Memaparkan catatan dengan label insan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label insan. Papar semua catatan

Isnin, Disember 01, 2014

Kisah Bayi Ajaib saya…Diari 3 Bulan Sayyidah Nur Syarha – Siri 1

Menerima kunjungan sahabat lama Subiha yang telah hampir 20 tahun tidak berjumpa

Saya disahkan hamil anak ke-4 ketika usia mencecah 42 tahun. Suatu umur yang boleh dikategorikan dalam bidang perubatan sebagai umur yang berisiko untuk mengandung. Namun, inilah doa saya dan suami sejak beberapa tahun kebelakangan ini supaya Allah mengurniakan kami seorang lagi puteri agar melengkapkan keluarga bahagia kami.
Ujian Allah menjelma ketika kandungan mencecah usia 4 bulan setengah…melalui “Detail Scan” yang ditawarkan oleh pihak hospital bayi saya disahkan mengalami penyakit jantung Pulmunory Atresia with Intact Ventrical Septum.
Allahu Rabbi…betapa beratnya tanggungan saya ketika menerima berita itu.
Kes saya dari Langkawi dirujuk ke hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan seterusnya dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang. Bermula umur kandungan 5 bulan saya kerap berulang alik ke Alor Setar dan ke Pulau Pinang bagi memantau perkembangan bayi.
Pakar Paediatrik Cardiology Hospital Besar Pulau Pinang mendiagnoskan bahawa bayi saya mempunyai ‘undeveloped’ jantung yang dikategorikan sebagai penyakit jantung kronik dan menunjukkan sindrom bayi biru apabila dilahirkan nanti.
“Saya harap ibu dan bapa bertabah dengan apa yang akan saya maklumkan ini” …Pakar Jantung memulakan bicara sebaik sahaja ‘echo’ scan jantung dilakukan di atas perut saya.
“Bayi encik dan puan mengalami penyakit jantung kritikal dan 90% ujian ini adalah tepat dan selebihnya 10% kita perlu menunggu ketika beliau dilahirkan nanti. Bayi ini berisiko boleh meninggal pada bila-bila masa, semasa dalam kandungan, semasa dilahirkan, sebaik sahaja dilahirkan, beberapa jam selepas dilahirkan, beberapa hari selepas dilahirkan, beberapa minggu selepas dilahirkan atau beberapa bulan selepas dilahirkan.”
…saya terdengar suatu letupan kuat berlaku dalam kepala, dalam dada, dalam jantung dan dalam diri saya…!!!
Allahu Rabbi…ujian apakah ini? Allahu Allah
…namun, saya cuba kuatkan hati!
Selepas mendengar penerangan doktor saya dan suami melangkah keluar dari bilik doktor penuh kesedihan. Badan saya tiba-tiba menggigil kesejukan. Suami menyentuh dan memeluk lembut bahu saya dan membisikan kata-kata semangat untuk saya bersabar.
Saya membendung perasaan sedih dan tidak mahu airmata saya menitis di hadapan suami dan anak.
Saya meluru ke tandas…di sanalah airmata saya pecah berderai. Saya menangis semahu-mahunya… Sesuatu yang saya sangat takutkan berlaku pada anak saya kini sudah berlaku…
Sejarah saya membesarkan anak-anak yang lain, jika anak saya demam biasa pun sudah cukup membuatkan saya susah hati dan akan berjaga malam menjaga anak dengan penuh kasih sayang. Kini…kasih sayang saya terhadap anak diuji Ilahi.
Ya Allah…Aku pasrah Ya Allah, aku ikhlas Ya Allah menerima segala ujianMu.
Sebagai hamba Tuhanku Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang…ku tagih Kasih dan RahmatMu Allah…
Lalu…sepanjang tempoh membawa kandungan yang tidak ku ketahui nasibnya ini aku pasrah sepasrah yang mungkin kepada Allah.
Persiapan untuk menyambut kelahiran bayi yang kami tunggu selama 8 tahun ini  seperti biasa, seperti ingin juga menyambut anak-anak sebelum ini, penuh kegembiraan dan penuh kasih sayang…

Sepanjang tempoh itu, saya mempergiatkan amalan bersedekah kerana saya yakin dan percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Ubatilah penyakitmu dengan bersedekah dan perbanyakkan sedekah kerana ia dapat memanjangkan umurmu”
Dengan bersedekah juga dapat mengundang rezeki dan dapat menolak bala. Bukan bermakna saya bersedekah itu bersyarat atau meminta dibalas tetapi saya memohon kepada Allah agar diberikan kesembuhan kepada anak saya dengan amalan ikhlas saya…begitulah kisahnya.
Pada 12 April 2014 saya terus mengharap dengan berdoa suatu keajaiban bakal berlaku esok...
Esok pagi jadual caesarean saya..(saya memilih kaedah caesar kerana bayi saya tidak perlu bersusah payah untuk keluar kerana bimbang injap jantungnya tertutup)

…saya masih berdoa agar Allah Azzawajalla merahmati dan memberi kesejahteraan buat bayi saya.
## Ikuti kisah seterusnya dalam Siri 2

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

Sabtu, Disember 31, 2011

RENUNGAN BUAT DIRIKU YANG SERING LUPA

Renungan buat diriku..
Usahlah kau menagih belas kasihan dari manusia,
kerana belas kasihannya sekejap sekejap saja.

Bila kau sebatang kara dan menangis,
mungkin manusia akan mendengar keluhanmu,
tapi sekejap sekejap saja.

Mereka akan bosan pada satu ketika,
kerana itulah tabiat manusia.

Lebih parah bila kau di uji muka-muka
yang gelumang nifaq dan cinta dunia
Kecuali mereka yang telah dikurniakan Allah
rahmat pada jiwa-jiwanya

Palingkan wajahmu hanya kepada Dia
yang lebih dekat dari urat lehermu
yang lebih Menyayangi dan Mengasihanimu..
walaupun kau sering saja lupa taat,
sujud dan bersyukur di atas segala nikmat,
yang telah zahir kepadamu
dan yang tidak terlihat..
bahkan kau selalu saja derhaka dan bermaksiat.

Jika sedikit ditarik nikmat-Nya,
kau pasti terduduk, ternganga.

Tiada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa Allah.
Jangan kau zalimi diri..
jangan kau berulah,
jangan kau zalimi orang yang lemah,
kerana Yang Membalas dan Membelanya adalah Allah.
Al-Jabbar, Yang Maha Gagah
Bila sakit, ingat.
Bila suka, lupa.
Sedarlah.
Malulah.
Beradablah kepada Allah.
Sebelum berakhir perjanjian,
antara jasad dan jiwa.

’Duhai Tuhan Pemilik Arasy yang Agung,
kepada-Mu kuserah jiwa dan raga,
Apa yang telah Kau tetapkan sebagai anugerah,
akan tetap sebagai anugerah.
Tanpa-Mu aku kan hilang segala-galanya.
Pandangan Kasih dan Rahmat-Mu,
yang kurayu dan kudamba,
sehingga ke penghujung nyawa.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper