Sabtu, Mac 02, 2013

Panduan Belajar Secara Berkumpulan


Pernahkah kita membaca buku, tetapi apa yang dibaca tidak dapat disimpan di dalam ingatan?  Pernahkah kita merasa kecewa atas segala usaha yang kita telah laksanakan itu?
Jika ini berlaku kepada diri kita, sebenarnya teknik belajar kita adalah tidak sistematik. Belajar cara untuk belajar adalah amat penting. Kaedah dalam belajar adalah kita mempelajari sesuatu ilmu dan teknik belajar yang berkesan untuk mendapat ingatan yang maksimum. Mengingat merupakan satu perkara yang boleh dipelajari. Apabila sesuatu perkara yang kita baca tetapi tidak boleh kita ingati, ia akan menjadi hanya proses ingatan jangka pendek.
Namun apa yang kita mahukan adalah segala fakta menjadi ingatan jangka panjang. Sebagai contoh jikalau kita membaca buku dan kita cuba mangingat. apabila kawan bertanya kita, selalunya ada perkara yang kita boleh ingat dan sebahagiannya kita terlupa.
Contoh yang kedua pula misalnya nombor kad pengenalan yang kita ingat. Nombor kad pengenalan yang kita ingati itu adalah proses ingatan jangka panjang. Contoh proses ingatan jangka panjang yang lain adalah seperti nombor telefon rumah sendiri, nombor telefon rumah teman rapat, warna kereta dan sebagainya. Ingatan jangka pendek akan mudah lupus dari ingatan kita.
Justeru ingatan menjadi perkara penting, lebih-lebih lagi apabila mahu menghadapi peperiksaan. Maka satu kaedah mengingat yang sistematik amat diperlukan.
Proses ingatan dalam pembelajaran amat penting. Oleh yang demikian terdapat pelbagai kaedah untuk mengekalkan ingatan. Sebagai pelajar, setelah kita mempunyai motivasi yang tinggi, kita juga mesti mempunyai kemahiran pembelajaran yang berkesan.
Mengapa dilihat pelajar yang mempunyai kesungguhan yang tinggi tetapi apabila keputusan yang diumumkan, mereka tidak mencapai keputusan yang cemerlang. Sebenarnya di samping motivasi yang tinggi kemahiran belajar yang berkesan perlu ada pada diri pelajar. Kemahiran ini sebagai contohnya termasuklah kemahiran membuat nota secara peta minda, mengambil nota secara neumonik, teknik belajar secara berkumpulan, teknik imaginasi dan lain-lain.
Apabila kita katakan sebagai kemahiran, ia menuntut kita tahu apakah kemahiran yang kita akan belajar. Ia lebih tepat kita sebut sebagai belajar cara untuk belajar.
Selalu kita sebut sebagai "smart study" iaitu belajar dengan kaedah yang betul ditambah dengan minat, motivasi serta kesungguhan yang tinggi. Apabila disebut sebagai kemahiran ia juga perlukan ulangan.
 
Teknik Belajar
Teknik belajar berkumpulan adalah antara teknik belajar yang begitu popular di kalangan pelajar serta mahasiswa adalah secara berkumpulan. Apabila ditanya kepada kita, apakah kita tahu tentang teknik belajar secara kumpulan. Ramai antara kita yang akan mengatakan mereka tahu tentang apakah yang dimaksudkan dengan belajar berkumpulan, tetapi sejauh manakah pengetahuan serta pemahaman kita dalam aspek ini. Apabila ditanya tentang belajar berkumpulan ini, ramai mengatakan bahawa ia hanya sekadar dilaksanakan bersama kawan-kawan. Belajar berkumpulan harus dihalusi dan diteliti. Ini kerana ada segelintir yang mengatakan bahawa belajar berkumpulan hanya membuang masa sahaja. Apabila keluar dari sesi belajar secara berkumpulan, tidak banyak manfaat yang diperolehi. Ini merupakan tanggapan yang salah.
 
Menurut Mohd Yusof Othman (1998), menyatakan satu kaedah yang boleh dilakukan dalam usaha untuk meningkat dan menjana ilmu adalah belajar secara kumpulan. Belajar secara berkumpulan boleh dalam bentuk yang formal seperti membentuk dalam kumpulan tertentu (study circle) dengan matlamat yang sama atau kumpulan  yang tidak formal dana mempunyai ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang berbeza. Belajar secara berkumpulan sebenarnya lebih berkesan berbanding dengan belajar bersendirian. Ini kerana dalam belajar secara berkumpulan, idea atau pemikiran dapat dikongsi bersama. Misalnya ada sebahagian ahli yang membaca buku yang berbeza daripada kita, pandangan daripada buku tersebut dapat diperolehi dengan segera. Begitu juga dengan pengalaman yang berbeza yang dialami oleh setiap ahli  kumpulan. Namun demikian, belajar berkumpulan memerlukan adab dan disiplin diri yang tinggi. Misalnya perlu mengemukakan pandangan secara teratur, bersedia untuk berbeza pendapat, menggunakan kumpulan sebagai wadah untuk "sumbang saran" atau menyemarakkan idea.
Perkara lain yang juga perlu diberi perhatian dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan adalah kesanggupan untuk berfikir secara aktif. Yakni kesanggupan untuk  berhujah dalam minda dengan melakukan analisis dan hipotesis secara kritis dengan penuh adab dan akhlak disamping menyakini wibawa diri orang yang menyampaikan maklumat. Dengan semikian, pemikir yang baik bukanlah pemikir yang stereotype yang tidak boleh menghormati kaedah bagaimana orang yang tidak sealiran dengannya berfikir. Sebagai contoh katakanlah seorang pelajar yang bijak menyenaraikan   isi-isi penting dalam topik "Gejala sosial di kalangan remaja". Pelajar ini mendapat 10 isi. Kemudian tajuk ini diberikan juga kepada kumpulan (5 hingga 7 orang) pelajar. Mereka ini dapat menyenaraikan sekurang-kurangnya 15 isi penting.
Secara luarannya dapat dilihat bahawa belajar secara berkumpulan dapat memberikan sumbangan yang besar jika dibandingkan dengan belajar seorang diri. Namun yang menjadi dilemanya adalah kaedah yang tersusun, sistematik dan sempurna. Di sini dipaparkan kaedah yang betul tentang belajar berkumpulan.
Peranan Belajar Berkumpulan

1. Agihkan setiap ahli dengan satu tajuk
Setiap ahli perlu diberi tanggungjawab. Jika kita menjadi ahli dalam kumpulan tersebut, kita mesti mempunyai satu tanggungjawab yang mesti dipegang. Ini membolehkan kita mengambil berat dan merasakan bahawa kita mempunyai peranan di dalam kumpulan.
2. Ahli mesti sehaluan
Ahli yang dipilih dalam kumpulan mesti mempunyai matlamat yang sama iaitu cemerlang dalam pelajaran. Kita tidak mahu ahli yang ada di dalam kumpulan untuk mencukupkan bilangan. Ahli mesti mempunyai matlamat yang jelas dan bukan hanya kerana ia sahabat karib sahaja. Dikhuatiri jika ahli seumpama ini ada, ia akan menyebabkan kumpulan kita tidak akan mencapai matlamatnya.
3. Setiap ahli perlu menjiwai tajuk tersebut
Apabila kita telah menyediakan ahli dengan setiap tajuk, kita mestilah juga memastikan bahawa kita bersedia dengan tajuk tersebut.Ini sangat penting kerana jika kita telah bersedia maka persoalan yang timbul hasil kemusykilan dari ahli yang lain dapat kita jelaskan.
4. Berbincang dengan guru atau orang yang lebih arif
Sebelum melaksanakan teknik belajar secara berkumpulan ini, sila pastikan kalau-kalau ada perkara yang tidak faham tentang topik yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian berbincanglah dahulu dengan guru. Ini bertujuan untuk kita lebih mendalami tentang topik tersebut. Dengan yang demikian kita akan lebih bersedia semasa perbincangan.
5. Penumpuan semasa ahli membentang
Penglibatana semua ahli membawa implikasi yang besar. Berikan penumpuan yang sewajarnya kepada ahli yang sedang membentang. janganlah ada dia antara kita semasa ahli sedang membentang, kita tidak memberikan perhatian. Andaikan apabila kita sedang bercakap, ada orang yang tidak memberi perhatian kepada kita. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Sudah tentu kita merasai kita tidak dihargai, justeru itu berikan sepenuh-penuh penumpuan semasa rakan sedang membentang dalam kumpulan. Pengormatan dan kesediaan mendengar pembentangan ahli lain merupakan seni dalam aktiviti belajar berkumpulan ini.
6. Bersoal jawab
Kumpulan yang dinamik dan berkembang adalah kumpulan yang wujudnya perbincangan dan soal jawab.  Semakin banyak perkara yan relevan dibincangkan semakin bertambah dinamik kumpulan itu. Ahli kumpulan bukan sahaja mendengar kumpulan lain membentang semata-mata, tetapi sentiasa
bersoal jawab atas perkara yang menimbulkan ketidakfahaman. Ini sebenarnya membuka minda kita agar lebih memberikan penelitian atas isu dan tajuk yang dibincangkan. Ini menjadikan kita individu yang kritikal dan analitikal dalam membincangkan tajuk tersebut.
Minda yang kritikal dan analitikal merupakan minda yang cemerlang. Galakkan diri bertanya hal-hal yang berkaitan yang tidak difahami atau bercanggah dengan pemahaman kita.
7. Agihkan bahan
Di dalam belajar berkumpulan lantik seorang ketua, setiausaha dan bendahari secara bergilir-gilir, iaitu bagi mata pelajaran yang berbeza-beza mempunyai ketua yang berbeza-beza. Ini adalah untuk memberikan peluang dan tanggungjawab kepada semua ahli.  Maka laksanakanlah tugas seperti tugas
mengagihkan bahan-bahan kepada ahli-ahli di mana dilakukan oleh setiausaha. Ketua akan menetapkan masa perjumpaan serta berbincang tentang pembahagian tajuk-tajuk.
Secara ringkasnya belajar berkumpulan banyak membantu pelajar menguasai suatu mata pelajaran jika dilaksanakan dengan betul.
 
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

Sabtu, Disember 29, 2012

Terima Kasih Duhai Suami...


SUMBER DARI SAHABATKU AYUSHIDA MOHD DON

Terima Kasih Suamiku... - CERSAPEN (CERPEN SANGAT PENDEK)

Di suatu sudut di dalam sebuah rumah, di tengah malam yang hening, sesusuk tubuh lelaki bergelar suami menggigil menahan tangis....Dalam esakkan yang menyekat-nyekat nafasnya, kedengaran lelaki ini merintih kepada TUHANnya....

'Ya Allah Ya Tuhanku, Aku memohon ampun dari MU ya Allah..... Aku hambaMU yang gagal Ya Allah... Setelah kau anugerahkan wanita secantik dan sebaik isteriku, aku gagal melindunginya dari bisa duniawi .... Kau bimbinglah aku dalam mengurusi rumahtangga ini ya Allah.... Aku lelaki namun aku lemah... aku malu kepadaMU ya Allah....Aku pohon kau bimbinglah aku ya Allah........'

Rintihan itu menyebabkan isteri yang tidurnya belum nyenyak terus tersedar... dan terbangun..... mendapatkan suaminya yang semakin hilang dalam luahan hati kepada PENCIPTAnya....Dalam esakkan dan rintihan kesedihan itu, dengan linangan airmata yang membasah, dia merangkul isterinya yang terkaku melihat keadaannya.

"Abang... kenapa ni? Ada apa-apa yang sayang tak tahu ke?"

Si suami mengucup dahi isteri, kucupan yang mendalam, seakan kucupan terakhir.

"Abang... jangan buat sayang macam ni... ceritalah kenapa...."

Si suami melipat sejadahnya, membetulkan duduknya, berhadapan dengan isteri tersayang, dan menggenggam tangan si isteri dengan penuh rasa sayang.

"Sayang..... Abang minta maaf.... Abang tak mampu menjadi suami yang baik... Tak mampu beri sayang apa yang sepatutnya sayang dapat..."

"Kenapa Abang cakap macam tu? Abang terlalu baik buat sayang.... terlalu baik... abang tak perlu bagi sayang apa-apa. Semua sayang dah ada, sayang cuma mahu kasih sayang abang, dan abang dah bagi, itu dah cukup bang..."

"Belum cukup sayang... Abang berdosa ... banyak dosa abang...."

Genggaman erat itu dilepaskan.......Isteri agak terkejut....

Si suami merenung mata isteri......Isteri yang disayangi di dunia dan moga-moga hingga ke akhirat..........

Tangannya membelai-belai rambut ikal isterinya yang panjang melebat hingga ke pinggang...Dia menangis lagi......

"Abang tidak sanggup membayangkan rambut yang sangat cantik ini hangus terbakar berkali-kali....Abang tak kan mampu membayangkan kalau awak menanggung sakit...."

Dipandang isterinya dari hujung rambut dari hujung kaki, sekali lagi linganan airmatanya jatuh.....

"Abang tidak mahu tubuh isteri abang ini derita tersiksa di mamah api...."

Disentuh bibir merah isterinya....

"Abang tidak mahu bibir ini hangus kerana terpaksa minum air yang menggelagak dan berbara...."

Merenung ke mata isterinya, dia mendekat dan memeluk isterinya....

"Sudah berkali-kali abang ingatkan sayang, lindungilah kurniaan Allah ini, lindungilah sebaiknya...Sayang isteri abang yang baik, walau pun merajuk, tapi tetap sediakan makanan untuk abang, walaupun marah-marah, tapi tetap tidur sekatil dengan abang......Biarlah kita romantis begini hingga ke syurga... Namun kita mungkin tidak dapat ke syurga bersama......"

Tangannya terus membelai si isteri yang mula teresak-esak........

"Mungkin abang akan melihat sayang dari jauh, ditemani bidadari syurga yang menawan dan terbaik buat abang.... Itu pun jika Allah tidak mengkelaskan abang sebagai lelaki dayus.... Jika abang tidak selamat, kita akan menghadapi hukuman kita masing-masing....bukan bersama-sama sayang, kita tidak lagi bersama....abang tidak mampu menolong sayang, begitu juga sayang, tidak mampu menolong abang, bila kita sudah di sana kelak.... Hanya perbuatan dan amalan kita di dunia ini sajalah yang boleh bantu kita....."

Tangisan si isteri semakin kuat.....

"Abang berdosa kerana tidak mampu tegas dengan sayang tentang aurat, tentang solat dan tentang iman. Abang hanya mapu berdoa sayang.... abang tidak mahu kita bergaduh tetapi abang tidak patut membiarkan perasaan ini menghalang abang dari memimpin sayang ke syurga bersama.... Jadilah ketua bidadari abang.... abang tidak kenal bidadari di syurga.... abang sekarang cuma kenal sayang... Sayang sanggup memilih abang yang tak punya harta berbanding keluarga sayang yang hidup bagai dalam istana, sayang sanggup mengikut abang berpindah dan tinggal di rumah yang sederhana... sayang kata, itu semua kerana cinta....... Cinta yang tak pernah abang jangka akan abang punya..."

Dia mengesat airmata si isteri......dan menyambung lagi.........

"Sayang isteri yang baik..... Tidak pernah berkira tentang belanja rumah yang hanya sedikit dari poket abang, belanja anak-anak yang kebanyakannya diurus sayang..... Kerja dikilang yang memenatkan sehari suntuk, tak mampu nak tanding gaji awak sayang.. Tapi awak masih sanggup hidup bersama abang? Sayang, walau awak baik sebegini, awak belum mampu menjadi isteri abang yang terbaik kerana masih gagal menegakkan solat diwaktu ketiadaan abang.... Gagal menjaga aurat bila keluar lalu mengundang banyak mata yang memandang......"

Tangisan isterinya masih lagi deras....

"Sayang tidak malu kah bersuamikan lelaki dayus ? Lelaki yang sanggup membiarkan isterinya berbuat dosa? Bila anak-anak kita belajar agama, belajar tentang solat dan aurat, tidak kelirukah mereka ? Sayang nak letak muka di mana kalau mereka bertanya "Kenapa mama tak tutup aurat ?"

"Sayang, tudung kecil yang sekali-sekala sayang pakai tu memang cantk, tapi ia tak menjalankan fungsi tudung yang sepatutnya.... Tudung sepatutnya menutup hingga ke bawah dada, Baju pula sepatutnya tidak nipis atau jarang, seluar yang ketat itu sama saja seperti sayang tidak memakainya...."

"Sayang, dirikanlah solat dengan ikhlas, abang bersyukur kerana sayang cintakan abang, tapi abang mahu sayang cintakan Allah dan Rasul lebih daripada cintakan abang.. Abang tiada hak nak duduk dibahagian teratas hati sayang.... Semua orang patutnya cintakan Allah sebelum yang lain-lain...."

Di peluk erat isteri yang tak mampu hentingan esak tangis.........Dalam rangkulan itu, si isteri membisikkan sesuatu...

"Abang... sayang minta ampun dan maaf," Tangan si suami di kucup berkali-kali. Basah wajahnya dengan airmata penyesalan....... "Abang ampunkan sayang ye?"

"Ye abang ampunkan... Abang tak pernah marah sayang pun... Abang redha semuanya... lepas ni kena minta Ampun dengan Allah tau...." Rambut si isteri diusap lembut.

"Terima kasih abang. Sayang janji mulai sekarang sayang akan ubah semua yang tak baik.. Sayang tak mahu tengok abang macam ni lagi.. Sayang akan dapatkan cinta Allah dan Rasul .... Dan selepas Allah dan Rasul, cinta abang saja yang ada untuk ruangan di hati ini. Esok, sayang nak pergi shopping.... nak beli baju labuh-labuh, tudung besar-besar.... nak beli telekung baru... nanti abang ajarkan sayang AlQuran ye.. banyak yang dah lupa...."

"Boleh.... tapi kalau abang tak ada.... pergilah cari tempat belajar yang baik.. di surau taman ini pun ada guru mengaji perempuan yang bagus...... Kalau abang tak mampu nak ajar ilmu fardhu ain, sayang wajib cari sendiri... faham tak?" Anggukan si isteri mula bertenaga.....

"Kalau macam tu, ahad ni sayang boleh pergi shopping....."

"Ala.. esok kan boleh... esok cuti umum kan........Abang temankan yer..."

"Dalam tempoh 3 hari mulai esok... abang nak kenakan perintah berkurung untuk sayang...." Sambil tersenyum nakal.....

"Hmmm... kenapa pulak?"

"Mulai esok, sayang kena mengaji ..... nak tak ?"

"Okaylah abang.... apa-apa saja perintahmu ku turuti...Sayang tak mo suami dayus.. Tak mo...!" Senyuman meleret walau pun airmata masih jatuh lagi di pipinya....

"Okay sekarang, sayang tidur yer....Tidur dalam pelukan abang ni.....Biar abang dodoi macam baby......"

Isteri memejamkan mata dalam senyuman yang basah dengan tangisan.....Tepukan lembut suami tercinta di lengannya membuatkan dia rasa aman.... dan tidur dalam senyuman.....

Bunyi lori yang lalu lalang selalu saja membuatkan si isteri terjaga di kala subuh.. Biasanya dia akan menarik selimutnya lagi, namun kali ini dia bingkas bangun dan membersihkan diri untuk solat subuh... selesai mandi dan berwudhu, dia mengejutkan suaminya, dengan rasa yang teruja kerana pertama kali berbuat begitu...

"Abang, sayang dah siap wudhuk ni, jom abang imamkan sayang...." Suami masih lena.... Di goyang lembut badan suaminya....

"Abang.... jomlah kita solat sama-sama...." Goyangan yang semakin kuat sikit pun tidak membangunkan si suami... Hatinya mula berdetak keras..

"Abang....." Di letakkan jari di bawah hidung suami.... Tiada nafas ! Dirasa denyutan nadi ditangannya..... Tak jumpa! Di letakkan telinga didada suaminya.. kenapa jantungnya tak berdegup...?

Ya Allah...! Kiranya sudah sampai waktunya bagi suamiku..... Aku redha.....!Setiap kata-kata suami malam tadi berlegar-legar di benaknya... Kata-kata si suami itu telah menguatkan hatinya.... Dalam tangisan pilu dia redha... Walaupun kesal memberatkan dadanya , kesal kerana terlalu banyak suami bersedih kerana dia..... namun dia tidak mampu lagi berbuat apa-apa... selain dari mengotakan janji yang telah dia lafazkan kepada suaminya...

Terngiang-ngiang....."Dalam tempoh 3 hari mulai esok... abang nak kenakan perintah berkurung untuk sayang.."

Airamatanya tak mampu lagi tertahankan....

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya suamiku teramat baik di dunia ini, Kau tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang kau redhai...Terima kasih suamiku.......

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Rabu, Disember 26, 2012

Ulang Tahun Perkahwinan Ke 19

Hari ini merupakan Hari Ulangtahun Perkahwinan saya dan suami yang ke-19, Alhamdulillah segala kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan kasih sayang dan rahmat ini.

Doa suamiku di pagi ini, Ameen Ya Rabbal 'Alameen.
Alhamdulillah...... Subhanallah....... Syukur pada Mu.... Ya ALLAH..... Sesungguhnya Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang melanjutkan lagi usia perkahwinan kami ini agar dapat menikmati kurniaan Mu dan menambahkan amal ibadat kami buat bekalan di sana nanti......
Ya ALLAH...... kami mohon pada Mu......berkatilah perkahwinan kami, kurniakanlah kepada kami rezeki yang halal, anak-anak yang soleh dan solehah, nikmat kesihatan fizikal dan mental agar dapat kami menjalankan amal ibadat kami dengan sempurna......
Ya ALLAH, berilah kami kebahagiaan kami di dunia dan kebahagiaan kami di akhirat. Ya ALLAH lindungilah kami sekeluarga ini dari fitnah dunia dan bala bencana.....



Sepanjang 19 tahun melayari perkahwinan seribu satu perkara pahit manis, suka dan duka dalam hidup alam rumahtangga dihadapi. Sebenarnya perkahwinan ini merupakan suatu yang saling lengkap melengkapi. Kekurangan si suami disempurnakan oleh kelebihan si isteri. Kelemahan si isteri dilengkapi oleh kekuatan si suami. Saling memberi dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan dan menerima pasangan seadanya tanpa mempertikaikan jodoh yang ditentukan. Jodoh yang ditentukan oleh Allah SWT sebenarnya tersembunyi suatu hikmah yang hanya Dia yang maha mengetahui. Tugas kita menerima jodoh tersebut dan terus membajainya dengan kasih sayang berteraskan iman dan taqwa kepada Allah, Insya Allah kasih sayang tersebut diberkati dan terus mendapat limpahan rahmat dari Allah.


 
Saya sering teringat dengan kata-kata seorang guru, terimalah pasangan kita seadanya dan terimalah dia dalam keadaannya yang tidak sempurna kerana diri kita juga tidak sesempurna mana. Apabila kita merasa diri kita tidak sempurna tugas kita untuk mencari kesalahan pasangan juga berkurangan, tetapi apabila 'merasa' diri sempurna dan hebat maka timbullah segala perasaan dan persoalan yang mempertikaikan tentang pasangan sendiri. Nah...di sinilah bermulanya titik perbezaan dan konflik dalam alam rumah tangga.
DOA SEORANG ISTERI
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kau ampunilah dosa ku yg telah ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yg tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala ujianMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah
Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu di Arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suami ku ini adalah suami yg akan membimbing tanganku dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati olehMu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya


Ya Allah
Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhiratMu
Sekiranya aku engkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu

Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa RahmatMu

Ya Allah
Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala ujianMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yg kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi dugaanMu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu

Ya Allah Ya Tuhanku...
Aku ingin hidup di sisinya hingga ke akhirnya
Biar ku hembus nafas terakhirku atas ribaannya
laksana Siti Khadijah AlQubra pergi diribaan Rasulullah
Atau...
Aku ingin membelainya tika ia menderita sakit
Agar kesakitannya hilang
Aku ingin berbakti sehingga hujung hayatnya
Biar diribaanku dia tinggalkan dunia
laksana Rasulullah pergi diribaan Aisyah Azzahra
Ya Allah Ya Tuhanku...
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang diredhai
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa di hati

Amin, amin Ya Rabbal Allamin..
Perkahwinan ini merupakan Rahmat dari Allah yang kutemui di dalamnya mawaddah warahmah dan sakinah...
 
 
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"