerima hadiah. Pemenang Silver dan Bronze perlu meneliti nama di paparan kertas di belakang dewan. Berlari-lari anak saya setelah mendengar pengumuman  tersebut. Dalam hati terus berdoa! Bukan menang untuk riak, tetapi ingin memeriksa model tersebut menepati kehendak juri tak..itu saja.

Saya mendapatkan paparan di kiri dewan dulu sebab di kanan terlalu ramai orang...tak nampak pula nama saya di situ. Lantas saya ke kanan pula...cari satu demi satu tak ada juga. Alahai...tak puas hati ni! Saya ke kiri semula, teliti satu persatu...bukan senang tau...tulisan yang dilekatkan di dinding tu..kecil! Dan kami para peserta berasak-asak untuk melihat nama masing-masing. Cuba bayangkan..kelam kabut juga.

Akhirnya, saya ternampak juga nama saya disenaraikan di bawah Anugerah Silver Medal. Alhamdulillah! Nasib baik Allah gerakkan hati saya untuk kembali ke kiri dewan meneliti nama-nama tersebut.

Nampak No 50 tu? hehe...Alahai..jenuh membelek baru nampak!


Silver Medal MPI '18



Syukur, Alhamdulillah!

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberi idea kepada pembaca sekiranya untuk menyertai pertandingan inovasi.

Selamat maju jaya.


"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Isnin, Jun 12, 2017

PhD : Perjalanan sunyi dan keseorangan?

Kita sering mendengar orang menyebut perjalanan pengajian PhD ini suatu perjalanan yang sunyi dan keseorangan. Justeru sangat sinonim, PhD juga menerima jolokan dengan pelbagai makna yang tersirat seperti Permanent head Damage, Pengajian Habis Dah dan juga Perjalanan Hati dan Doa.


Saya juga antara orang yang pernah mengalami situasi yang sama. Ada ketikanya agak sunyi dan keseorangan. Lalu, saya terfikir mengapa perasaan ini ‘dianugerahkan’ oleh Allah SWT kepada saya. Iya…tidak dinafikan jalan cerita dan lakaran ujian masing-masing di antara kita tidaklah sama. Namun, apa jua coretan suka dan duka dalam perjalanan ini akan berakhir dengan matlamat yang sama. Bukanlah sekadar berjaya menghabiskan pengajian ini dalam erti kata lain sekadar ingin memiliki sekeping ijazah yang membawa suatu gelaran. 

Bukan! Bukan itu sebenarnya nilaian ilmu yang dikutip sepanjang perjalanan ini. Ilmu yang diperoleh dengan cara digali melalui pembacaan buku, kajian, jurnal, menghadiri bengkel, konvensyen dan sebagainya hanyalah sekadar membantu kita memenuhi manuskrip tesis untuk keperluan akademik. Namun, ilmu yang ‘tersembunyi’ di sebalik pencarian tersebut adalah merupakan inti pati ilmu kehidupan yang amat berharga dan bernilai.

Kita merupakan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk melalui perjalanan ini. Pilihan Allah SWT itu sudah pastinya tepat! 


Bolehlah dianalogikan perjalanan pengajian ini ibarat memasuki suatu terowong yang panjang. Walaupun kita semua menuju suatu destinasi yang sama, namun jarak atau panjangnya terowong seseorang itu berbeza di antara satu sama lain. Usahlah kita merasa gusar dan berkeluh kesah apabila mengetahui terowong rakan kita lebih pendek perjalanannya daripada kita. Terlalu sukar dan subjektif untuk mengatakan bahawa panjang atau pendeknya jarak terowong seseorang itu bergantung kepada itu dan ini.

Di sepanjang perjalanan dalam terowong ini kita akan melewati pelbagai situasi. Ada kalanya tiada langsung cahaya yang menyinari, ada ketika pula kelihatan cahaya yang samar-samar dan mungkin bonus kepada kita apabila kita mendapat suluhan cahaya yang terang benderang daripada kiri dan kanannya. Dugaan melalui terowong yang gelap gelita ditambah pula dengan jalan yang retak dan berliku menyukarkan lagi perjalanan. Tentunya kita akan teraba-raba dan mungkin berkali-kali jatuh dan cuba bangun semula untuk meneruskan perjalanan. Hidup dalam terowong yang begitu gelap dan keseorangan sudah pasti membuatkan hati kita merasa terseksa. Jiwa kita bertambah derita apabila tiada seorang pun teman yang sudi menghulurkan tangan dan membimbing kita pada ketika itu.

Nah! Di sinilah kita temui jawapan mengapa perasaan sunyi dan keseorangan itu dialami.


Kita merasa sunyi kerana tiada teman yang kita rasakan boleh berkongsi kegusaran yang dialami. Kita sering mengeluh rasa sunyi ini, kita juga sering merasa resah dengan situasi yang dialami. Adalah menjadi suatu bebanan kepada kita sekiranya kita sibuk untuk menguruskan diri dan emosi kita sendiri tanpa memulangkan kembali urusan tersebut di bawah pentadbiran Allah.

Sebenarnya Allah SWT sengaja memberikan perasaan sunyi dan keseorangan itu agar kita dapat kembali ‘bersahabat’ denganNya. Maka, jalan paling awal untuk ‘bersahabat’ denganNya adalah melalui doa. Persediaan untuk berdoa pula adalah dengan menyediakan hati yang bersih dan ikhlas. Kita hendaklah sentiasa kita bersangka dengan sangkaan yang baik terhadap Allah SWT kerana Allah SWT akan berikan sesuatu mengikut sangkaan hambaNya.


Hati yang bersih dan ikhlas akan mengadu dan merintih kepada Allah SWT. Mengapa perlu lagi kita mengadu kepada Dia sedangkan kita sedia maklum bahawa jika kita tidak memberitahu dan mengadu sekalipun Allah sedia mengetahui. Allah bukan sekadar tahu dan mengetahui tetapi Allah Maha Mengetahui! Di sinilah rasa kecintaan kepada Allah, rasa ketaatan, rasa kehambaan dan keredaan atas pemberian Allah SWT. Perasaan sunyi ini adalah pemberian Allah. Maka uruslah ia dengan merujuk kembali kepada Dia.

Ganjaran yang bakal dikecapi bukanlah kerana berjaya menamatkan pengajian ini dengan jayanya sebaliknya mengecap nikmat perjalanan yang dilalui ini dengan penuh ketabahan dan kesabaran. PhD ini bukanlah hanya dimiliki oleh orang yang cerdik pandai tetapi ia dimiliki oleh mereka yang tabah dan sabar. Justeru, untuk mendapatkan skala ketabahan dan kesabaran yang tinggi memerlukan pengorbanan hati yang besar dan jiwa yang kental. Bersandar seluruh pergantungan dan harapan dengan jalinan perhubungan yang baik dengan Allah SWT.

Kita terlupa sebenarnya kita sedang berbahagia! Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menceritakan tentang kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu. Antaranya  Allah menjanjikan jalan yang mudah ke syurga, para malaikat melebarkan sayapnya dengan penuh redha, beroleh pahala seperti mengerjakan haji, mendapat kedudukan seperti orang-orang yang berjihad di jalan Allah dan diangkat darjat (kedudukan) dengan beberapa tingkatan. 

Oh ya…patutlah orang yang berada di luar ‘terowong’ melihat betapa bahagia dan indahnya kita yang sedang berada dalam ‘terowong’. Sedangkan pada hakikatnya, kita yang sedang berada dalam ‘terowong’ itu merasa sengsara dan dukacita kerana asyik menginginkan persahabatan dan pergantungan dengan makhluk.

Hidup kita tidak akan merasa sunyi lagi andainya kita rajin menyelak lembaranNya dan menghayati kalam-kalam yang berupa pesanan dan ingatan yang disampaikan kepada kita melalui Rasulullah SAW.  

Semoga menjadi ingatan dan bermanfaat buat yang diri yang menulis dan kepada semua yang sudi membacanya.


Salam Nuzul Al-Quran.



"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Isnin, Mei 29, 2017

Puisi Kasih Buat Anakanda Sayyidah Nur Syarha


Puisi ini divideokan ketika Syarha berusia hampir 2 tahun. 

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Khamis, Mei 11, 2017

Syarha Menjalani Prosedur angiogram Ke 3

Baru-baru ni Syarha melalui prosedur angiogram tapi saya tak ingat kali ini kali yang ke-3 atau kali yang ke-4... Maklumlah dah banyak kali anak syurga saya jalani prosedur ni sampai ummi pun terkonfius kejap...tak kisah lah kali yang ke berapa kan...

Dipendekkan cerita angiogram kali ni adalah untuk mengkaji kondisi jantung Syarha untuk menjalani pembedahan akan datang.


Sebaik sahaja 'check-in' di IJN, Syarha macam biasa ceria...happy je mood dia...Cuba tengok gambar ni...happy dia kan, tambah-tambah lagi dapat bermain dalam bilik mainan tu...





Belum puas bermain, nurse dah panggil untuk ambil bacaan SPO2, timbang berat dan buat ujian ECG. Masa dan ambil bacaan SPO2 dan timbang berat, Syarha tak ada masalah tapi bila nurse nak buat ujian ECG mula lah dia meragam. Traumatik pun ada...dia sangat takut jika badannya dipegang orang dan nak lekatkan benda-benda alah tu kat badan dia bukan lah sesuatu yang mudah. Akhirnya, saya dan suami kena keluar dari bilik pemeriksaan tu tinggalkan dia dengan nurse-nurse sahaja.

Di luar bilik abangnya Si Alang rasa tak puas hati dengan tindakan saya. 
"Sampai hati ummi tinggalkan adik macam tu saja dengan nurse, Ummi tak kesian ke pada adik? dengan sedih Alang bertanya kepada saya. Saya cakap, di luar kuasa ummi...nurse yang suruh ummi keluar... 
Ummi perlu ikut lah...kata ummi kepada Alang.

Mengalir airmata si Alang...sedih juga tengok Alang tapi salah satu skilled yang perlu pada seorang ibu adalah berhati 'kering'...

Berakhir satu satu babak mengambil bacaan ECG, Syarha direhatkan sekejap. Dapatlah bermain dalam setengah jam, namanya dipanggil lagi. Kali ni untuk buat 'line' pula di tangan. 

Hati sang ibu perlu lebih kental dari tadi. Mendengar suara jeritan dan tangisannya dari luar bilik prosedur amat meluluhkan jiwa seorang ibu. 
Tapi apakah daya...

Selepas keluar dari bilik prosedur, tangannya sudah kemas berbalut. Syarha menunjukkan tangannya yang sakit sambil mengadu dalam sisa esak tangis yang masih ada. 
Macam biasa, ummi pun pujuk lah... 


Akibat keletihan menangis dan menjerit menahan sakit, Syarha tertidur. Seketika kemudian, nurse pun datang memeriksa suhu badan... Demam pula Syarha. Hrmm...mungkin kerana terkejut dan keadaan dirinya yang masih fobia dengan suasana hospital.

Tika tidur sepanjang malam...Syarha asyik mengigau memanggil 'Abah' dan 'Alang...Umi pun menepuk, memujuk...
Ummi ada sayang di sisimu...

Syarha dinasihatkan oleh doktor agar mula berpuasa pada jam 3 pagi. Tapi, jenuh la ummi mengejutkan dia bangun jam 2.30 untuk minum susu, dia tak nak bangun...mengantuk katanya. Kali terakhir  Syarha minum susu pada jam 11.30 malam, itu pun 50ml jer...
Semoga anak ummi dapat bertahan sehingga prosedur dijalankan esok yer...


Pagi ni, Syarha bangun dengan ceria. Tapi jenuh juga memujuk untuk mandi dan bersedia untuk ke bilik prosedur angiogram. Jam 9 lebih Syarha dan mandi dan dah ready nak ke sana...

Tapi, dia tak mengerti apa-apa pun...
Ke mana nak dibawa...
Kenapa perlu pakai baju yang dibutangkan kat belakang...
Iya...dia masih tidak mengerti.
Lebih baik baginya tidak mengerti dan tak tahu apa-apa...

Inilah detik yang paling meluluhkan hati ummi!
Semasa ummi membawa Syarha ke bilik operation tu untuk dibius oleh pakar bius. Syarha tercengang-cengang, memerhatikan di sekeliling...peralatan yang besar-besar dalam bilik tu. Semuanya menimbulkan kehairanan buat dia...

Semasa pakar bius memasukkan ubat-ubat bius tu dan perlahan-lahan Syarha semakin lali...Di bibirnya terus memanggil...ummi....ummi...ummi....sehinggalah terlelap.

Allahu...moment ini tidak akan ummi lupakan sampai bila-bila. Biarpun Syarha telah melalui 2 kali major operation dan 3 kali prosedur angiogram, moment inilah yang meluluhkan jiwa seorang ibu.

Akhirnya, Syarha lemah dalam dakapan ummi. Matanya separa tutup....tak bermaya lagi dan pakar bius memaklumkan bahawa Syarha telah pun tidur sepenuhnya. Pakar bius menyuruh ummi dan abah mencium Syarha dan meninggalkan Syarha di katil itu.

Ummi mencium berkali-kali...airmata mengalir tanpa henti. Bagai empangan pecah lagaknya airmata yang keluar...

Ummi serahkan dirimu wahai anak kepada takdir Allah. Allah lah yang menjagamu sayang... 


Selepas 2 jam masa berlalu, nama Sayyidah Nur Syarha bt Mohamad Sukri dilaungkan oleh petugas bilik itu.

Ummi dan abah bergegas ke bilik tersebut. 
Di sebalik tabir biru, ummi mendengar suara kanak-kanak merintih...'Ummi...akit...ummi...akit'
Tapi suara tu ummi macam tak berapa cam sebab dengar macam suara yang agak serak. Ummi gagahi menyelak tabir biru...
'Ohh...suara anak ummi rupanya!'

Ummi pun merapati Syarha, mencium dan mengusap pipinya. Menepuk-nepuk badannya...
"Ummi di sini sayang...tidurlah...Ummi ada" Ummi menahan sebak sebenarnya! Tapi, Ummi sembunyikan kesedihan hati ummi tu...Ummi perlu kuat untukmu sayang!

Seketika sahaja...
Hrmm...bagaikan Syarha mendapat ubat tidur!
Syarha tertidur semula.

Sesekali terjaga, Syarha akan merintih sakit...mengadu sakit sambil matanya tertutup.

Tabahlah Duhai Anakku...




Selepas jam 6 petang Syarha dah boleh makan sebenarnya. Ummi cuba memberikan air masak dulu. Syarha minum seteguk dua dan tertidur semula.

Jam 8 malam Syarha terjaga semula dan mengadu lapar. Dia pun dah nak bangun dari tidur. 
Nak duduk...mungkin badannya dah lenguh sebab dah tidur lama.

Ummi pun offer beberapa jenis makanan, akhirnya Syarha cuma pilih roti gardenia kismis. Dapatlah dia habiskan 3/4 keping. Alhamdulillah...

Tengoklah anak bertuah ummi ni...dah boleh beri senyuman untuk Ummi.



Prosedur angiogram kali ni agak teruk sedikit daripada yang lepas-lepas. Kata doktor, disebabkan Syarha pernah menjalani pembedahan Glenn jadi angiogram kali ni mungkin akan dimasukkan melalui saluran di leher juga. Benar jangkaan doktor! Kali ni terdapat kesan tiga tempat, di kedua-dua belah pangkal paha dan di leher.


Keputusan angiogram ini membawa kepada kemungkinan dua pilihan prosedur untuk Syarha. Doktor dan pakar-pakar jantung akan bersidang untuk berbincang prosedur yang terbaik untuk Syarha. Sama ada untuk menjalankan pembedahan Right Ventrical Overhaul atau Fontan operation.




Ya Allah...Moga Allah sentiasa membuka jalan-jalan kebaikan untuk rawatan dan kesembuhan puteri pejuang jantung ini!




"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Ahad, April 16, 2017

Kesukaran Mengikhlaskan Kemaafan



Petang ini perkongsian Kelas Kaunseling Kekeluargaan akan menyambung Tajuk Stres Dalam Keluarga dan Pengurusannya Siri Ke 3.
Antara isu yang akan dibincangkan adalah Kesukaran Mengikhlaskan Kemaafan.
Kita sering mendengar orang berkata ‘Forgive but Not Forget’ – Memaafkan tetapi tidak melupakan’. Kata-kata tersebut seolah-olah telah memaafkan tetapi masih menyimpan rasa terluka dan tidak dapat melupakan perbuatan orang tersebut yang menyebabkan dirinya terluka. Ini yang bahaya kepada jiwa! Dalam pengertian lain, kata-kata tersebut membenarkan hatinya terus menyimpan rasa luka itu dan berdendam dengan kelukaan tersebut. Bahayanya perasaan ini kepada hati (qalb) yang mana Islam mencirikan sifat dendam itu tersenarai dalam senarai panjang sifat-sifat mazmumah yang dimiliki oleh hati yang kotor.
Untuk mencari bahagia kita tidak perlu mencari siapa yang bersalah, atau yang menyebabkan hidup kita menderita. Memaafkan dengan ikhlas orang yang telah menyakiti hati kita akan membuatkan hati kita menjadi tenang dan lapang. Memang ada yang berkata mudahlah untuk mengatakan begitu kerana merasakan terlalu sakit dan sukar untuk memaafkan. Iya...saya tidak menafikan...tetapi ia memerlukan latihan hati, latihan demi latihan. Practice makes perfect!
Mohonlah keampunan kepada Allah untuknya dan sikap itu membuatkan anda termasuk orang yang diberikan rahmat oleh Allah. Jika anda disakiti bererti anda sedang teraniaya. Orang yang teraniaya adalah orang yang sedang diuji sekali gus diberikan kemudahan oleh Allah. Allah memberikan dua pilihan membalas perbuatannya atau memaafkan. Jika anda tidak membalas tetapi bersabar dan memaafkan orang yang telah menyakiti anda maka Allah akan memberikan ampunan dosa-dosa anda dan Allah menganugerahkan kepada anda kehidupan yang lebih sihat, indah dan membahagiakan.
Pilihan terletak di tangan kita sendiri. Jika kita memilih kebahagiaan, kemaafan adalah sesuatu yang indah sebaliknya jika kita lebih suka berdendam, jiwa kita tidak kan damai dan sentiasa sesak seolah-olah ada yang menusuk di dada.
Di dalam al-Quran, terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah:
1. Mendapat keampunan daripada Allah SWT. “..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (An-Nuur [24] : 22)
 2. Mendapat redha Allah SWT. “...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”. (Asy-Syura [42] : 40)
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) (Surah Al- A’raf 7: Ayat 199)
Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” [HR Muslim]
“Orang yang paling sabar di antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Oh! Lupakan segalanya

Setelah memaafkan, jangan peduli apa yang telah berlaku sebaliknya teruskan perjalanan hidupmu dengan melupakan segala yang berlaku dan anggaplah ia satu pengalaman indah dalam hidup. Ingatlah, pasti ada yang lebih baik dalam aturan Allah di perhentian masa depan, jika tidak terus melangkah anda tidak akan sampai ke perhentian itu! Rancangan Allah maha sempurna, jangan calitkan dengan sedikit keraguan pun. Berdoalah agar diberi kekuatan, gantikan tangisan dengan senyuman dan ujian yang diberikan sebagai kekuatan untuk terus melangkah dan lebih dekat kepada- Nya. Sedarilah sesungguhnya, tiada yang lebih mengerti perasaan anda melainkan Allah SWT. Tiada yang lebih dekat dengan anda melainkan Allah jua. Maka mintalah dan mengadulah segalanya dalam sujud kepada-Nya. luahkan segala yang terbuku di dalam dada dan berserahlah kepadanya. Insya-Allah segala yang sukar akan dipermudahkan.
Namun, kemaafan haruslah dengan keikhlasan kerana tanpanya anda masih terasa buntu dalam menemui erti ketenangan sebenar. Muhasabahlah. Mungkin tanpa disedari ketika bibir laju memohon keampunan, kemaafan masih belum dihulur. Jadi bagaimana ketenangan dinikmati andainya masih lagi berbekas rasa marah dalam hati. Anda ingin Allah mengampunkan dosa, tetapi anda lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah, membuat mereka terluka.
Jika perasaan dendam masih lagi bertamu di hati anda, ‘nikmati’lah ia dalam tempoh masa yang sementara kerana hati anda yang pemaaf akan membuangnya tidak lama lagi. Percayalah! Dendam yang sementara adalah wajar dan normal kepada hati yang disakiti tetapi dendam yang berpanjangan menunjukkan anda memiliki rohani yang sakit. Berusahalah untuk mengubatinya.
Memaafkan bukan mudah selagi anda bernama manusia yang fitrahnya berteman khilaf, selalu kalah dengan ujian Allah SWT. Tidak mahu mengaku kalah sedangkan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah. Hati manusia seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dari-Nya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan. Jangan ingat yang membuatkan anda terluka itu kejam, sebaliknya anda lebih zalim kerana tidak mahu memaafkan.
Sedangkan Allah SWT, pemilik seluruh langit dan bumi, sedia mengampunkan hambanya sebagaimana sering ditegaskan dalam al-Quran bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mengapa anda sukar untuk memaafkan sedangkan kita hamba yang begitu kerdil dan tidak lepas daripada melakukan dosa? Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, mengapa harus kita mengeluh kesah? Percayalah, apabila memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang, tenang, damai dan lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasakan hati bersorak girang. Hati terasa bebas daripada dendam dan amarah kerana tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi.

Teknik Reframing


Gantikan corak pemikiran anda dengan frame (rangka pemikiran yang baru). Sebelum ini jika anda memikirkan kelukaan dan penganiayaan itu sebagai sesuatu yang menyakitkan tetapi gantikan dengan frame baru mengikut kesesuaian diri dan kehidupan anda. Biasanya praktis saya adalah memberi rangka berfikir yang baru kepada pemikiran saya seperti kesakitan dan kelukaan itu saya tukarkan kepada ilmu dan pengalaman yang bernilai dan berguna dalam kehidupan saya menjadi kaunselor. Apabila saya memberi pemikiran baru, kesakitan dan kelukaan itu akhirnya saya berjaya menterjemahkannya menjadi ilmu dan pengajaran dalam kehidupan yang amat bernilai sekali. Akhirnya, saya menerima peristiwa tersebut sebagai suatu ilmu yang bermanfaat. Pengalaman itu sebenarnya amat berguna, pengalaman itu juga sebagai guru kepada kehidupan yang bermakna.

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Isnin, November 21, 2016

JADILAH SEORANG YANG BAIK, MESKIPUN ENGKAU TIDAK DILAYAN DENGAN BAIK


Antara ungkapan Ibn al-Qayyim yang paling indah:
"Seseorang kawan rapat tidak berkongsi kesakitan denganmu, seorang kekasih tidak menanggung keperitanmu, seorang rakan karib tidak menggantikan tempatmu untuk berjaga malam.

Ambil beratlah tentang dirimu sendiri, jagalah ia, pimpinlah ia, jangan kamu layan peristiwa yang berlaku melebihi kadar yang sepatutnya.

Pastikan dengan sebenar-benarnya, ketika engkau bersedih, tiada yang boleh menenangkanmu kecuali dirimu sendiri. Ketika engkau tewas, tiada yang boleh memenangkanmu selain dirimu sendiri. Kemampuanmu untuk bangkit semula tiada yang memilikinya selain dirimu.

Janganlah kamu cari nilai diri kamu pada pandangan manusia. Carilah ia dalam jiwa kamu sendiri. Bila jiwa itu tenang, terangkatlah kedudukan. Bila kamu telah kenal diri kamu, maka apa yang dikatakan kepadamu tiada kesan mudaratnya lagi.

Usahlah kamu tanggung beban keresahan hidup di dunia kerana ia adalah milik Allah. Usah jua kamu pikul beban keresahan mencari rezeki kerana ia adalah dari Allah dan usahlah jua kamu pikul beban keresahan mengejar masa depan kerana ia adalah di Tangan Allah.

Yang perlu kamu pikul hanyalah satu beban keresahan sahaja, iaitu bagaimana hendak melakukan perkara yang meredhakan Allah, kerana bila engkau meredhakan Allah, Dia akan meredhaimu, mencukupi bagimu dan memadai untukmu.

Janganlah kamu berputus asa dengan kehidupan yang menyebabkan hatimu menangis. Sebaliknya, katakanlah: "Ya Allah! gantikanlah untukku dengan kedua2 kebaikan di dunia dan akhirat..

Kedukaan itu akan hilang dengan satu sujud. Manakala kegembiraan akan datang dengan satu seruan. Allah tidak akan sekali-kali melupakan kebaikan yang telah engkau buat atau keresahan yang telah engkau tolong hilangkan atau mata yang hampir menangis yang engkau tolong ceriakan.

Hiduplah di atas prinsip :
Jadilah seorang yang baik, meskipun engkau tidak dilayan dengan baik. Bukan kerana mereka. Tetapi kerana "Allah suka kepada orang yang baik".

Pesan berpesan dengan kebenaran, pesan berpesan dengan kesabaran.

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim