Memaparkan catatan dengan label taubat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label taubat. Papar semua catatan

Sabtu, Disember 31, 2011

RENUNGAN BUAT DIRIKU YANG SERING LUPA

Renungan buat diriku..
Usahlah kau menagih belas kasihan dari manusia,
kerana belas kasihannya sekejap sekejap saja.

Bila kau sebatang kara dan menangis,
mungkin manusia akan mendengar keluhanmu,
tapi sekejap sekejap saja.

Mereka akan bosan pada satu ketika,
kerana itulah tabiat manusia.

Lebih parah bila kau di uji muka-muka
yang gelumang nifaq dan cinta dunia
Kecuali mereka yang telah dikurniakan Allah
rahmat pada jiwa-jiwanya

Palingkan wajahmu hanya kepada Dia
yang lebih dekat dari urat lehermu
yang lebih Menyayangi dan Mengasihanimu..
walaupun kau sering saja lupa taat,
sujud dan bersyukur di atas segala nikmat,
yang telah zahir kepadamu
dan yang tidak terlihat..
bahkan kau selalu saja derhaka dan bermaksiat.

Jika sedikit ditarik nikmat-Nya,
kau pasti terduduk, ternganga.

Tiada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa Allah.
Jangan kau zalimi diri..
jangan kau berulah,
jangan kau zalimi orang yang lemah,
kerana Yang Membalas dan Membelanya adalah Allah.
Al-Jabbar, Yang Maha Gagah
Bila sakit, ingat.
Bila suka, lupa.
Sedarlah.
Malulah.
Beradablah kepada Allah.
Sebelum berakhir perjanjian,
antara jasad dan jiwa.

’Duhai Tuhan Pemilik Arasy yang Agung,
kepada-Mu kuserah jiwa dan raga,
Apa yang telah Kau tetapkan sebagai anugerah,
akan tetap sebagai anugerah.
Tanpa-Mu aku kan hilang segala-galanya.
Pandangan Kasih dan Rahmat-Mu,
yang kurayu dan kudamba,
sehingga ke penghujung nyawa.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"
Helper

Ahad, April 03, 2011

Jangan Berputus Asa Dengan Rahmat Allah

Assalamualaikum pembaca sekalian, Baru-baru ini saya dijemput berceramah di sebuah institusi. Tajuk ceramah yang diberikan kepada saya adalah "Keluarga Bahagia - Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi".

Alhamdulillah perjalanan ceramah tersebut berlaku seperti yang dirancangkan. Selesai berceramah, pihak penganjur telah mengadakan slot sesi soal jawab bersama dengan peserta di situ. Saya diajukan beberapa persoalan antaranya berbunyi; >"Dahulu saya sering melakukan dosa, minum arak perkara biasa, berzina selalu, melawan dan derhaka kepada ibu bapa menjadi rutin seharian saya. Tidak ada perkara baik yang saya lakukan pada masa dahulu. Tetapi kini, saya telah insaf dan bertaubat. Saya ingin menjadi hamba Allah yang sejati. Tetapi persoalan saya, adakah segala dosa-dosa saya diampunkan oleh Allah? Adakah Allah menerima taubat saya? Bagaimana keadaan saya jika Allah tidak menerima taubat saya?

...hrmm saya tersenyum sebentar membaca soalan yang diajukan kepada saya itu. Dalam hati saya berkata "Alhamdulillah, insan ini telah diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah!" Saranan saya kepada yang bertanya; Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas gerak hati yang terdapat dalam diri saudari. Sebenarnya saudari perlu memanjatkan rasa kesyukuran yang amat sangat kepada Allah kerana 'menghadiahkan' segunung taufik dan hidayahNya kepada saudari. Saudari perlu rasa bertuah kerana dalam ramai-ramai manusia, Allah telah memilih saudari untuk diberi cahaya petunjuk.

Yang pertama, bagi anda yang mempunyai persoalan sedemikian, perlu bersyukur kepada Allah kerana membuka ruang untuk diri bertaubat. Tetapi saya ingin ingatkan bahawa janganlah sering menceritakan segala dosa yang pernah dilakukan kerana bimbang dan khuatir akan merasa megah dan bangga [ula dengan kejahatan, dosa dan maksiat tersebut. Kadang-kala ada manusia dengan angkuh dan sombongnya menceritakan dan menyebut bahawa 'sebut sahaja pub mana yang belum pernah dimasuki?, sebut sahaja arak jenis apa yang belum dirasai?, sebut sahaja lelaki jenis yang macam mana belum pernah ditiduri? Semuanya telah dilalui" tetapi kini aku ingin bertaubat dengan sebenar-benar taubat! Nah...pembaca semua, tidakkah nampak sesuatu yang tidak kena kepada orang yang dikatakan insaf ini? Dalam satu nada begitu rakus menceritakan kenikmatan melakukan dosa dan maksiat, dalam satu nada yang lain ingin pula bertaubat. Saya ingin ingatkan bahawa jika kita benar-benar ingin bertaubat, usah menceritakan kerja-kerja dosa yang telah dilakukan sebelum ini sebaliknya, tanam dalam hati ingin bertaubat dengan taubat nasuha bahawa diri kita tidak akan melakukannya lagi. Dengan bantuan solat taubat, istighfar, zikrullah, bersahabat dengan sahabat yang soleh dan mencari guru-guru yang mursyid akan mengukuhkan lagi taubat kita. Dosa dan maksiat yang telah dilakukan simpan dalam hati seorang diri sebagai sempadan untuk tidak mengulanginya lagi, usah ceritakan kepada orang lain kecuali kepada orang-orang yang dipercayai seperti kaunselor mahupun orang-orang ahli agama yang dapat memelihara keaiban diri kita justeru dapat membantu diri kita untuk melakukan perubahan dan penghijrahan diri.



Yang kedua; hendaklah kita sentiasa mempunyai sangkaan yang baik terhadap Allah. Tugas kita sebagai hamba yang pernah melakukan dosa adalah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Terima atau tidak adalah hak Allah, sebagai manusia kita tidak tahu apakah taubat kita diterima oleh Allah atau tidak tetapi kita perlulah mempunyai sangkaan yang baik kepada Allah. Kita perlu sering kali mengingati bahawa rahmat Allah begitu luas dan Allah sentiasa bersifat pengampun dan penyayang kapada hambaNya. Jangan mudah berputus asa dengan rahmat Allah, yakin dan percayalah bahawa Allah amat mengasihi hambaNya yang sentiasa bertaubat.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Khamis, Oktober 15, 2009

Penyakit-penyakit Yang Ada Dalam Jiwa Manusia - Cara Mengubati Mengikut Cara Rasulullah

Oleh: Ibn al-Qayyim al-Jauzi
Ulasan: Abu Muhammad


Penyakit-penyakit yang biasa terdapat dalam jiwa manusia adalah seperti berikut:

1. Mensyirikkan Allah SWT.

2. Melakukan amalan yang berdosa kepada Allah SWT.

3. Lalai terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah SWT kepada hamba yang Muslim.

4. Menghina dan memandang kecil kepada orang yang dikasihi dan disokong Allah SWT.

5. Meninggalkan keputusan Allah SWT dalam kehidupan, sebaliknya mengambil keputusan yang lain.

Dalam realiti kini, segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT dipandang tidak baik dan tidak diredhai oleh manusia. Manusia tidak memberi harga dan nilai kepada kehendak Allah SWT. Manusia memandang sepi terhadap ketetapan Allah SWT.

Mungkin terdapat segelintir manusia daripada umat ini yang memandang berat, mulia, tinggi dan agung dengan keputusan Allah SWT. Tetapi umumnya apabila dikemukakan keputusan Allah SWT maka dirasakan menjatuhkan maruah, seterusnya bersikap tidak mempedu¬likan dan tidak mengendahkan keputusan tersebut. Inilah penyakit jiwa.

6. Tidak merujuk kepada Allah SWT, sebaliknya mengambil rujukan yang lain dalam permasalahan hidup meliputi di bidang ilmu penge¬tahuan, sistem, peraturan dan sebagainya.

7. Tidak bergantung harap kepada Allah SWT, sebaliknya bergantung harap kepada ilah-ilah selain Allah SWT.

Apabila manusia tidak merujuk kepada Allah SWT, maka sudah tentu tiada lagi pergantungan kepada Allah SWT. Hakikat ini dinilai berasaskan praktik hidup manusia hari ini, meskipun dari segi dakwaan sememangnya mereka mengakui merujuk dan bergantung Allah SWT. Inilah yang sedang nyata berlaku.

8. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji dan ingatan-ingatan Allah SWT.

Allah SWT memberitahu orang-orang yang beriman, bertaqwa dan beramal saleh akan janji syurga. Allah juga memberitahu orang-orang yang menentang-Nya akan janji azab neraka. Namun dalam perlaksanaan hidup manusia kini, ramai merasa syak dan sangsi terhadap janji-janji Allah SWT.

Jika manusia yakin akan janji-janji itu, sudah tentu realiti manusia berbeza daripada apa yang ada sekarang. Kini secara meluas manusia berasa curiga dan syak dengan janji-janji dan ingatan-ingatan Allah SWT.

Itulah perkara-perkara atau sebab-sebab yang membawa penyakit kepada jiwa manusia.


UBAT YANG MUJARAB

Tidak ada ubat bagi mengubati penyakit-penyakit itu melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Janganlah berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda SAW.

Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita melihat jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang manusia.

1. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah SWT, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah SWT.

2. Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan itu dan bertaubat kepada Allah SWT.

3. Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diber¬ikan Allah SWT, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab terse¬but.

4. Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah SWT, ubatnya ialah perlu mengambil berat, suka, redha dan cinta terhadapnya.

5. Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah SWT, ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah SWT dalam semua hal kehidupan.

Manusia perlu faham dan sedar bahawa setiap detik kehidupan boleh terlepas daripada keputusan Allah SWT. Segala-galanya perlu dirujuk dan dikembalikan kepada keputusan Allah SWT. iaitu meru¬juk dan kembali kepada syarak atau Islam sahaja.

6. Jika penyakit itu ialah memandang kecil dan hina terhadap nilai-nilai Allah SWT, ubatnya ialah kembali menilai dengan tinggi, agung dan baik akan nilai-nilai Allah SWT. Manusia harus diberi kefahaman sebenar terhadap nilai-nilai Allah SWT dan ditarbiyyah. Dengan cara ini barulah penyakit tersebut dapat sembuh.


KERIANGAN MENTAUHIDKAN ALLAH
Keseluruhan cara pergubatan di atas dipanggil cara pengubatan Rasulullah SAW terhadap penyakit-penyakit jiwa.

Penyakit mensyirikkan Allah SWT, disembuhkan dengan cara kembali mentauhidkan Allah SWT. Tauhid kepada Allah SWT akan membuka pintu kebaikan, kegembiraan, dan keriangan. Riang dan gembira orang-orang yang beriman ialah riang yang hakiki dan tidak berpu¬ra-pura. Keringan mereka lahir daripada tindakan mentauhidkan Allah SWT. Keriangan mereka adalah keriangan berterusan walaupun mereka diancam dan dikecam.

Inilah keriangan dan kegembiraan bagi orang-orang yang mentauhid¬kan Allah SWT. Mereka sentiasa bertindak di atas landasan sya¬ra'. Sekiranya mereka bertindak di atas landasan syara' tetapi tidak merasai kepuasan, kelazatan dan keriangan, bermakna tauhid itu belum mantap. Mungkin masih terdapat penyakit di jiwa mereka.


TAUBAT

Taubat bermakna manusia kembali kepada Allah SWT, peraturan-Nya dan hukum-Nya. Taubat ialah membuang dan mengosongkan diri dari¬pada segala bentuk campuran yang buruk atau campuran yang boleh merosakkan jiwa. Taubat ialah menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai lain dan kembali kepada nilai-nilai Allah SWT sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang-orang bertaubat kepada Allah SWT maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat.

Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristigfar kepada Allah SWT dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripa¬da makanan yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.

DOSA MELEMAH DAN MEMATIKAN JIWA

Thabit bin Qurrah berkata:

"Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik."

Abdullah bin Mubarak berkata:

"Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Men¬inggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa."


REALITI KINI

Beralih kepada realiti hari ini, manusia secara umumnya mendur¬hakai syara'. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan.Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kezaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah bila dengar kalimah syara' lalu dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi apabila jiwa menolak ubat dan sukakan penyakit. jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.


Penyakit mencerca Allah SWT berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersurat atau tersirat. Contohnya, Allah SWT menurunkan hujan. Kedapatan manu¬sia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan `malam amal' atau majlis-majlis tertentu. Walaupun Allah SWT mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al-Istidraj. Allah SWT terus membiarkan mereka menunjukkan kemegahan.

Mencerca Allah SWT juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah SWT, memandang Islam sebagai cara hidup ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya.

Realiti ini lebih payah dan sukar bagi para doktor (para penda'wah) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu pula akan terus memberi musibah dan kemalangan yang besar kepada umat keseluruhannya.


MENGUBATI DENGAN RAHMAT

Menurut Ibn al-Qayyim:

"Tiada harapan lagi untuk diubati penyakit-penyakit itu kecuali hanya rahmat Allah SWT ke atas mereka sahaja."

Oleh itu, dalam setiap usaha, pendakwah-pendakwah mestilah berhu¬bung dan bergantung dengan Allah SWT.

Abdullah bin 'Abbas berkata:

"Do'a kita harus mengandungi Tauhid (Uluhiyyah dan Rububiyyah) dan mestilah kembali menyifatkan Allah SWT sebagai yang paling Agung, Tinggi dan Pemurah."

Maksudnya, do'a pendakwah-pendakwah bukan sahaja dengan lafaz secara lisan bahkan praktik dan amalan mereka mesti mencerminkan kefahaman dan keyakinan akan sifat-sifat Allah SWT. Dengan cara ini barulah pendakwah-pendakwah boleh mengharapkan do'a itu dimakbulkan Allah SWT