PENGENALAN
Psychodynamic Counseling And Theraphy : Examination of The Unconscious dalam Corey,G., (1977) Theory And Practice Of Counseling And Psychotheraphy, adalah merupakan satu bab yang memperincikan tentang bagaimana seorang terapis menggunakan teknik-teknik yang terdapat dalam Teori Psikodinamik. Secara asasnya, teori ini adalah merupakan Teori Psikoanalisa yang telah diadaptasikan oleh beberapa tokoh atau pengikut Sigmund Freud seperti Earnest Jones, Alfred Adler, Erik Erikson, Erich Fromm, Karen Horney, Carl Jung, Wilheim Reich dan Harry Stack Sullivan.
Bab ini menekankan bahawa ‘unconscious’ iaitu alam tidak sedar adalah disebabkan oleh kurangnya kesedaran peranan mental. Ini menyebabkan seseorang individu itu secara tidak sedar bertindak dan bertingkah laku ke arah sesuatu tindakan. Oleh itu secara jelasnya, matlamat kaunseling psikodinamik adalah untuk memperkembangkan kesedaran terhadap peranan-peranan alam tidak sedar dan ianya sangat bersangkutan dengan kehidupan seharian manusia.
Untuk menimbulkan alam tidak sedar tersebut seseorang individu itu perlu memahami fungsi-fungsi yang terdapat di dalam id, ego dan superego. Id secara keseluruhan merupakan alam tidak sedar dan merupakan bahagian yang tidak dapat dikawal. Ia amat bertentangan dengan superego di mana superego bertindak secara sedar dan berlandaskan nilai-nilai moral di dalam masyarakat. Ego pula adalah merupakan komponen perantaraan antara id (alam tidak sedar yang banyak menentang dan mementingkan keseronokan) dan superego (alam sedar yang menurut nilai moral masyarakat). Kebanyakan terapis dalam perhubungan menolong klien membantu ego untuk menentukan dan menyeimbangkan antara id dan superego. Sebagai contoh terapis moden Erik Erikson, menyatakan bahawa dengan meningkatnya fungsi-fungsi ego dapat menyumbang kepada individu yang mempunyai kuasa dan kawalan terhadap kehidupannya.
Anxieti dan tekanan adalah hasil daripada konflik yang berlaku antara id, ego dan superego. Kerisauan adalah berpunca daripada memori atau pengalaman alam sedar dan tidak sedar semasa perkembangan zaman kanak-kanak. Dalam percaturan ketiga-tiga komponen ini, id sebagai pendesak, ego sebagai pengatur dan superego pula sebagai pemerhati dan menguruskan gelagat id dan ego. Sekiranya ego berjaya memuaskan kehendak id maka akan wujud rasa ketenangan tetapi sekiranya gagal maka ego akan mengalami kerisauan.
Dalam menangani kerisauan ini, wujudlah satu istilah iaitu ‘Helah Bela Diri’ yang akan digunakan oleh seseorang individu bagi mengurangkan kesan kesakitan daripada konflik tersebut. Ia merupakan proses psikologi yang bertujuan mengurangkan penderitaan ego yang tidak dapat mengawal id dengan baik dan membantu ego mempertahankan dirinya dari desakan dan dorongan yang kuat dari id. Di dalam kes yang diketengahkan oleh penulis, klien menggunakan beberapa helah bela diri seperti represi, penyangkalan / penafian, projeksi, pembentukan reaksi, penyaluran, sublimasi dan lain-lain lagi. Tetapi melalui dialog hanya kelihatan beberapa sahaja yang ditonjolkan.
Dalam bab ini juga ada menyatakan bahawa latihan kaunseling memfokuskan dalam pembangunan objektif hubungan bukan peribadi. Kebenaran terapi psikodinamik adalah umum, namun ia ditunjukkan melalui pengecualian dan penglibatan bukan peribadi. Ramai ahli psikodinamik tidak memberi komen dalam tingkah laku bukan secara lisan, berada dalam satu jarak daripada klien, duduk semula di atas kerusi dan sama-sama berusaha untuk mengelak pergerakkan dan gambaran wajah.
Biasanya tafsiran yang bermakna adalah berdasarkan tingkah laku klien yang bukan secara lisan. Namun terapi tidak membuat tafsiran tingkah laku tetapi pemantauannya yang jelas diada-adakan mengikut arahan dalam sesuatu sesi. Isu-isu luaran dan dalaman dibincangkan melalui skrip yang bertaip. Ia mungkin menunjukkan sedikit ciri-ciri asas kepada kaunseling psikodinamik.
Teknik-teknik Asas Proses Psikodinamik
Teknik perkaitan bebas dapat merumuskan kaedah psikodinamik. Teknik ini menggalakkan kaunselor dan klien mengeluarkan apa sahaja yang datang dari fikiran. Adalah penting bahawa membuat keputusan secara kreatif adalah berkait rapat dengan teknik penyatuan bebas. Dalam hal ini kaunselor dan klien bermula dengan pengenalan asas mengenai sesuatu masalah atau isu. Klien mengaitkan secara bebas apa sahaja yang datang di fikiran dan keputusan atau penyelesaian pun akan mula muncul.
Teknik perkaitan bebas dalam kaedah wawancara atau skrip bertaip berkait rapat dengan teknik penglibatan perasaan ( staying with the feeling ). Terdapat saranan daripada ahli-ahli terapi, klien patut berada dalam perasaan panik atau gugup dan menggunakannya sebagai asas kepada penyatuan bebas. Melalui menyelami sama ada perasaan yang positif atau negatif ianya memungkinkan untuk menentukan mesej atau maklumat daripada keadaan bawah sedar ( unconscious ) dan sebarang maklumat yang terselindung untuk memahami diri seseorang atau diri sendiri lebih mengukuhkan lagi fokus utama teknik perkaitan bebas terjadi melalui pengulangan.
Analisis mimpi adalah satu lagi teknik penting dalam pendekatan psikodinamik. Ia boleh dijalankan pada tahap biasa di mana maklumat yang nyata yang dapat dilihat dalam mimpi dianalisis atau dinilai semula melalui teknik perkaitan bebas. Di sebalik bahagian-bahagian yang jelas di dalam mimpi adalah maklumat tersembunyi yang penuh bermakna. Teknik perkaitan bebas, pengulangan dan penglibatan perasaan digunakan oleh kaunselor-kaunselor psikodinamik dalam analisis mengenai mimpi. Teknik-teknik berkaitan analisis mimpi kemudian telah menjadi suatu kaitan yang rapat dalam keadaan kehidupan sebenar.
Kepentingan lain mengenai teori dan kaedah dalam pendekatan psikodinamik adalah pertentangan analisis-analisis ( analisis yang bertentangan ). Pertentangan merujuk kepada sebarang perkataan atau tingkah laku klien yang menghalang penerimaan perkara di bawah sedar.
Banyak pengaruh dalam pendekatan sebahagiannya adalah untuk mengabaikan penahanan dan mencari jalan lain kepada pengucapan klien yang lebih mudah. Kaunselor atau ahli terapi yang berkesan sebaliknya selalu memberikan perhatian utama kepada isu atau faktor penahanan atau keengganan. Dalam proses kaunseling, biasanya terdapat klien yang gagal mendengar atau mendapat maklumat penting daripada kaunselor. Klien biasanya berada dalam keadaan tertanya-tanya.
Kadangkala klien mungkin dapat menerima maklumat terapi tetapi terlupa apa yang telah diperkatakan dalam beberapa minit atau semasa sesi dijalankan. Jenis-jenis lain penahanan terjadi apabila klien terhalang untuk menyampaikan sesuatu, terkeluar bahagian-bahagian penting dalam sesuatu mimpi, lewat menghadiri sesi atau kegagalan kepada matlamat perkaitan bebas. Penahanan menunjukkan klien dalam pelbagai cara tanpa disedari cuba untuk menggagalkan proses kaunseling.
Terdapat beberapa cadangan latihan bagi mengaitkan asas dan aspek-aspek praktikal atau amalan dalam fungsi psikodinamik. Sesiapa yang melalui latihan ini secara berhati-hati mendapat lebih banyak maklumat penting mengenai perkaitan bebas dan berpotensi untuk digunakan dalam sesi kaunseling. Di antara latihan-latihan yang dicadangkan termasuklah simbol-simbol dalam kehidupan seharian, slip Freudian, analisis mimpi, analisisa penahanan dan analisa pemindahan.
Tugas kaunselor psikodinamik adalah untuk menentukan sama ada perlu atau tidak untuk berhadapan sebarang pertentangan secara segera atau kemudian. Pertentangan merupakan perselisihan utama dalam hubungan antara kaunselor dan klien. Satu pendekatan untuk menganalisis pertentangan ialah dengan membuat tafsiran mengenai pertentangan dan kemudian menggalakkan klien ke arah penyatuan.
Analisa pemindahan dan pertentangan pemindahan adalah dua lagi teknik penting kaunseling psikodinamik. Pemindahan merujuk kepada perasaan dan fikiran klien yang dipindahkan kepada kaunselor. Pertentangan pemindahan pula merujuk kepada perasaan dan fikiran kaunselor yang berpindah kepada klien. Dalam analisis pemindahan klien tidak mempunyai gambaran sebenar yang jelas mengenai matlamat kaunselor. Klien lebih cenderung untuk membayangkan gambaran imej mengenai terapi. Klien secara berterusan memindahkan perasaan dan fikirannya kepada orang lain melalui terapi.
Pertentangan pemindahan pula selalunya menyebabkan kaunselor berada dalam keadaan tertanya-tanya dan ini akan membawa kepada berlakunya gangguan dan kemusnahan kepada proses kaunseling. Perasaan yang dipindahkan perlu juga ditafsirkan dan dipilih.
Pendekatan-pendekatan psikodinamik merupakan satu tafsiran. Pentafsiran merupakan satu skil atau kemahiran yang tinggi atau kompleks di mana pengetahuan mengenai teori dan maklumat yang lengkap mengenai klien adalah diperlukan. Dalam aplikasi yang spesifik kepada pendekatan psikodinamik, kemahiran membuat tafsiran datang daripada pengetahuan luas ahli psikoanalisis dan kemampuan untuk mengenal pasti keinginan, keperluan dan pelbagai perkara dari dunia bawah sedar klien.
Hasrat ahli terapi adalah melahirkan klien yang boleh membuat tafsiran mereka sendiri. Apabila klien dapat membuat tafsiran diri mereka sendiri, mereka mengeluarkan sesuatu yang mereka lebih memahaminya. Secara keseluruhannya dapatlah dikatakan bahawa perkaitan bebas merupakan asas kepada semua teknik kaunseling psikodinamik. Dalam beberapa aspek, teknik-teknik lain semuanya bergantung kepada teknik perkaitan bebas.
Batas-Batas Dan Penglibatan Praktikal Dalam Pendekatan Psikodinamik
Satu daripada masalah utama pendekatan psikodinamik dalam kaunseling adalah kaunselor-kaunselor amatur yang tidak berpengetahuan luas tentang konsep dan menggunakannya secara bebas kepada rakan dan klien tanpa memahami maksudnya secara mendalam. Pendekatan-pendekatan psikodinamik sebenarnya tidak sekadar memerlukan pengetahuan luas dan beberapa teknik tetapi memerlukan kajian yang mendalam, pemerhatian daripada pelati-pelatih yang baik yang telah menamatkan pengajian mereka dengan jayanya.
Ia memerlukan pengetahuan yang mendalam terhadap disiplin-disiplin dalam semua kaedah yang digunakan. Tidak ketinggalan juga, pengajaran-pengajaran penting dari pendekatan ini yang boleh membantu kebanyakan kaunselor atau terapi. Haruslah disedari apa yang diperlihatkan oleh klien mengenai masalah yang dihadapi, kerisauan atau tingkah laku bukanlah isu sebenar tetapi keadaan di sebalik masalah yang nyata mungkin merupakan tekanan idea atau fikiran yang lebih luas yang tidak diketahui.
Melalui teknik-teknik yang biasa digunakan terutama teknik perkaitan bebas biasanya akan membawa lebih pengetahuan atau maklumat mengenai isu-isu yang tersembunyi. Teknik analisa mimpi pada masa yang sama boleh digunakan sebagai permulaan oleh kaunselor. Kaunselor dan terapi perlu sentiasa sedar mengenai isu-isu pertentangan. Pertentangan berlaku apabila cadangan atau maklumat yang dikemukakan oleh kaunselor tidak diterima sama ada secara langsung atau tidak yang ditunjukkan oleh klien yang dengan cepat lupa apa yang diperkatakan oleh kaunselor. Kaunselor yang berkemahiran akan sentiasa peka terhadap tanda-tanda pertentangan oleh klien.
Pemindahan dan pertentangan pemindahan menjadikan sesuatu yang kompleks dalam hubungan kaunselor dan klien. Namun pada tahap awal kaunselor perlulah menyedari bahawa klien mungkin akan memindahkan fikiran dan perasaannya. Keadaan mungkin akan menjadi mudah atau lebih kompleks bergantung kepada tahap fikiran dan perasaan klien. Semua kaunselor yang berpengetahuan dan berpengalaman memindahkan perasaan daripada klien mereka tanpa menghiraukan orientasi berdasarkan teori.
Tanggapan segera terhadap mimpi klien adalah ciri-ciri analisis tanpa kawalan. Satu daripda kemahiran utama ahli psikodinamik ialah membuat tafsiran. Membuat tafsiran dalam bidang psikodinamik memerlukan kajian dan pemerhatian yang mendalam. Kita seharusnya serius terhadap sebarang analisis tanpa kawalan yang merupakan satu penyelewengan terhadap elemen pembinaan psikodinamik
KES – DIALOG BERORIENTASIKAN PENDEKATAN KAUNSELING
Bob adalah merupakan klien yang berada di peringkat awal proses kaunseling yang menggunakan terapi psikodinamik dan telah berjumpa dengan terapis sebanyak tiga kali. Bob mempunyai masalah di mana ia kurang berminat terhadap keluarga, mempunyai perasaan anxieti dan kurang melibatkan dirinya ke dalam dunia kerjayanya. Ia berusia 32 tahun, bekerja sebagai arkitek. Beliau telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata berusia 2 tahun. Dalam kes ini, terapis tidak menggunakan teknik tradisional yang mana memakan masa yang panjang (20 – 30 sesi) tetapi hanya berorientasikan rawatan jangka pendek biasanya 1- 5 sesi untuk satu-satu rawatan. Bob seorang klien yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi dan mula bercerita sebaik sahaja mengambil tempat duduknya.
Di bawah ini adalah sebahagian contoh perbualan klien dan kaunselor.
1. Bob : Nampaknya keadaan menjadi semakin baik sekarang. Saya berjaya mendapat satu kerja melukis pelan di kompleks apartmen. Akhir-akhir ini Sue jarang bersama saya. Keadaan menjadi lebih baik nampaknya.
2. Kaunselor : (Senyap)
3. Bob : Saya sebenarnya melakukan yang terbaik di apartmen itu. Bos saya ada mengatakan begitu juga. Saya sebenarnya ingin menunjukkan kepada awak apa yang telah saya lakukan. Ya, saya rasa keadaan akan menjadi baik. Hujung minggu ini saya akan membawa Sue dan Sonny pergi mendaki bukit.
4. Kaunselor : Ehm..ehm.mmm
5. Bob : Ya, ini adalah perubahan yang sebenarnya. Saya tidak pernah melakukan perkara sebegini sepanjang usia saya. Kami sebenarnya menikmati masa bersama dengan baik tetapi setelah berlakunya insiden di menara api dekat Iron Mountain…(memandang kepada kaunselor).
6. Kaunselor : Ehm…ehmmm.
7. Bob : Emm..apa yang berlaku sebenarnya adalah asing bagi saya. Kami memanjat menara selepas makan tengah hari, sambil bernyanyi-nyanyi kami akhirnya sampai ke kemuncak itu. Saya mula menikmati pemandangan yang indah itu, tiba-tiba saya baru teringat bahawa saya telah meninggalkan Sonny di atas pagar itu… dan tiba-tiba perasaan saya menjadi cemas.
8. Kaunselor : Ok, kekalkan perasaan cemas itu dan ceritakan dengan panjang lebar lagi mengenainya kepada saya.
9. Bob : Ya…ketika itu perasaan cemas telah menguasai diri saya. Saya sangat takut jika tiba-tiba Sonny terjatuh. Saya nak dia memegang saya, maksud saya ialah saya nak memegang dia dengan kuat.
10. Kaunselor : Baiklah, cuba untuk kekalkan perasaan cemas itu dan biarkan ingatan itu bebas dalam pemikiran anda. Beritahu saya peristiwa yang mula-mula sekali terlintas dalam pemikiran anda.
11. Bob : (Diam seketika. Matanya merenung ke lantai). Saya melihat diri saya memanjat Trail Ridge Road di Rocky Mountain Park. Ketika itu saya berusia dalam 5 atau 6 tahun. Ketika itu ayah mempunyai rencananya yang tersendiri. Saya ingat lagi ketika dia meniti di atas pagar tersebut. Saya dapat melihat dia, dia bangun dan berjalan di atasnya. Saya masih ingat lagi, saya dan ibu sangat cemas apabila melihat dia tiba-tiba dia hilang keseimbangan badan dan nyaris-nyaris terjatuh. Ia kelihatan sungguh pucat.
12. Kaunselor : Jadi, bila anda berada di atas menara api, anda merasa sangat cemas terhadap Sonny dan begitu juga perasaan anda terhadap bapa anda apabila melihat beliau hampir-hampir terjatuh.
13. Bob : Ya…?
14. Kaunselor : Nampaknya sekarang saya dapat melihat tangan anda menggeletar.
15. Bob : Saya sangat cemas sekarang. Apakah maksud ini semua?
16. Kaunselor : Anda keliru dan mengalami kesukaran. Apa yang anda fikirkan sekarang?
17. Bob : Saya mengalami perasaan yang sama pada Sonny dan pada ayah saya. Perasaan cemas yang sama. Kedua-duanya berada di tempat tinggi, saya tidak suka kepada tempat tinggi.
18. Kaunselor : Baiklah, anda seolah-olah merasai perasaan yang sama dalam kedua-dua situasi. Adakah dengan cara ini anda dapat meluahkan pengalaman zaman kanak-kanak anda sekarang?
19. Bob : Oh Tuhan! Diri saya tidak memberi apa-apa makna kepada bapa saya. Beliau tidak pernah memberikan perhatian terhadap saya. Trip itu adalah salah satu dari beberapa kali untuk dia tidak bersama saya. Beliau meninggal sebaik sahaja pulang dari trip itu, awak tahu…
20. Kaunselor : Jadi, pengalaman anda bersama Sonny di atas menara api itu banyak mempunyai hubung kaitnya dengan pengalaman awal anda bersama bapa anda. Ingat tak, tadi anda berkata bahawa anda ingin memegang anak anda dengan rapat ketika di menara. Sebelum itu, ingat tak anda berkata sesuatu?
21. Bob : (Memandang dengan pandangan yang kosong). Tidak, kenapa?
22. Kaunselor : Kedengaran seolah-olah saya tidak dapat menjejaki apa yang anda maksudkan. Anda baru saja mengatakan bahawa ayah anda meninggal sebaik sahaja pulang dari lawatan itu.
(Sesi kaunseling berlangsung seterusnya…)
ULASAN DIALOG MENGIKUT PENDEKATAN DAN TEKNIK
Berdasarkan sebahagian daripada dialog antara kaunselor dan klien di atas mendapati bahawa perasaan klien tersebut dipengaruhi oleh peristiwa masa lampau iaitu ketika beliau berada di zaman awal kanak-kanaknya. Peristiwa itulah yang mempengaruhi perasaan dan keadaan emosi klien pada masa berjumpa dengan kaunselor.
Dalam sesi kaunseling ini, kaunselor menggunakan beberapa kemahiran asas kaunseling seperti dorongan minima, mengajukan soalan terbuka, membuat refleksi perasaan, membuat parafrasa dan membuat refleksi isi. Dengan cara ini kaunselor dapat meneroka dunia klien dengan lebih mendalam lagi.
Kaunselor memutuskan untuk menggunakan Terapi Psikodinamik apabila mendapati klien bercerita tentang masa lampaunya. Ini adalah selaras dengan pendekatan yang telah diutarakan oleh Sigmund dan dipersetujui oleh para pengikutnya. Oleh itu kaunselor memilih untuk menggunakan satu kaedah yang terdapat di dalam pendekatan ini iaitu Teknik Perkaitan Bebas. Teknik yang digunakan dalam sesi kaunseling ini adalah ‘perkaitan bebas’ yang merupakan teknik utama dalam terapi Psikoanalisa. Dalam Teknik Perkaitan Bebas, kaunselor akan cuba menenangkan fikiran klien dengan menggalakkan klien meluahkan segala isi hati dan perasaan yang tidak logik dan rasional. Kaunselor menggunakan kaedah ini untuk klien mengingat dan meluahkan emosi yang bersabit keadaan-keadaan traumatik masa lalu. Proses ini juga dikenali sebagai ‘katarsis’. Semasa proses ini dilakukan, kaunselor berperanan mengenalpasti bahan represi yang masih terkunci di alam tidak sedar klien.
Bahan represi tersebut adalah merupakan pengalaman klien semasa zaman lampaunya bersama dengan ayahnya. Perasaan inilah yang mengancam diri klien. Akhirnya untuk terus melenyapkannya daripada merasa kesakitan, klien tersebut menekankan pengalaman itu ke alam tidak sedar. Dengan cara ini klien dapat mengurangkan kesakitan dan ketegangan yang dialaminya. Tetapi pengalaman itu tidak mudah hilang daripada diri klien dan muncul semula apabila klien telah dewasa. Ini dinyatakan sendiri oleh klien apabila beliau mengalami perasaan cemas yang sama terhadap bapa dan juga kepada anaknya. Apabila berhadapan dengan situasi yang sama iaitu berada di tempat tinggi, klien secara tidak langsung akan terus merasai perasaan tersebut.
Melalui teknik perkaitan bebas, pintu hati dan fikiran klien yang selama ini memendam dan menekankan berbagai-bagai perasaan dan pengalaman akan terbuka. Dengan mengikuti curahan hati dan pengalaman ini serta sekatan-sekatan yang dialami oleh klien semasa mencurahkan isi hatinya dengan bebas inilah kaunselor dapat memahami perkara yang menyebabkan masalahnya. Kaunselor akan cuba menjelaskan perkara-perkara ini kepada klien sehinggalah klien dapat memahami dan mendapat celik akal. Dengan bantuan kaunselor, klien dapat memahami perkara yang selama ini ia tidak memahaminya. Dalam contoh kes ini kaunselor yang menggunakan teknik ini akan bersifat pasif di dalam interaksinya dengan klien. Melainkan sekali-sekala sahaja kaunselor bersuara untuk mendorong klien meneruskan luahan hatinya.
Dalam teknik perkaitan bebas yang tradisional, klien akan berbaring di atas kaus, manakala kaunselor akan membelakangi klien. Walau bagaimanapun, pengamalannya sekarang menjadi kurang tradisional tetapi apa yang akan dititikberatkan oleh kaunselor yang mengamalkan terapi ini adalah matlamat dalam sesi kaunseling itu sendiri iaitu untuk membentuk semula personaliti klien agar segala yang terpendam di alam tidak sedar dapat dialami di alam sedar. Klien juga akan digalakkan untuk menguatkan ego agar dapat berfungsi menurut prinsip realiti, tanpa dikongkong atau didorong oleh desakan-desakan id ataupun superego.
Berdasarkan dialog kes tersebut, klien pada dialog 3 dan 5, menggunakan mekanisme helah bela diri ‘Undoing’ di mana klien ada mengatakan bahawa beliau tidak pernah melakukan perkara sebegini sepanjang usianya. Tindakan klien adalah untuk memperbaiki sesuatu yang telah rosak dengan harapan agar ia dapat menebus kembali kesalahannya. Klien berusaha untuk melakukan apa sahaja untuk memperbaiki kesilapannya yang lalu.
Teknik perkaitan bebas ini dapat dilihat pada dialog 8 dan 10, kaunselor dengan jelas mengarahkan klien agar kekal berada di dalam perasaan cemas itu bagi mendorong klien terus merasai perasaan itu untuk dibawa ke alam sedar. Melalui teknik ini kaunselor membawa klien meneroka ke zaman lampau klien pada dialog 10. Pada dialog 11, klien mampu merasai zaman lampau dengan jelas selari dengan perasaan yang dialami terhadap bapa dan juga anaknya sendiri.
Pada dialog 12, kaunselor menggunakan teknik pentafsiran di mana kaunselor menganalisis perkaitan bebas klien dengan menjelaskan berdasarkan apa yang klien nyatakan agar dapat memberi peluang kepada ego klien untuk mengasimilasikan bahan-bahan baru iaitu apa yang klien rasa terhadap anaknya akan mempercepatkan pendedahan lanjut bahan-bahan alam tidak sedar klien iaitu zaman lampaunya bersama ayahnya.
SOKONGAN BAHAN LUAR
Menurut Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh dan Habsah Md Yusof (2003), sesi kaunseling yang berkesan adalah apabila dirancang secara sistematik dan teratur. Oleh itu kaunselor perlulah bijak menggunakan teknik yang bersesuaian untuk diaplikasikan di dalam sesi kaunseling tersebut. Dengan bantuan teknik-teknik yang tertentu kaunselor akan dapat membantu klien menyatakan perasaannya dan klien akan mudah mengenal siapa dirinya dan dalam erti kata yang lain adalah mudah untuk mendapat celik akal.
Dalam kes yang dinyatakan, masalah klien adalah dipengaruhi oleh kisah lampaunya ketika berusia 5 hingga 6 tahun. Menurut Amir Awang (1987), klien tersebut telah mengalami masalah pada zaman perkembangannya iaitu Peringkat Zakar dan Faraj ketika berusia 4 – 5 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak akan memperolehi kepuasan biologi dan mula mendapat kepuasan asas seks. Di peringkat ini kanak-kanak mula mengalami kompleks memusuhi ibubapa yang sama jantina. Kegagalan ibubapa memberi perhatian dan kasih sayang pada peringkat ini menyebabkan perkembangan psikoseksnya tersekat di peringkat ini dan menyebabkan ia akan menjelma semula ketika klien tersebut meningkat dewasa. Demikianlah yang berlaku terhadap klien di mana ia tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada ayahnya.
Konsep dan tema utama terapi ini seperti yang telah diutarakan oleh Sigmund Freud dalam Muhd Mansur Abdullah (1997) adalah akal manusia dibahagikan kepada 3 bahagian dalam satu teori topografikal iaitu alam sedar, alam pra-sedar dan alam tidak sedar. Dalam kes klien tersebut, ketiga-tiga alam ini dapat dijelaskan merujuk kepada konsep seketul ‘iceberg’ besar yang terapung di atas permukaan air dalam rajah berikut :
Rajah 1 : Seketul ‘iceberg’ yang menggambarkan pemikiran klien
Berdasarkan dengan apa yang telah dinyatakan di atas, dalam kes klien yang dinyatakan ini kaunselor tersebut menjalankan sesi kaunseling dengan membawa pendekatan teori psikodinamik yang membawa kepada dua matlamat utama.
Dalam perhubungan menolong tersebut, kaunselor berperanan untuk membentuk semula watak klien supaya segala apa yang terpendam di alam tidak sedar klien dapat dialami di alam sedar. Melalui proses kaunseling, struktur perwatakan klien diubahsuai dengan mengubah perkara yang tidak sedar kepada sedar. Ianya dapat membantu klien mengalami celik akal pada dirinya.
RUMUSAN
Kaunselor dalam kes ini memilih untuk menggunakan teknik perkaitan bebas dalam teori psikodinamik memandangkan klien mempunyai masalah berkaitan zaman lampaunya. Kaunselor tidak memilih untuk menggunakan teori-teori lain disebabkan oleh teori tersebut yang paling sesuai apabila berhadapan dengan kes-kes yang bersangkutan dengan zaman lampau terutamanya di waktu zaman perkembangan kanak-kanak klien. Berdasarkan pendekatan teori ini yang mengatakan bahawa tingkah laku manusia masa kini dipengaruhi oleh pengalaman masa lampau.
Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa pemilihan teori dan teknik di atas berpadanan dengan kes yang dibawa oleh klien. Teknik perkaitan bebas adalah merupakan teknik utama dalam teori ini di mana melalui teknik ini klien akan terus bercerita dan meluahkan segala perasaan yang terpendam di alam tidak sedar dapat dikeluarkan. Oleh itu dengan mengikuti curahan hati dan pengalaman ini kaunselor dapat meneroka permasalahan klien dengan lebih mendalam lagi. Teknik ini juga digunakan oleh kaunselor tersebut bagi merangsang klien untuk mengingat dan meluahkan emosi yang berkaitan dengan pengalaman traumatik yang dialami oleh klien pada masa lampau.
Secara kesimpulannya dapatlah disimpulkan bahawa teknik yang digunakan oleh kaunselor mempunyai signifikannya yang tersendiri dan berkesan dalam membantu menangani permasalahan yang dibawa oleh klien. Dengan teknik ini klien akan mudah mendapat celik akal lantaran itu mengetahui cara untuk mengawal kehidupannya.
Bibliografi
Amir Awang. (1987). Teori dan amalan psikoterapi. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia
Muhd Mansur Abdullah. (1997). Kaunseling: Teori, Proses dan Kaedah. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti
Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh, Hapsah Md Yusof. (2003). Kaunseling Individu Edisi Kedua. Selangor : Prentice Hall
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
hi..mcm mana nak kaitkan teori psikodinamik ni dangan gangguan seksual di tempat kerja ?
BalasPadambgaimana indvidu bleh jdi gla brdasarkan psikoanalitik
BalasPadam