Selasa, Ogos 11, 2015

Ujian sebagai Alat Muhasabah Diri



 
Dalam hidup ini kita sering diuji. Usahlah bertanya kenapa aku diuji? Kerana yang namanya dunia kebanyakkannya adalah ujian. Menjadi pelik jika ada orang yang mendakwa dirinya tidak pernah diuji kerana hidup tanpa peristiwa juga boleh memberi tekanan dalam kehidupan. Jadi, ujian yang kita hadapi adalah seperti bunga-bunga yang mengindahkan lagi kehidupan. Persepsi melihat ujian sebagai indah bergantung kepada kacamata masing-masing. Bagi orang yang optimis akan sentiasa melihat ujian sebagai sesuatu yang positif samada untuk menjadi diri lebih sabar, lebih cekal atau menjadi lebih tabah. Yang penting setiap ujian dipandang sebagai alat muhasabah diri yang amat baik dan berkesan untuk menjadikan kita insan yang hari ini lebih baik daripada semalam.

Adalah malang jika kita melihat ujian secara defensif, banyak menyalahkan orang lain daripada melihat kesilapan diri sendiri.

Dalam berhadapan ujian saya berpegang kepada dua konsep menjaga hubungan. Terpelihara dua konsep hubungan ini maka hubungan2 dengan yang lain-lainnya akan datang sendiri dengan baik.
 


Hubungan yang pertama adalah menjaga hubungan dengan Allah. Bila diri kita diuji, kita perlu lebih rapat dengan Allah. Perkemaskan ibadah wajib, perbanyakkan ibadah sunat. Rasulullah SAW pernah berpesan supaya apabila kita diuji perbanyakkan solat dan bersabar. Oleh itu, lagi diuji lagi kita dekat dengan Allah dengan mengerjakan amalan-amalan sunat seperti perbanyakkan membaca Al Quran, solat sunat seperti Dhuha, Taubat, Hajat, Tahajjud, Istiqarah, Solat Tasbih dsb. Lidah kita juga sering melafazkan zikir-zikir serta istigfar memohon keampunan daripada Allah. In sha Allah, hati kita akan tenang dan damai. Jika masih belum beroleh ketenangan, periksa dan nilai kembali 'qalbu' kita mungkin masih bersarang hasad, dendam, kesumat atau masih tersimpan sifat-sifat mazmumah di dalamnya.
 


Konsep hubungan yang ke dua adalah dengan 'ibu'. Hubungan dengan ibu mestilah sangat baik kerana sebagai anak kita amat memerlukan doa daripada seorang ibu. Jika tersimpan sekelumit perasaan tidak senang hati ibu terhadap kita maka adalah sukar untuk kita mendapat kebahagiaan dalam hidup ini. Saya teringat waktu kecil-kecil dulu...kita dididik dan diajar sangat menghormati ibu. Menjadi kesalahan dan biadap jika menggunakan ganti nama 'dia' kepada ibu atau bapa. Begitulah halusnya kita diajar supaya 'izzah' atau kemuliaan seorang yang bernama ibu atau bapa dipelihara. 'Izzah' atau kemuliaan ini bukan datangnya dari siapa-siapa tetapi Allah yang tetapkan kemuliaan tersebut. Teringat saya kepada pesanan seorang guru, jika ibu benar, ibu tetap benar; jika ibu salah sekalipun ibu tetap benar. Usahlah kita pertikaikan kesalahan atau kesilapan ibu kita sekalipun di mata kita ibu tampak banyak salahnya. Itu semua urusan Allah...serahkan sebulatnya kepada Allah. Tugas kita sebagai anak menghormati dan mengasihi ibu sehabis baik. Ibu tiada gantinya dalam dunia...hilang ibu akan hilang juga keberkatan doanya untuk kita hidup bahagia di dunia hingga akhirat.

Semoga hati kita tenang dan damai membaca pesanan ini.

Nasihat hanya berguna buat insan yang mahu berfikir - Ummu Hakim

 


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

Isnin, Julai 27, 2015

Sayyidah Nur Syarha Srikandi Kehidupan

Sayyidah Nur Syarha - 23 hari selepas Op
(Glenn Shunt @IJN 4hb Julai 2015 bersamaan 17 Ramadhan 1436H)

Catatan puisi di bawah ini Ummi dedikasikan buat anak tabah Ummi...Sayyidah Nur Syarha.

Hela nafasmu sukar diramal
Terkadang lelah terkadang pantas
Namun,
Tak tersimpan segaris duka di wajah
Tak ada sesal saat kau lalui semuanya dengan sukar

Sinar matamu tidak pernah padam
Memberi harapan bahagia buat kami
Semangatmu tidak pernah patah
Walau dalam lelah
Kau tetap menghadiahkan
Sekuntum senyuman yang senantiasa mekar

Duhai anak...
Lembah hatimu yang subur nan indah
Meski titis airmatamu sering berjurai
Fitrah keinsananmu meneraju perjuangan

Sayyidah Nur Syarha Mujahidah kecil! Srikandi kehidupan.

27 Julai 2015



"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

Isnin, April 13, 2015

Selamat Hari Lahir Sayyidah Nur Syarha




Selamat hari lahir buat anakanda tersayang Sayyidah Nur Syarha!

Setahun kehadirannya banyak perkara besar berlaku dalam keluarga. Dulu bermukim di Langkawi kini berpindah ke Putrajaya. Dulu abahnya bekerja tetapi kini bergelar seorang pesara!

Hari ini temujanji bersama Pakar Jantung Kanak-kanak. Hasil echo jantung mendapati terdapat kebocoran pada injap kiri jantung Baby Nur Syarha. Kemungkinan besar kerana terlalu banyak muatan darah yang melalui injap kirinya berlaku kebocoran kerana ketidakmampuan menampung sejumlah besar darah yang hanya melalui ‘single ventrical’ sahaja. Innalillahi waiina ilaihirojiun.

Sebagai ibu, saya perlu optimis! Doktor menjalankan usaha sebaik mungkin membantu menyembuhkan anak saya namun doktor bukanlah penentu hayat manusia.
Buat anakku Sayyidah Nur Syarha…doa ummi mengiringi perjalanan hidupmu.

Semalam abangnya si Alang cakap pada adiknya 'esok birthday adik tapi macam mana alang nak ucap happy birthday kat adik sebab adik selalu tak happy asyik sakit2 dan muntah2, alang nak ucap sad birthday lah...' Tersentap hati ummi...jangan camtu Alang...ucap happy birtday mudah2an adik akan happy dan sihat.


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper