Rabu, Julai 22, 2009

Bersama Sahabat Kelas Sarjana Sains Kaunseling







Salam kasih buat sahabat-sahabatku sekalian...Aku menjadi kuat dan tabah dengan adanya kalian. Aku menjadi ceria dan gembira dengan adanya kalian, aku berjaya hingga ke hari ini kerana dorongan kalian, aku memperkuatkan langkah kerana kita saling sokong menyokong dan bantu membantu. Ayuhlah, wahai sahabat-sahabatku sekalian! Perjalanan pengajian kita masih panjang, kita belum tahu bagaimana untung nasib yang bakal kita harungi di masa hadapan. Namun, sederap langkah yang kita atur di perjalanan ini pasti membuahkan hasil sekiranya kita saling memperkukuhkan ikatan ukhuwah, menyeka air mata yang tumpah, menghulurkan tongkat pada yang dipapah, menghulur tangan memaut supaya langkah tidak rebah.

Gambar Kenangan






Menerima sijil penyertaan daripada Dato' Dr Hj Mohd Mansor B Abdullah ketika mengikuti kursus Pemantapan kemahiran Bagi Pegawai Psikologi KPWKM 2008
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Akhlak Luhur dan Murah hati

Sabda Rasulullah SAW

“Dua kelakuan yang dicintai Allah SWT ialah akhlak yang luhur dan murah hati. Dua akhlak yang dibenci oleh Allah iaitu akhlak yang jahat dan kekikiran. Andaikata Allah menghendaki bagi diri seseorang itu kebajikan, didorongkannya agar ia menunaikan keperluan-keperluan orang ramai”

“Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga tetapi jauh dari neraka. Manakala orang yang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka. Orang jahil yang dermawan lebih dicintai oleh Allah daripada orang alim yang kikir. Ingatlah bahawa penyakit yang paling parah sekali ialah kikir”
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Puisi : Mengharap Rahmat Tuhan

Mengharap Rahmat Tuhan

Ku Atur Langkah…
Perjalanan Yang Hanya Tinggal Sisa
Dari Kehidupan Yang Sia-sia
Menghirup Debu Kota
Dari Jiwa Dan Akal Yang Alpa
Meniti Lorong-Lorong Gelita
Heroin, Morphine Menjadi Teman Setia!

Ahh..!
Ku Gagahi Bangun Semula
Walau Berkali-kali Ku Rebah
Bangun, Jatuh! Bangun…Jatuh…!
Aku Bagai Tiada Daya
Melawan Gian Yang Ada

Tuhanku…
Hamba Ini Banyak Dosa!
Taubat Nasuha Dan Berdoa
Agar Dapat Bangun Semula
Menjalani Hidup Bagai Hamba
Kepada Tuhan Yang Maha Kuasa
Bukan Mangsa Dadah Durjana

Ya Tuhanku…
Bimbinglah Aku Ke Jalan Yang Kau Redza
Agar Matiku Tidak Sia-Sia
Mendapat Rahmat Di Akhirat Mu Jua!



Nukilan;
Mazita Ahmad
UPSI / 10.8.2004

(Puisi ini saya karang ketika di pengajian Sarjanamuda Kaunseling UPSI sesi 2002/03)

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Rabu, Julai 08, 2009

Merenunglah dan Bersyukurlah


Setiap manusia seharusnya selalu mengingati nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Kerana nikmatNya telah meliputi dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki, kesihatan badan, keamanan negara, hutan belantara, udara dan air, serta masih banyak lagi lainnya adalah nikmat yang telah diberikan Allah kepada kita.
...sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya...(Ibrahim:34)Demikian besar nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada kita. Dunia ini, beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk kita, tetapi kita tidak pernah menyedarinya; kita menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.
...Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin...(Luqman:20)Kita telah diberikan sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki. Apakah kita mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih banyak manusia lain yang tidak mempunyai kaki? Apakah kita mengira bahawa berdiri tegak di atas ke dua betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Apakah kita merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata, sementara masih banyak manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang mengganggunya? Pernahkah kita merasa nista ketika kita dapat menyantap makanan yang lazat dan minuman yang dingin, sementara masih banyak orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai?

Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah menjauhkan anda dari ketulian, penglihatan anda terhindar dari kebutaan dan ingatlah kulit kita yang cantik dan terhindar dari penyakit gatal dan kudis. Perhatikan juga fungsi otak kita, Allah telah memberikan kesihatan akal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan. Apakah kita ingin menggantikan mata kita dengan emas sebesar gunung Uhud? Inginkah kita mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah kita, namun kita bisu? Apakah kita mahu menukarkan kedua tangan kita dengan butiran-butiran permata dan berlian tetapi tangan kita kudung?

Kita sebenarnya telah meraup kenikmatan yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan tetapi sayangnya kita tidak menyedarinya. Bahkan, kita hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan, padahal kita masih memiliki roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk dapat tidur dengan nyenyak dan kesihatan yang stabil.

Kita acapkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga kita lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan kita. Kita merasa sedih kerana kekurangan material, padahal kita masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki setumpuk kebaikan, kenikmatan dan masih banyak yang lainnya. Oleh kerana itu, renungkanlah dan bersyukurlah!

Lihatlah diri kita, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, kesihatan, sahabat dan dunia sekeliling kita. Dan janganlah termasuk dalam golongan:
...Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereke mengingkarinya...(An-Nahl:83)

"Mencatat sambil mendidik diri sendiri, Moga catatan ini jua bisa mendidik jiwaku...Amin"
Sumber: La Tahzan
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"