Pengenalan
Fenomena yang sering menjadi bahan paparan akhbar mahupun di kaca televisyen sejak akhir-akhir ini adalah merupakan gejala yang tidak sihat yang kian menular di dalam masyarakat. Sumbang mahram sudah tidak menjadi suatu kejutan atau sesuatu yang pelik berlaku kerana saban hari kita membaca akhbar pasti terbaca berita-berita yang seumpama ini. Ini tidak bermakna jenayah ini hanya berlaku sejak akhir-akhir ini tetapi ia sebenarnya sudah lama wujud pada masa lampau. Ini disebabkan oleh kemungkinan mangsa tidak berani atau tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk tampil membuat aduan. Berbanding dengan masa sekarang kemudahan media massa dan media elektronik secara berleluasa memudahkan mangsa mendapat maklumat yang sewajarnya dan mempunyai pengetahuan untuk bertindak bagi mendapat perhatian orang ramai.
Sumbang mahram (incest) adalah pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah atau dari konteks Islamnya ialah muhrim atau mahram. Pencabulan seks di sini bermaksud sebarang kegiatan seksual yang tidak difahami dan tidak rela oleh mangsa perlakuan seks atau perlakuan seks yang melanggar norma sosial. Ia termasuklah mulut-kemaluan (oral-genital), dubur-kemaluan (oral-genital) iaitu liwat, kemaluan-kemaluan (genital-genital) antara orang dewasa dan kanak-kanak, onani bersama, mendedahkan kemaluan (exhibitionism) dan menggunakan kanak-kanak untuk pornografi.
Wujudnya masalah sosial ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti pendidikan agama, moral serta kurangnya pengetahuan yang mendalam mengenai isu seksual bagi mangsa dan kurangnya pengetahuan tentang hukuman yang bakal diterima bagi pemangsa. Faktor tekanan dalam diri individu itu sendiri dan persekitaran dalam lingkungan yang mendorong perbuatan tersebut juga kadang kala memberi sumbangan dalam tercetusnya fenomena terkutuk ini. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati gejala ‘bapa haruan’ semakin menular dalam masyarakat di negara ini didapati berpunca daripada beberapa faktor termasuklah kegagalan isteri memberi kepuasan batin kepada suami tetapi enggan membenarkannya berkahwin lain dan suami yang kurang beriman menjadi hilang pedoman dan pertimbangan lantaran kongkongan isteri tersebut lalu mencari jalan keluar yang kotor dengan menodai anak atau cucu sendiri.
Kesinambungan kesan daripada fenomena negatif ini adalah menjurus kepada mangsa itu sendiri. Mangsa yang mengandung akibat hubungan sumbang mahram mengalami trauma jiwa yang teruk. Mangsa juga menunjukkan tingkah laku dan perwatakan seperti perubahan emosi, ketakutan, gelisah, pemarah, agresif, dendam dan lain-lain lagi. Perubahan psikologi ini akan berlarutan pada peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat remaja atau dewasa.
Semakin kerajaan mempertingkatkan usaha bagi membanteras gejala ini, semakin banyak pula kes-kes yang terbongkar dalam masyarakat. Adakah hukuman yang sedia ada tidak cukup untuk menggerunkan pelaku sumbang mahram. Masyarakat yang mempunyai nilai hidup yang tinggi merasa janggal dan jelik untuk membicarakan isu ini kerana ia melibatkan maruah dan kehormatan keluarga itu sendiri. Tetapi persoalannya sampai bilakah masalah ini akan terus membelenggu masyarakat kita dan berapa ramai lagikah anak-anak yang tidak berdosa akan menjadi habuan seorang ayah, abang, datuk atau sesiapa yang diharap untuk melindunginya tetapi mengkhianatinya pula. Bagi mangsa pula siapakah manusia yang boleh dipercayainya lagi setelah dikhianati oleh keluarga sendiri?
Dapatan Permasalahan
Tajuk artikel : An Explotarory Study of Incest in Malaysia : Investing Intrafamilial Sexual Abuse Among Inmates in a State Prison
Artikel ringkas ini merupakan kajian yang dibuat oleh beberapa orang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan seorang dari Universiti Putra Malaysia. Pengkaji-pengkaji ini mempunyai bidang kepakaran masing-masing iaitu dari sudut Psikologi, Sosiologi dan Antropologi, Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Kaunseling, Pediatrik dan Usuluddin.
Dalam kajian yang dibuat, mereka memfokuskan fenomena sumbang mahram dari perspektif pesalah atau pelaku itu sendiri berbanding dahulu kajian lebih menjurus kepada perspektif mangsa. Melalui kajian ini 10 orang banduan telah ditemuduga bagi mengenalpasti faktor-faktor penyebab, fakta dan tingkah laku pelaku itu sendiri. Dapatan kajian mendapati kesemua pesalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah iaitu pekerjaan mereka sebelum itu ialah sebagai pemandu, buruh dan pelbagai pekerjaan lain seperti di dalam bidang perindustrian. Majoriti daripada pesalah itu tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Rata-rata mereka hanya tamat pada pendidikan rendah. Daripada 10 orang pesalah yang ditemuduga itu, 7 daripada mereka adalah bapa kandung, 2 adalah bapa saudara dan baki yang seorang itu adalah datuk kepada mangsa. Kajian mendapati 10 daripada pesalah, 7 adalah penganut Islam, seorang adalah penganut Buddha dan 2 orang lagi adalah penganut agama Hindu. Antara faktor-faktor situasi yang menyumbang pelaku melakukan jenayah ini adalah berseorangan bersama mangsa, peminum arak, penceraian dan tekanan hidup.
Berdasarkan artikel tersebut, dapatlah dihuraikan faktor-faktor seperti yang telah dinyatakan di atas :
1. Faktor Kurang Pendidikan
2. Faktor Ekonomi dan Kemiskinan
3. Faktor Individu dan Situasi
1. Faktor Kurang Pendidikan
Dengan hanya mempunyai kelulusan setakat Darjah 3 atau Darjah 6 sahaja sudah tentu seseorang itu tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan yang luas dari segala aspek terutama sekali pengetahuan tentang hukuman yang bakal dihadapi dan kesan daripada perlakuannya. Tindakan dan perilaku di antara seseorang yang berilmu dengan seseorang yang tidak adalah jelas sekali berbeza. Allah telah menjelaskan perbandingan di antara orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan kepada beberapa darjat.”
(Surat Al-Mujadillah:Ayat 11)
Mungkin ada di kalangan pesalah ini mengetahui akan hukuman yang bakal dikenakan tetapi mereka kurang jelas tentang sejauh mana bentuk hukuman yang akan dikenakan. Tetapi setelah beberapa kes yang telah berjaya dibongkarkan, saya pasti ramai di kalangan kaum lelaki yang sudah jelas dengan hukuman itu. Persoalannya walaupun sudah mengetahui akan hukuman-hukuman tersebut mengapa masih terdapat lagi kes haruan makan anak? Adakah mereka yang tidak melakukan sumbang mahram merupakan golongan yang hanya takut kepada hukuman yang ditetapkan? Saya akan mengupas dengan lebih lanjut lagi persoalan ini dibawah tajuk sejauh mana keberkesanan akta dan hukuman.
Saya kurang bersetuju jika ada pihak yang mengatakan punca yang menyebabkan fenomena jijik ini berlaku disebabkan oleh ceteknya pengetahuan ilmu agama. Ledakan maklumat dari sumber-sumber media-massa dan media elektronik turut memenuhi segenap pelusuk tanah air termasuklah ke kawasan pedalaman. Pengetahuan itu merupakan pengetahuan asas bagi setiap manusia. Contohnya sebagai seorang Islam, sembahyang itu adalah wajib dan jika meninggalkannya adalah berdosa. Konsepnya adalah sama dengan sumbang mahram, saya percaya semua masyarakat di Malaysia yang menjadi bapa mengetahui bahawa adalah berdosa atau haram melakukan zina apatah lagi menodai anak sendiri. Biasanya pelaku akan melakukan perbuatan keji ini secara sembunyi-sembunyi atau curi-curi dan kadang kala mengugut mangsa agar tidak memberitahu orang lain. Di sini jelaslah bahawa pelaku itu mengetahui bahawa perbuatan itu adalah merupakan kesalahan. Firman Allah yang bermaksud;
“ Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sesuatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Israa’: Ayat 32)
Faktor kurangnya penghayatan kepada suruhan agama itu sendiri yang mendorong manusia melakukan perkara yang dibenci oleh Allah itu. Contohnya walaupun seseorang itu mengetahui tentang hukum meninggalkan sembahyang tetapi masih ada juga orang yang meninggalkannya. Samalah juga dengan kes sumbang mahram, walaupun sudah tahu hukumannya masih ada orang yang melakukannya.
Pasti kita tidak dapat menerima bahawa ada pelaku sumbang mahram yang memberi alasan bahawa apa salahnya mereka menikmati tubuh badan anak mereka setelah bersusah payah membesarkannya.
2. Faktor Sosio-Ekonomi dan Kemiskinan
Faktor ini mempunyai rentetan dan hubung kait yang rapat dengan faktor pendidikan. Golongan yang tidak berpendidikan tinggi biasanya mempunyai tahap ekonomi yang rendah. Faktor ekonomi ini merupakan faktor penyumbang kepada perlakuan jenayah. Kenyataan ini nampak seolah-olah berat sebelah tetapi berdasarkan dari dapatan kajian dan teori mendapati bahawa kajian ini benar.
Menurut seorang pengkaji Itali, De Verse (1894), beliau telah membuat kajian berkenaan dengan masalah kemiskinan dan kaitan dengan jenayah. Didapati 60% daripada kumpulan miskin melahirkan 85 – 90% penjenayah. Seorang ahli Kriminologi Belanda, Bonger (1916), menyatakan bahawa kemiskinan itu mendedahkan seorang kepada jenayah dan menjadi motif untuk mereka melakukan jenayah.
Kes-kes sumbang mahram yang dilaporkan kebanyakannya terjadi di rumah pelaku atau mangsa itu sendiri. Keadaan rumah yang sempit seperti rumah murah di bandar, pinggir bandar dan estet di mana bilik tidur yang tidak mencukupi. Kedudukan rumah yang terpencil dari masyarakat sekeliling tanpa gangguan jiran atau pihak berkuasa akan memudahkan lagi berlakunya sumbang mahram di dalam sesebuah keluarga.
3. Faktor Individu dan Situasi
Individu yang melakukan pencabulan gagal menyalurkan naluri serta nafsu seksnya secara normal. Naluri seks yang memuncak ini apabila menguasai diri seseorang individu itu sehingga sanggup memperalatkan anak-anak sendiri bagi memenuhi tuntutan nafsu buas mereka. Anak-anak juga dijadikan sasaran apabila ada isteri yang tidak dapat menjalankan tanggung jawabnya dan mengakibatkan emosi suami tertekan dan gagal berfikir dengan rasional. Pelaku sumbang mahram mungkin seorang yang tidak waras otaknya (psychopathic personality atau pshizophrenia). Ia mungkin juga mempunyai hubung kait dengan kelenjar dan lebihan hormon testeron. Untuk membicarakan faktor-faktor yang yang melibatkan individu perlulah kita melihat latar belakang pelaku itu dari pelbagai sudut.
Akibat kepesatan penyebaran video-video lucah ke seluruh pelusuk tanah air merupakan faktor situasi yang mendorong berlakunya fenomena ini. Begitu juga peranan internet, televisyen dan majalah banyak memaparkan adegan memberangsangkan. Apabila mangsa tinggal berseorangan dengan bapa, datuk atau abang, pasti pemangsa tidak mahu ketinggalan atau melepaskan peluang yang terhidang di hadapan mata.
Sejauh Mana Keberkesanan Hukuman dan Akta Yang Diperuntukkan
Sebelum membincangkan tajuk ini dengan lebih lanjut lagi, adalah lebih baik sekiranya diimbas secara ringkas objektif-objektif hukuman di dalam undang-undang secara umum. Terdapat pelbagai teori telah diperbahaskan oleh pakar-pakar perundangan mengenai tujuan atau matlamat sesuatu hukuman. Kesimpulan daripada teori tersebut, didapati tiga tujuan besarnya iaitu :
• Teori Pembalasan – Teori pembalasan sesuatu hukuman adalah bermatlamat membalas kejahatan pelaku-pelaku jenayah, kerana sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadap masyarakat, maka masyarakat melalui wakilnya iaitu mahkamah akan memutuskan sesuatu hukuman itu. Dalam hubungan ini, di Malaysia, matlamat perundangan seperti ini boleh dilihat di dalam hukuman-hukuman berat mandatori seperti hukuman mati bagi kesalahan membunuh. Daripada teori ini, dapat diperhatikan bahawa masyarakat tidak boleh mengambil tindakan sendiri terhadap kejahatan yang telah dilakukan oleh seseorang kepada ahli masyarakat tanpa mengikut saluran undang-undang yang sah. Pendek kata hukuman seperti ini bolehlah dikatakan sebagai hutang darah dibalas darah.
• Teori Pencegahan – Teori pencegahan ini ialah dengan cara menghukum pelaku-pelaku jenayah dengan harapan supaya penjenayah berasa menyesal dan tidak akan mengulanginya lagi. Teori ini juga mengharapkan agar pesalah-pesalah yang baru ingin menceburkan diri di dalam jenayah akan dapat dicegah daripada melakukannya apabila mereka melihat sesuatu hukuman yang telah dikenakan kepada pesalah itu. Bermakna, teori ini mempunyai matlamatnya yang besar iaitu untuk mencegah pesalah itu sendiri daripada melakukan kesalahan yang sama di masa yang lain, ia dinamakan sebagai pencegahan khas. Keduanya, ia bertujuan untuk mencegah pesalah-pesalah lain daripada melakukan kesalahan yang sama seperti itu, ia dinamakan sebagai pencegahan umum.
• Teori Pemulihan – bermatlamat untuk menggalakkan pesalah-pesalah supaya mematuhi undang-undang dan menjadi masyarakat yang bertanggung jawab. Oleh yang sedemikian dengan hukuman yang dikenakan itu diharapkan pesalah-pesalah akan mengubah sikap mereka dan menghormati undang-undang dan peraturan yang ada di sekeliling mereka.
Dalam Islam hukuman dipanggil sebagai keseksaan ‘uqubat’ bermakna ia adalah pembalasan yang dijadikan oleh Allah bagi mereka yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Jadi hukuman di dalam Islam dikenali sebagai halangan-halangan sebelum penjenayah melakukan jenayah dan pencegahan selepas ia dilakukan, bererti dengan mengetahui hukuman yang akan ditetapkan oleh Allah tentang betapa siksa dan azabnya hukuman yang akan dikenakan kepada penjenayah. Harapan agar penjenayah tidak akan cuba mendekati perbuatan tersebut, jika ia telah terlanjur melakukannya, diharap ia tidak akan mengulanginya lagi.
Di bawah ini, saya akan menghuraikan akta dan peruntukan undang-undang di Malaysia mengikut bentuk-bentuk objektif Teori-teori Hukuman seperti yang tersebut di atas.
a) Seksyen 375 dan 376
- darihal rogol dan kesalahan-kesalahan luar tabii iaitu keseksaan kerana merogol hukumannya adalah penjara selama tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari dua puluh tahun dan sebatan.
b) Seksyen 376A
- darihal melakukan sumbang mahram iaitu keseksaan kerana melakukan sumbang mahram hukumannya penjara minimum 6 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan minimum 6 sehingga 24 sebatan.
c) Menurut Enakmen No.9 Negeri Selangor
- suatu Enakmen bagi mengadakan peruntukan tentang kesalahan-kesalahan Syariah dan perkara-perkara yang berhubung dengannya. Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Perundangan Malaysia mengamalkan sistem dualisme. Jika kita meneliti kedua-dua undang-undang di atas, terdapat kontra yang amat besar di antara hukuman yang dikenakan. Sumbang mahram juga adalah merupakan kesalahan rogol tetapi berlaku di dalam keluarga. Persoalannya adakah setimpal hukuman yang ditetapkan oleh Enakmen Negeri Selangor ke atas kesalahan sumbang mahram?
Suatu ketika dulu ketika isu sumbang mahram hangat diperkatakan masyarakat menggesa kerajaan mengenakan hukuman yang berat ke atas pesalah. Berbagai-bagai bentuk hukuman yang lebih berat dicadangkan. Ini adalah kerana hukuman yang sedia ada dianggap tidak memadai dan ianya perlu dipinda memandangkan fenomena ini semakin menular dalam masyarakat. Pada masa ini, kesalahan rogol boleh dikenakan hukuman penjara minimum 5 tahun dan maksima tidak melebihi 20 tahun serta sebat mengikut Seksyen 376 kanun keseksaan, manakala Seksyen 376A memperuntukkan hukuman penjara minimum 6 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta minimum 6 sebatan sehingga 24 sebatan bagi kes sumbang mahram. Biasanya mahkamah tidak memberi penekanan kepada hukuman maksima kerana hakim mempunyai pilihan menjatuhkan hukuman penjara di antara 6 hingga 20 tahun mengikut Seksyen 376A.
Berkenaan dengan hukuman sebat di khalayak ramai, turut menyokong perlaksanaannya ialah Perdana Menteri sendiri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad. Beliau mencadangkan hukuman keras perlu dikenakan ke atas mereka yang terbabit dalam jenayah berkenaan. Hukuman sebat di khalayak ramai mungkin dianggap sebagai hukuman yang boleh menakutkan dan memberi keinsafan kepada orang ramai. Tetapi ada juga pihak yang menentang dan menyifatkan bahawa tindakan ini seolah-olah sama mengikut ‘cara Taliban’ yang tidak bertamadun dan primitif. Jika kita melihat apabila sesebuah kerajaan kuku besi tewas atau mengalami kejatuhan, rakyat akan menunjukkan tingkat laku agresif yang begitu dominan sekali. Kejatuhan kerajaan Iraq telah membuka mata masyarakat dunia di mana rakyatnya yang sebelum ini dikawal ketat oleh undang-undang tetapi apabila kerajaan mereka jatuh mereka tidak lagi mengikut undang-undang. Mereka bebas melakukan jenayah tanpa menghiraukan sesiapa yang perlu mereka takuti lagi. Adakah perkara yang sama ingin kita wujudkan di Malaysia?
Dari sudut mana sekalipun sesuatu hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah, ia hendaklah berunsurkan pengajaran dan contoh teladan penyekat (deterrent) kepada pihak lain. Sukar rasanya untuk kita mendalami bentuk sebenarnya betapa marah dan bencinya seorang anak terhadap bapa, datuk atau abang yang telah mengambil kesempatan terhadapnya sama ada melalui pujuk rayu, tipu helah ataupun paksaan. Dan apakah pula bentuk kepuasan atau perasaan terbela yang akan dirasai apabila melihat bapanya, datuknya dan abangnya dihukum dan disebat di khalayak ramai? Dan apakah kesudahannya kepada institusi keluarga ini pada masa hadapan, atau mungkinkah implikasi ini tidak penting dalam kita menghitungkan balasan kepada mereka yang bersalah itu dan yang tidak berfikir panjang sebelum ini.
Hukuman yang hendak dilaksanakan perlulah berbentuk pencegahan supaya tidak berulang. Aliran kejadian berulang dan peningkatan statistik membabitkan sumbang mahram menunjukkan masyarakat perlu diberi kesedaran mengenai kesan gejala buruk itu. Kes sumbang mahram terus berlaku walaupun undang-undang dipinda untuk membolehkan hukuman lebih tegas dikenakan kepada pesalah. Maknanya masalah akar umbi yang menjadi punca kepada gejala itu perlu dikenal pasti dan diperbaiki termasuk penerapan nilai-nilai agama, pergaulan yang sihat sesama ahli keluarga dan kesedaran yang lahir pada setiap orang.
d) Akta Pemaju Perumahan 1966
Matlamat dasar perumahan negara ialah menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi dan mampu dibeli terutama oleh rakyat yang berpendapatan rendah di luar bandar dan di pinggir bandar. Ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan membasmi kemiskinan tercapai. Di dalam akta ini tiada peruntukan yang mewajibkan pemaju perumahan menyediakan tiga buah bilik untuk rumah kos rendah. Oleh itu, adalah penting untuk membuat pindaan ke atas akta yang sedia ada.
Dalam konteks ini kerajaan boleh mensyaratkan pemaju-pemaju perumahan membina sekurang-kurangnya tiga bilik untuk semua jenis rumah. Dengan cara itu, dapatkan diasingkan anak-anak lelaki dengan anak-anak perempuan serta ibubapa mereka. Kebanyakkan kes-kes sumbang mahram yang berlaku adalah disebabkan oleh sistem spesifikasi rumah yang tidak teratur. Rumah yang sesak dan sempit serta tidak mempunyai bilik yang mencukupi adalah faktor-faktor yang menyumbang kepada gejala ini.
Di samping penggubalan akta, kerajaan juga perlu memantau sejauh mana perubahan dasar dan strategi pelaksanaan program perumahan kos rendah. Semua rumah yang dibina di bawah program ini wajib menggunakan spesifikasi perancangan dan rekabentuk perumahan yang telah ditetapkan dalam Standard Perumahan Kebangsaan.
Untuk memastikan semua perancangan berjalan dengan lancar, syarat-syarat pembelian rumah juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Ini adalah untuk memastikan ianya menepati sasaran pembeli yang diharapkan. Bagi golongan yang berpendapatan rendah sekitar RM500 hingga RM800 sebulan yang tidak mempunyai rumah atau tanah untuk mendirikan rumah perlulah diberi keutamaan. Ini juga adalah untuk mengelakkan daripada terbinanya rumah-rumah setinggan yang akan mengundang banyak lagi masalah-masalah sosial di kalangan masyarakat.
e) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998
Akta ini merupakan undang-undang siber yang terpanjang antara keenam-enam undang-undang siber yang digubal dalam negara setakat ini. Ia mempunyai 282 seksyen dan satu jadual. Secara tradisional, penyiaran, telekomunikasi dan pengkomputeran telah difikirkan secara terpisah. Jika teknologi digital sekarang ditemukan bersama, ia akan menjadi tidak realistik untuk mengekalkan suatu pemisahan. Jadi, undang-undang ini telah digubal bagi menggantikan dua undang-undang sedia ada berkaitan telekomunikasi dan penyiaran, iaitu Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membentuk satu rangkakerja bagi campurtangan secara teratur untuk menggalakkan dasar kebangsaan terhadap industri komunikasi dan multimedia. Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah akta ini termasuklah penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.
Bahagian IX Akta (seksyen 205 hingga seksyen 213) memperuntukkan Pengawalseliaan Sosial. Seksyen 211 bahagian ini menegaskan bahawa pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang. Perlanggaran seksyen ini akan didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Undang-undang penyiaran perlu diperketatkan lagi supaya anak-anak tidak terlalu terdedah kepada pengaruh yang tidak sihat daripada televisyen, radio, wayang mahupun internet. Rangsangan nafsu yang diakibatkan oleh bahan lucah yang boleh diperolehi semudah ‘kacang goreng’ merupakan faktor yang membabitkan jenayah ini berlaku. Ini adalah kesan daripada pengamalan ‘dasar langit terbuka’ yang negatif. Bayangkan jika seorang bapa menonton program-program sebegitu rupa bersama-sama anak-anak sementara isterinya tiada di rumah. Ini boleh mencetuskan nafsu yang tidak terkawal. Perkara ini tidak boleh dipandang sepi begitu sahaja. Langkah-langkah baru untuk membendung dan mengatasinya perlulah diambil.
KESIMPULAN
Sumbang mahram adalah petanda penyakit masyarakat yang pudar dan rapuh akhlaknya. Ia adalah kesan kehidupan yang jauh menyimpang daripada nilai-nilai ketuhanan dan cara hidup yang sebenar. Satu rancangan bersepadu membabitkan perumahan, pendidikan dan kemudahan, prasarana penting untuk memastikan gejala sosial ini dibendung. Penderaan seks melalui sumbang mahram ini menjadi akar kepada penyakit sosial yang lain seperti pelacuran, penyebaran AIDS, peningkatan homoseks dan keciciran. Keciciran pula boleh membawa kepada perlakuan jenayah lain seperti rompakan, pembunuhan dan permusuhan.
Rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik harus disediakan pada harga yang mampu dimiliki oleh golongan yang berpendapatan rendah. Sehubungan dengan usaha itu penguatkuasaan undang-undang dengan lebih ketat untuk pesalah sumbang mahram dan undang-undang bagi melindungi mangsa. Hukuman yang hendak dilaksanakan terhadap pesalah sumbang mahram perlulah berbentuk pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang.
Hukuman sebat di khalayak ramai tidak pernah diamalkan sebelum ini dan untuk melaksanakannya dalam masyarakat yang majmuk ini wajarlah dibuat suatu kajian yang komprehensif. Ini adalah untuk mendalami dalam membuat pertimbangan yang adil lagi bijak, bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi juga sebagai penghalang yang berkesan bagi melambangkan pendekatan yang progresif dan tepat sebuah negara yang maju dan berjaya. Kajian ini dibuat bagi melihat pro dan kontranya jika hukuman ini dijalankan. Memang ramai pihak terutamanya masyarakat umum menyokong pelaksanaan hukuman ini tetapi saya terfikir jika ianya dilaksanakan ada pula kesan negatif ekoran dari itu. Contohnya apabila seorang bapa yang telah merogol anaknya dan terfikir ia akan menerima sebatan di khalayak ramai kemungkinan ia akan menghapuskan bukti dengan membunuh anaknya pula. Apa akan terjadi kepada masyarakat kita jika perkara sebegini berterusan. Apa yang ingin saya tegaskan ialah dalam melaksanakan hukuman biarlah ibarat ‘Menarik rambut di dalam tepung’ - rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Gejala sumbang mahram ini bukan saja berlaku di negara kita tetapi amat meluas di iceland akibat keadaan unik di pulau itu: https://thevexingworld.blogspot.com/2017/08/hubungan-seks-sedarah-di-iceland.html
BalasPadam