Isnin, Disember 01, 2014

Kisah Bayi Ajaib saya…Diari 3 Bulan Sayyidah Nur Syarha – Siri 2

Tanggal 13 Julai 2014 jam 10.33 minit pagi…lahirkan seorang puteri yang telah tertulis takdirnya oleh Allah Azzawajalla mengalami masalah jantung Pulmunory Atresia With Intact Ventrical Septum. (Bilik kanan jantung kecil dan langsung tidak berfungsi serta injap jantungnya tertutup).

Saya berikan namanya Sayyidah Nur Syarha….(cantik namanya kan…)

Saya nukilkan catatan kelahirannya di sini…


Menyelusuri perjalanan hidup mujahidah kecil Sayyidah Nur Syarha 13/4/2014 - 13/7/2014.

Hari ini genap 3 bulan usianya. Dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar melalui pembedahan caesarean jam 10.33 pg dengan berat 2.40 kg. Dimasukkan terus ke ICU dengan bantuan pernafasan.



Baby telah disahkan mengalami penyakit jantung kronik Pulmunory Atresia with intact ventrical septum (sindrom bayi biru) sejak dari 5 bulan dalam kandungan melalui 'detail scan'. Tiada sesuatu yang pelik atau ganjil dalam kandungan, pergerakannya aktif, degupan jantungnya normal.

Setelah 3 hari di Hosp Alor Setar dipindahkan ke Hosp Besar Pulau Pinang dan dimasukkan ke wad NICU dengan bantuan pernafasan dan ubat prostaglandin bagi memastikan PDA jantungnya tidak tertutup sebelum menjalani pembedahan. Seminggu di NICU, keadaan baby agak stabil dan telah dipindahkan ke wad neonatal.


Menunggu beratnya mencecah ke 2.80 kg sungguh menguji jiwa seorang ibu. Akhirnya sampai juga target 2.84 kg tetapi doktor pakar di Hosp Penang kekurangan ahli dalam team untuk menjalankan prosedur pembedahan untuknya.


Pada 19/5/2014 dipindahkan dari Hosp Penang ke Hosp Serdang. Bertolak seawal jam 4.30 pagi dengan ambulan. Pada 20/5/2014 prosedur memasukkan tiub dan belon ke jantungnya dilakukan. Semasa prosedur dijalankan jantungnya terhenti selama 10 minit dan bantuan cpr kali pertama diberikan. Malangnya selepas hampir seminggu belon yang dimasukkan tidak berkembang. Pada 27/5/2014 keadaannya bertambah kritikal, seluruh badannya menjadi biru. Doktor menambahkan 9 jenis ubat2an bagi memastikan oksigen dapat diangkut dari paru2 ke seluruh badan.


Pada 28/5/2014 suatu prosedur besar untuk bayi sekecilnya dilakukan. Baby menjalani open heart surgery, BT Shunt dipasangkan dan PDA diikat dan beberapa prosedur lagi bagi membolehkannya meneruskan kehidupan.


Sepanjang berada di PCICU, 3 kali jantungnya terhenti selama 5 - 10 minit. Bantuan CPR pula diberikan sebanyak 4 kali.



Pada mata zahir kelihatan perit dan tersiksa... Kedua-dua belah tangan dan kaki semuanya biru kehijauan kesan suntikan jarum. Apabila sukar untuk dapatkan salur darah di tangan dan kaki yang telah lebam, doktor masukkan jarum di bahagian leher dan kepala. Kedua-dua belah bahagian kepala dicukur rambutnya untuk dimasukkan jarum. Di kepala juga habis lebam kesan tusukan jarum...

Begitu sukar perjalanan hidup yang ditempuhnya...
Bantuan pernafasan juga sudah beberapa kali cuba dibuka tetapi menemui kegagalan kerana baby tidak mampu bernafas tanpa bantuan oksigen.

Hari ini genap 10 hari baby dipindahkan ke wad biasa. Oksigen telah dibuka sepenuhnya sejak 3 hari lalu.

Perjalanan hidupnya yang baru 3 bulan tetapi telah menempuh pelbagai dugaan. Baby perlu menempuh sekurang-kurangnya 2 lagi siri pembedahan iaitu glend operation pada usia 1 thn dan fontan operation pada usia 3 tahun.

Mudah-mudahan mujahidah kecil ini terus kuat dan tabah agar mampu menempuh ujian2 seterusnya dalam kehidupannya.

Moga Rahmat Allah terus bersama Sayyidah Nur Syarha.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

Kisah Bayi Ajaib saya…Diari 3 Bulan Sayyidah Nur Syarha – Siri 1

Menerima kunjungan sahabat lama Subiha yang telah hampir 20 tahun tidak berjumpa

Saya disahkan hamil anak ke-4 ketika usia mencecah 42 tahun. Suatu umur yang boleh dikategorikan dalam bidang perubatan sebagai umur yang berisiko untuk mengandung. Namun, inilah doa saya dan suami sejak beberapa tahun kebelakangan ini supaya Allah mengurniakan kami seorang lagi puteri agar melengkapkan keluarga bahagia kami.
Ujian Allah menjelma ketika kandungan mencecah usia 4 bulan setengah…melalui “Detail Scan” yang ditawarkan oleh pihak hospital bayi saya disahkan mengalami penyakit jantung Pulmunory Atresia with Intact Ventrical Septum.
Allahu Rabbi…betapa beratnya tanggungan saya ketika menerima berita itu.
Kes saya dari Langkawi dirujuk ke hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan seterusnya dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang. Bermula umur kandungan 5 bulan saya kerap berulang alik ke Alor Setar dan ke Pulau Pinang bagi memantau perkembangan bayi.
Pakar Paediatrik Cardiology Hospital Besar Pulau Pinang mendiagnoskan bahawa bayi saya mempunyai ‘undeveloped’ jantung yang dikategorikan sebagai penyakit jantung kronik dan menunjukkan sindrom bayi biru apabila dilahirkan nanti.
“Saya harap ibu dan bapa bertabah dengan apa yang akan saya maklumkan ini” …Pakar Jantung memulakan bicara sebaik sahaja ‘echo’ scan jantung dilakukan di atas perut saya.
“Bayi encik dan puan mengalami penyakit jantung kritikal dan 90% ujian ini adalah tepat dan selebihnya 10% kita perlu menunggu ketika beliau dilahirkan nanti. Bayi ini berisiko boleh meninggal pada bila-bila masa, semasa dalam kandungan, semasa dilahirkan, sebaik sahaja dilahirkan, beberapa jam selepas dilahirkan, beberapa hari selepas dilahirkan, beberapa minggu selepas dilahirkan atau beberapa bulan selepas dilahirkan.”
…saya terdengar suatu letupan kuat berlaku dalam kepala, dalam dada, dalam jantung dan dalam diri saya…!!!
Allahu Rabbi…ujian apakah ini? Allahu Allah
…namun, saya cuba kuatkan hati!
Selepas mendengar penerangan doktor saya dan suami melangkah keluar dari bilik doktor penuh kesedihan. Badan saya tiba-tiba menggigil kesejukan. Suami menyentuh dan memeluk lembut bahu saya dan membisikan kata-kata semangat untuk saya bersabar.
Saya membendung perasaan sedih dan tidak mahu airmata saya menitis di hadapan suami dan anak.
Saya meluru ke tandas…di sanalah airmata saya pecah berderai. Saya menangis semahu-mahunya… Sesuatu yang saya sangat takutkan berlaku pada anak saya kini sudah berlaku…
Sejarah saya membesarkan anak-anak yang lain, jika anak saya demam biasa pun sudah cukup membuatkan saya susah hati dan akan berjaga malam menjaga anak dengan penuh kasih sayang. Kini…kasih sayang saya terhadap anak diuji Ilahi.
Ya Allah…Aku pasrah Ya Allah, aku ikhlas Ya Allah menerima segala ujianMu.
Sebagai hamba Tuhanku Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang…ku tagih Kasih dan RahmatMu Allah…
Lalu…sepanjang tempoh membawa kandungan yang tidak ku ketahui nasibnya ini aku pasrah sepasrah yang mungkin kepada Allah.
Persiapan untuk menyambut kelahiran bayi yang kami tunggu selama 8 tahun ini  seperti biasa, seperti ingin juga menyambut anak-anak sebelum ini, penuh kegembiraan dan penuh kasih sayang…

Sepanjang tempoh itu, saya mempergiatkan amalan bersedekah kerana saya yakin dan percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Ubatilah penyakitmu dengan bersedekah dan perbanyakkan sedekah kerana ia dapat memanjangkan umurmu”
Dengan bersedekah juga dapat mengundang rezeki dan dapat menolak bala. Bukan bermakna saya bersedekah itu bersyarat atau meminta dibalas tetapi saya memohon kepada Allah agar diberikan kesembuhan kepada anak saya dengan amalan ikhlas saya…begitulah kisahnya.
Pada 12 April 2014 saya terus mengharap dengan berdoa suatu keajaiban bakal berlaku esok...
Esok pagi jadual caesarean saya..(saya memilih kaedah caesar kerana bayi saya tidak perlu bersusah payah untuk keluar kerana bimbang injap jantungnya tertutup)

…saya masih berdoa agar Allah Azzawajalla merahmati dan memberi kesejahteraan buat bayi saya.
## Ikuti kisah seterusnya dalam Siri 2

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

MERISIK KHABAR...

Assalamualaikum wbt. Apa khabar para pembaca sekalian. Sudah lebih dari setahun saya tidak ‘update’ laman ini.

Sebenarnya banyak yang berlaku sehingga menjadikan saya ‘benar-benar’ sibuk dan langsung terlupa untuk menulis. Bagi para pembaca yang sering mengikuti nukilan saya sudah semestinya akan tertanya-tanya ke mana agaknya saya menghilang.

Sebenarnya saya tidak ke mana, masih bernafas di bumi ini Cuma ujian ‘besar’ yang saya terima sejak awal tahun lalu membuatkan saya menjadi begitu sibuk. Kisahnya akan saya ceritakan di sini, sehari demi sehari saya akan cuba memuatkan pengalaman ‘berharga’ yang Allah berikan kepada saya sejak kebelakangan ini.

Moga dengan perkongsian saya ini akan dapat memberi manfaat kepada orang lain yang sama diuji oleh Allah. Pada awal tahun 2014 saya menyambutnya di hospital. Boleh dikatakan keseluruhan tahun 2014 ini saya diuji dengan ujian kesakitan – anak sakit.

Anak ke-3 saya, Muhammad Fahmi Hakim mengalami sakit mata yang didiagnos mempunyai ketumbuhan di belakang bebola mata kanannya.

Saya nukilkan kisahnya di sini…

NOTA HATI SEORANG IBU

Ibu membuka lembaran tahun baru 2014 dengan segaris ujian yang sudah cukup meluluhkan jiwa. Tika ini mungkin ibu antara ribuan malah jutaan insan yang bergelar ibu yang sedang diuji oleh Allah SWT. Allah sedang mencuit sedikit jiwa keibuan ibu... Tanggal 29 Disember 2013 anak ibu dimasukkan ke wad kerana mengalami sakit mata yang teramat kuat. Mata anak ibu kelihatan membengkak dan menonjol keluar. Ketika anak ibu mengalami kesakitan yang sangat kuat, seluruh badannya dari kepala hingga ke badan akan berpeluh, muka menjadi kemerah-merahan akibat menahan kesakitan. Anak ibu menjerit kesakitan, muntah dan meronta-ronta seakan menggelupur berjuang dengan azab derita yang ditanggung. Hati ibu menjadi luluh melihat anak kecil ibu menanggung penderitaan yang tidak mampu ibu kongsikan bersama.
Doktor dan petugas di hospital hanya mampu menenangkan anak ibu yang kesakitan dengan memberi ubat penahan sakit. Saban hari kesakitan demi kesakitan anak ibu menanggung penderitaan. Semasa berjaga anak ibu menangis dan menjerit kesakitan dan terbawa ke dalam tidur yang diiringi dengan suara mengerang yang penuh sayu. Melihat kesakitan dan penderitaan anak ibu, ibu sendiri terlupa akan kesakitan ibu sendiri. Ibu tidak menjamah nasi selama 4 hari tetapi Allah beri kekuatan pada ibu. Hari anak ibu dimasukkan ke wad, semasa sakit tu anak ibu cakap pada ibu;
Anak : kalau umi tak lahirkan adik ke dunia ni pun takpe, takla adik rasa sakit macam ni

Ibu : Jangan cakap macam tu sayang, kelahiran adik dah ditakdirkan Allah, Allah nak jadikan adik khalifah di muka bumi ni. Allah bagi ujian untuk adik dan juga umi sebab Allah sayang pada kita. 

Anak : kalau Allah sayang kenapa Allah bagi adik sakit?

Ibu : Allah bagi sakit sebab Allah nak bagi pahala besar pada kita. 

Anak : Umi, ujian tu apa pulak?

Ibu : Hrmm....ujian tu macam adik jawab soalan periksa kat sekolah. Kalau boleh jawab adik lulus dengan dengan cemerlang. Sakit ni pun ujian macam tu jugak...(Ibu hanya mampu beri jawapan ini selepas puas memikirkan suatu jawapan yang terbaik)

Anak : Habis...sakit ni ujian, kalau adik mati adik lulus ujian ke?

Ibu : Jika tak mati pun boleh lulus ujian tapi kena sabar, ingat pada Allah selalu.

Anak : Kalau macam tu, adik nak matilah. Boleh jumpa Allah, boleh masuk syurga cepat sikit.

Ibu : Adik tak boleh mati lagi sebab adik belum pergi Mekah, kan adik selalu cakap adik nak pergi Mekah nak doa untuk umi masuk syurga... (Luluh hati ibu....runtuh jiwa ibu, namun ibu tetap tersenyum memberikan kekuatan pada anak ibu)

31 Disember 2013 Hari ke-3- anak ibu diberi Mida sejenis sedatif untuk menjalankan ujian MRI. Ternyata selepas 3 dos diberikan sehingga ke dos maksimum anak ibu gagal ditidurkan, jadi ujian MRI tidak dapat dijalankan.

Ujian MRI hanya dapat dilakukan keesokkannya setelah doktor menjalankan prosedur bius penuh. Sayu hati ibu ketika menyorong anak ibu dalam tidak sedarkan diri ke bilik MRI. Sepanjang ujian dijalankan ibu membaca Surah Yasin dan Salawat Tafrijiyyah berulang kali.

Ibu mendoakan agar keputusan ujian tersebut tiada sesuatu yang serius berlaku kepada anak ibu.

1 Januari 2014 – petang selepas ujian MRI dijalankan doktor memanggil ibu dan abah untuk diterangkan keputusan ujian. Ibu melihat filem ujian MRI tersebut, ibu sendiri dapat melihat sesuatu yang berlainan hadir di belakang bebola mata kanan anak ibu. Doktor menerangkan bahawa sesuatu yang ibu lihat itu adalah tumor (soft tissue) yang sedang membengkak mungkin juga disebabkan oleh imflamasi (radang).

Doktor juga menerangkan bahawa pembedahan segera perlu dilakukan memandangkan anak ibu sakit berterusan dan bimbang ia akan menjejaskan saraf mata anak ibu. Prosedur biopsy yang akan dilakukan adalah untuk mengambil sebahagian tisu tersebut untuk dihantar ke makmal untuk diuji melihat jenis penyakit tersebut.

Ibu hanya mengangguk tanda memahami apa yang sedang diterangkan dan dalam hati ibu hanya ada Allah.... Doktor menerangkan lagi bahawa risiko yang anak ibu bakal hadapi yang paling ringan adalah kebas di bahagian pipi, sebelah muka dan sebahagian kecil kepala dan risiko besar jika terkena saraf mata anak ibu bakal kehilangan deria penglihatan. Ibu menerimanya dengan tenang...dalam hati ibu hanya ada Allah.

“Doktor, saya nak cakap sesuatu...doktor juga seorang ibu, saya hormat pada kepakaran doktor cuma saya mohon pada doktor anggaplah anak saya ni seperti anak doktor juga, dan bantulah saya untuk buat keputusan yang terbaik demi masa depan anak saya. Perjalanan hidup anak saya masih jauh lagi” kata ibu dengan deraian airmata. Doktor mengangguk tanda memahami...

Maklumat yang disampaikan oleh doktor ibu analisis satu persatu. Masya Allah...esok bakal merubah segalanya, kehidupan anak ibu juga kehidupan ibu. Ibu akan mempertaruhkan deria penglihatan anak ibu dalam prosedur pembedahan itu nanti. Dalam perkiraan tersebut, ibu merasakan doa ibu seorang tidak cukup, doa abah juga tidak memadai.

Tanpa berlengah ibu memohon sebanyak mungkin sumbangan dan sedekah doa dari semua sahabat ibu untuk membantu anak ibu. Sepanjang malam ibu membaca doa serta Salawat Tafrijiyyah dan hembus ke mata anak ibu. Alhamdulillah, anak ibu dapat tidur dengan tenang pada malam itu. Mungkin kesan ubat bius siang tadi, fikir ibu. Keesokkan paginya, anak ibu bangun dengan ceria. Doktor singgah sebentar menjenguk anak ibu sebelum bermesyuarat dengan pakar radiology tentang prosedur yang akan dijalankan kepada anak ibu. Bilik pembedahan juga telah tersedia untuk anak ibu... ...

”Masya Allah, matanya dah tak bengkak lagi...inilah mustajabnya doa ibu” Ayat pertama yang keluar dari mulut doktor.

Lantas ibu menjawab, “Doktor, bukan doa saya seorang tetapi doa dari seluruh sahabat-sahabat saya di seluruh Malaysia hingga ke Makkah. Saya minta mereka doakan untuk anak saya, doktor”. 

“Alhamdulillah...jika dah tak bengkak dan tak sakit, nanti doktor bincang lain mungkin ada cara lain pula yang boleh kita jalankan” Selepas keluar mesyuarat, doktor datang sekali lagi memaklumkan bahawa pembedahan tersebut ditangguhkan. Filem MRI itu akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk mendengar maklum balas dari pakar mata dari sana pula.

Adik Fahmi Hakim menikmati Ice Cream setelah lama bergelut dengan kesakitan
Dalam hati ibu hanya ada Allah...Dialah yang memberi dan Dia juga yang menyembuhkan. Ibu sentiasa berpegang bahawa doa adalah senjata orang mukmin dan doa juga boleh menolak sesuatu qada’. Namun, jika Allah telah takdirkan ‘barang pinjamanNya’ akan Diambil balik apa mampu ibu lakukan melainkan melepaskannya dengan redha... Selepas ujian MRI itu dijalankan sehingga ke hari ini mata anak ibu kelihatan normal seperti biasa, tiada lagi bengkak, tiada lagi tangisan dan jeritan kesakitan. Ibu sangat-sangat bersyukur. Ramai sahabat-sahabat ibu yang mengadakan majlis bacaan yasin, bacaan manzil, solat hajat memohon kesembuhan buat anak ibu mulai Rabu malam sehingga hari Jumaat. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua sahabat yang banyak membantu, memberi sokongan, memberi kekuatan, memberi sedekah doa dan sebagainya kepada ibu. Tidak ada ucapan lain yang selayaknya buat kalian semua duhai sahabat melainkan hanya Allah sahaja yang mampu memberi ganjaran dengan membalas kalian dengan kebaikan.
Sujud pada Allah setelah pulih dari sakit

Jazakallahu khairan kathira
## Siri selepas ini perkongsian tentang kisah bayi ajaib saya… Sayyidah Nur Syarha

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper