Memaparkan catatan dengan label percintaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label percintaan. Papar semua catatan

Rabu, Disember 26, 2012

Ulang Tahun Perkahwinan Ke 19

Hari ini merupakan Hari Ulangtahun Perkahwinan saya dan suami yang ke-19, Alhamdulillah segala kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan kasih sayang dan rahmat ini.

Doa suamiku di pagi ini, Ameen Ya Rabbal 'Alameen.
Alhamdulillah...... Subhanallah....... Syukur pada Mu.... Ya ALLAH..... Sesungguhnya Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang melanjutkan lagi usia perkahwinan kami ini agar dapat menikmati kurniaan Mu dan menambahkan amal ibadat kami buat bekalan di sana nanti......
Ya ALLAH...... kami mohon pada Mu......berkatilah perkahwinan kami, kurniakanlah kepada kami rezeki yang halal, anak-anak yang soleh dan solehah, nikmat kesihatan fizikal dan mental agar dapat kami menjalankan amal ibadat kami dengan sempurna......
Ya ALLAH, berilah kami kebahagiaan kami di dunia dan kebahagiaan kami di akhirat. Ya ALLAH lindungilah kami sekeluarga ini dari fitnah dunia dan bala bencana.....



Sepanjang 19 tahun melayari perkahwinan seribu satu perkara pahit manis, suka dan duka dalam hidup alam rumahtangga dihadapi. Sebenarnya perkahwinan ini merupakan suatu yang saling lengkap melengkapi. Kekurangan si suami disempurnakan oleh kelebihan si isteri. Kelemahan si isteri dilengkapi oleh kekuatan si suami. Saling memberi dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan dan menerima pasangan seadanya tanpa mempertikaikan jodoh yang ditentukan. Jodoh yang ditentukan oleh Allah SWT sebenarnya tersembunyi suatu hikmah yang hanya Dia yang maha mengetahui. Tugas kita menerima jodoh tersebut dan terus membajainya dengan kasih sayang berteraskan iman dan taqwa kepada Allah, Insya Allah kasih sayang tersebut diberkati dan terus mendapat limpahan rahmat dari Allah.


 
Saya sering teringat dengan kata-kata seorang guru, terimalah pasangan kita seadanya dan terimalah dia dalam keadaannya yang tidak sempurna kerana diri kita juga tidak sesempurna mana. Apabila kita merasa diri kita tidak sempurna tugas kita untuk mencari kesalahan pasangan juga berkurangan, tetapi apabila 'merasa' diri sempurna dan hebat maka timbullah segala perasaan dan persoalan yang mempertikaikan tentang pasangan sendiri. Nah...di sinilah bermulanya titik perbezaan dan konflik dalam alam rumah tangga.
DOA SEORANG ISTERI
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kau ampunilah dosa ku yg telah ku perbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yg tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala ujianMu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya Allah
Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu di Arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suami ku ini adalah suami yg akan membimbing tanganku dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati olehMu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya


Ya Allah
Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhiratMu
Sekiranya aku engkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk ke arah rahmatMu

Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa RahmatMu

Ya Allah
Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala ujianMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yg kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi dugaanMu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu

Ya Allah Ya Tuhanku...
Aku ingin hidup di sisinya hingga ke akhirnya
Biar ku hembus nafas terakhirku atas ribaannya
laksana Siti Khadijah AlQubra pergi diribaan Rasulullah
Atau...
Aku ingin membelainya tika ia menderita sakit
Agar kesakitannya hilang
Aku ingin berbakti sehingga hujung hayatnya
Biar diribaanku dia tinggalkan dunia
laksana Rasulullah pergi diribaan Aisyah Azzahra
Ya Allah Ya Tuhanku...
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang diredhai
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa di hati

Amin, amin Ya Rabbal Allamin..
Perkahwinan ini merupakan Rahmat dari Allah yang kutemui di dalamnya mawaddah warahmah dan sakinah...
 
 
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Isnin, Jun 28, 2010

Program Kesedaran Kendiri Remaja


Gejala sosial semakin meruncing dalam kalangan remaja pada hari ini. Sejajar dengan proses perkembangan remaja itu yang sentiasa dalam pencarian identiti diri sendiri dan semangat ingin mencuba sesuatu yang baru sedikit sebanyak menyumbang kepada gejala sosial dewasa ini. Justeru, menyedari hakikat dan keperluan ini, para remaja yang berisiko wajar diberi pengetahuan dan kefahaman dalam menjaga dan membentengkan diri sendiri supaya tidak terjebak ke kancah maksiat sosial. Tambah membimbangkan lagi sekarang ini masalah hubungan seks tanpa nikah semakin menjadi-jadi dalam kalangan remaja dan hal ini mengundang kepada berlakunya kes-kes pembuangan bayi.
Sehubungan dengan itu program ini dirancang khas bagi memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada remaja supaya menjaga diri daripada pergaulan bebas yang menjurus kepada hubungan terlarang (perzinaan) seterusnya bagi mengelakkan pembuang bayi yang tidak berdosa.


Sebahagian daripada peserta sedang membuat pendaftaran.





Penceramah sedang menyampaikan ceramah bertajuk 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'


Para pelajar sedang membaca ikrar dan akujanji bagi menjaga maruah dan kehormatan diri


Wakil pelajar sedang mengetuai pembacaan ikrar dan akujanji

Pelajar dihidangkan tiga ceramah dalam program ini iaitu Kesihatan Sistem Reproduksi Wanita serta Isu-isu dan permasalahan yang berkaitan dengannya', ceramah bertajuk 'Mahalnya Harga Diri Di sisi Islam' dan 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'. Para peserta diberi pengetahuan dan kefahaman betapa pentingnya menjaga maruah dan kehormatan diri. Peserta juga didedahkan tentang perkara yang berkaitan dengan cinta dan seks.

Sebagai Penyelaras Program, saya mengharapkan agar remaja yang menyertai program ini dapat menimba sebanyak ilmu yang didapati dalam program ini dan dapat disebarkan kepada rakan-rakan yang lain agar mereka juga membantu remaja yang lain agar terhindar daripada kancah kemaksiatan. Pada saya, pendedahan ini perlu kerana ramai remaja sekarang yang tidak tahu juga keliru tentang apa itu cinta dan apa itu seks. Saya tekankan dalam ceramah saya yang bertajuk "Cinta Buta Pemusnah Mahkota" bahawa cinta adalah untuk mendapatkan kasih sayang, manakala seks adalah untuk mendapatkan zuriat. Bagi kes-kes kaunseling kendalian saya, ramai remaja yang telah terlanjur menyatakan mereka melakukan seks kerana ingin membuktikan perasaan cinta, hal ini perlu diperbetulkan kerana terdapat kekeliruan dan ketidakfahaman tentang cinta dan seks.

Saya juga mengharapkan kaunselor-kaunselor yang berada di luar sana, dapat menjalankan program yang seumpama ini agar dapat membimbing dan mendidik generasi anak bangsa kita ini supaya tidak terus hanyut dibuai oleh arus keseronokan dan kelalaian dunia yang boleh menjerumuskan masyarakat kita ke lembah kehinaan.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"