Memaparkan catatan dengan label Albert Ellis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Albert Ellis. Papar semua catatan

Ahad, April 16, 2017

Kesukaran Mengikhlaskan Kemaafan



Petang ini perkongsian Kelas Kaunseling Kekeluargaan akan menyambung Tajuk Stres Dalam Keluarga dan Pengurusannya Siri Ke 3.
Antara isu yang akan dibincangkan adalah Kesukaran Mengikhlaskan Kemaafan.
Kita sering mendengar orang berkata ‘Forgive but Not Forget’ – Memaafkan tetapi tidak melupakan’. Kata-kata tersebut seolah-olah telah memaafkan tetapi masih menyimpan rasa terluka dan tidak dapat melupakan perbuatan orang tersebut yang menyebabkan dirinya terluka. Ini yang bahaya kepada jiwa! Dalam pengertian lain, kata-kata tersebut membenarkan hatinya terus menyimpan rasa luka itu dan berdendam dengan kelukaan tersebut. Bahayanya perasaan ini kepada hati (qalb) yang mana Islam mencirikan sifat dendam itu tersenarai dalam senarai panjang sifat-sifat mazmumah yang dimiliki oleh hati yang kotor.
Untuk mencari bahagia kita tidak perlu mencari siapa yang bersalah, atau yang menyebabkan hidup kita menderita. Memaafkan dengan ikhlas orang yang telah menyakiti hati kita akan membuatkan hati kita menjadi tenang dan lapang. Memang ada yang berkata mudahlah untuk mengatakan begitu kerana merasakan terlalu sakit dan sukar untuk memaafkan. Iya...saya tidak menafikan...tetapi ia memerlukan latihan hati, latihan demi latihan. Practice makes perfect!
Mohonlah keampunan kepada Allah untuknya dan sikap itu membuatkan anda termasuk orang yang diberikan rahmat oleh Allah. Jika anda disakiti bererti anda sedang teraniaya. Orang yang teraniaya adalah orang yang sedang diuji sekali gus diberikan kemudahan oleh Allah. Allah memberikan dua pilihan membalas perbuatannya atau memaafkan. Jika anda tidak membalas tetapi bersabar dan memaafkan orang yang telah menyakiti anda maka Allah akan memberikan ampunan dosa-dosa anda dan Allah menganugerahkan kepada anda kehidupan yang lebih sihat, indah dan membahagiakan.
Pilihan terletak di tangan kita sendiri. Jika kita memilih kebahagiaan, kemaafan adalah sesuatu yang indah sebaliknya jika kita lebih suka berdendam, jiwa kita tidak kan damai dan sentiasa sesak seolah-olah ada yang menusuk di dada.
Di dalam al-Quran, terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah:
1. Mendapat keampunan daripada Allah SWT. “..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (An-Nuur [24] : 22)
 2. Mendapat redha Allah SWT. “...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”. (Asy-Syura [42] : 40)
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) (Surah Al- A’raf 7: Ayat 199)
Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” [HR Muslim]
“Orang yang paling sabar di antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Oh! Lupakan segalanya

Setelah memaafkan, jangan peduli apa yang telah berlaku sebaliknya teruskan perjalanan hidupmu dengan melupakan segala yang berlaku dan anggaplah ia satu pengalaman indah dalam hidup. Ingatlah, pasti ada yang lebih baik dalam aturan Allah di perhentian masa depan, jika tidak terus melangkah anda tidak akan sampai ke perhentian itu! Rancangan Allah maha sempurna, jangan calitkan dengan sedikit keraguan pun. Berdoalah agar diberi kekuatan, gantikan tangisan dengan senyuman dan ujian yang diberikan sebagai kekuatan untuk terus melangkah dan lebih dekat kepada- Nya. Sedarilah sesungguhnya, tiada yang lebih mengerti perasaan anda melainkan Allah SWT. Tiada yang lebih dekat dengan anda melainkan Allah jua. Maka mintalah dan mengadulah segalanya dalam sujud kepada-Nya. luahkan segala yang terbuku di dalam dada dan berserahlah kepadanya. Insya-Allah segala yang sukar akan dipermudahkan.
Namun, kemaafan haruslah dengan keikhlasan kerana tanpanya anda masih terasa buntu dalam menemui erti ketenangan sebenar. Muhasabahlah. Mungkin tanpa disedari ketika bibir laju memohon keampunan, kemaafan masih belum dihulur. Jadi bagaimana ketenangan dinikmati andainya masih lagi berbekas rasa marah dalam hati. Anda ingin Allah mengampunkan dosa, tetapi anda lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah, membuat mereka terluka.
Jika perasaan dendam masih lagi bertamu di hati anda, ‘nikmati’lah ia dalam tempoh masa yang sementara kerana hati anda yang pemaaf akan membuangnya tidak lama lagi. Percayalah! Dendam yang sementara adalah wajar dan normal kepada hati yang disakiti tetapi dendam yang berpanjangan menunjukkan anda memiliki rohani yang sakit. Berusahalah untuk mengubatinya.
Memaafkan bukan mudah selagi anda bernama manusia yang fitrahnya berteman khilaf, selalu kalah dengan ujian Allah SWT. Tidak mahu mengaku kalah sedangkan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah. Hati manusia seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dari-Nya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan. Jangan ingat yang membuatkan anda terluka itu kejam, sebaliknya anda lebih zalim kerana tidak mahu memaafkan.
Sedangkan Allah SWT, pemilik seluruh langit dan bumi, sedia mengampunkan hambanya sebagaimana sering ditegaskan dalam al-Quran bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mengapa anda sukar untuk memaafkan sedangkan kita hamba yang begitu kerdil dan tidak lepas daripada melakukan dosa? Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, mengapa harus kita mengeluh kesah? Percayalah, apabila memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang, tenang, damai dan lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasakan hati bersorak girang. Hati terasa bebas daripada dendam dan amarah kerana tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi.

Teknik Reframing


Gantikan corak pemikiran anda dengan frame (rangka pemikiran yang baru). Sebelum ini jika anda memikirkan kelukaan dan penganiayaan itu sebagai sesuatu yang menyakitkan tetapi gantikan dengan frame baru mengikut kesesuaian diri dan kehidupan anda. Biasanya praktis saya adalah memberi rangka berfikir yang baru kepada pemikiran saya seperti kesakitan dan kelukaan itu saya tukarkan kepada ilmu dan pengalaman yang bernilai dan berguna dalam kehidupan saya menjadi kaunselor. Apabila saya memberi pemikiran baru, kesakitan dan kelukaan itu akhirnya saya berjaya menterjemahkannya menjadi ilmu dan pengajaran dalam kehidupan yang amat bernilai sekali. Akhirnya, saya menerima peristiwa tersebut sebagai suatu ilmu yang bermanfaat. Pengalaman itu sebenarnya amat berguna, pengalaman itu juga sebagai guru kepada kehidupan yang bermakna.

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Rabu, Februari 10, 2010

Teori Rasional Emotif Behavioral Terapi

Tokoh Teori

Teori Rasional Emotif Terapi telah diasaskan oleh Albert Ellis. Beliau dilahirkan pada tahun 1913 di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Teori ini terbina apabila beliau mendapati bahawa teori Psikoanalasis yang dipelopori oleh Freud tidak mendalam dan adalah satu bentuk pemulihan yang tidak saintifik. Pada awal tahu 1955, beliau telah menggabungkan terapi-terapi kemanusiaan, fisolofikal dan tingkah laku dan dikenali sebagai teori emosi-rasional (RET). Semenjak itu beliau terkenal sebagai bapa kepada teori RET dan datuk kepada teori tingkah laku kognitif.

Meninjau kepada zaman kanak-kanak Ellis, beliau sering mengalami gangguan kesihatan. Beliau pernah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan nefritis sebanyak 9 kali. Tetapi Ellis seorang yang bercita-cita tinggi iaitu ingin menjadi seorang pakar psikologi. Beliau mempunyai kebolehan dalam memberikan perkhidmatan kaunseling. Oleh itu beliau mula mempraktikkan terapi perkahwinan, keluarga dan seks. Pada tahun 1947 hingga 1953 Ellis telah menjalankan kajian secara klasikal berasaskan psikoterapi. Hasil kajian mendapati bahawa terapi psikoanalisis tidak begitu menyeluruh dan tidak saintifik.

Ellis berpendapat pendekatan yang dibawakan oleh Freud kurang lengkap kerana ada orang yang bertambah teruk selepas menjalani pendekatan psikoanalisis. Hipotesis RET berdasarkan bahawa emosi berpunca daripada kepercayaan, penilaian, interpretasi dan tindakan daripada situasi kehidupan. Di dalam proses teraputik emosi-rasional, klien mempelajari kemahiran yang akan digunakan untuk mengenal dan memerangi kepercayaan yang telah tertanam lama di dalam diri seseorang. Ini disebabkan oleh teori ini lebih bersifat ‘pendidikan’ daripada perubatan yang direka dalam keadaan di mana kaunselornya aktif terarah dengan tepat dan mengajar. Ellis terkenal dengan bukunya yang bertajuk ‘Reason and Emotion In Psychotherapy’ dan bersama-sama dengan Robert A Harper beliau mengeluarkan buku berjudul ‘A Guide to Rational Living’.
Pendekatan Teori

RET juga dikenali sebagai Terapi A-B-C yang mana merupakan suatu teori yang mempunyai kelainan dengan teori-teori yang lain terutamanya Teori Psikoanalisis, Teori Pemusatan Insan, Gestalt dan lain-lain lagi. Ini disebabkan oleh teori ini mementingkan tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan aspek tingkah laku. Teori ini memberi penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan membuat keputusan. Pendekatan teori ini bercorak deduktif atau mengajar, mengarah dan mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional.

Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai sistem kepercayaan yang tidak rasional. Kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat mewujudkan sistem kepercayaan yang baik dan rasional. Dalam konteks ini ia merupakan satu sistem pendidikan semula yang mengajar individu untuk melihat semula sistem kepercayaan yang membuatkan dirinya menderita dengan menggantikan semula dengan satu set kepercayaan yang membawa kesejahteraan dan kebahagiaan pada diri seseorang individu dan seterusnya kepada orang yang signifikan dengannya.

Prinsip terapi RET boleh digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain dalam kehidupan dan juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Fokus prinsip ini adalah kepada pemikiran dan tindakan, bukan hanya mengikut perasaan. Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran kerana fungsi kaunselor yang berbagai-bagai. Kadang kala kaunselor bertindak sebagai seorang guru, yang memberi tugasan kepada pelajar iaitu klien dalam konteks terapi ini.

Teori Ellis ini berasaskan andaian bahawa individu-individu mempunyai keupayaan bertindak sama ada dalam bentuk rasional mahupun tidak rasional. Tingkah laku rasional ialah dilihat sebagai keberkesanan dan kemungkinan produktif, manakala tingkah laku yang tidak rasional pula hasilnya dalam keadaan tidak gembira dan menghasilkan ‘output’.
Menurut J Blackham dalam Muhd Mansur Abdullah (1997), dua tujuan utama RET iaitu; pertama, mendemonstrasikan pada klien bahawa berkata-kata kepada diri sendiri itu adalah akibat daripada gangguan; dan kedua, menilai kembali berkata dalam diri demi menghapuskannya dan menolak semua idea yang tidak logik. Dalam buku-buku Ellis seperti The Art And Science Of Love, The Intelligent Woman’s Guide To Man-Hunting, Humanistic Psychotherapy dan The Rational-Emotive Approach banyak menggambarkan sifat manusia. Misalnya, kemampuan manusia berfikir sesuatu melalui proses-prosesnya. Ellis menggalakkan manusia supaya menganggap diri mereka adalah berkebolehan. Dia yakin jika manusia boleh menggunakan rasional mereka dalam mentadbir diri, maka tidak ada lapangan dalam kehidupan mereka yang tidak boleh diperbaiki.

Menurut Muhd Mansur Abdullah (1997), dalam melahirkan teorinya Ellis banyak menggunakan sistem-sistem psikologi dan falsafah iaitu menggabungkan intipati Falsafah Stoic, Psikoanalisis Freud, Psikologi Individu Alfred Adler dan Orientasi tingkah laku Pavlov dan Wolpe. Semua sistem itu membantunya meneguhkan lagi teori dan pendekatannya. Sebab itulah Ellis menekankan: “When people emote they also think and act. When they act, they also think and emote. When they think, they also emote and act. To understand self-defeating behavior , one must understand how a person feels, thinks, perceives and acts”.


Pandangan Teori Terhadap Manusia

George dan Cristiani (1995) telah mengandaikan bahawa manusia bertindak sebagai penilai, perunding dan pengawal diri. Gangguan emosi dan tingkah laku akan bermula apabila manusia menganggap beberapa keutamaan seperti keinginan untuk disayangi, diperakui kejayaan dan menganggap keutamaan tersebut sebagai keperluan yang utama. RET juga memandang bahawa manusia dilahirkan dengan beberapa kecenderungan ke arah perkembangan dan pengiktirafan diri tetapi mereka akan mengkhianatinya disebabkan oleh kecenderungan untuk berfikir tidak rasional dan contoh-contoh mengalah diri yang telah mereka pelajari.

Gerald Corey (1996) menjelaskan bahawa terapi RET berlandaskan kepada andaian bahawa manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikiran secara rasional dan tidak rasional. Manusia berupaya untuk memelihara dirinya, bergembira, berfikir, menterjemahkan diri, sayang menyayangi, berkomunikasi dengan orang lain, berkembang dan mengiktiraf diri sendiri. Manusia juga berkecenderungan untuk merosakkan dirinya, tidak mahu berfikir, suka menangguh untuk membuat sesuatu, mengulangi kesilapan, tidak sabar, mementingkan kesempurnaan semata-mata, selalu menyalahkan diri sendiri, cuba mengelakkan pengikhtirafan dan pertumbuhan potensi. Fenomena ini meyakinkan terapi ini dapat membantu manusia untuk menerima kembali diri mereka sendiri setelah melakukan kesilapan dan belajar untuk hidup lebih harmonis.

Hackey dan Cormier (1995) berpendapat bahawa RET, membuat andaian tentang gangguan emosi manusia adalah disebabkan oleh pemikiran yang tidak rasional. Hubungan antara emosi dan pemikiran terlalu rapat sehingga tidak boleh dipisahkan kedua-duanya. Manusia juga dilahirkan dengan suatu potensi untuk berfikiran secara lurus dan rasional dan juga secara tidak rasional. Manusia sendirilah yang menyebabkan dirinya merasa terganggu dan gangguan itu bukanlah disebabkan oleh sumber-sumber luaran tetapi berpunca dari diri individu itu sendiri.

Manusia mempunyai keupayaan untuk mengubah proses-proses kognitif, emotif dan tingkah lakunya. Mereka boleh memilih untuk bertindak dengan cara yang berlainan daripada pola tingkah laku yang normal. Mereka juga boleh memilih untuk tidak membenarkan dirinya terganggu dan boleh melatih diri untuk mengalami gangguan yang minimun selagi hayat masih ada.

Ee Ah Meng (1991) berpendapat bahawa terapi RET yang dikembangkan oleh Ellis dalam tahun 1950 an adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa manusia perlu mengubah cara berfikir supaya boleh memperbetulkan pemikiran yang tidak rasional. Baginya manusia dilahirkan dalam dunia yang tidak rasional dan manusia menjadi semakin tidak rasional apabila berada dalam sistem kepercayaan mereka.

Suradi Salim (1996) mengandaikan bahawa manusia berupaya untuk berfikiran rasional dan tidak rasional. Dalam pemikiran seseorang individu terdapat sistem kepercayaan yang berkecenderungan untuk berfikir ke arah tidak rasional. Apabila sesuatu peristiwa terjadi maka individu itu selalu mengandaikan suatu kepercayaan terhadap peristiwa tersebut sama ada ianya baik atau sebaliknya. Manusia juga sering mempercayai tahyul yang menyebabkan mereka membuat sesuatu keputusan yang tidak mengembirakan. Oleh itu kaunselor perlu bertanggungjawab untuk mewujudkan sistem kepercayaan individu tersebut supaya menjadi rasional bagi membantunya memperolehi kehidupan yang lebih harmonis.

Bagi menerangkan dengan jelas bagaimana gangguan emosi dan fikiran berlaku maka kita akan menggunakan konsep ABCDE yang telah dinyatakan oleh Ellis iaitu :
• A ialah penggerak pengalaman activating experience atau peristiwa, faktor sikap atau tingkah laku yang dialami oleh seseorang. Misalnya gagal dalam peperiksaan.
• B ialah sistem kepercayaan yang dianuti oleh seseorang person’s belief system. Misalnya, “saya tidak kelihatan cantik atau hodoh”
• C ialah akibat consequence iaitu hasil daripada penilaian oleh B akan A dan ditafsirkannya. Misalnya, sentiasa keadaan muram dan tidak bersemangat.
• D ialah kaedah-kaedah untuk berhujah, mengajar, mencabar dan memperbetulkan sistem kepercayaan yang tidak rasional yang menyebabkan individu itu mengalami suatu reaksi emosi yang tidak rasional. Misalnya, “Saya tidak mahu kamu yang menyebabkan saya mengalami kerugian besar dalam hidup saya”.
• E ialah menjadi normal dan mempunyai sistem kepercayaan dan penilaian yang rasional dan positif. Misalnya Saya rasa gembira.

Corey (1996) menjelaskan bahawa konsep ABC dalam teori RET adalah seperti berikut; Menurut beliau, prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian besarnya akibat daripada hasil pemikiran tidak rasional dan pemikiran kalah diri. Hasil daripada pemkiran ini menyebabkan seseorang individu itu suka menyatakan sesuatu dengan perkataan ‘sepatutnya’, ‘seharusnya’ dan ‘semestinya’. Dari perspektif RET, ramai terapis telah membuat kesilapan keran memfokuskan kepada sejarah hidup yang lampau dan cara tindakan ialah semua peristiwa masa kanak-kanak boleh diubah. Terdapat juga terapis melakukan kesilapan dengan terlalu menekankan dalam usaha klien mengenal diri, meluahkan perasaan dan perubahan pemikiran. Keadaan ini mendorong klien melupakan peristiwa awal kanak-kanak dan menumpukan pemikiran sekarang. Bagi Ellis cara ini tidak produktif kerana sesuatu yang menyebabkan emosional tidak akan hilang malah ia akan menambahkan lagi kehebatan perasaan tersebut.

Oleh itu bagi Ellis , terapis dan klien perlu bekerjasama untuk mencabar kepercayaan tidak rasional yang mengakibatkan gangguan emosional. Mereka perlu menuju ke arah mengubah perkara yang tidak realiti, tidak matang, terlalu menuntut dan tidak lojik kepada pemikiran yang logik, matang dan realistik.

Teori personaliti ABC berpusat kepada terapi RET dan dipraktikkan ;
A = kenyataan , cara bertingkah laku atau perlakuan seseorang
individu.
C = ialah emosional dan akibat atau tindakan dan tingkah
laku individu. Tindakan ini boleh jadi sesuai atau sebaliknya.
B =(Peristiwa) bukan menyebabkan C (akibat emosional) sebaliknya
B, di mana individu percaya tentang A menyebabkan C.

Sebagai contoh : Seseorang yang mengalami kesedihan selepas diceraikan oleh suaminya. Kesedihan terjadi bukan kerana penceraian yang menyebabkan kesdihan tetapi kepercayaan individu itu tentang kegagalan kerana ditolak atau kehilangan pasangannya. Ellis telah menegaskan bahawa sebab utama kesedihan ialah bukan kerana peristiwa diceraikan (A). Oleh yang demikian manusia bertanggungjawab tentang kewujudan tindakan emosional dan gangguan. Ellis telah menunjukkan bagaimana manusia boleh mengubah kepercayaan tidak rasional secara langsung menyebabkan akibat gangguan emosional dirinya.
Bagaimanakah emosional yang terganggu itu timbul? Dalam hal ini , Ellis telah menjelaskan bahawa individu yang mengalami gangguan kerana sentiasa berterusan mengulangi ayat-ayat yang tidak logikal.Misalnya , individu itu berkata : “Saya sangat kecewa dengan kegagalan peperiksaan ini. Kegagalan saya semuanya berpunca dari kesilapan saya sendiri. Saya adalah merupakan manusia yang paling bodoh”

Gangguan emosi ini menyebabkan wujudnya depresi dan anxieti. Keadaan ini akan mengakibatkan individu itu akan kekal berpegang dengan kepercayaan yang tidak rasional itu.
Selepas itu keperluan D pula ialah mengaplikasi secara saintifik bagi membantu klien mencabar sistem kepercayaannya yang tidak rasional. Ellis dan Benard (1986) telah mengkategorikan 3 komponen dalam proses mencabar klien iaitu:
i. Mengesan iaitu klien akan belajar bagaimana mengesan kepercayaan tidak rasionalnya terutamanya sikap yang terlalu sempurna ‘patut’, ‘mesti’, ‘tersangat teruk’ atau ‘kalah diri’ .
ii. Selepas itu klien akan belajar mempersoalkan kepercayaan yang menyekatnya selama ini.
iii. Kemudian klien akan belajar mendikriminasikan kepercayaan yang tidak rasional (self defeating) dan mempercayai akan kepercayaan yang rasional (self helping).


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"