Isnin, Jun 28, 2010

Program Kesedaran Kendiri Remaja


Gejala sosial semakin meruncing dalam kalangan remaja pada hari ini. Sejajar dengan proses perkembangan remaja itu yang sentiasa dalam pencarian identiti diri sendiri dan semangat ingin mencuba sesuatu yang baru sedikit sebanyak menyumbang kepada gejala sosial dewasa ini. Justeru, menyedari hakikat dan keperluan ini, para remaja yang berisiko wajar diberi pengetahuan dan kefahaman dalam menjaga dan membentengkan diri sendiri supaya tidak terjebak ke kancah maksiat sosial. Tambah membimbangkan lagi sekarang ini masalah hubungan seks tanpa nikah semakin menjadi-jadi dalam kalangan remaja dan hal ini mengundang kepada berlakunya kes-kes pembuangan bayi.
Sehubungan dengan itu program ini dirancang khas bagi memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada remaja supaya menjaga diri daripada pergaulan bebas yang menjurus kepada hubungan terlarang (perzinaan) seterusnya bagi mengelakkan pembuang bayi yang tidak berdosa.


Sebahagian daripada peserta sedang membuat pendaftaran.





Penceramah sedang menyampaikan ceramah bertajuk 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'


Para pelajar sedang membaca ikrar dan akujanji bagi menjaga maruah dan kehormatan diri


Wakil pelajar sedang mengetuai pembacaan ikrar dan akujanji

Pelajar dihidangkan tiga ceramah dalam program ini iaitu Kesihatan Sistem Reproduksi Wanita serta Isu-isu dan permasalahan yang berkaitan dengannya', ceramah bertajuk 'Mahalnya Harga Diri Di sisi Islam' dan 'Cinta Buta Pemusnah Mahkota'. Para peserta diberi pengetahuan dan kefahaman betapa pentingnya menjaga maruah dan kehormatan diri. Peserta juga didedahkan tentang perkara yang berkaitan dengan cinta dan seks.

Sebagai Penyelaras Program, saya mengharapkan agar remaja yang menyertai program ini dapat menimba sebanyak ilmu yang didapati dalam program ini dan dapat disebarkan kepada rakan-rakan yang lain agar mereka juga membantu remaja yang lain agar terhindar daripada kancah kemaksiatan. Pada saya, pendedahan ini perlu kerana ramai remaja sekarang yang tidak tahu juga keliru tentang apa itu cinta dan apa itu seks. Saya tekankan dalam ceramah saya yang bertajuk "Cinta Buta Pemusnah Mahkota" bahawa cinta adalah untuk mendapatkan kasih sayang, manakala seks adalah untuk mendapatkan zuriat. Bagi kes-kes kaunseling kendalian saya, ramai remaja yang telah terlanjur menyatakan mereka melakukan seks kerana ingin membuktikan perasaan cinta, hal ini perlu diperbetulkan kerana terdapat kekeliruan dan ketidakfahaman tentang cinta dan seks.

Saya juga mengharapkan kaunselor-kaunselor yang berada di luar sana, dapat menjalankan program yang seumpama ini agar dapat membimbing dan mendidik generasi anak bangsa kita ini supaya tidak terus hanyut dibuai oleh arus keseronokan dan kelalaian dunia yang boleh menjerumuskan masyarakat kita ke lembah kehinaan.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Isnin, April 05, 2010

Perbezaan Carl Jung dan Freud

1.0 PENDAHULUAN
Teori membolehkan kita mengorganisasi pemerhatian dan mengendalikannya dengan cara yang paling bermakna berdasarkan maklumat yang sudah ada. Jika pemerhatian tidak diorganisasikan dengan sempurna fakta atau data yang diperolehi menjadi kucar-kacir dan tidak berguna. Teori juga membolehkan kita melihat perhubungan antara fakta dengan implikasi yang terselindung antara data yang bertaburan. Seterusnya teori dapat merangsang kemunculan persoalan-persoalan mengenai pelbagai aspek tingkahlaku manusia yang tidak mudah untuk difahami. Dari segi fungsi atau kegunaan teori, ia membawa kepada pengumpulan atau pemerhatian perhubungan empirikal yang relevan. Teori merupakan andaian-andaian yang mengandungi beberapa idea untuk menjelaskan sesuatu kejadian atau fenomena.

Terdapat pelbagai teori yang diperkenalkan oleh beberapa orang tokoh psikologi dalam usaha untuk mengenal pasti personaliti individu. Setiap orang tokoh mempunyai pandangan yang tersendiri dan biasanya kajian atau dapatan dan pandangan tokoh tersebut adalah merujuk kepada apa yang dilalui dan dialami oleh mereka sendiri semasa kecil sehinggalah ke dewasa. Dalam psikologi terdapat empat pandangan personaliti iaitu teori dan orientasi pandangan psikodinamik, pandangan ketingkahlakuan, pandangan humanistik dan pandangan biologikal. Atas hakikat ini terdapat pelbagai teori yang berbeza dalam bidang psikologi. Apa yang menarik teori yang berbeza ini dapat digunakan bagi mengkaji dan memahami tingkahlaku yang sama tetapi dilihat serta ditafsir dari perspektif yang berbeza.

2.0 LATAR BELAKANG TEORI
Teori Carl Jung merupakan teori lanjutan daripada teori asas yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud. Kedua-dua teori ini dikenali di bawah satu teori iaitu Teori Psikodinamik. Walau bagaimanapun terdapat sedikit perselisihan antara kedua-dua teori ini berdasarkan beberapa aspek Teori Psikoanalisa yang dipelopori oleh Sigmund Freud yang tidak dipersetujui dan disenangi oleh Carl Jung. Sebelum perbezaan kedua-dua teori ini dibincangkan adalah wajar untuk melihat latar belakang kedua-dua teori ini sebagai pencetus kepada mencari perbezaan kedua-dua teori ini.

2.1 TEORI CARL JUNG
Carl Jung dilahirkan di Kesswill, Switzerland pada tahun 1875. Jung menerima pendidikan dalam bidang perubatan di School of Basil dan meneruskkan pengajiannya dalam bidang psikologi di Paris. Kemudian beliau menjadi pembantu di Zurich dan selepas itu menjadi pensyarah dalam psikiatri. Dalam tahun 1912, beliau menubuhkan sekolah psikologinya sendiri di Zurich dan menjadi profesor dalam psikologi di Federal Polytechnical University of Zurich. Umum mengetahui bahawa Carl Jung merupakan seorang rakan karib dan pengikut Sigmund Freud. Amir Awang (1987), Jung menolak penekanan yang berlebihan oleh Freud kepada peranan seks dalam perkembangan personaliti. Ia juga menolak pandangan Freud yang begitu pesimistik dan deterministik. Ia beranggapan bahawa manusia bukanlah mangsa kepada warisan baka dan persekitaran. Malah, Jung menganggap manusia adalah aktif dalam menentukan corak hidupnya.
Amir Awang (1987) Jung berpendapat manusia mempunyai tujuan dan matlamat dalam hidupnya. Tingkah laku manusia bukan sahaja ditentukan oleh masa lampau tetapi juga dengan mementingkan masa hadapan. Bagi Jung, manusia sentiasa berusaha untuk terus berkembang bagi mencapai nirwana kendiri. Ia melihat manusia sebagai makhluk yang kreatif dan optimistik.

2.2 TEORI PSIKOANALISA SIGMUND FREUD
Sigmund Freud adalah pengasas Teori Psikoanalisis. Dilahirkan pada 1856 dalam keluarga yang sederhana tetapi memastikan beliau mendapat pendidikan yang terbaik. Beliau memilih bidang perubatan sebagai kerjayanya. Frued pernah mengalami kecelaruan emosi dan fobia. Beliau menganalisis serta meneroka mimpi-mimpinya dan akhirnya beliau menemui celik akal tentang dinamika perkembangan personaliti manusia. Sebagai ahli neurology klinikal, Frued mendekati psikologi melalui fisiologi. Frued telah mengasaskan apa yang dikatakan sebagai teori personaliti pertama yang konprehensif. Psikoanalisis bukan sahaja satu teori tetapi juga satu kaedah terapi. Teori Frued dijelaskan dalam bukunya The Interpretation of Dreams (1890).
Selepas Freud memperkenalkan teorinya, ramai ahli-ahli teori personaliti lain yang muncul hasil tintik tolak daripada teorinya. Teori Psikoanalisa adalah merupakan hasil daripada pengalaman-pengalamannya semasa zaman kanak-kanaknya.


3.0 TEORI CARL JUNG Vs TEORI PSIKOANALISA SIGMUND FREUD
Untuk melihat perbezaan antara kedua-dua teori ini beberapa aspek difikirkan perlu dilihat seperti aspek pandangan teori terhadap manusia dan struktur personaliti menurut kedua-dua teori ini.

3.1 PANDANGAN TEORI TERHADAP MANUSIA
Sigmund Freud berpandangan manusia dilahirkan dengan naluri-naluri kebinatangan yang bersifat jahat. Kehidupan manusia telah ditentukan oleh naluri-naluri ini. Lantaran dorongan-dorongan dari naluri-naluri ini manusia boleh bertindak secara tidak rasional dan tidak logik. Manusia dianggap sebagai satu sistem tenaga yang berfungsi sebagai system hidrolik. Sistem yang mempunyai paling banyak tenaga akan berkuasa mengawal tingkahlaku dan kehidupan manusia. Tenaga Eros dan tenaga Thanatos bertanggungjawab terhadap tingkah laku manusia.
Manakala Jung berpendapat bahawa manusia mempunyai tujuan dan matlamat dalam hidupnya sendiri. Tingkah laku manusia bukan sahaja ditentukan oleh peristiwa-peristiwa masa lampau sepertimamna yang ditekankan oleh Freud bahkan juga oleh impian-impian dan cita-cita masa hadapan. Kedua-dua ini disebut sebagai teleology dan causality oleh Hall dan Lindzey dalam Amir Awang (1987). Bagi Jung, manusia sentiasa berusaha untuk terus berkembang bagi mencapai nirwana kendiri. Beliau melihat manusia sebagai makhluk yang kreatif dan optimistik. Walaupun Jung mementingkan masa hadapan, tidaklah pula ia mmengabaikan langsung masa lampau. Malah kalau dibandingkan cara ia melihat masa lampau lebih tersusun yang mana dua komponen utama iaitu personal unconscious dan collective unconscious.

3.2 STRUKTUR PERSONALITI MENURUT TEORI
Sigmund Freud membahagikan sistem personaliti mengandungi tiga sistem iaitu id (biologi), ego(psikologi), dan superego (sosial dan nilai moral) yang berinteraksi antara satu sama lain bagi menghasilkan tingkah laku yang tertentu yang dengannya Freud simpulkan sebagai personaliti seseorang itu. Frued sangat mementingkan unsur tidak sedar kerana bahagian tidak sedar adalah sebahagian besar emosi yang memberikan kawalan ke atas tingkah laku sedar. Bahagian tidak sedar menjadi penentu kuat tingkah laku manusia atau asas personaliti. Justeru itu, pandangan tentang tingkah laku yang menekankan proses sedar di anggap tidak lengkap.

Mengikut Frued, tingkahlaku manusia diarah oleh faktor luar kawalan. Ini bermakna tingkah laku manusia ditentukan oleh faktor baka (blue print atau rangka tindakan yang unik). Tingkah laku dipengaruhi oleh pengalaman lampau iaitu konflik-konflik yang tidak selesai. Frued melihat keseragaman atau kesamaan antara tingkah laku individu dan mengutamakan atau mementingkan kestabilan ciri-ciri personaliti atau interaksi ketiga-tiga sistem personaliti tersebut.

Kerisauan terhasil seandainya ego gagal mengawal kehendak id atau gagal menyalurkan kehendak id menurut batasan-batasan realiti dan nilai-nilai moral. Dalam keadaan inilah ego akan didenda kerana gagal. Dengan kata lain, kerisauan terhasil semasa interaksi ketiga-tiga sistem tenaga iaitu id, ego, dan superego. Dalam proses menapis, mengawal dan memenuhi kehendak-kehendak id, ego akan risau jika gagal sebaliknya akan tenang jika berjaya. Menurut Frued, ada tiga jenis kerisauan yang boleh dialami oleh individu iaitu kerisauan realiti iaitu ancaman nyata atau ancaman yang dijangka dari persekitaran, kerisauan moral iaitu daripada hati nurani atau conscience seseorang dan kerisauan neurotic iaitu rasa bimbang tidak dapat mengawal naluri sehingga melakukan sesuatu yang di luar kawalan. Freud memperkenalkan helah bela diri digunakan bertujuan untuk mengurangkan penderitaan ego yang tidak dapat mengawal id dengan baik dan juga mempertahankan ego dari cemuhan dan kutukan superego.
Freud mengemukakan lima peringkat perkembangan personaliti indvidu iaitu peringkat oral, peringkat anal, peringkat falik, peringkat latensi dan peringkat syahwat. Freud percaya bahawa peringkat-peringkat perkembangan personaliti seseorang dinamakan seperti itu kerana kepuasan seks yang diperolehi oleh seseorang individu semasa ia berkembang berkisar di kawasan-kawasan berahi yang berkenaan. Bahagian-bahagian badan yang memberikan kepuasan ini dinamakan zon-zon erotik malah bagi Freud semua tingkah laku manusia adalah berasaskan motif seks sahaja. Apa sahaja yang dilakukan mestilah bagi memenuhi keperluan tenaga seks.
Manakala Jung menyatakan personaliti seseorang terdiri daripada sembilan sistem yang berlainan tetapi saling bergantungan di antara satu sama lain. Sistem-sistem ini dinamakannya sebagai ego, personal unconscious, collective unconscious, persona, anima dan animus, bayangan, sikap, fungsi dan kendiri. Ego merupakan pusat bagi alam sedar, personal unconscious merupakan alam tidak sedar peribadi yang mana pengalaman-pengalaman yang menyakitkan ditekan ke alam tidak sedar dan kadang kala ia mengganggu individu dan boleh menjelma ke alam sedar. Collective unconscious merupakan pengalaman-pengalaman yang berkisar mengenai bangsa, keturunan ataupun kaum yang diwarisi zaman berzaman. Pengalaman-pengalaman yang terkumpul ini dinamakan arkitaip dan antara arkitaip yang terpenting dalam teori Jung adalah persona iaitu satu bentuk arkitaip yang merupakan topeng yang dipakai oleh setiap individu untuk memenuhi kehendak masyarakat. Anima dan animus merupakan arkitaip bahawa seorang lelaki dan perempuan mempunyai ciri-ciri kelelakian dan keperempuanan. Orang lelaki yang mempunyai ciri-ciri keperempuanan dinamakan anima dan sebaliknya dinamakan animus.
Bayangan merupakan arkitaip yang jauh sekali terpendam dalam lubuk collective unconscious dan mempunyai dua sifat utama iaitu ciri-ciri primitif dan kebinatangan yang ingin kita nafikan dan juga ciri-ciri kreatif yang jika tidak dihidupkan akan termusnah. Kendiri merupakan arkitaip yang terpenting kerana ia merupakan kesatuan, keseluruhan dan kesepaduan personaliti. Arkitaip seterusnya adalah sikap iaitu semasa individu berkembang ia dipengaruhi oleh dua jenis sikap yang berbeza iaitu ekstroversi dan introversi. Personaliti yang bersikap ekstroversi suka bergaul, bersifat terbuka dan peramah manakala personaliti yang bersikap introversi mempunyai ciri-ciri seperti pemalu, pendiam dan suka bersendirian.
Akhir sekali, Jung mengemukakan arkitaip fungsi iaitu memikir, merasa, deria dan intuisi. Dengan arkitaip ini, individu dapat berfikir untuk membuat tindakan secara logik dan menghadapi sesuatu situasi dengan tenang, objektif dan rasional. Individu juga boleh merasa nilai-nilai dan aspek-aspek subjektif dan melalui deria individu dapat mengamati segala-galanya melalui sistem deria ini. Instuisi pula menyatakan bahawa individu sentiasa bersedia untuk menghadapi semua kemungkinan dalam sesuatu situasi.

Teori personaliti yang dikemukakan oleh Carl Jung menunjukkan terdapatnya beberapa perbezaan berbanding teori yang dikemukakan oleh Freud. Antara perbezaan tersebut adalah Freud menyatakan seks mempengaruhi personaliti manusia dan perlakuan neurotik adalah kesan kekecewaan pada kehendak seks yang tidak dipenuhi namun Jung tidak menafikan pengaruh seks tersebut. Walaupun begitu Jung memberi penjelasan yang mendalam tentang libido sebagai tenaga yang membentuk personaliti. Libido ialah tenaga psikik dan seks hanya memainkan peranan kecil dalam libido.
Pada pendapat Freud manusia dipenjarakan oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau. Manusia adalah mangsa kepada peristiwa-peristiwa tersebut. Jung pula menyatakan tingkah laku manusia dipengaruhi oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku dan juga aspirasi kita pada masa hadapan. Pembentukan personaliti seseorang individu bukan sahaja akibat daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa zaman kanak-kanak tetapi juga ramalan-ramalan kejadian ataupun aspirasi kita pada masa depan.
Shahabudin & Rohizani (2002) perbezaan hujah yang ketara antara Freud dan Jung berkisar kepada pengalaman bawah sedar. Jung tidak mengurangkan isi-isi penting dalam huraian Freud mengenai pengalaman bawah sedar seperti dilakukan oleh setengah-setengah pengkritik teori personaliti. Jung memberi penekanan yang panjang lebar mengenai perkara tersebut. Beliau menambahkan dua dimensi baru iaitu pengalaman warisan dan pengalaman pramanusia. Maksudnya, Sigmund Freud menimbulkan faktor-faktor phylogenetic sebagai faktor yang mempengaruhi pembentukan personaliti iaitu pengaruh pengalaman primal yang bersifat keturunan. Jung memasukkan unsur pengalaman bawah sedar sebagai sistem asas dalam pembentukan personaliti individu. Untuk memantapkan hujahan beliau mengenai pembentukan personaliti manusia, kombinasi idea-idea daripada bidang ilmu yang lain seperti bidang sejarah, mitologi, keagamaan dan antropologi digabungjalinkan dalam hujahan beliau.

4.0 KESIMPULAN

Walaupun Carl Jung membangunkan teori yang baru dan pada dasarnya bersetuju ataupun menentang pandangan Freud dalam teori yang dikemukakan Jung sebenarnya tetap berhutang dengan Freud. Engler dalam Shahabudin dan Rohizani (2002), adalah sukar untuk membangunkan teori personaliti yang baru tanpa memahami terlebih dahulu teori personaliti yang dikemukakan oleh Freud.
Sistem personaliti yang disuburkan oleh Freud perlu didalami, bukan sahaja kerana aspek pensejarahannya, tetapi juga pengaruhnya yang masih hangat hingga ke hari ini. Walaupun teori Freud kelihatan terlalu abstrak dan sukar diterapkan dalam dunia nyata namun sumbangannya perlu dihargai dalam aspek kefahaman yang diberikan kepada kita tentang dinamika-dinamika yang sering berinteraksi dalam jiwa kita sehingga membawa kepada kerisauan. Peringkat-peringkat perkembangan personaliti dan masalah-masalah yang berkaitan dengannya dan sifat semula jadi manusia yang sering didorong oleh nafsu semata-mata tidak dapat disangkalkan. Sebagai teori yang menjadi pelopor kepada teori-teori psikologi yang lain adalah wajar untuk diterima kerana teori yang lahir dahulu semestinya mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu. Walau bagaimanapun, kita tidak dapat menafikan sumbangannya yang begitu besar dalam era perkembangan personaliti dan ilmu psikologi di dunia ini.
Teori yang dikemukakan oleh Carl Jung sudah tentulah lebih kompleks daripada yang dipelopori oleh Freud. Terdapat pelbagai penambahbaikan daripada apa yang telah dikemukakan oleh Freud. Saya melihat hanya terdapat sedikit sahaja perbezaan seperti yang telah dinyatakan di atas antara kedua-dua teori ini selebihnya hanyalah penambaikan dan perluasan teori yang dibuat Jung tentang apa yang telah dikemukakan oleh Freud dalam sumbangannya terhadap Teori Psikodinamik ini.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Khamis, Februari 11, 2010

Sumbang Mahram dan Perundangan di Malaysia

Pengenalan

Fenomena yang sering menjadi bahan paparan akhbar mahupun di kaca televisyen sejak akhir-akhir ini adalah merupakan gejala yang tidak sihat yang kian menular di dalam masyarakat. Sumbang mahram sudah tidak menjadi suatu kejutan atau sesuatu yang pelik berlaku kerana saban hari kita membaca akhbar pasti terbaca berita-berita yang seumpama ini. Ini tidak bermakna jenayah ini hanya berlaku sejak akhir-akhir ini tetapi ia sebenarnya sudah lama wujud pada masa lampau. Ini disebabkan oleh kemungkinan mangsa tidak berani atau tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk tampil membuat aduan. Berbanding dengan masa sekarang kemudahan media massa dan media elektronik secara berleluasa memudahkan mangsa mendapat maklumat yang sewajarnya dan mempunyai pengetahuan untuk bertindak bagi mendapat perhatian orang ramai.

Sumbang mahram (incest) adalah pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah atau dari konteks Islamnya ialah muhrim atau mahram. Pencabulan seks di sini bermaksud sebarang kegiatan seksual yang tidak difahami dan tidak rela oleh mangsa perlakuan seks atau perlakuan seks yang melanggar norma sosial. Ia termasuklah mulut-kemaluan (oral-genital), dubur-kemaluan (oral-genital) iaitu liwat, kemaluan-kemaluan (genital-genital) antara orang dewasa dan kanak-kanak, onani bersama, mendedahkan kemaluan (exhibitionism) dan menggunakan kanak-kanak untuk pornografi.

Wujudnya masalah sosial ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti pendidikan agama, moral serta kurangnya pengetahuan yang mendalam mengenai isu seksual bagi mangsa dan kurangnya pengetahuan tentang hukuman yang bakal diterima bagi pemangsa. Faktor tekanan dalam diri individu itu sendiri dan persekitaran dalam lingkungan yang mendorong perbuatan tersebut juga kadang kala memberi sumbangan dalam tercetusnya fenomena terkutuk ini. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati gejala ‘bapa haruan’ semakin menular dalam masyarakat di negara ini didapati berpunca daripada beberapa faktor termasuklah kegagalan isteri memberi kepuasan batin kepada suami tetapi enggan membenarkannya berkahwin lain dan suami yang kurang beriman menjadi hilang pedoman dan pertimbangan lantaran kongkongan isteri tersebut lalu mencari jalan keluar yang kotor dengan menodai anak atau cucu sendiri.

Kesinambungan kesan daripada fenomena negatif ini adalah menjurus kepada mangsa itu sendiri. Mangsa yang mengandung akibat hubungan sumbang mahram mengalami trauma jiwa yang teruk. Mangsa juga menunjukkan tingkah laku dan perwatakan seperti perubahan emosi, ketakutan, gelisah, pemarah, agresif, dendam dan lain-lain lagi. Perubahan psikologi ini akan berlarutan pada peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat remaja atau dewasa.

Semakin kerajaan mempertingkatkan usaha bagi membanteras gejala ini, semakin banyak pula kes-kes yang terbongkar dalam masyarakat. Adakah hukuman yang sedia ada tidak cukup untuk menggerunkan pelaku sumbang mahram. Masyarakat yang mempunyai nilai hidup yang tinggi merasa janggal dan jelik untuk membicarakan isu ini kerana ia melibatkan maruah dan kehormatan keluarga itu sendiri. Tetapi persoalannya sampai bilakah masalah ini akan terus membelenggu masyarakat kita dan berapa ramai lagikah anak-anak yang tidak berdosa akan menjadi habuan seorang ayah, abang, datuk atau sesiapa yang diharap untuk melindunginya tetapi mengkhianatinya pula. Bagi mangsa pula siapakah manusia yang boleh dipercayainya lagi setelah dikhianati oleh keluarga sendiri?

Dapatan Permasalahan

Tajuk artikel : An Explotarory Study of Incest in Malaysia : Investing Intrafamilial Sexual Abuse Among Inmates in a State Prison

Artikel ringkas ini merupakan kajian yang dibuat oleh beberapa orang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan seorang dari Universiti Putra Malaysia. Pengkaji-pengkaji ini mempunyai bidang kepakaran masing-masing iaitu dari sudut Psikologi, Sosiologi dan Antropologi, Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Kaunseling, Pediatrik dan Usuluddin.

Dalam kajian yang dibuat, mereka memfokuskan fenomena sumbang mahram dari perspektif pesalah atau pelaku itu sendiri berbanding dahulu kajian lebih menjurus kepada perspektif mangsa. Melalui kajian ini 10 orang banduan telah ditemuduga bagi mengenalpasti faktor-faktor penyebab, fakta dan tingkah laku pelaku itu sendiri. Dapatan kajian mendapati kesemua pesalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah iaitu pekerjaan mereka sebelum itu ialah sebagai pemandu, buruh dan pelbagai pekerjaan lain seperti di dalam bidang perindustrian. Majoriti daripada pesalah itu tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Rata-rata mereka hanya tamat pada pendidikan rendah. Daripada 10 orang pesalah yang ditemuduga itu, 7 daripada mereka adalah bapa kandung, 2 adalah bapa saudara dan baki yang seorang itu adalah datuk kepada mangsa. Kajian mendapati 10 daripada pesalah, 7 adalah penganut Islam, seorang adalah penganut Buddha dan 2 orang lagi adalah penganut agama Hindu. Antara faktor-faktor situasi yang menyumbang pelaku melakukan jenayah ini adalah berseorangan bersama mangsa, peminum arak, penceraian dan tekanan hidup.

Berdasarkan artikel tersebut, dapatlah dihuraikan faktor-faktor seperti yang telah dinyatakan di atas :
1. Faktor Kurang Pendidikan
2. Faktor Ekonomi dan Kemiskinan
3. Faktor Individu dan Situasi
1. Faktor Kurang Pendidikan

Dengan hanya mempunyai kelulusan setakat Darjah 3 atau Darjah 6 sahaja sudah tentu seseorang itu tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan yang luas dari segala aspek terutama sekali pengetahuan tentang hukuman yang bakal dihadapi dan kesan daripada perlakuannya. Tindakan dan perilaku di antara seseorang yang berilmu dengan seseorang yang tidak adalah jelas sekali berbeza. Allah telah menjelaskan perbandingan di antara orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan kepada beberapa darjat.”

(Surat Al-Mujadillah:Ayat 11)

Mungkin ada di kalangan pesalah ini mengetahui akan hukuman yang bakal dikenakan tetapi mereka kurang jelas tentang sejauh mana bentuk hukuman yang akan dikenakan. Tetapi setelah beberapa kes yang telah berjaya dibongkarkan, saya pasti ramai di kalangan kaum lelaki yang sudah jelas dengan hukuman itu. Persoalannya walaupun sudah mengetahui akan hukuman-hukuman tersebut mengapa masih terdapat lagi kes haruan makan anak? Adakah mereka yang tidak melakukan sumbang mahram merupakan golongan yang hanya takut kepada hukuman yang ditetapkan? Saya akan mengupas dengan lebih lanjut lagi persoalan ini dibawah tajuk sejauh mana keberkesanan akta dan hukuman.

Saya kurang bersetuju jika ada pihak yang mengatakan punca yang menyebabkan fenomena jijik ini berlaku disebabkan oleh ceteknya pengetahuan ilmu agama. Ledakan maklumat dari sumber-sumber media-massa dan media elektronik turut memenuhi segenap pelusuk tanah air termasuklah ke kawasan pedalaman. Pengetahuan itu merupakan pengetahuan asas bagi setiap manusia. Contohnya sebagai seorang Islam, sembahyang itu adalah wajib dan jika meninggalkannya adalah berdosa. Konsepnya adalah sama dengan sumbang mahram, saya percaya semua masyarakat di Malaysia yang menjadi bapa mengetahui bahawa adalah berdosa atau haram melakukan zina apatah lagi menodai anak sendiri. Biasanya pelaku akan melakukan perbuatan keji ini secara sembunyi-sembunyi atau curi-curi dan kadang kala mengugut mangsa agar tidak memberitahu orang lain. Di sini jelaslah bahawa pelaku itu mengetahui bahawa perbuatan itu adalah merupakan kesalahan. Firman Allah yang bermaksud;

“ Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sesuatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

(Surah Al-Israa’: Ayat 32)
Faktor kurangnya penghayatan kepada suruhan agama itu sendiri yang mendorong manusia melakukan perkara yang dibenci oleh Allah itu. Contohnya walaupun seseorang itu mengetahui tentang hukum meninggalkan sembahyang tetapi masih ada juga orang yang meninggalkannya. Samalah juga dengan kes sumbang mahram, walaupun sudah tahu hukumannya masih ada orang yang melakukannya.

Pasti kita tidak dapat menerima bahawa ada pelaku sumbang mahram yang memberi alasan bahawa apa salahnya mereka menikmati tubuh badan anak mereka setelah bersusah payah membesarkannya.

2. Faktor Sosio-Ekonomi dan Kemiskinan

Faktor ini mempunyai rentetan dan hubung kait yang rapat dengan faktor pendidikan. Golongan yang tidak berpendidikan tinggi biasanya mempunyai tahap ekonomi yang rendah. Faktor ekonomi ini merupakan faktor penyumbang kepada perlakuan jenayah. Kenyataan ini nampak seolah-olah berat sebelah tetapi berdasarkan dari dapatan kajian dan teori mendapati bahawa kajian ini benar.
Menurut seorang pengkaji Itali, De Verse (1894), beliau telah membuat kajian berkenaan dengan masalah kemiskinan dan kaitan dengan jenayah. Didapati 60% daripada kumpulan miskin melahirkan 85 – 90% penjenayah. Seorang ahli Kriminologi Belanda, Bonger (1916), menyatakan bahawa kemiskinan itu mendedahkan seorang kepada jenayah dan menjadi motif untuk mereka melakukan jenayah.

Kes-kes sumbang mahram yang dilaporkan kebanyakannya terjadi di rumah pelaku atau mangsa itu sendiri. Keadaan rumah yang sempit seperti rumah murah di bandar, pinggir bandar dan estet di mana bilik tidur yang tidak mencukupi. Kedudukan rumah yang terpencil dari masyarakat sekeliling tanpa gangguan jiran atau pihak berkuasa akan memudahkan lagi berlakunya sumbang mahram di dalam sesebuah keluarga.


3. Faktor Individu dan Situasi

Individu yang melakukan pencabulan gagal menyalurkan naluri serta nafsu seksnya secara normal. Naluri seks yang memuncak ini apabila menguasai diri seseorang individu itu sehingga sanggup memperalatkan anak-anak sendiri bagi memenuhi tuntutan nafsu buas mereka. Anak-anak juga dijadikan sasaran apabila ada isteri yang tidak dapat menjalankan tanggung jawabnya dan mengakibatkan emosi suami tertekan dan gagal berfikir dengan rasional. Pelaku sumbang mahram mungkin seorang yang tidak waras otaknya (psychopathic personality atau pshizophrenia). Ia mungkin juga mempunyai hubung kait dengan kelenjar dan lebihan hormon testeron. Untuk membicarakan faktor-faktor yang yang melibatkan individu perlulah kita melihat latar belakang pelaku itu dari pelbagai sudut.

Akibat kepesatan penyebaran video-video lucah ke seluruh pelusuk tanah air merupakan faktor situasi yang mendorong berlakunya fenomena ini. Begitu juga peranan internet, televisyen dan majalah banyak memaparkan adegan memberangsangkan. Apabila mangsa tinggal berseorangan dengan bapa, datuk atau abang, pasti pemangsa tidak mahu ketinggalan atau melepaskan peluang yang terhidang di hadapan mata.

Sejauh Mana Keberkesanan Hukuman dan Akta Yang Diperuntukkan

Sebelum membincangkan tajuk ini dengan lebih lanjut lagi, adalah lebih baik sekiranya diimbas secara ringkas objektif-objektif hukuman di dalam undang-undang secara umum. Terdapat pelbagai teori telah diperbahaskan oleh pakar-pakar perundangan mengenai tujuan atau matlamat sesuatu hukuman. Kesimpulan daripada teori tersebut, didapati tiga tujuan besarnya iaitu :

• Teori Pembalasan – Teori pembalasan sesuatu hukuman adalah bermatlamat membalas kejahatan pelaku-pelaku jenayah, kerana sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadap masyarakat, maka masyarakat melalui wakilnya iaitu mahkamah akan memutuskan sesuatu hukuman itu. Dalam hubungan ini, di Malaysia, matlamat perundangan seperti ini boleh dilihat di dalam hukuman-hukuman berat mandatori seperti hukuman mati bagi kesalahan membunuh. Daripada teori ini, dapat diperhatikan bahawa masyarakat tidak boleh mengambil tindakan sendiri terhadap kejahatan yang telah dilakukan oleh seseorang kepada ahli masyarakat tanpa mengikut saluran undang-undang yang sah. Pendek kata hukuman seperti ini bolehlah dikatakan sebagai hutang darah dibalas darah.

• Teori Pencegahan – Teori pencegahan ini ialah dengan cara menghukum pelaku-pelaku jenayah dengan harapan supaya penjenayah berasa menyesal dan tidak akan mengulanginya lagi. Teori ini juga mengharapkan agar pesalah-pesalah yang baru ingin menceburkan diri di dalam jenayah akan dapat dicegah daripada melakukannya apabila mereka melihat sesuatu hukuman yang telah dikenakan kepada pesalah itu. Bermakna, teori ini mempunyai matlamatnya yang besar iaitu untuk mencegah pesalah itu sendiri daripada melakukan kesalahan yang sama di masa yang lain, ia dinamakan sebagai pencegahan khas. Keduanya, ia bertujuan untuk mencegah pesalah-pesalah lain daripada melakukan kesalahan yang sama seperti itu, ia dinamakan sebagai pencegahan umum.

• Teori Pemulihan – bermatlamat untuk menggalakkan pesalah-pesalah supaya mematuhi undang-undang dan menjadi masyarakat yang bertanggung jawab. Oleh yang sedemikian dengan hukuman yang dikenakan itu diharapkan pesalah-pesalah akan mengubah sikap mereka dan menghormati undang-undang dan peraturan yang ada di sekeliling mereka.

Dalam Islam hukuman dipanggil sebagai keseksaan ‘uqubat’ bermakna ia adalah pembalasan yang dijadikan oleh Allah bagi mereka yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Jadi hukuman di dalam Islam dikenali sebagai halangan-halangan sebelum penjenayah melakukan jenayah dan pencegahan selepas ia dilakukan, bererti dengan mengetahui hukuman yang akan ditetapkan oleh Allah tentang betapa siksa dan azabnya hukuman yang akan dikenakan kepada penjenayah. Harapan agar penjenayah tidak akan cuba mendekati perbuatan tersebut, jika ia telah terlanjur melakukannya, diharap ia tidak akan mengulanginya lagi.

Di bawah ini, saya akan menghuraikan akta dan peruntukan undang-undang di Malaysia mengikut bentuk-bentuk objektif Teori-teori Hukuman seperti yang tersebut di atas.

a) Seksyen 375 dan 376
- darihal rogol dan kesalahan-kesalahan luar tabii iaitu keseksaan kerana merogol hukumannya adalah penjara selama tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari dua puluh tahun dan sebatan.

b) Seksyen 376A
- darihal melakukan sumbang mahram iaitu keseksaan kerana melakukan sumbang mahram hukumannya penjara minimum 6 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan minimum 6 sehingga 24 sebatan.

c) Menurut Enakmen No.9 Negeri Selangor
- suatu Enakmen bagi mengadakan peruntukan tentang kesalahan-kesalahan Syariah dan perkara-perkara yang berhubung dengannya. Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Perundangan Malaysia mengamalkan sistem dualisme. Jika kita meneliti kedua-dua undang-undang di atas, terdapat kontra yang amat besar di antara hukuman yang dikenakan. Sumbang mahram juga adalah merupakan kesalahan rogol tetapi berlaku di dalam keluarga. Persoalannya adakah setimpal hukuman yang ditetapkan oleh Enakmen Negeri Selangor ke atas kesalahan sumbang mahram?

Suatu ketika dulu ketika isu sumbang mahram hangat diperkatakan masyarakat menggesa kerajaan mengenakan hukuman yang berat ke atas pesalah. Berbagai-bagai bentuk hukuman yang lebih berat dicadangkan. Ini adalah kerana hukuman yang sedia ada dianggap tidak memadai dan ianya perlu dipinda memandangkan fenomena ini semakin menular dalam masyarakat. Pada masa ini, kesalahan rogol boleh dikenakan hukuman penjara minimum 5 tahun dan maksima tidak melebihi 20 tahun serta sebat mengikut Seksyen 376 kanun keseksaan, manakala Seksyen 376A memperuntukkan hukuman penjara minimum 6 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta minimum 6 sebatan sehingga 24 sebatan bagi kes sumbang mahram. Biasanya mahkamah tidak memberi penekanan kepada hukuman maksima kerana hakim mempunyai pilihan menjatuhkan hukuman penjara di antara 6 hingga 20 tahun mengikut Seksyen 376A.

Berkenaan dengan hukuman sebat di khalayak ramai, turut menyokong perlaksanaannya ialah Perdana Menteri sendiri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad. Beliau mencadangkan hukuman keras perlu dikenakan ke atas mereka yang terbabit dalam jenayah berkenaan. Hukuman sebat di khalayak ramai mungkin dianggap sebagai hukuman yang boleh menakutkan dan memberi keinsafan kepada orang ramai. Tetapi ada juga pihak yang menentang dan menyifatkan bahawa tindakan ini seolah-olah sama mengikut ‘cara Taliban’ yang tidak bertamadun dan primitif. Jika kita melihat apabila sesebuah kerajaan kuku besi tewas atau mengalami kejatuhan, rakyat akan menunjukkan tingkat laku agresif yang begitu dominan sekali. Kejatuhan kerajaan Iraq telah membuka mata masyarakat dunia di mana rakyatnya yang sebelum ini dikawal ketat oleh undang-undang tetapi apabila kerajaan mereka jatuh mereka tidak lagi mengikut undang-undang. Mereka bebas melakukan jenayah tanpa menghiraukan sesiapa yang perlu mereka takuti lagi. Adakah perkara yang sama ingin kita wujudkan di Malaysia?

Dari sudut mana sekalipun sesuatu hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah, ia hendaklah berunsurkan pengajaran dan contoh teladan penyekat (deterrent) kepada pihak lain. Sukar rasanya untuk kita mendalami bentuk sebenarnya betapa marah dan bencinya seorang anak terhadap bapa, datuk atau abang yang telah mengambil kesempatan terhadapnya sama ada melalui pujuk rayu, tipu helah ataupun paksaan. Dan apakah pula bentuk kepuasan atau perasaan terbela yang akan dirasai apabila melihat bapanya, datuknya dan abangnya dihukum dan disebat di khalayak ramai? Dan apakah kesudahannya kepada institusi keluarga ini pada masa hadapan, atau mungkinkah implikasi ini tidak penting dalam kita menghitungkan balasan kepada mereka yang bersalah itu dan yang tidak berfikir panjang sebelum ini.

Hukuman yang hendak dilaksanakan perlulah berbentuk pencegahan supaya tidak berulang. Aliran kejadian berulang dan peningkatan statistik membabitkan sumbang mahram menunjukkan masyarakat perlu diberi kesedaran mengenai kesan gejala buruk itu. Kes sumbang mahram terus berlaku walaupun undang-undang dipinda untuk membolehkan hukuman lebih tegas dikenakan kepada pesalah. Maknanya masalah akar umbi yang menjadi punca kepada gejala itu perlu dikenal pasti dan diperbaiki termasuk penerapan nilai-nilai agama, pergaulan yang sihat sesama ahli keluarga dan kesedaran yang lahir pada setiap orang.

d) Akta Pemaju Perumahan 1966

Matlamat dasar perumahan negara ialah menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi dan mampu dibeli terutama oleh rakyat yang berpendapatan rendah di luar bandar dan di pinggir bandar. Ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan membasmi kemiskinan tercapai. Di dalam akta ini tiada peruntukan yang mewajibkan pemaju perumahan menyediakan tiga buah bilik untuk rumah kos rendah. Oleh itu, adalah penting untuk membuat pindaan ke atas akta yang sedia ada.

Dalam konteks ini kerajaan boleh mensyaratkan pemaju-pemaju perumahan membina sekurang-kurangnya tiga bilik untuk semua jenis rumah. Dengan cara itu, dapatkan diasingkan anak-anak lelaki dengan anak-anak perempuan serta ibubapa mereka. Kebanyakkan kes-kes sumbang mahram yang berlaku adalah disebabkan oleh sistem spesifikasi rumah yang tidak teratur. Rumah yang sesak dan sempit serta tidak mempunyai bilik yang mencukupi adalah faktor-faktor yang menyumbang kepada gejala ini.

Di samping penggubalan akta, kerajaan juga perlu memantau sejauh mana perubahan dasar dan strategi pelaksanaan program perumahan kos rendah. Semua rumah yang dibina di bawah program ini wajib menggunakan spesifikasi perancangan dan rekabentuk perumahan yang telah ditetapkan dalam Standard Perumahan Kebangsaan.

Untuk memastikan semua perancangan berjalan dengan lancar, syarat-syarat pembelian rumah juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Ini adalah untuk memastikan ianya menepati sasaran pembeli yang diharapkan. Bagi golongan yang berpendapatan rendah sekitar RM500 hingga RM800 sebulan yang tidak mempunyai rumah atau tanah untuk mendirikan rumah perlulah diberi keutamaan. Ini juga adalah untuk mengelakkan daripada terbinanya rumah-rumah setinggan yang akan mengundang banyak lagi masalah-masalah sosial di kalangan masyarakat.


e) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998

Akta ini merupakan undang-undang siber yang terpanjang antara keenam-enam undang-undang siber yang digubal dalam negara setakat ini. Ia mempunyai 282 seksyen dan satu jadual. Secara tradisional, penyiaran, telekomunikasi dan pengkomputeran telah difikirkan secara terpisah. Jika teknologi digital sekarang ditemukan bersama, ia akan menjadi tidak realistik untuk mengekalkan suatu pemisahan. Jadi, undang-undang ini telah digubal bagi menggantikan dua undang-undang sedia ada berkaitan telekomunikasi dan penyiaran, iaitu Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membentuk satu rangkakerja bagi campurtangan secara teratur untuk menggalakkan dasar kebangsaan terhadap industri komunikasi dan multimedia. Aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal di bawah akta ini termasuklah penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam Akta ini yang membenarkan penapisan Internet.
Bahagian IX Akta (seksyen 205 hingga seksyen 213) memperuntukkan Pengawalseliaan Sosial. Seksyen 211 bahagian ini menegaskan bahawa pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang. Perlanggaran seksyen ini akan didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Undang-undang penyiaran perlu diperketatkan lagi supaya anak-anak tidak terlalu terdedah kepada pengaruh yang tidak sihat daripada televisyen, radio, wayang mahupun internet. Rangsangan nafsu yang diakibatkan oleh bahan lucah yang boleh diperolehi semudah ‘kacang goreng’ merupakan faktor yang membabitkan jenayah ini berlaku. Ini adalah kesan daripada pengamalan ‘dasar langit terbuka’ yang negatif. Bayangkan jika seorang bapa menonton program-program sebegitu rupa bersama-sama anak-anak sementara isterinya tiada di rumah. Ini boleh mencetuskan nafsu yang tidak terkawal. Perkara ini tidak boleh dipandang sepi begitu sahaja. Langkah-langkah baru untuk membendung dan mengatasinya perlulah diambil.

KESIMPULAN

Sumbang mahram adalah petanda penyakit masyarakat yang pudar dan rapuh akhlaknya. Ia adalah kesan kehidupan yang jauh menyimpang daripada nilai-nilai ketuhanan dan cara hidup yang sebenar. Satu rancangan bersepadu membabitkan perumahan, pendidikan dan kemudahan, prasarana penting untuk memastikan gejala sosial ini dibendung. Penderaan seks melalui sumbang mahram ini menjadi akar kepada penyakit sosial yang lain seperti pelacuran, penyebaran AIDS, peningkatan homoseks dan keciciran. Keciciran pula boleh membawa kepada perlakuan jenayah lain seperti rompakan, pembunuhan dan permusuhan.

Rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik harus disediakan pada harga yang mampu dimiliki oleh golongan yang berpendapatan rendah. Sehubungan dengan usaha itu penguatkuasaan undang-undang dengan lebih ketat untuk pesalah sumbang mahram dan undang-undang bagi melindungi mangsa. Hukuman yang hendak dilaksanakan terhadap pesalah sumbang mahram perlulah berbentuk pencegahan supaya perkara yang sama tidak berulang.

Hukuman sebat di khalayak ramai tidak pernah diamalkan sebelum ini dan untuk melaksanakannya dalam masyarakat yang majmuk ini wajarlah dibuat suatu kajian yang komprehensif. Ini adalah untuk mendalami dalam membuat pertimbangan yang adil lagi bijak, bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi juga sebagai penghalang yang berkesan bagi melambangkan pendekatan yang progresif dan tepat sebuah negara yang maju dan berjaya. Kajian ini dibuat bagi melihat pro dan kontranya jika hukuman ini dijalankan. Memang ramai pihak terutamanya masyarakat umum menyokong pelaksanaan hukuman ini tetapi saya terfikir jika ianya dilaksanakan ada pula kesan negatif ekoran dari itu. Contohnya apabila seorang bapa yang telah merogol anaknya dan terfikir ia akan menerima sebatan di khalayak ramai kemungkinan ia akan menghapuskan bukti dengan membunuh anaknya pula. Apa akan terjadi kepada masyarakat kita jika perkara sebegini berterusan. Apa yang ingin saya tegaskan ialah dalam melaksanakan hukuman biarlah ibarat ‘Menarik rambut di dalam tepung’ - rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"