Kita sering mendengar orang menyebut perjalanan pengajian PhD ini suatu perjalanan yang sunyi dan keseorangan. Justeru sangat sinonim, PhD juga menerima jolokan dengan pelbagai makna yang tersirat seperti Permanent head Damage, Pengajian Habis Dah dan juga Perjalanan Hati dan Doa.
Saya juga antara orang yang pernah mengalami situasi yang sama. Ada ketikanya agak sunyi dan keseorangan. Lalu, saya terfikir mengapa perasaan ini ‘dianugerahkan’ oleh Allah SWT kepada saya. Iya…tidak dinafikan jalan cerita dan lakaran ujian masing-masing di antara kita tidaklah sama. Namun, apa jua coretan suka dan duka dalam perjalanan ini akan berakhir dengan matlamat yang sama. Bukanlah sekadar berjaya menghabiskan pengajian ini dalam erti kata lain sekadar ingin memiliki sekeping ijazah yang membawa suatu gelaran.
Bukan! Bukan itu sebenarnya nilaian ilmu yang dikutip
sepanjang perjalanan ini. Ilmu yang diperoleh dengan cara digali melalui
pembacaan buku, kajian, jurnal, menghadiri bengkel, konvensyen dan sebagainya
hanyalah sekadar membantu kita memenuhi manuskrip tesis untuk keperluan
akademik. Namun, ilmu yang ‘tersembunyi’ di sebalik pencarian tersebut adalah merupakan
inti pati ilmu kehidupan yang amat berharga dan bernilai.
Kita merupakan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk melalui perjalanan ini. Pilihan Allah SWT itu sudah pastinya tepat!
Bolehlah dianalogikan perjalanan pengajian ini ibarat memasuki suatu terowong
yang panjang. Walaupun kita semua menuju suatu destinasi yang sama, namun jarak atau panjangnya terowong seseorang itu berbeza di antara satu sama lain. Usahlah
kita merasa gusar dan berkeluh kesah apabila mengetahui terowong rakan kita
lebih pendek perjalanannya daripada kita. Terlalu sukar dan subjektif untuk
mengatakan bahawa panjang atau pendeknya jarak terowong seseorang itu bergantung kepada
itu dan ini.
Di sepanjang perjalanan dalam terowong ini kita
akan melewati pelbagai situasi. Ada kalanya tiada langsung cahaya yang
menyinari, ada ketika pula kelihatan cahaya yang samar-samar dan mungkin bonus
kepada kita apabila kita mendapat suluhan cahaya yang terang benderang daripada
kiri dan kanannya. Dugaan melalui terowong yang gelap gelita ditambah pula
dengan jalan yang retak dan berliku menyukarkan lagi perjalanan. Tentunya kita
akan teraba-raba dan mungkin berkali-kali jatuh dan cuba bangun semula untuk
meneruskan perjalanan. Hidup dalam terowong yang begitu gelap dan keseorangan
sudah pasti membuatkan hati kita merasa terseksa. Jiwa kita bertambah derita
apabila tiada seorang pun teman yang sudi menghulurkan tangan dan membimbing
kita pada ketika itu.
Nah! Di sinilah kita temui jawapan mengapa perasaan sunyi dan keseorangan itu dialami.
Kita merasa sunyi kerana tiada teman yang kita
rasakan boleh berkongsi kegusaran yang dialami. Kita sering mengeluh rasa sunyi
ini, kita juga sering merasa resah dengan situasi yang dialami. Adalah menjadi
suatu bebanan kepada kita sekiranya kita sibuk untuk menguruskan diri dan emosi
kita sendiri tanpa memulangkan kembali urusan tersebut di bawah pentadbiran
Allah.
Sebenarnya Allah SWT sengaja memberikan perasaan sunyi dan keseorangan itu agar kita dapat kembali ‘bersahabat’ denganNya. Maka, jalan paling awal untuk ‘bersahabat’ denganNya adalah melalui doa. Persediaan untuk berdoa pula adalah dengan menyediakan hati yang bersih dan ikhlas. Kita hendaklah sentiasa kita bersangka dengan sangkaan yang baik terhadap Allah SWT kerana Allah SWT akan berikan sesuatu mengikut sangkaan hambaNya.
Hati yang bersih dan ikhlas akan mengadu dan merintih kepada Allah SWT. Mengapa perlu lagi kita mengadu kepada Dia sedangkan kita sedia maklum bahawa jika kita tidak memberitahu dan mengadu sekalipun Allah sedia mengetahui. Allah bukan sekadar tahu dan mengetahui tetapi Allah Maha Mengetahui! Di sinilah rasa kecintaan kepada Allah, rasa ketaatan, rasa kehambaan dan keredaan atas pemberian Allah SWT. Perasaan sunyi ini adalah pemberian Allah. Maka uruslah ia dengan merujuk kembali kepada Dia.
Ganjaran yang bakal dikecapi bukanlah kerana
berjaya menamatkan pengajian ini dengan jayanya sebaliknya mengecap nikmat
perjalanan yang dilalui ini dengan penuh ketabahan dan kesabaran. PhD ini
bukanlah hanya dimiliki oleh orang yang cerdik pandai tetapi ia dimiliki oleh
mereka yang tabah dan sabar. Justeru, untuk mendapatkan skala ketabahan dan
kesabaran yang tinggi memerlukan pengorbanan hati yang besar dan jiwa yang
kental. Bersandar seluruh pergantungan dan harapan dengan jalinan perhubungan
yang baik dengan Allah SWT.
Kita terlupa sebenarnya kita sedang berbahagia!
Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menceritakan tentang kelebihan
orang-orang yang menuntut ilmu. Antaranya
Allah menjanjikan jalan yang mudah ke syurga, para malaikat melebarkan
sayapnya dengan penuh redha, beroleh pahala seperti mengerjakan haji, mendapat
kedudukan seperti orang-orang yang berjihad di jalan Allah dan diangkat darjat
(kedudukan) dengan beberapa tingkatan.
Oh ya…patutlah orang yang berada di luar
‘terowong’ melihat betapa bahagia dan indahnya kita yang sedang berada dalam
‘terowong’. Sedangkan pada hakikatnya, kita yang sedang berada dalam ‘terowong’ itu
merasa sengsara dan dukacita kerana asyik menginginkan persahabatan dan
pergantungan dengan makhluk.
Hidup kita tidak akan merasa sunyi lagi
andainya kita rajin menyelak lembaranNya dan menghayati kalam-kalam yang berupa pesanan dan ingatan yang disampaikan kepada
kita melalui Rasulullah SAW.