Dalam hidup ini kita sering diuji. Usahlah bertanya
kenapa aku diuji? Kerana yang namanya dunia kebanyakkannya adalah ujian.
Menjadi pelik jika ada orang yang mendakwa dirinya tidak pernah diuji kerana
hidup tanpa peristiwa juga boleh memberi tekanan dalam kehidupan. Jadi, ujian
yang kita hadapi adalah seperti bunga-bunga yang mengindahkan lagi kehidupan.
Persepsi melihat ujian sebagai indah bergantung kepada kacamata masing-masing.
Bagi orang yang optimis akan sentiasa melihat ujian sebagai sesuatu yang positif
samada untuk menjadi diri lebih sabar, lebih cekal atau menjadi lebih tabah.
Yang penting setiap ujian dipandang sebagai alat muhasabah diri yang amat baik
dan berkesan untuk menjadikan kita insan yang hari ini lebih baik daripada
semalam.
Adalah malang jika kita melihat ujian secara defensif,
banyak menyalahkan orang lain daripada melihat kesilapan diri sendiri.
Dalam berhadapan ujian saya berpegang kepada dua konsep
menjaga hubungan. Terpelihara dua konsep hubungan ini maka hubungan2 dengan
yang lain-lainnya akan datang sendiri dengan baik.
Hubungan yang pertama adalah menjaga hubungan dengan
Allah. Bila diri kita diuji, kita perlu lebih rapat dengan Allah. Perkemaskan
ibadah wajib, perbanyakkan ibadah sunat. Rasulullah SAW pernah berpesan supaya
apabila kita diuji perbanyakkan solat dan bersabar. Oleh itu, lagi diuji lagi
kita dekat dengan Allah dengan mengerjakan amalan-amalan sunat seperti
perbanyakkan membaca Al Quran, solat sunat seperti Dhuha, Taubat, Hajat,
Tahajjud, Istiqarah, Solat Tasbih dsb. Lidah kita juga sering melafazkan
zikir-zikir serta istigfar memohon keampunan daripada Allah. In sha Allah, hati
kita akan tenang dan damai. Jika masih belum beroleh ketenangan, periksa dan
nilai kembali 'qalbu' kita mungkin masih bersarang hasad, dendam, kesumat atau
masih tersimpan sifat-sifat mazmumah di dalamnya.
Konsep hubungan yang ke dua adalah dengan 'ibu'. Hubungan
dengan ibu mestilah sangat baik kerana sebagai anak kita amat memerlukan doa
daripada seorang ibu. Jika tersimpan sekelumit perasaan tidak senang hati ibu
terhadap kita maka adalah sukar untuk kita mendapat kebahagiaan dalam hidup
ini. Saya teringat waktu kecil-kecil dulu...kita dididik dan diajar sangat
menghormati ibu. Menjadi kesalahan dan biadap jika menggunakan ganti nama 'dia'
kepada ibu atau bapa. Begitulah halusnya kita diajar supaya 'izzah' atau
kemuliaan seorang yang bernama ibu atau bapa dipelihara. 'Izzah' atau kemuliaan
ini bukan datangnya dari siapa-siapa tetapi Allah yang tetapkan kemuliaan
tersebut. Teringat saya kepada pesanan seorang guru, jika ibu benar, ibu tetap
benar; jika ibu salah sekalipun ibu tetap benar. Usahlah kita pertikaikan
kesalahan atau kesilapan ibu kita sekalipun di mata kita ibu tampak banyak
salahnya. Itu semua urusan Allah...serahkan sebulatnya kepada Allah. Tugas kita
sebagai anak menghormati dan mengasihi ibu sehabis baik. Ibu tiada gantinya
dalam dunia...hilang ibu akan hilang juga keberkatan doanya untuk kita hidup
bahagia di dunia hingga akhirat.
Semoga hati kita tenang dan damai membaca pesanan ini.
Nasihat hanya berguna buat insan yang mahu berfikir - Ummu Hakim
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper