Memaparkan catatan dengan label tahun baru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tahun baru. Papar semua catatan

Sabtu, Januari 01, 2011

Azam Baru Semangat Pun Baru



Salam tahun baru 2011 buat semua.


Tahun 2010 telah melabuhkan tirainya, 1 Januari 2011 telah membuka lembaran baru. Azam baru begitu sinonim dengan sambutan setiap tahun di awal tahun. Bagaimana agaknya dengan azam tahun lepas? Adakah semua azam tersebut telah tercapai atau hanya tinggal azam di mulut sahaja. Persoalan seterusnya adakah setiap kali muncul tahun baru azam juga perlu baru tetapi secara praktisnya hanya bagai 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja. Dalam keghairahan melakar azam baru terdapat juga insan yang masih tercari-cari sesuatu untuk dilontarkan apabila ditanya apakah azam baru untuk tahun ini...Catatan ini boleh juga menjadi pencetus dan simulasi kepada yang belum memahatkan azam untuk memulakan lembaran baru.

Kedengaran suara azam-azam baru seperti ingin mendekati masjid dan bersolat jemaah setiap kali bersolat, ingin menabung, ingin berpuasa sunat, ingin berhenti mengumpat, ingin bercakap dengan kata-kata positif, ingin ke pejabat lebih awal dan beberapa-beberapa keinginan dan azam yang lain...Bagus atas segala azam yang positif tersebut tetapi bagaimana agaknya untuk mengekalkan dan beristiqamah dengan tingkah laku dan sikap baru tersebut.

Yang manisnya apabila menyambut tahun baru, diari baru dibuka, catatan baru bermula dengan semangat dan langkah juga baru. Secara fitrahnya manusia apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru mempersepsikan dengan nilai yang berharga. Justeru, fitrah manusia juga sentiasa mencari-cari sesuatu yang terbaik bagi dirinya dan sentiasa ingin melakukan yang terbaik bagi dirinya bagi mencapai nirwana kendiri.

Ingin beristiqamah dengan tingkah laku dan sikap yang baru? Cadangan saya anda boleh jadikan sebagai panduan untuk memodifikasikan tingkah laku tersebut...

Contoh : Ingin berhenti merokok/mengurangkan merokok

Anda perlu sediakan satu jadual yang dalamnya termuat tarikh, target anda seperti berapa batang rokok yang akan dikurangkan. Mulakan dengan yang paling minima dan realistik untuk anda lakukan. Contohnya untuk minggu yang pertama target anda untuk mengurangkan merokok kepada 3 batang sehari, catatkan dalam jadual tersebut. Jika anda tersasar, tidak mengapa catat juga yang anda telah merokok lebih. Berlaku jujurlah dengan diri sendiri.Di akhir bulan Januari anda akan dapat melihat kembali target anda dengan pencapaian diri sendiri. Bagi memulakan jadual bulan Februari, jadual yang sama juga perlu anda bina dan target pada bulan ini perlulah lebih tinggi daripada bulan Januari contohnya target mengurangkan hanya 2 batang rokok sehari. Sehinggalah bulan-bulan berikutnya anda akan memberi target kepada tabiat merokok kepada sebatang sebulan...Nah! Akhirnya pada hujung tahun 2011 anda akan berjaya membentuk tingkah laku baru iaitu berhenti merokok sepenuhnya.

Begitu juga bagi yang ingin menunaikan solat secara berjemaah...kaedahnya sama sahaja dengan membina jadual yang di dalamnya termuat tarikh, waktu solat dan catatan. Bagi setiap kolum solat yang anda berjemaah tandalah 'tick' dan bagi yang tidak tandalah 'pangkah' atau biarkan kosong sahaja. Pada akhir bulan, anda boleh memeriksa dan bermuhasabah sendiri tentang azam dan tingkah laku baru anda. Lakukanlah secara istiqamah / berterusan InsyaAllah anda akan beroleh tingkah laku baru yang dapat anda banggakan sendiri .(Jadual tersebut tidak perlulah ditunjukkan kepada orang lain, jadikan ia milik peribadi anda sebagai cara anda menghisap diri).

Selamat menyambut tahun baru 2011, semoga anda terus berjaya merealisasikan azam dan semangat baru.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Rabu, Januari 06, 2010

Tahun Baru dengan Semangat Baru


Assalamualaikum. Agaknya belum terlewat jika saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun 2010. Hari ini merupakan hari yang ke-6 kita berada di tahun baru ini. Pada 18 Disember 2009 yang lepas kita juga menyambut tahun baru hijrah 1431.

Saya selalu mendengar orang berbicara tentang azam baru yang perlu dipahatkan setiap menjelangnya tahun baru. Tetapi bagaimana dengan azam yang sudah terpahat setahun yang lalu? Adakah sudah tertunai? Jika sudah, baguslah...teruskan menanam azam baru agar dapat memberi motivasi dan perangsang supaya tahun ini menjadi tahun yang lebih gemilang dan berjaya.

Bak kata Rasul kita, terdapat 3 golongan manusia; golonga pertama adalah manusia yang celaka hidupnya iaitu manusia yang kehidupannya hari ini lebih buruk daripada semalam, manakala golongan ke-2 adalah manusia yang terpedaya iaitu manusia yang hari ini dan semalam sama sahaja dan golongan yang terakhir adalah golongan yang hari ini adalah lebih baik daripada hari semalam. So, jadilah orang dari kalangan golongan orang ke-3 ini Insya-Allah kita bakal melakar sejarah kegemilangan umat-umat yang terdahulu yang dapat dibanggakan oleh nabi kita nanti.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"