Isnin, November 04, 2019

LAKARAN SANG PENCINTA ILMU MERAIH PhD



Merafakkan segala rasa kesyukuran dan terima kasih buat yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah Rabbul Jalil atas kurniaan dan kesempatan meraikan Majlis Konvokesyen pada usia saya menginjak ke-48 tahun.
Semalam merupakan hari keramat yang menjadi kenangan buat saya selamanya. Saya tidak pernah bermimpi untuk menggenggam segulung ijazah di peringkat tertinggi suatu ketika dulu kerana saya merupakan pelajar yang tercicir pada zaman persekolahan akibat kemiskinan keluarga. Saya terpaksa berhenti dari meneruskan persekolahan semasa berada di tingkatan 6 rendah dan keluar bekerja kilang demi menampung perbelanjaan keluarga.
Proses pencarian ilmu saya bermula sejak tahun 1997 (ketika itu saya sudah pun mempunyai 2 orang anak). Saya mula mendaftar sebagai pelajar UTM Perlis dalam Program Diploma in Business Study secara PJJ.
Malangnya, pengajian terhenti di situ setelah beberapa semester disebabkan oleh kekangan tugas dan anak yang masih kecil waktu itu. Namun, doa sang pencinta ilmu ini sentiasa didengari Allah. Pada tahun 2002, saya menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda secara sepenuh masa dan berjaya meraih anugerah dekan sebanyak 4 kali. Pada tahun 2008, saya meneruskan lagi usaha pencarian ilmu secara sambilan di peringkat sarjana. Alhamdulillah, berkat dorongan seorang pensyarah Master yang amat saya kasihi, Dr Nadiyah Elias, saya mula berazam untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Alhamdulillah, pada tahun 2014 saya mendapat tawaran HLP bagi pengajian PhD (saya jangkakan mungkin inilah kasih sayang Allah buat saya dengan menggantikan Biasiswa Persekutuan yang terpaksa saya lepaskan ketika berada di Tingkatan 6 dulu).
Namun, lakaran perjalanan pengajian PhD saya penuh berliku. Beberapa bulan selepas mendapat tawaran tersebut, Allah kurniakan saya seorang bayi perempuan selepas 8 tahun keluarga kami sunyi dari tangisan seorang bayi. Kehadirannya telah lama ditunggu dan dinantikan oleh saya dan suami. Alhamdulillah, bayi saya lahir dengan sedikit ujian. Beliau disahkan mengalami penyakit jantung kongenital, Pulmunory Atresia – Intact Ventricular Septum (PA-IVS). Semasa rakan-rakan lain menjalani kursus QA di INTAN, saya menemani bayi saya yang sedang berjuang dalam PCICU.
Memandangkan bayi saya yang sentiasa berada dalam keadaan kritikal (pernah mengalami episod jantung terhenti sebanyak 3 kali dan menerima bantuan CPR sebanyak 4 kali), Saya menghantar surat memohon penangguhan dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah, jika ada rezeki saya, Insya Allah tahun depan saya akan mengikuti kursus QA tersebut bagi melayakkan saya untuk mendapat HLP.
Dalam tempoh tersebut, bayi saya telah menjalani dua kali pembedahan jantung. Pada tahun 2015, sebaik sahaja saya menamatkan kursus QA di INTAN, bayi saya sekali lagi dipanggil untuk menjalani pembedahan jantung yang ke-3 (Glenn Shunt). Selepas 2 bulan pembedahan jantungnya, saya mendaftar diri sebagai seorang pelajar PhD pada September 2015. Saya bukan sahaja seorang pelajar ketika itu, tetapi merangkap seorang jururawat di rumah! Dalam keadaan bayi saya yang masih minum menggunakan ‘ryles-tube’, penjagaan tiub tersebut perlu sangat teliti, kadang kala tercabut (dia cabutkan) sedar-sedar tiub makanan sudah berada di tangannya, perlu dimasukkan semula tiub yang baharu! Waktu makannya selang 3 jam sekali, bermakna jika saya tidur pada jam 10 malam, jam 1 pagi saya perlu bangun semula untuk ‘feeding’ dia, dan seterusnya 3 jam selepas itu. Begitulah perjalanan PhD saya, anak saya hanya minum susu menggunakan tiub selama 3 tahun. Sepanjang tempoh itu, ketika saya keluar mengutip data kualitatif, saya perlu membawa suami dan anak bersama. Persiapan untuk kajian saya dan penjagaan anak perlu seimbang. Oleh itu, semasa keluar mengutip data saya perlu memastikan membawa segala peralatan seperti ‘ryles-tube, syiringe 10ml, syiringe 50ml, selotep khas (untuk lekatkan tiub di muka), stetoskop, botol susu, susu, air dan ubat-ubatan dibawa bersama.
Bukan sahaja sebagai pelajar PhD, saya juga seorang ‘bread-winner’ pada ketika itu kerana suami terpaksa memilih untuk bersara pilihan (suami membuat keputusan sedemikian memandangkan tempat beliau bertugas hanya di Langkawi, sedangkan anak saya perlu berada di sekitar Hospital Serdang sebagai usaha memberi bantuan kecemasan untuknya pada bila-bila masa atas keperluannya, maka kami mengambil keputusan berpindah dari sana), tambahan pula demi menjaga keperluan khas anak kami ketika itu yang mempunyai 7 tempat temu janji rawatan perubatan dan kesihatannya dan jadualnya agak padat. Saya masih ingat lagi, ketika berada di semester 2, saya menghadapi masalah kewangan, duit gaji dan biasiswa yang diperoleh tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan saya sekeluarga. Tambahan pula, anak saya ketika itu perlu minum susu khas yang harganya agak mahal. Pada ketika itu, saya mempunyai dua orang anak lagi yang masih belajar, manakala anak sulung sudah disunting orang ketika saya memulakan pengajian PhD (mungkin Allah ingin meringankan satu bebanan saya). Pada ketika keadaan kewangan yang mendesak, saya membuat pelbagai pekerjaan bersama suami. Pekerjaan yang paling mudah tanpa mengeluarkan modal adalah berniaga secara online, tetapi tidak dapat bertahan lama kerana saya tidak mampu memberikan komitmen dalam perniagaan sebegitu kerana terpaksa memperuntukkan banyak masa terhadap PhD. Akhirnya, saya mendapat idea berniaga nasi lemak. Saya bangun seawal jam 3 pagi menyiapkan nasi lemak, sementara sambal dan lauknya disediakan oleh suami. Kami membungkus nasi lemak bersama-sama. Selepas subuh, suami menghantar nasi lemak mengikut tempahan yang diterima. Saya di rumah, mengemas dan membersihkan dapur lantas mandi dan bersiap untuk ke library bagi menyiapkan proposal. Saya hanya pulang ke rumah lewat petang, kebiasaannya ketika azan maghrib berkumandang saya akan tiba di rumah bagi mengambil alih tugas menjaga anak daripada suami. Ada juga harinya yang saya pulang awal kerana panggilan kecemasan daripada suami (tiub minum susu anak tercabut)! Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang memandang saya dengan penuh rahmat-Nya, dengan tidur dan rehat yang tidak menentu, saya lulus pembentangan proposal semasa di semester ke-2.
Sebaik sahaja lulus proposal, saya memberi perhatian sepenuhnya kepada kerja-kerja kajian. Tugas menyediakan nasi lemak untuk jualan diambil alih sepenuhnya oleh suami sehingga ke hari ini dengan menjenamakan nasi lemak tersebut dengan nama Nasi Lemak Syarha sempena nama anak syurga kami.
Semasa menghadiri follow-up di hospital, doktor selalu mengingatkan saya bahawa anak saya perlu menjalani satu lagi siri pembedahan. Justeru, saya sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa menghargai setiap detik waktu yang diberikan. Masa amat bernilai bagi saya. Jika anak saya dalam keadaan sihat dan kesihatannya tidak membimbangkan, saya akan menghabiskan masa selama 10 hingga 15 jam sehari di library. Dataran Tun Sri Lanang menjadi saksi, ada kala saya menghabiskan masa sehingga 18 jam di sana, pernah juga saya tidak pulang ke rumah, meneruskan tugas sebagai pelajar sehingga ke dinihari (selepas mendapat restu suami) kerana meraikan ‘idea’ dan ‘semangat’ menulis yang hadir pada ketika itu.
Kemuncak kepada ujian ini, sehari sebelum viva, saya mendapat khabar yang meluluhkan jiwa. Abah saya yang mengalami demam sejak hampir 2 minggu dimasukkan ke ICU dengan bantuan pernafasan. Sebaik sahaja selesai sidang viva (keputusan lulus dengan pembetulan kecil 3 bulan) saya pulang ke kampung menjaga abah di hospital. Keadaan kesihatan abah semakin merosot dan memandangkan keadaan abah yang sangat lemah, saya tidak sampai hati untuk menceritakan kepada abah yang saya sudah lulus PhD. Bagi saya, tiada kepentingan lagi untuk abah mengetahui keadaan saya, cukuplah sekadar bisikan sayu di dalam hati saya… “Bah, anak abah dah lulus PhD”, biarpun abah tak dengar, namun tatapan sayu mata abah mungkin memahami suara hati anaknya ini. Keutamaan saya pada ketika itu hanyalah sumbangan bakti terakhir saya buat abah. Genap sebulan abah di hospital, abah pergi mengadap Ilahi. Saya mengambil masa hampir dua minggu juga untuk pulihkan semangat dan jiwa yang kekosongan selepas pemergian abah.
Tempoh yang diberikan untuk saya menyiapkan tesis berbaki satu bulan lebih sahaja lagi. Saya pulang semula ke rumah dan perlu menyegerakan pembetulan tesis. Dalam tempoh itu juga, saya dihubungi oleh IJN memaklumkan tarikh pembedahan anak saya pada minggu hadapan. Ya Allah! Segala-galanya perlu berjalan dengan pantas…saya cuma ada seminggu untuk menyiapkan segala-galanya…Iya! dalam tempoh hanya seminggu! Setelah anak saya menjalani pembedahan, saya tiada masa lagi untuk memikirkan tentang tesis. Itulah kemuncak huru-hara dalam hidup saya sepanjang bergelar pelajar PhD.
Saya perlu menyiapkan pembetulan tesis, dan dalam masa yang sama persiapan perlu dilakukan untuk anak masuk operations. Alhamdulillah, akhirnya pembetulan tersebut berjaya dilakukan dan tesis dihantar untuk binding hard cover. Selama tempoh tersebut saya bekerja tanpa henti, tanpa rehat, tanpa tidur yang cukup, tanpa mengenal penat dan lelah.

Saya menghantar tesis berjilid keras sehari sebelum anak saya dijadualkan masuk wad untuk operations.

Sebaik sahaja menyerahkan tesis di pejabat fakulti, saya menerima panggilan daripada IJN yang memaklumkan bahawa operations tersebut terpaksa ditunda memandangkan saiz ‘device’ yang akan dipasangkan di jantung anak saya lebih besar daripada jantungnya. Terus terasa letihnya saya berkejar masa!
Namun, Allah al-Bari pengatur segala-galanya. Hikmahnya, saya beroleh GOT (sebenarnya pada awal pengajian saya tidak pernah memahami maksud GOT dan kriteria mendapatkannya, saya hanya concern untuk menyiapkan kajian demi menggalas amanah HLP).
Setiap orang mempunyai ujian dan medan tempur yang tersendiri. Saya percaya sahabat-sahabat di luar sana juga tidak kurang hebatnya dalam perjuangan menyiapkan PhD masing-masing. Catatan ini bukanlah bertujuan untuk menunjukkan kehebatan diri, jauh sekali merasa megah mahupun bangga diri. Lakaran sebahagian perjalanan pengajian ini mungkin memberi inspirasi kepada sahabat yang sedang diuji dan merasa lemah dalam perjuangan. Perjalanan jihad mencari ilmu di peringkat PhD mengajar saya tentang ilmu kesabaran dan ketabahan. Ada kalanya kita diuji dengan perasaan sedih dan kecewa, boleh jadi dengan rakan, penyelia, kaum keluarga dan sebagainya. Ada kalanya kita menjadi buntu, kabur dan hilang arah tanpa sokongan daripada mereka yang signifikan dengan kita. Ada kalanya juga kita menjadi kurang bermaya kerana masalah kewangan. Justeru, semakin hari kita menjadi semakin matang dalam memproses ujian yang mendatang. Ujian-ujian tersebut hadir untuk mendekatkan diri kita kepada Sang Khaliq, membantu kita merasai nikmatnya menjadi seorang hamba. Nikmat tersebut dapat kita rasai ketika mengadu, meminta dan mengharap sepenuhnya kepada Dia.
Ketika saya ditanya bagaimana saya beroleh GOT sedangkan saya menghadapi pelbagai ujian kehidupan, saya terfikir sejenak, jika persoalan tersebut hanya memerlukan jawapan dalam sebaris ayat, mungkin inilah jawapannya, siapalah saya tanpa pandangan rahmat dari-Nya!
Lakaran PhD
Dr Mazita Ahmad
UKM/2019




"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim