Memaparkan catatan dengan label remaja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label remaja. Papar semua catatan

Selasa, Mei 24, 2011

UJIAN HIDUP

Seorang ibu tua yang tidak mempunyai anak kandung kini dihimpit kedukaan akibat kerakusan anak angkat yang setelah mendapat semua harta ibu angkatnya, ibu malang ini dibiarkan sendirian dalam keadaan uzur.


Seorang isteri telah berkahwin selama 19 tahun digantung tidak bertali selama 2 tahun selepas sang suami berkahwin dengan wanita lain. Si isteri ingin menuntut fasakh tetapi suami meletakkan syarat 'pembebasannya' dengan membayar wang sebanyak RM100 ribu yang mana isteri tidak mampu lakukan.


Seorang gadis hamil tanpa nikah setelah mula menyerahkan dirinya kepada teman lelaki sejak 4 tahun yang lalu (semasa masih di tingkatan 5). Dengan mudah dan selamba menyatakan hal ini perkara biasa, sudah ramai teman-teman sekeliling juga menempah situasi yang sama.


Seorang ibu yang merayu simpati pembelaan dan penjagaan kepada 6 orang cucunya yang ayah kanak-kanak itu berada di penjara sedang ibunya hilang bersama teman lelaki.


Itulah antara kes yang masuk ke 'akaun' pejabat saya pada hari ini. Apa yang boleh dinukilkan lagi dengan segelintir kisah-kisah yang saya paparkan ini?




Kadang-kadang, saya menolak tepi profesional saya sebagai kaunselor. Saya cuba masuk ke ruang masalah klien-klien ini. Dalam keadaan mereka yang tidak berdaya, dengan batasan ilmu pengetahuan dan keupayaan lain, saya terfikir bagaimanakah agaknya jika saya berada dalam kedudukan mereka? Sudah tentu saya juga menjadi seperti mereka.

Dalam 'mahzab' kaunseling saya, sering saya pegang bahawa manusia sebenarnya bermasalah kerana diri mereka sendiri. Mungkin cara berfikir, cara merasa dan cara bertingkah laku membuatkan manusia bermasalah. Setiap diri manusia yang dibekalkan oleh Allah akal fikiran perlu membuat beberapa pertimbangan yang sewajarnya sepanjang mengemudikan hidup. Kegagalan manusia menggunakan akal bagi memandu jalan yang sejahtera menjerat diri ke arah kesulitan.

Tetapi, agak malang apabila kita berada dalam kesulitan itu, jarang sekali kita merujuk kepada diri sendiri. Kecenderungan manusia menyalahkan orang lain dan persekitaran adalah tinggi apabila menghadapi masalah.

Ramai yang tertewas dalam merencanakan kehidupannya. Bak kata orang cerdik pandai "Manusia yang gagal merancang merupakan manusia yang merancang untuk kegagalannya". Tetapi jika diteliti kembali, jika hidup kita berpandukan AlQuran dan Hadis Rasulullah SAW, InsyaAllah kita dapat merencanakan kehidupan dengan teratur dan wajar.




"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper

Isnin, Jun 28, 2010

Program Kesedaran Kendiri Remaja


Gejala sosial semakin meruncing dalam kalangan remaja pada hari ini. Sejajar dengan proses perkembangan remaja itu yang sentiasa dalam pencarian identiti diri sendiri dan semangat ingin mencuba sesuatu yang baru sedikit sebanyak menyumbang kepada gejala sosial dewasa ini. Justeru, menyedari hakikat dan keperluan ini, para remaja yang berisiko wajar diberi pengetahuan dan kefahaman dalam menjaga dan membentengkan diri sendiri supaya tidak terjebak ke kancah maksiat sosial. Tambah membimbangkan lagi sekarang ini masalah hubungan seks tanpa nikah semakin menjadi-jadi dalam kalangan remaja dan hal ini mengundang kepada berlakunya kes-kes pembuangan bayi.
Sehubungan dengan itu program ini dirancang khas bagi memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada remaja supaya menjaga diri daripada pergaulan bebas yang menjurus kepada hubungan terlarang (perzinaan) seterusnya bagi mengelakkan pembuang bayi yang tidak berdosa.


Sebahagian daripada peserta sedang membuat pendaftaran.





Penceramah sedang menyampaikan ceramah bertajuk 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'


Para pelajar sedang membaca ikrar dan akujanji bagi menjaga maruah dan kehormatan diri


Wakil pelajar sedang mengetuai pembacaan ikrar dan akujanji

Pelajar dihidangkan tiga ceramah dalam program ini iaitu Kesihatan Sistem Reproduksi Wanita serta Isu-isu dan permasalahan yang berkaitan dengannya', ceramah bertajuk 'Mahalnya Harga Diri Di sisi Islam' dan 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'. Para peserta diberi pengetahuan dan kefahaman betapa pentingnya menjaga maruah dan kehormatan diri. Peserta juga didedahkan tentang perkara yang berkaitan dengan cinta dan seks.

Sebagai Penyelaras Program, saya mengharapkan agar remaja yang menyertai program ini dapat menimba sebanyak ilmu yang didapati dalam program ini dan dapat disebarkan kepada rakan-rakan yang lain agar mereka juga membantu remaja yang lain agar terhindar daripada kancah kemaksiatan. Pada saya, pendedahan ini perlu kerana ramai remaja sekarang yang tidak tahu juga keliru tentang apa itu cinta dan apa itu seks. Saya tekankan dalam ceramah saya yang bertajuk "Cinta Buta Pemusnah Mahkota" bahawa cinta adalah untuk mendapatkan kasih sayang, manakala seks adalah untuk mendapatkan zuriat. Bagi kes-kes kaunseling kendalian saya, ramai remaja yang telah terlanjur menyatakan mereka melakukan seks kerana ingin membuktikan perasaan cinta, hal ini perlu diperbetulkan kerana terdapat kekeliruan dan ketidakfahaman tentang cinta dan seks.

Saya juga mengharapkan kaunselor-kaunselor yang berada di luar sana, dapat menjalankan program yang seumpama ini agar dapat membimbing dan mendidik generasi anak bangsa kita ini supaya tidak terus hanyut dibuai oleh arus keseronokan dan kelalaian dunia yang boleh menjerumuskan masyarakat kita ke lembah kehinaan.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Rabu, Februari 10, 2010

Kisah Teladan

Salam buat semua. Hari ini saya ingin paparkan sebuah kisah yang melingkari hidup masyarakat yang saya temui sedikit masa dahulu buat renungan kita bersama.

SIKAP INGIN TAHU YANG MEMUSNAHKAN HIDUPKU

Dalam usia yang tinggal sisa ini ingin aku kongsikan kisah suka duka hidupku sepanjang 44 tahun ini. Zaman kanak-kanak dan remajaku berakhir begitu sahaja tanpa sebarang coretan kejayaan. Aku gagal menghadiahkan kegembiraan dan kebahagiaan buat ibu apatah lagi sebuah kejayaan buat ayah. Ayah menutup mata dalam keadaan belum sempat melihat aku pulih ke pangkal jalan. Sepanjang kehidupan, aku menghambakan hidup sepenuhnya kepada dadah. Sehingga ke usia begini sepatutnya aku sudah mempunyai isteri dan anak-anak yang sudah membesar. Tetapi aku gagal memperolehi itu semua! Aku tidak menyalahkan sesiapa di atas takdir yang menimpa aku tetapi disebabkan oleh sifat ingin tahu yang amat mendalam dalam diriku yang akhirnya memusnahkan kehidupanku.

Namaku Azli bin Hj Bakar (bukan nama sebenar). Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana di Batu Gajah, Perak. Ayahku merupakan seorang anggota polis manakala ibu seorang suri rumah sepenuh masa. Aku merupakan anak ke-2 dari empat orang adik beradik yang kesemuanya terdiri daripada lelaki. Antara adik beradikku yang lain semuanya telah berjaya dalam hidup mereka. Mereka mempunyai kerjaya yang sendiri dan hidup bahagia bersama keluarga masing-masing. Abang dan adik-adikku kesemuanya melibatkan diri dalam kerja-kerja pendawaian kabel elektrik dan mempunyai syarikat sendiri.

Hanya aku seorang sahaja yang terbuang ke sana ke mari tanpa pedoman dan harga diri akhirnya aku terdampar di rumah Pengasih ini. Kini aku telah mencecah ke usia 44 tahun tetapi hidupku masih seperti seorang insan yang baru berumur belasan tahun kerana selama 32 tahun hidupku bergelumang dengan najis dadah. Sepanjang tempoh itu juga segala pemikiran dan perasaanku terhenti disebabkan oleh dadah yang aku ambil. Aku masih mencari warna dan sinar kehidupan tetapi aku tidak pasti dalam usia yang sebegini masihkah ada ruang untuk aku meneruskan kehidupan ini.

Sewaktu kecil aku bercita-cita tinggi ingin menjadi seorang Peguam tetapi disebabkan oleh pengambilan dadah aku telah ditangkap oleh guru ketika berada di tingkatan 5. Waktu itu aku belum sempat untuk mengambil peperiksaan SPM. Ketika itulah baru ayah dan ibuku tahu bahawa aku seorang penagih. Aku bukan sahaja penagih ketika itu tetapi aku juga sudah menjadi pengedar dadah sejak berusia 12 tahun. Ayahku sangat terkejut ketika itu, ibuku menangis semahu-mahunya. Apa yang boleh aku katakan ketika itu? Aku langsung tidak mempunyai sebarang perasaan kerana cintaku teramat kuat untuk dadah.

Terlihat juga kekesalan di wajah ayah ketika melihat aku dihantar ke pusat pemulihan dadah yang pertama kali aku di tempatkan iaitu di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Mungkin ayah menyesal kerana mendidik dan membesarkan aku dengan penuh kekerasan dan disiplin yang tinggi akhirnya aku menjadi seorang penagih. Sebenarnya aku tidak tahan tinggal di rumah kerana terlalu ketat disiplin dan cara didikan ayah ala tentera. Aku masih ingat lagi ketika masih kecil, ayah mendidik kami dengan penuh ketegasan. Ayah seorang yang rigid dan terlalu tegas, bayangkan disiplin ayah sangat tinggi hinggakan bila waktu makan kami akan dimarahi jika kedengaran bunyi sudu.

Selepas pulang dari sekolah aku disuruh pergi mengaji dan pada waktu malamnya ayah mengajarku membuat kerja-kerja sekolah sambil tangannya menggenggam rotan. Aku sebenarnya tidak suka dilayan begitu tetapi apa boleh buat ketika itu aku masih kecil dan tiada hak untuk bersuara. Mengimbau kembali sejarah penglibatanku dalam najis dadah yang dahulunya aku ibaratkan sebagai ‘kekasih’ sejatiku. Sebenarnya aku tidak pernah cuba untuk merokok bahkan tidak pernah mempunyai keinginan pun untuk merokok kerana dalam keluarga tidak seorang pun yang mempunyai tabiat merokok. Baik ayah, abang dan juga adik-adikku.

Masih aku ingat lagi ketika itu peristiwa bersejarah negara berlaku iaitu 13 Mei, 1969, umurku ketika itu baru 9 tahun. Pada malam itu aku ke surau seorang diri. Sewaktu pulang dari surau aku ternampak beberapa orang dewasa sedang berkumpul di sebuah pondok. Disebabkan oleh perasaan ingin tahu aku terus menuju ke tempat itu. Setiba di situ aku tidak nampak apa-apa yang menarik yang membuatkan orang begitu ramai berkumpul. Hairan juga di dalam hatiku! Ye lah…dalam usia yang begitu muda apalah yang aku tahu tentang kehidupan di dunia ini. Aku melihat seorang remaja yang berada di situ memasukkan sesuatu ke dalam rokok daun dan menghisapnya. Remaja itu kelihatan begitu asyik sekali. Dari situlah timbulnya rasa ingin tahu lalu aku mencubanya.

Malam itulah bermulanya episod kehidupanku yang telah menjerumuskan aku ke dalam alam penagihan dadah. Tanpa aku ketahui sebab dan akibatnya, ketika itu aku sudah bergelar seorang penagih ganja. Keadaan aku menjadi semakin ketagih dari sehari ke sehari akibat dari ganja yang aku ambil. Aku tidak menyalahkan keluarga dalam hal ini kerana sifat ingin tahu terlalu tinggi dan akhirnya sikap itu juga yang menjadi pemusnah kepada kehidupanku. Hari demi hari tahap ketagihan aku semakin bertambah. Semasa berusia 12 tahun aku mula mengenali heroin. Ketika itu aku tidak mengetahui langsung bahawa heroin ini akan merosakkan diriku dan membuatkan aku mengalami ketagihan yang amat sangat.

Aku terus menjadi penagih sehinggalah aku merasakan aku tidak mempunyai wang dan sukar untuk mendapatkan bekalan. Wang yang dibekalkan oleh ayah tidak mencukupi untuk menampung keperluan aku untuk membeli dadah. Oleh itu, aku mula terfikir untuk menjadi pengedar. Waktu itu aku menjadi seorang pengedar bukan untuk mendapatkan wang tetapi hanyalah untuk mendapatkan bekalan itu sendiri. Aku mendapat ‘komisen’ di atas bekalan yang diedar. Contohnya, jika aku mengedar sepuluh paket, aku boleh mendapat ‘komisen’ sebanyak empat paket. Bagiku ia sudah memadai bagiku untuk menampung ‘keperluan’ harianku.

Aku terpaksa melalui kehidupan sebagai seorang penagih dan dalam masa yang sama aku seorang pelajar dan anak kepada seorang anggota polis. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua! Itulah pepatah bidalan yang boleh diumpamakan kepada diri aku. Ketika rakan-rakan lain sibuk mengulangkaji pelajaran untuk mengambil peperiksaan SPM aku telah dikesan oleh guru. Pihak sekolah telah menyerahkan aku ke Pusat Serenti di Bukit Mertajam. Sepanjang tempoh berada di pusat itu, bermacam-macam perasaan bercampur baur di dalam benakku.

Perasaan menyesal, bersalah dan berbagai-bagai lagi yang menyelubungi hatiku. Selama dua tahun berada di sana aku dibebaskan setelah menjalani proses pemulihan. Aku kembali ke pangkuan keluarga. Aku bersyukur kerana ibubapa dan adik-beradikku yang lain menerima diri aku kembali. Sikap ayah juga berubah, dahulunya garang dan bengis kini tidak lagi. Ayah sudah mahu bercakap baik denganku dan sebagai seorang ayah nasihat tidak pernah lekang dari bibirnya. Untuk menjamin masa depan aku, ayah mencadangkan agar aku menyambung persekolahanku di sekolah swasta untuk mengambil peperiksaan SPM yang tertunda dua tahun lepas. Akupun menurut kehendak ayah tanpa ingin membantah. Aku bertekad kali ini aku tidak mahu sia-siakan hidupku lagi. Lalu aku memulakan kehidupan baru alam persekolahan dengan bersekolah di sebuah sekolah swasta.

Tetapi keadaan ini tidak kekal lama. Seminggu dua aku melalui jalan-jalan yang pernah aku lalui dulu membuatkan aku teringat kembali kepada sejarah hidup penagihanku. Apabila aku terpandang pondok tempat aku dan ‘rakan-rakan’ menjalankan aktiviti aku mula tidak tentu arah dan mula rasa tidak tahan. Perasaan ‘gian’ tiba-tiba menghantui kembali diriku. Tanpa pengetahuan keluarga aku kembali menagih apabila berjumpa dengan rakan-rakan lamaku. Kehidupan aku menjadi seperti sebelumnya. Duit belanja yang diberikan ayah untuk kegunaan persekolahanku habis aku belanjakan untuk membeli dadah. Aku sudah lama tidak ke sekolah walaupun aku keluar lengkap dengan berpakaian uniform tetapi langkah aku terhenti di pondok tempat aku melepaskan gian.

Gerak-geriku sudah mula diketahui oleh ayah. Ayah mencuba berbagai-bagai cara untuk menghentikan aku daripada menagih dadah. Usaha ayah menggunung tinggi tetapi ketika itu aku langsung tidak berhasrat untuk berhenti. Setelah bermacam-macam cara yang diusahakan oleh ayah tidak berhasil, lalu ayah menyerahkan aku ke Pusat Serenti Serendah. Itulah kali ke dua aku memasuki pusat pemulihan. Sepanjang berada di sana aku melalui proses pemulihan yang sama dengan pemulihan yang pernah aku alami di Bukit Mertajam. Mungkin sudah biasa dengan keadaan itu perasaan bersalah dan menyesal yang dulunya menyelubungi diri aku kini tiada lagi. Aku mula merasakan ketagihan itu adalah sebahagian daripada kehidupanku. Tiada sebarang azam di dalam hati kecilku ketika itu untuk terus berhenti.

Setelah tamat tempoh aku dibebaskan dari pusat tersebut. Aku tidak terus pulang ke rumah tetapi kakiku terus melangkah ke ibu kota. Di Kuala Lumpur, aku merayau-rayau mencari pekerjaan untuk mendapatkan sedikit bekalan makanan. Aku singgah di gerai-gerai makan dan meminta untuk bekerja tetapi aku tidak diterima bekerja secara tetap tetapi aku hanya diterima bekerja sementara sahaja. Aku membantu penjual gerai mencuci pinggan dan sebagai balasannya dapatlah aku menikmati sepinggan nasi untuk mengisi perut aku yang seharian berkeroncong. Aku meneruskan usaha itu berhari-hari untuk meneruskan kehidupanku. Dari satu gerai aku berpindah ke satu gerai. Pada waktu malamnya aku menumpang tidur di masjid-masjid atau di surau-surau dengan mendapat keizinan siak yang menjaga di situ.


Dalam usaha untuk mencari kerja tetap aku telah berkenalan dengan seorang kawan dan telah membawa aku ke Johor untuk bekerja di sana. Di Johor, aku diterima bekerja sebagai seorang tukang masak di Universiti Teknologi Malaysia. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari! Harapan aku untuk membina kehidupan yang baru tidak bertahan lama. Di Johor, nasib sekali lagi tidak menyebelahi aku, akhirnya aku terkandas lagi dalam ujian hidup ini. Ketika di Johor, aku mendapat seorang kawan yang juga seorang penagih. Akhirnya aku ikut menagih kembali.

Aku tidak menyalahkan orang lain tetapi disebabkan oleh desakan dalaman yang amat kuat membuatkan aku tidak mampu untuk menolaknya. Di sana bekalan lagi mudah untuk didapati, lantaran aku menjadi pengedar sekali. Berbekalkan pengalaman yang ada adalah mudah untuk aku mendapatkan pasaran dalam masa yang singkat. Pendapatan aku ketika itu pernah mencecah sehingga RM 10 ribu sehari. Aku tidak menjadi tukang masak lagi kerana ‘profession’ aku ketika itu sudah mampu menjamin kehidupan dan bekalan untuk hidupku.

Apabila bekalan mudah untuk didapati tahap toleranku juga bertambah. Kadang kala aku menyuntik heroin ke badanku hampir 20 kali sehari. Habis di lengan aku mencuba di paha. Pinggan dan perut juga menjadi tempat sasaranku. Habis ikhtiar aku pernah juga menyuntik di kepala. Kesannya lebih segera! Walaupun aku seorang penagih dadah aku tidak pernah lupa sembahyang dan sebelum menyuntik dadah aku acapkali akan ‘mengucap’ dahulu. Rakan-rakan juga pelik melihat kepada sikapku yang begitu kontra terdapat pada diriku.

Sejarah penglibatan dalam najis dadah menyaksikan beberapa kali aku jatuh dan bangun semula. Aku pernah memasuki pusat pemulihan kerajaan sebanyak enam kali manakala pusat pemulihan swasta sebanyak dua kali. Rumah Pengasih ini merupakan kali ke dua menerima kehadiran aku. Dahulunya sewaktu aku telah pulih, aku berada di Rumah Pengasih ini sebagai seorang TC Program Manager. Apabila memegang jawatan tersebut, untuk beberapa ketika aku dapat bertahan tetapi setelah sekian lama aku tidak mampu lagi kerana silap ku juga. Apabila ada pelatih yang datang berjumpa dengan aku dengan seribu permasalahan aku tidak pandai untuk mengurus situasi itu. Aku tidak mahir untuk membezakan antara empati dan simpati. Aku mempunyai perasaan simpati melebihi empati menyebabkan diri aku sendiri yang tertekan dek permasalahan orang lain. Apabila menghadapi tekanan demi tekanan akhirnya aku kalah. Aku terpaksa mengambil dadah kembali untuk mengurangkan tekanan yang menyesak di dadaku.

Kehidupan jatuh dan bangunku dalam dunia penagihan ini sudah menjadi biasa dan aku merasakan aku begitu sukar untuk dipisahkan dengan dadah. Di lewat-lewat usia begini pelbagai penyesalan yang datang menerpa ke benak dan pemikiranku. Kadang-kala timbul perasaan ingin memusnahkan terus diri ini. Aku pernah mencuba beberapa kali untuk membunuh diri dengan mengambil dos yang berlebihan tetapi Tuhan masih sayangkan aku. Sehingga aku begitu redza dan menerima yang seolah-olah aku tidak dapat hidup tanpa dadah. Pernah berkali-kali aku bangun di tengah malam berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar menghalalkan dadah ini untuk aku kerana percubaan untuk aku berhenti daripada menagih tidak pernah kesampaian.

Sepanjang kehidupan penagihan ini, pengalaman yang paling sukar untuk aku lupakan adalah lima tahun lepas di mana aku hidup dalam buruan polis selama sebulan. Aku merempat di sana sini dan hidup dalam ketakutan. Aku mengisi perut yang kosong dengan mencari sisa-sisa makanan buangan orang di dalam tong sampah. Minuman yang sering menghilangkan dahaga tekakku hanyalah air paip. Begitulah penderitaan yang aku alami selama sebulan itu akhirnya aku tertangkap juga. Polis giat menjalankan operasi untuk menangkap aku disebabkan oleh kegiatan pengedaran dadah yang aku lakukan. Aku terfikir juga jika aku menghisap dadah akhirnya aku akan mati. Menjadi pengedar jika ditangkap juga aku akan mati. Jadi aku tidak kisah kepada hukuman tersebut. Jika dilihat kepada permintaan dadah kebanyakkannya daripada orang Melayu sendiri. Jika aku tidak mengedar pun mereka pastinya akan mendapatkan bekalan dari bangsa asing.

Setelah ditangkap, akhirnya aku dikenakan hukuman dibuang daerah ke sebuah daerah terpencil di Utara Semenanjung selama dua tahun. Selama berada di sana aku cukup insaf dan sedar betapa hidup yang aku lalui bersama najis dadah selama ini hanyalah sia-sia. Hidupku kosong, jiwaku hambar! Diri aku diibaratkan seperti bangkai bernyawa. Aku benar-benar merasai betapa bodohnya aku semasa dahulu kerana tidak mengenal dan dapat berfikir antara sesuatu yang baik dan sesuatu yang buruk. Di saat ini barulah aku sedar bahawa didikan ayah yang tegas dan berdisiplin itu ada baiknya. Ayah sebenarnya ingin melihat aku menjadi seorang insan yang baik dan berjaya. Tetapi silap itu semua terletak pada diriku sendiri.



Renungan dan Pesanan Untuk Remaja dan Masyarakat

• Aku ingin menyampaikan pesanan kepada seluruh remaja yang belum terlibat atau terjebak dengan dadah janganlah sesekali ingin mencuba. Kerana sikap ingin tahu yang berlebihan kepada dadah akan memusnahkan kehidupan kita sendiri dan membuatkan kita merana seumur hidup.
• Langkah untuk melibatkan diri dengan dadah amat mudah sekali tetapi untuk keluar daripadanya amat sukar sekali. Oleh itu, remaja janganlah mudah terleka dan terpesona dengan kehidupan yang penuh dengan kepalsuan. Janganlah sekali-kali cuba untuk mendekati dadah kerana padahnya begitu azab sekali.
• Ikutlah nasihat dan kata-kata ibubapa kerana mereka tidak akan mensia-siakan hidup kita. Janganlah berbantah-bantah dan tidak mahu mendengar nasihat dan tunjuk ajar mereka. Tidak ada seorang pun ibubapa di dunia ini yang menginginkan anak mereka menjadi tidak berguna. Oleh itu, yakinlah bahawa apa sahaja tindakan ibubapa adalah untuk kebahagiaan kita. Ingatlah para remaja sekalian “Syurga Itu Di Telapak Kaki Ibu
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Khamis, Januari 14, 2010

Berfikir, berfikir dan berfikir...

Assalamualaikum dan Salam Bahagia buat semua.
Hati kecil saya tersentuh ketika seorang ibu merujuk kes anaknya yang mengandung di luar nikah. Wajah seorang ibu redup bagai mendung yang menantikan saat bumi bakal disimbahi air hujan. Tatkala, ibu ini memulakan perbualan terdapat garis-garis kekesalan di wajahnya tetapi apa yang lebih menyentuh hati kecil saya adalah begitu besarnya kasih sayang seorang ibu, walaupun anak gadisnya telah mencontengkan arang ke mukanya namun kasih sayang seorang ibu masih menebal dan dalam kepasrahan ibu ini menerima takdir Ilahi tanpa mencemuh dan menghukum si anak.Saya amat memahami keadaan ibu ini dalam keterpaksaan merelakan dan meredhai apa yang berlaku.

Saya ingin meneroka pendapat dan pemikiran remaja terutamanya anak-anak gadis sekarang ini. Tidakkah anda terfikir tentang kesan dan akibat daripada tingkah laku dan tindak tanduk anda bakal ditanggung bukan sahaja oleh diri anda, malah ibu anda sering dihimpit oleh perasaan malu dan tertekan sepanjang usianya. Dan ditambah lagi jika anda mengandung, anak yang bakal anda lahirkan akan menanggung kesannya sepanjang hayatnya dengan membawa 'title' anak luar nikah. Teringat saya satu kes yang berlaku tahun lepas di mana seorang remaja meninggal dunia ketika melahirkan anak hasil hubungannya dengan teman lelaki. Sedih ketika saya mendengar berita ini, sudahlah remaja perempuan ini melalui kesan psikologi yang amat berat semasa mengandungkan anak luar nikahnya, teman lelaki menghilangkan diri. Akhirnya dia seorang diri berjuang dan bergelut dengan maut demi untuk melahirkan anaknya. Lelaki yang tidak bertanggung jawab ini berlalu begitu sahaja. Akhirnya ajal menjemput dia pulang tetapi Allah lebih mengetahui memanjangkan zuriat lelaki tersebut dengan benihnya masih hidup dan sihat ketika ini.


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"