Khamis, Oktober 22, 2009

Di mana letaknya Kebahagiaan...?



Salam buat semua...saban hari kita sering mendengar orang bercakap tentang kebahagiaan..tapi tahukah anda makna kebahagiaan? Dan di manakah letaknya?

Kebahagiaan adalah suatu perkara abstrak yang tidak dapat dilihat oleh mata, tidak boleh diukur, ditimbang atau dibeli dengan wang dan harta, sebaliknya suatu anugerah dan Rahmat Allah s.w.t. Kebahagiaan adalah suatu keadaan yang dirasai manusia di dalam dirinya, iaitu ketenangan hati, kelapangan dada, kerehatan otak dan keselesaan hati kecil. Perasaan ini bermula dari dalam diri manusia itu sendiri, bukan dari luar.

Seperti yang berlaku dalam satu kisah seorang suami yang marahkan isterinya, "Aku akan celakankan engkau". Jawab isterinya dengan tenang, "Abang tidak boleh celakakan saya, sebagaimana abang tidak boleh membahagiakan saya". Jawab suami dengan penuh marah, "Kenapa tidak?" Isteri pula menjawab, "Kalau kebahagiaan itu ada pada gaji, boleh abang potong, atau pada perhiasan boleh abang rampas dariku, tetapi kebahagiaan berada di tempat yang abang tidak berdaya menguasainya dan semua manusia tidak berjaya." Tanya suami dengan penuh kehairanan, "Bagaimana?" Jawab isteri dengan penuh yakin, "Saya dapati kebahagiaan saya terletak pada iman saya dan iman berada dalam hati saya dan hati saya tiada siapa dapat menguasainya kecuali Allah". (Riwayat Bukhari & Tarmizi)

Begitulah kebahagiaan sebenar, yang tiada seorang pun dapat memberi dan merampasnya. Kebahagiaan menjadi syurga impian setiap insan, tidak kira kaya atau miskin, raja atau rakyat. Pendek kata tidak ada seorang pun di dunia ini yang inginkan kecelakaan untuk dirinya. Kebahagiaan tidak terletak pada harta atau pangkat tetapi terletak di dalam hati yang dapat dikuasai oleh Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Kuasa. Semua insan cintakan dan idamkan kebahagiaan tetapi tidak ramai yang mampu menggapainya.

Semoga kita merupakan insan yang dipilih oleh Allah untuk mendapat Rahmat-Nya dan sentiasa diberi naungan kebahagiaan di dunia jua di akhirat.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan