Memaparkan catatan dengan label keampunan Allah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keampunan Allah. Papar semua catatan

Isnin, November 21, 2016

️KEKUATAN DAN KEKURANGAN

Kadang-kadang ALLAH menguji kita dengan kekuatan yang ada pada kita..
Agar mampu meraih sabar bertahan ...
Atau menambahkan lagi kekuatan yang sedia ada...
Kadang-kadang ALLAH menguji kita dengan kekurangan yang ada pada kita...
Agar kita dapat menambah sesuatu di atas kekurangan tersebut..
Agar kita bertambah kuat mengatasi kekurangan itu...
Apa-apa pun semuanya dengan Laa Haula wa La Quwwata iLLa BiLLah
Dan kekuatan itu ada dalam sujud kita..

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Ujian Hidup


Selagi bernama hidup dan kehidupan, setiap insan pasti melalui ujian dan cabaran.

Namun...
Tika kita diuji dengan hujan yang mencurah jangan kita lupa bahawa Allah pernah kurniakan kita mentari yang bersinar.
.
.
Tika dunia kita dilitupi awan mendung usah kita lupa bahawa Allah pernah hadiahkan kita pelangi yang indah.
.
.
Tika sekeliling kita dipenuhi dengan jerebu yang menyesakkan pandangan, kita perlu ingat bahawa masih Allah kurniakan kita hari yang cerah lagi terang benderang.
.
.
Setiap titisan hujan yang menitis akan berakhir juga, walau lebat bagaimana sekali pun lambat laun hujan itu akan berhenti, dan mentari pasti akan muncul kembali.
.
Bersederhana lah dalam bersedih kerana kesedihan akan berakhir juga dan bakal diganti dengan kegembiraan dan kebahagiaan.

Sentiasalah bersangka baik dengan Allah kerana Allah akan memberi mengikut sangkaan hambaNya.

Justeru.. Sentiasalah bersyukur apa sahaja pemberian Allah tika ini, kerana semua ini hanyalah 'pinjaman', jua hargailah apa yang kita 'punya' sekarang kerana belum tentu esok atau lusa ia terus bersama kita.



"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Selasa, Ogos 11, 2015

Ujian sebagai Alat Muhasabah Diri



 
Dalam hidup ini kita sering diuji. Usahlah bertanya kenapa aku diuji? Kerana yang namanya dunia kebanyakkannya adalah ujian. Menjadi pelik jika ada orang yang mendakwa dirinya tidak pernah diuji kerana hidup tanpa peristiwa juga boleh memberi tekanan dalam kehidupan. Jadi, ujian yang kita hadapi adalah seperti bunga-bunga yang mengindahkan lagi kehidupan. Persepsi melihat ujian sebagai indah bergantung kepada kacamata masing-masing. Bagi orang yang optimis akan sentiasa melihat ujian sebagai sesuatu yang positif samada untuk menjadi diri lebih sabar, lebih cekal atau menjadi lebih tabah. Yang penting setiap ujian dipandang sebagai alat muhasabah diri yang amat baik dan berkesan untuk menjadikan kita insan yang hari ini lebih baik daripada semalam.

Adalah malang jika kita melihat ujian secara defensif, banyak menyalahkan orang lain daripada melihat kesilapan diri sendiri.

Dalam berhadapan ujian saya berpegang kepada dua konsep menjaga hubungan. Terpelihara dua konsep hubungan ini maka hubungan2 dengan yang lain-lainnya akan datang sendiri dengan baik.
 


Hubungan yang pertama adalah menjaga hubungan dengan Allah. Bila diri kita diuji, kita perlu lebih rapat dengan Allah. Perkemaskan ibadah wajib, perbanyakkan ibadah sunat. Rasulullah SAW pernah berpesan supaya apabila kita diuji perbanyakkan solat dan bersabar. Oleh itu, lagi diuji lagi kita dekat dengan Allah dengan mengerjakan amalan-amalan sunat seperti perbanyakkan membaca Al Quran, solat sunat seperti Dhuha, Taubat, Hajat, Tahajjud, Istiqarah, Solat Tasbih dsb. Lidah kita juga sering melafazkan zikir-zikir serta istigfar memohon keampunan daripada Allah. In sha Allah, hati kita akan tenang dan damai. Jika masih belum beroleh ketenangan, periksa dan nilai kembali 'qalbu' kita mungkin masih bersarang hasad, dendam, kesumat atau masih tersimpan sifat-sifat mazmumah di dalamnya.
 


Konsep hubungan yang ke dua adalah dengan 'ibu'. Hubungan dengan ibu mestilah sangat baik kerana sebagai anak kita amat memerlukan doa daripada seorang ibu. Jika tersimpan sekelumit perasaan tidak senang hati ibu terhadap kita maka adalah sukar untuk kita mendapat kebahagiaan dalam hidup ini. Saya teringat waktu kecil-kecil dulu...kita dididik dan diajar sangat menghormati ibu. Menjadi kesalahan dan biadap jika menggunakan ganti nama 'dia' kepada ibu atau bapa. Begitulah halusnya kita diajar supaya 'izzah' atau kemuliaan seorang yang bernama ibu atau bapa dipelihara. 'Izzah' atau kemuliaan ini bukan datangnya dari siapa-siapa tetapi Allah yang tetapkan kemuliaan tersebut. Teringat saya kepada pesanan seorang guru, jika ibu benar, ibu tetap benar; jika ibu salah sekalipun ibu tetap benar. Usahlah kita pertikaikan kesalahan atau kesilapan ibu kita sekalipun di mata kita ibu tampak banyak salahnya. Itu semua urusan Allah...serahkan sebulatnya kepada Allah. Tugas kita sebagai anak menghormati dan mengasihi ibu sehabis baik. Ibu tiada gantinya dalam dunia...hilang ibu akan hilang juga keberkatan doanya untuk kita hidup bahagia di dunia hingga akhirat.

Semoga hati kita tenang dan damai membaca pesanan ini.

Nasihat hanya berguna buat insan yang mahu berfikir - Ummu Hakim

 


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

Sabtu, Disember 29, 2012

Terima Kasih Duhai Suami...


SUMBER DARI SAHABATKU AYUSHIDA MOHD DON

Terima Kasih Suamiku... - CERSAPEN (CERPEN SANGAT PENDEK)

Di suatu sudut di dalam sebuah rumah, di tengah malam yang hening, sesusuk tubuh lelaki bergelar suami menggigil menahan tangis....Dalam esakkan yang menyekat-nyekat nafasnya, kedengaran lelaki ini merintih kepada TUHANnya....

'Ya Allah Ya Tuhanku, Aku memohon ampun dari MU ya Allah..... Aku hambaMU yang gagal Ya Allah... Setelah kau anugerahkan wanita secantik dan sebaik isteriku, aku gagal melindunginya dari bisa duniawi .... Kau bimbinglah aku dalam mengurusi rumahtangga ini ya Allah.... Aku lelaki namun aku lemah... aku malu kepadaMU ya Allah....Aku pohon kau bimbinglah aku ya Allah........'

Rintihan itu menyebabkan isteri yang tidurnya belum nyenyak terus tersedar... dan terbangun..... mendapatkan suaminya yang semakin hilang dalam luahan hati kepada PENCIPTAnya....Dalam esakkan dan rintihan kesedihan itu, dengan linangan airmata yang membasah, dia merangkul isterinya yang terkaku melihat keadaannya.

"Abang... kenapa ni? Ada apa-apa yang sayang tak tahu ke?"

Si suami mengucup dahi isteri, kucupan yang mendalam, seakan kucupan terakhir.

"Abang... jangan buat sayang macam ni... ceritalah kenapa...."

Si suami melipat sejadahnya, membetulkan duduknya, berhadapan dengan isteri tersayang, dan menggenggam tangan si isteri dengan penuh rasa sayang.

"Sayang..... Abang minta maaf.... Abang tak mampu menjadi suami yang baik... Tak mampu beri sayang apa yang sepatutnya sayang dapat..."

"Kenapa Abang cakap macam tu? Abang terlalu baik buat sayang.... terlalu baik... abang tak perlu bagi sayang apa-apa. Semua sayang dah ada, sayang cuma mahu kasih sayang abang, dan abang dah bagi, itu dah cukup bang..."

"Belum cukup sayang... Abang berdosa ... banyak dosa abang...."

Genggaman erat itu dilepaskan.......Isteri agak terkejut....

Si suami merenung mata isteri......Isteri yang disayangi di dunia dan moga-moga hingga ke akhirat..........

Tangannya membelai-belai rambut ikal isterinya yang panjang melebat hingga ke pinggang...Dia menangis lagi......

"Abang tidak sanggup membayangkan rambut yang sangat cantik ini hangus terbakar berkali-kali....Abang tak kan mampu membayangkan kalau awak menanggung sakit...."

Dipandang isterinya dari hujung rambut dari hujung kaki, sekali lagi linganan airmatanya jatuh.....

"Abang tidak mahu tubuh isteri abang ini derita tersiksa di mamah api...."

Disentuh bibir merah isterinya....

"Abang tidak mahu bibir ini hangus kerana terpaksa minum air yang menggelagak dan berbara...."

Merenung ke mata isterinya, dia mendekat dan memeluk isterinya....

"Sudah berkali-kali abang ingatkan sayang, lindungilah kurniaan Allah ini, lindungilah sebaiknya...Sayang isteri abang yang baik, walau pun merajuk, tapi tetap sediakan makanan untuk abang, walaupun marah-marah, tapi tetap tidur sekatil dengan abang......Biarlah kita romantis begini hingga ke syurga... Namun kita mungkin tidak dapat ke syurga bersama......"

Tangannya terus membelai si isteri yang mula teresak-esak........

"Mungkin abang akan melihat sayang dari jauh, ditemani bidadari syurga yang menawan dan terbaik buat abang.... Itu pun jika Allah tidak mengkelaskan abang sebagai lelaki dayus.... Jika abang tidak selamat, kita akan menghadapi hukuman kita masing-masing....bukan bersama-sama sayang, kita tidak lagi bersama....abang tidak mampu menolong sayang, begitu juga sayang, tidak mampu menolong abang, bila kita sudah di sana kelak.... Hanya perbuatan dan amalan kita di dunia ini sajalah yang boleh bantu kita....."

Tangisan si isteri semakin kuat.....

"Abang berdosa kerana tidak mampu tegas dengan sayang tentang aurat, tentang solat dan tentang iman. Abang hanya mapu berdoa sayang.... abang tidak mahu kita bergaduh tetapi abang tidak patut membiarkan perasaan ini menghalang abang dari memimpin sayang ke syurga bersama.... Jadilah ketua bidadari abang.... abang tidak kenal bidadari di syurga.... abang sekarang cuma kenal sayang... Sayang sanggup memilih abang yang tak punya harta berbanding keluarga sayang yang hidup bagai dalam istana, sayang sanggup mengikut abang berpindah dan tinggal di rumah yang sederhana... sayang kata, itu semua kerana cinta....... Cinta yang tak pernah abang jangka akan abang punya..."

Dia mengesat airmata si isteri......dan menyambung lagi.........

"Sayang isteri yang baik..... Tidak pernah berkira tentang belanja rumah yang hanya sedikit dari poket abang, belanja anak-anak yang kebanyakannya diurus sayang..... Kerja dikilang yang memenatkan sehari suntuk, tak mampu nak tanding gaji awak sayang.. Tapi awak masih sanggup hidup bersama abang? Sayang, walau awak baik sebegini, awak belum mampu menjadi isteri abang yang terbaik kerana masih gagal menegakkan solat diwaktu ketiadaan abang.... Gagal menjaga aurat bila keluar lalu mengundang banyak mata yang memandang......"

Tangisan isterinya masih lagi deras....

"Sayang tidak malu kah bersuamikan lelaki dayus ? Lelaki yang sanggup membiarkan isterinya berbuat dosa? Bila anak-anak kita belajar agama, belajar tentang solat dan aurat, tidak kelirukah mereka ? Sayang nak letak muka di mana kalau mereka bertanya "Kenapa mama tak tutup aurat ?"

"Sayang, tudung kecil yang sekali-sekala sayang pakai tu memang cantk, tapi ia tak menjalankan fungsi tudung yang sepatutnya.... Tudung sepatutnya menutup hingga ke bawah dada, Baju pula sepatutnya tidak nipis atau jarang, seluar yang ketat itu sama saja seperti sayang tidak memakainya...."

"Sayang, dirikanlah solat dengan ikhlas, abang bersyukur kerana sayang cintakan abang, tapi abang mahu sayang cintakan Allah dan Rasul lebih daripada cintakan abang.. Abang tiada hak nak duduk dibahagian teratas hati sayang.... Semua orang patutnya cintakan Allah sebelum yang lain-lain...."

Di peluk erat isteri yang tak mampu hentingan esak tangis.........Dalam rangkulan itu, si isteri membisikkan sesuatu...

"Abang... sayang minta ampun dan maaf," Tangan si suami di kucup berkali-kali. Basah wajahnya dengan airmata penyesalan....... "Abang ampunkan sayang ye?"

"Ye abang ampunkan... Abang tak pernah marah sayang pun... Abang redha semuanya... lepas ni kena minta Ampun dengan Allah tau...." Rambut si isteri diusap lembut.

"Terima kasih abang. Sayang janji mulai sekarang sayang akan ubah semua yang tak baik.. Sayang tak mahu tengok abang macam ni lagi.. Sayang akan dapatkan cinta Allah dan Rasul .... Dan selepas Allah dan Rasul, cinta abang saja yang ada untuk ruangan di hati ini. Esok, sayang nak pergi shopping.... nak beli baju labuh-labuh, tudung besar-besar.... nak beli telekung baru... nanti abang ajarkan sayang AlQuran ye.. banyak yang dah lupa...."

"Boleh.... tapi kalau abang tak ada.... pergilah cari tempat belajar yang baik.. di surau taman ini pun ada guru mengaji perempuan yang bagus...... Kalau abang tak mampu nak ajar ilmu fardhu ain, sayang wajib cari sendiri... faham tak?" Anggukan si isteri mula bertenaga.....

"Kalau macam tu, ahad ni sayang boleh pergi shopping....."

"Ala.. esok kan boleh... esok cuti umum kan........Abang temankan yer..."

"Dalam tempoh 3 hari mulai esok... abang nak kenakan perintah berkurung untuk sayang...." Sambil tersenyum nakal.....

"Hmmm... kenapa pulak?"

"Mulai esok, sayang kena mengaji ..... nak tak ?"

"Okaylah abang.... apa-apa saja perintahmu ku turuti...Sayang tak mo suami dayus.. Tak mo...!" Senyuman meleret walau pun airmata masih jatuh lagi di pipinya....

"Okay sekarang, sayang tidur yer....Tidur dalam pelukan abang ni.....Biar abang dodoi macam baby......"

Isteri memejamkan mata dalam senyuman yang basah dengan tangisan.....Tepukan lembut suami tercinta di lengannya membuatkan dia rasa aman.... dan tidur dalam senyuman.....

Bunyi lori yang lalu lalang selalu saja membuatkan si isteri terjaga di kala subuh.. Biasanya dia akan menarik selimutnya lagi, namun kali ini dia bingkas bangun dan membersihkan diri untuk solat subuh... selesai mandi dan berwudhu, dia mengejutkan suaminya, dengan rasa yang teruja kerana pertama kali berbuat begitu...

"Abang, sayang dah siap wudhuk ni, jom abang imamkan sayang...." Suami masih lena.... Di goyang lembut badan suaminya....

"Abang.... jomlah kita solat sama-sama...." Goyangan yang semakin kuat sikit pun tidak membangunkan si suami... Hatinya mula berdetak keras..

"Abang....." Di letakkan jari di bawah hidung suami.... Tiada nafas ! Dirasa denyutan nadi ditangannya..... Tak jumpa! Di letakkan telinga didada suaminya.. kenapa jantungnya tak berdegup...?

Ya Allah...! Kiranya sudah sampai waktunya bagi suamiku..... Aku redha.....!Setiap kata-kata suami malam tadi berlegar-legar di benaknya... Kata-kata si suami itu telah menguatkan hatinya.... Dalam tangisan pilu dia redha... Walaupun kesal memberatkan dadanya , kesal kerana terlalu banyak suami bersedih kerana dia..... namun dia tidak mampu lagi berbuat apa-apa... selain dari mengotakan janji yang telah dia lafazkan kepada suaminya...

Terngiang-ngiang....."Dalam tempoh 3 hari mulai esok... abang nak kenakan perintah berkurung untuk sayang.."

Airamatanya tak mampu lagi tertahankan....

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya suamiku teramat baik di dunia ini, Kau tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang kau redhai...Terima kasih suamiku.......

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Ahad, Ogos 22, 2010

Ilmu Tonggak Kesempurnaan Amal

Hari ini merupakan hari yang ke-12 umat Islam menunaikan ibadah puasa bermakna kita kini sedang berada pada fasa ke-2 dalam bulan Ramadhan yang Allah janjikan keampunan. Bagaimana agaknya keadaan diri kita? Fizikalnya bagaimana? Masih sihat atau sudah lemah-lemah? Mentalnya pula bagaimana? Adakah kita kurang konsisten dalam pemikiran kerana pemerhatian saya pada saf-saf di masjid sejak kebelakangan ini ada yang berkurangan. Psikologikal pula agaknya bagaimana? Adakah sejak akhir-akhir ini berita tentang hadis daif berkaitan kaifiat solat terawih membuatkan kita menjadi kurang bermotivasi dan enggan melakukannya lagi?

Apa yang saya nyatakan di atas sebenarnya tidak akan berlaku sekiranya kita mempunyai ilmu dalam beribadah. Menjadi keresahan di hati saya ketika menunaikan solat terawih, masjid yang besar dan indah MasyaAllah membanggakan kita tetapi apa yang ingin disebutkan di sini, para jemaah yang kurang dari segi ilmu tidak dapat memanfaatkannya. Kehadiran jemaah untuk menunaikan terawih al-Hamdulillah tapi ketika sesekali menoleh ke belakang meninjau saf-saf di belakang alangkah kecewanya hati saya. Ada di kalangan jemaah yang suka-suka hati membuka saf tanpa berhubung dengan saf-saf yang lain. Ada pula di antara jemaah yang membiarkan saf 'berlompang' dan tidak terpanggil untuk memenuhkan ruang saf yang di hadapan. Jika saf yang berhampiran, yang mampu saya tegur, akan saya panggil untuk penuhkan saf tapi malangnya dalam bilangan yang ramai mana mampu untuk menegur semua kecuali imam boleh menggunakan kaedah memberi ingatan kepada makmum setiap kali sebelum solat untuk merapatkan saf dan memenuhkan saf yang dihadapan. Lalu...bersolatlah saya dalam keadaan keresahan.

Ilmu memandu hidup kita menjadi lebih sempurna. Tanpa ilmu, amalan yang dilakukan menjadi sia-sia. Kita sepatutnya ke masjid menunaikan solat terawih secara berjemaah dan mengharapkan pahala berlipat ganda tetapi sebaliknya pula yang kita dapat. Dalam isu kaifiat dan kelebihan solat terawih, kenapa kita perlu membesar-besarkannya. Jika sekiranya hadis tersebut daif sekalipun rugikah kita jika kita menghidupkan sunnah nabi? Apa salahnya jika hadis daif ini boleh menjadi perangsang kepada manusia untuk beribadah? Tetapi adakah kita beribadah semata-mata untuk mendapatkan apa yang ditawarkan menurut hadis itu? Di sini, kita perlu kembali semula kepada niat yang asal, tanya hati dan berbicaralah dengan iman apakah tujuan sebenarnya kita beribadah? Adakah kita ingin mendapatkan kelebihan-kelebihan dan tawaran itu atau ingin mencari keampunan dan keredhaan Allah? Bagi saya, cukuplah jika kita melakukan ibadah semata-mata ingin mencari keampunan dan keredhaan Allah kerana sebagai hamba Allah kita perlu sedar bahawa dalam firman Allah ada menyebut yang maksudnya, "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu" Nah...jelas kepada kita tujuan kita dihidupkan adalah untuk beribadah kepada Allah. Jadi, jalankan tanggung jawab kita sebagai hamba Allah dengan penuh keikhlasan dan selebihnya untuk memberi ganjaran pahala dan sebagainya adalah milik Allah.

Fasa ke-2 dalam Ramadhan ini bermula malam 10 Ramadhan bersamaan 20 Ogos sehinggalah 20 Ramadhan bersamaan 30 Ogos nanti. Maka, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan dan memohon berbanyak-banyak keampunan daripada Allah SWT. Kita semua merupakan insan yang berdosa, tidak kira siapa, ustaz, guru, peguam, kaunselor, pegawai kerajaan, CEO, pelajar, kerani, atau apa jua jawatan kita bukan bermakna kita adalah orang yang kalis dosa. Hanya yang maksum dan terpelihara adalah Kekasih Allah Rasulullullah SAW yang kita cintai. Oleh itu, marilah kita sama-sama manfaatkan 10 hari dalam fasa ke-2 ini seperti tarikh yang saya nyatakan di atas untuk memohon keampunan daripada Allah SWT atas dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan daripada Allah SWT.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"