Assalamualaikum pembaca sekalian, Baru-baru ini saya dijemput berceramah di sebuah institusi. Tajuk ceramah yang diberikan kepada saya adalah "Keluarga Bahagia - Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi".
Alhamdulillah perjalanan ceramah tersebut berlaku seperti yang dirancangkan. Selesai berceramah, pihak penganjur telah mengadakan slot sesi soal jawab bersama dengan peserta di situ. Saya diajukan beberapa persoalan antaranya berbunyi; >"Dahulu saya sering melakukan dosa, minum arak perkara biasa, berzina selalu, melawan dan derhaka kepada ibu bapa menjadi rutin seharian saya. Tidak ada perkara baik yang saya lakukan pada masa dahulu. Tetapi kini, saya telah insaf dan bertaubat. Saya ingin menjadi hamba Allah yang sejati. Tetapi persoalan saya, adakah segala dosa-dosa saya diampunkan oleh Allah? Adakah Allah menerima taubat saya? Bagaimana keadaan saya jika Allah tidak menerima taubat saya?
...hrmm saya tersenyum sebentar membaca soalan yang diajukan kepada saya itu. Dalam hati saya berkata "Alhamdulillah, insan ini telah diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah!" Saranan saya kepada yang bertanya; Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas gerak hati yang terdapat dalam diri saudari. Sebenarnya saudari perlu memanjatkan rasa kesyukuran yang amat sangat kepada Allah kerana 'menghadiahkan' segunung taufik dan hidayahNya kepada saudari. Saudari perlu rasa bertuah kerana dalam ramai-ramai manusia, Allah telah memilih saudari untuk diberi cahaya petunjuk.
Yang pertama, bagi anda yang mempunyai persoalan sedemikian, perlu bersyukur kepada Allah kerana membuka ruang untuk diri bertaubat. Tetapi saya ingin ingatkan bahawa janganlah sering menceritakan segala dosa yang pernah dilakukan kerana bimbang dan khuatir akan merasa megah dan bangga [ula dengan kejahatan, dosa dan maksiat tersebut. Kadang-kala ada manusia dengan angkuh dan sombongnya menceritakan dan menyebut bahawa 'sebut sahaja pub mana yang belum pernah dimasuki?, sebut sahaja arak jenis apa yang belum dirasai?, sebut sahaja lelaki jenis yang macam mana belum pernah ditiduri? Semuanya telah dilalui" tetapi kini aku ingin bertaubat dengan sebenar-benar taubat! Nah...pembaca semua, tidakkah nampak sesuatu yang tidak kena kepada orang yang dikatakan insaf ini? Dalam satu nada begitu rakus menceritakan kenikmatan melakukan dosa dan maksiat, dalam satu nada yang lain ingin pula bertaubat. Saya ingin ingatkan bahawa jika kita benar-benar ingin bertaubat, usah menceritakan kerja-kerja dosa yang telah dilakukan sebelum ini sebaliknya, tanam dalam hati ingin bertaubat dengan taubat nasuha bahawa diri kita tidak akan melakukannya lagi. Dengan bantuan solat taubat, istighfar, zikrullah, bersahabat dengan sahabat yang soleh dan mencari guru-guru yang mursyid akan mengukuhkan lagi taubat kita. Dosa dan maksiat yang telah dilakukan simpan dalam hati seorang diri sebagai sempadan untuk tidak mengulanginya lagi, usah ceritakan kepada orang lain kecuali kepada orang-orang yang dipercayai seperti kaunselor mahupun orang-orang ahli agama yang dapat memelihara keaiban diri kita justeru dapat membantu diri kita untuk melakukan perubahan dan penghijrahan diri.
Yang kedua; hendaklah kita sentiasa mempunyai sangkaan yang baik terhadap Allah. Tugas kita sebagai hamba yang pernah melakukan dosa adalah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Terima atau tidak adalah hak Allah, sebagai manusia kita tidak tahu apakah taubat kita diterima oleh Allah atau tidak tetapi kita perlulah mempunyai sangkaan yang baik kepada Allah. Kita perlu sering kali mengingati bahawa rahmat Allah begitu luas dan Allah sentiasa bersifat pengampun dan penyayang kapada hambaNya. Jangan mudah berputus asa dengan rahmat Allah, yakin dan percayalah bahawa Allah amat mengasihi hambaNya yang sentiasa bertaubat.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper