Memaparkan catatan dengan label sepi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sepi. Papar semua catatan

Ahad, November 20, 2016

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam



Saya masih ingat menonton TV sewaktu usia masih budak-budak. Masa itu zaman TV hitam putih.

Tajuk ceritanya saya ingat-ingat lupa, mungkin Cucu Datok Merah tapi paling ingat adalah heronya, Nordin Ahmad (heronya ajer yang ingat dengan jelas hehe). Dalam cerita itu Nordin Ahmad memegang watak suami yang sombong, bongkak dan megah dengan keturunannya.

Antara skrip yang saya masih ingat adalah kata-kata ibu (bakal ibu mertua Nordin Ahmad) sebelum anak perempuannya berkahwin dengan Nordin Ahmad.

“Perkahwinan ini ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam”


Waktu itu saya masih tidak memahami konsep kedua-duanya. Mana satu yang lebih baik, menjadi sabut atau menjadi batu.

Saya amat jahil dalam menilai peribahasa itu tetapi kata-kata itu sering berlegar-legar dalam fikiran setiap kali saya memikirkan tentang perkahwinan.

Nasihat ibu kepada anaknya menggunakan peribahasa untung sabut timbul, untung batu tenggelam membawa maksud jika beruntung dan bernasib baik, perkahwinan akan mendapat kebahagiaan, jika tidak bernasib baik perkahwinan menjadi satu titik derita dalam kehidupan wanita.

Saya terus mencari makna - menjadi sabut. Apa untungnya menjadi sabut, jika timbul sekalipun sabut menghadapi risiko terus dihanyutkan dek arus deras!

Menjadi batu pula, dicampak ke dalam air terus ia tenggelam, lama kelamaan terus terbenam diselaputi dek lumpur dan danor kolam.

Apakah perkahwinan itu berkaitan dengan nasib semata-mata? Menjadi sabut atau batu ibarat berserah kepada takdir semata-mata. Sedangkan Rasululullah SAW pernah berpesan Qada’ boleh tertolak dengan doa!

Pesan guru saya, menjadi sabut pun beruntung jika taat dan bertaqwa pada Allah,menjadi batu juga beruntung andainya taat pada Allah. Allah always come first! Makanya, pilihan berada di tangan masing-masing kerana kita bahagia bukan kerana pasangan hidup, kerjaya, wang ringgit BAHKAN bahagia bermula dengan diri kita sendiri dan Allah.

Hidup ini adalah pilihan!

"HIDUP DENGAN BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Ummu Hakim

Jumaat, Disember 23, 2011

"EMPTY-NEST"

Bulan lepas saya pulang menziarahi keluarga mertua. Semakin hari semakin kelihatan keuzuran fizikal kedua ibubapa mertua saya. Sayu juga hati bila mengenangkan jarak lokasi yang agak jauh menyukarkan kekerapan menziarahi mereka. Keadaan mereka semakin hari semakin lemah, uzur dan tidak bertenaga.

Lantas saya melihat ke dalam diri dan menyoal diri sendiri...bagaimana agaknya diri saya ketika berusia nanti (jika Allah panjangkan usia hingga saat itu)? Owh...inilah yang dikatakan sindrom 'Empty-Nest'...

Tiga puluh atau empat puluh tahun yang lalu...'sarang' itu dihuni oleh anak-anak yang ramai. Tiba masanya seorang anak demi seorang keluar meninggalkan rumah setelah mendirikan rumah tangga. Rumah yang besar yang dihuni oleh keluarga yang besar kini menjadi rumah yang begitu sunyi dan sepi. Tinggallah seorang ibu dan ayah yang sudah tua dimamah usia menjalani sisa-sisa hidup mereka dalam suasana yang sungguh memilukan. Sarang yang dulunya penuh dengan penghuni kini menjadi kosong. Sindrom ini menyerang setiap ibubapa yang sudah tua...

Namun, sebagai anak saya terfikir, apa yang dapat dilakukan untuk mengurangkan sedikit sindrom empty-nest tersebut.
Jawapannya juga saya perolehi, namun ketidakberdayaan diri menghalang untuk sentiasa pulang ke kampung. Bagi ibubapa yang masih bertenaga tidak mengapa kerana masih mampu untuk mengisi kesepian hari-hari mereka dengan 'bersosial' di masjid dan surau, di rumah-rumah kenduri dan sebagainya. Namun, bagi yang sudah uzur dan tidak berdaya....hanya meniti hari tua dengan penuh kesunyian dan kesepian di hati. Jauh di sudut hati mengharapkan kepulangan anak-anak dan kadang-kala perlu akur dan pasrah dengan tanggung jawab dan komitmen anak-anak yang bekerja. Sindrom 'empty-nest' ini boleh membawa kepada tekanan psikologi yang boleh membawa kemurungan di kalangan warga tua.

Sarang itu akan kembali ceria dan meriah ketika musim-musim perayaan dan cuti umum yang mana anak-anak dapat berpeluang untuk pulang ke kampung halaman menziarahi ibubapa yang kesunyian. Sedih bukan? Kebahagiaan hanya bermusim, habis cuti anak-anak akan pulang semula ke tempat kerja masing-masing. Keadaan riuh rendah dengan gelak tawa anak cucu tiba-tiba hilang dari pendengaran. Kelibat anak cucu yang pelbagai kerenag dan keletah tiba-tiba ghaib dari pandangan....ibu dan bapa terus kesepian dan kesunyian...

Saya merenung ke dalam diri...saya juga bakal menempuh hari tua yang sebegitu? Doa saya agar Allah memberi kesihatan di hari tua agar saya dapat menjalani sisa-sisa hidup itu nanti lebih baik...

Wallahua'lam.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"Helper