Ahad, Ogos 08, 2010

NLP di NLP



Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat Selangor menerima kehadiran kami seramai 30 orang kaunselor berkursus selama 3 hari 2 malam di sini. Dalam kursus ini, kami didedahkan dengan kaedah dan teknik Neuro Linguistic Programming (NLP).

Apa itu NLP?
NLP adalah aplikasi amali bagaimana manusia berfikir. Ianya adalah satu kajian mengenai struktur pengalaman secara subjektif. Neuro adalah sistem saraf di mana maklumat dan pengalaman diterima melalui 5 deria. Linguistic adalah sistem bahasa dan komunikasi bukan percakapan (non-verbal) di mana sistem representasi mengkod, mengatur dan memberi makna. Programming adalag keupayaan untuk mengatur sistem neurologi bagi mencapai matlamat yang spesifik atau hasil yang diingini.



Suasana damai yang menenangkan pemandangan...sesuai dengan kursus bagi meningkatkan EQ peserta. Pengalaman menyertai aktiviti fizikal seperti flying fox, obstacle dan wall climbing sangat bermakna dalam hidup saya.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Selasa, Ogos 03, 2010

Bonda Oh Bonda



Sudah agak lama laman ini tidak menerima sentuhan jemari saya. Rindu rasanya ingin berbicara di ruangan ini, namun masa yang agak terbatas dengan tugas-tugas seharian merencatkan keinginan saya. Hari ini entah kenapa hati saya sayu dan teringat kepada kedua bonda saya. Kadang-kala kesal di dalam hati kerana tidak mempunyai ruang untuk kembali memberi khidmat kepada insan yang banyak berjasa dalam kehidupan saya.

Ibu bapa adalah permata mulia yang mampu membawa kita menuju ke syurga seandainya kita berbuat kebaikan dan kemuliaan kepada mereka. Namun, ibu bapa juga boleh mengheret kita ke neraka jika kita tidak memuliakan mereka. Abu Darda berkata Rasulullah pernah bersabda "Ibu bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepadamu, apakah mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya".

Saya sering panjatkan doa ke hadrat Ilahi semoga Allah memberi ruang dan peluang untuk saya pulang dan berbakti kepada kedua ibu dan ayah saya. Kehidupan yang penuh terisi dengan kebahagiaan ini tidak mungkin saya kecapi tanpa kasih sayang dan pengorbanan kedua mereka.


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Isnin, Jun 28, 2010

Program Kesedaran Kendiri Remaja


Gejala sosial semakin meruncing dalam kalangan remaja pada hari ini. Sejajar dengan proses perkembangan remaja itu yang sentiasa dalam pencarian identiti diri sendiri dan semangat ingin mencuba sesuatu yang baru sedikit sebanyak menyumbang kepada gejala sosial dewasa ini. Justeru, menyedari hakikat dan keperluan ini, para remaja yang berisiko wajar diberi pengetahuan dan kefahaman dalam menjaga dan membentengkan diri sendiri supaya tidak terjebak ke kancah maksiat sosial. Tambah membimbangkan lagi sekarang ini masalah hubungan seks tanpa nikah semakin menjadi-jadi dalam kalangan remaja dan hal ini mengundang kepada berlakunya kes-kes pembuangan bayi.
Sehubungan dengan itu program ini dirancang khas bagi memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada remaja supaya menjaga diri daripada pergaulan bebas yang menjurus kepada hubungan terlarang (perzinaan) seterusnya bagi mengelakkan pembuang bayi yang tidak berdosa.


Sebahagian daripada peserta sedang membuat pendaftaran.





Penceramah sedang menyampaikan ceramah bertajuk 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'


Para pelajar sedang membaca ikrar dan akujanji bagi menjaga maruah dan kehormatan diri


Wakil pelajar sedang mengetuai pembacaan ikrar dan akujanji

Pelajar dihidangkan tiga ceramah dalam program ini iaitu Kesihatan Sistem Reproduksi Wanita serta Isu-isu dan permasalahan yang berkaitan dengannya', ceramah bertajuk 'Mahalnya Harga Diri Di sisi Islam' dan 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'. Para peserta diberi pengetahuan dan kefahaman betapa pentingnya menjaga maruah dan kehormatan diri. Peserta juga didedahkan tentang perkara yang berkaitan dengan cinta dan seks.

Sebagai Penyelaras Program, saya mengharapkan agar remaja yang menyertai program ini dapat menimba sebanyak ilmu yang didapati dalam program ini dan dapat disebarkan kepada rakan-rakan yang lain agar mereka juga membantu remaja yang lain agar terhindar daripada kancah kemaksiatan. Pada saya, pendedahan ini perlu kerana ramai remaja sekarang yang tidak tahu juga keliru tentang apa itu cinta dan apa itu seks. Saya tekankan dalam ceramah saya yang bertajuk "Cinta Buta Pemusnah Mahkota" bahawa cinta adalah untuk mendapatkan kasih sayang, manakala seks adalah untuk mendapatkan zuriat. Bagi kes-kes kaunseling kendalian saya, ramai remaja yang telah terlanjur menyatakan mereka melakukan seks kerana ingin membuktikan perasaan cinta, hal ini perlu diperbetulkan kerana terdapat kekeliruan dan ketidakfahaman tentang cinta dan seks.

Saya juga mengharapkan kaunselor-kaunselor yang berada di luar sana, dapat menjalankan program yang seumpama ini agar dapat membimbing dan mendidik generasi anak bangsa kita ini supaya tidak terus hanyut dibuai oleh arus keseronokan dan kelalaian dunia yang boleh menjerumuskan masyarakat kita ke lembah kehinaan.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"