Sabtu, Mac 02, 2013

Perbezaan Antara Psikoterapi, Kaunseling dan Bimbingan


Dalam kehidupan masyarakat di Malaysia terutama dalam kalangan orang Melayu, konsep bekerjasama, tolong menolong, bergotong-royong sudah menjadi budaya sejak zaman dahulu lagi. Konsep aktiviti yang berbentuk ‘musyawarah’ atau perundingan dengan pihak-pihak lain untuk menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat dahulu. Malah masyarakat Melayu terutamanya lebih cenderung untuk menyelesaikan masalah melalui majlis tersebut secara perbincangan, bertukar-tukar pendapat dalam membuat keputusan atau mencapai matlamat. Dalam majlis ini orang yang bertanggungjawab dalam mengendalikan permasalahan masyarakat biasanya terdiri daripada para imam, ketua kampung ataupun mereka yang disegani masyarakat seperti guru agama, guru sekolah dan sebagainya.

Pada masa kini perhubungan menolong telah mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kini semakin bijak dalam memperoleh perkhidmatan menolong melalui individu-individu yang terlatih dalam bidang psikologi dan kaunseling. Namun begitu, masyarakat umum belum lagi dapat membezakan antara perkhidmatan psikoterapi, kaunseling dan bimbingan. Secara umumnya, masyarakat mengetahui bahawa kaunseling adalah nasihat, manakala nasihat dan bimbingan juga adalah kaunseling. Walaupun nampak secara praktisnya adalah sama dari aspek menolong tetapi ketiga-tiga aspek ini mempunyai perbezaan yang agak ketara kepada pengamal perhubungan menolong ini. Perhubungan menolong kini dibantu oleh pelbagai teori, kemahiran dan teknik yang menjadikan bidang itu suatu bidang yang profesional.

       Dalam memahami istilah dan konsep ketiga-tiga aspek ini beberapa sumber rujukan perlulah dilihat dalam usaha untuk memperjelaskan lagi kefahaman dalam membezakan ketiga-tiga aspek perhubungan menolong ini.

 
           Psikoterapi

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, psikoterapi membawa maksud rawatan  sakit jiwa atau gangguan mental dengan menggunakan kaedah psikologi. Menurut Kamus Yahoo: Education, psikoterapi adalah “The treatment of mental and emotional disorders through the use of psychological techniques designed to encourage communication of conflicts and insight into problems, with the goal being relief of symptoms, changes in behavior leading to improved social and vocational functioning, and personality growth”.  

Mahmood Nazar Mohamed (2001), menyatakan kaedah terapi jiwa atau lebih dikenali dengan nama psikoterapi membawa erti rawatan kecelaruan jiwa dan tingkah laku menggunakan kaedah psikologi. Altrocchi (1980) dalam Ab Alim Abdul Rahim (1994) menyatakan psikoterapi merupakan proses seseorang atau beberapa orang profesional kesihatan mental membantu seseorang atau lebih individu yang mengalami kesukaran psikologi dalam hidupnya. 

  Kaunseling

Pepinsky & Pepinsky dalam Sapora Sipon et al (2003) menyatakan kaunseling adalah satu proses yang membabitkan interaksi antara seorang kaunselor dengan kliennya. Interaksi ini berlaku dalam keadaan sulit dengan tujuan membantu klien mengubah tingkah lakunya sehinggalah resolusi yang diambilnya memuaskan kehendaknya. Beliau juga menekankan agar sesi kaunseling dijalankan dalam suasana tertutup, sulit, tidak dilihat dan tidak didengari oleh orang lain.

Muhd Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin (1996) kaunseling membawa maksud sebagai satu perhubungan interpersonal yang digunakan oleh kaunselor membantu individu secara keseluruhan untuk menyesuaikan diri dengan lebih berkesan terhadap dirinya sendiri dan juga terhadap persekitarannya.

Rickey & Therese (1995) menjelaskan definisi kaunseling sebagai “a profesional relationship between a trained counselor and a client. This relationship is usually person-to-person, although it may sometimes involve more than two people. It is designed to help clients to understand and clarify their views of their lifespan, and to learn to reach their self-determined goals through meaningful, well-informed choices and through resolution of problems of an emotional or interpersonal nature”

Shertzer dan Stone (1974) dalam Abdul Ghani Sulaiman (2003) menegaskan bahawa kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu ini memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu sehingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar diambilnya untuk masa depannya.


 Bimbingan

Muhd Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin (1996) bimbingan merupakan bantuan yang diberikan kepada individu yang bertujuan untuk mengembangkan pemahaman terhadap diri sendiri dan juga terhadap sesuatu di persekitarannya. Begitu juga antara terma kaunseling dan bimbingan juga sering digandingkan bersama apabila menyentuh isu-isu yang berkaitan seperti menurut Failor dalam Muhd Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin (1996) bimbingan dan kaunseling itu merupakan khidmat membantu individu dalam proses pemahaman diri dan penerimaan dirinya, memahami dirinya dari segi ekonomi buat masa kini dan perencanaan masa depannya, serta menyesuaikan pula kedua-dua pembolehubah pemilihannya itu mengikut kepuasan dan keberkesanan dirinya. 

 

 PERBEZAAN ANTARA PSIKOTERAPI, KAUNSELING DAN BIMBINGAN

Rickey (1995) menyatakan satu masalah yang sering dihadapi oleh pengamal kaunseling iaitu dalam membezakan antara kaunseling dan psikoterapi. Beliau menegaskan usaha dalam membezakan kedua-dua aspek ini belum dijumpai yang mendapat kelulusan secara universal. Sesetengah pengamal berpendapat bahawa adalah tidak perlu dibezakan kerana penggunaan terma ini boleh digunakan secara sinonimnya. Ini adalah kerana kaunselor-kaunselor yang terlatih juga biasanya dilatih sebagai psikoterapi.

Walau bagaimanapun, menurut Rickey (1995), perbezaan antara psikoterapi dan kaunseling yang dibuat adalah samar dan tidak jelas. Cottone dalam Rickey (1995) membezakan kedua-dua faktor ini dari aspek sejarah, jenis klien, seting tempat, perbezaan matlamat dan keseriusan yang dihadapi oleh klien. Perbezaan ini kelihatan samar kerana program-program di hospital juga menyediakan perkhidmatan kaunseling seperti juga  terapi di mana individu-individu yang terlatih dalam bidang kaunseling juga diambil bekerja dalam  seting psikologi dan psikiatri. Dalam kata lain kaunselor juga menyediakan perkhidmatan seperti prikoterapis dan psikoterapis juga menyediakan perkhidmatan kaunseling. Walau bagaimanapun dalam menyediakan perkhidmatan yang sama, kaunseling dan psikoterapi adalah berbeza.

 

  Kaedah Amalan

Dari segi perlaksanaannya, Mahmood Nazar Mohamed (2001) menjelaskan bidang psikoterapi menggunakan teknik yang dikenali sebagai hipnoterapi bagi tujuan membantu pesakit mengenali dan memahami masalah yang menyebabkan kecelaruan jiwa yang sedang mereka alami seperti yang dicadangkan oleh Klienhauz (1985) iaitu hipnoterapi ialah sejenis alat yang boleh menolong psikoterapis. Harper dan Parloff dalam Ab Alim Abd Rahim (1994) menyatakan sekarang terdapat lebih kurang 130 pendekatan psikoterapi yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Kesemua pendekatan mempunyai kriteria sebagai asas proses psikoterapi. Terdapat empat kriteria iaitu diterima, meluaskan konsep kendiri, mempelajari tingkah laku yang baru dan mengalami perasaan.

            Mahmood Nazar Mohamed (2001), pakar psikiatri sering menggunakan dadah dan ubat-ubatan untuk merawat dan meredakan penyakit mental di samping menjalankan penyelidikan dalam bidang tersebut dengan menggunakan kaedah psikoterapi. Ab Alim Abd Rahim (1994) proses psikoterapi melibatkan beberapa perkara penting dengan menggunakan model pendekatan iaitu Psikoanalisis, Tingkah Laku, Kemanusiaan, Kewujudan dan Antara Perseorangan. Psikoterapi melibatkan seorang atau lebih ahli terapi juga melibatkan seorang atau lebih yang ditolong. Kaedah psikoterapi yang digunakan merupakan kaedah psikologi bagi membantu mengatasi tingkah laku bilazim dan jarang digunakan untuk masalah harian.

Kaunseling pula mempunyai beberapa jenis pendekatan iaitu pendekatan krisis, pemulihan, pencegahan dan perkembangan. Kaunseling juga melihat dan menitikberatkan kepada bidang psikososial, kognitif, afektif, fizikal, seksual, vokasional dan kerjaya. Dalam menjalankan sesi kaunseling terdapat juga beberapa proses, teknik dan kemahiran yang digunakan berdasarkan kepada teori-teori yang diperkenalkan oleh pelopor-pelopor barat. Antara teori-teori yang digunakan dalam kaunseling adalah teori Psikoanalitik, teori Gestalt, teori Realiti, teori Adler dan lain-lain lagi.

Dalam sesi kaunseling terdapat beberapa proses iaitu satu urutan peristiwa yang berlaku dalam satu jangka masa dan berkembang dari satu peringkat ke satu peringkat sehingga mencapai matlamat kaunseling itu sendiri. Abdul Ghani Sulaiman (2003) kaunseling merupakan proses berkongsi daripada segi intelek dan emosi di antara kaunselor dan klien. Aspek kemahiran juga amat dipentingkkan dalam menjalankan sesi kaunseling. Untuk menjayakan proses kaunseling kaunselor perlu mengetahui  dan mempunyai kemahiran kaunseling yang dikendalikan. Sapora Sipon et al (2003) kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh kaunselor adalah seperti kemahiran menyoal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran melakukan dorongan minima, kemahiran memparafrasa, kemahiran membuat klarifikasi, kemahiran membina hubungan, kemahiran meneroka, kemahiran berempati, kemahiran menghadapi kesenyapan, kemahiran mengetahui teori dan teknik-teknik kaunseling.

Rickey (1995) terma bimbingan masih digunakan kepada asas perkhidmatan menolong yang terhad walaupun ia memberi fokus seakan sama dengan kaunseling. Berdasarkan kepada konsep yang digunakan dalam pelbagai aktiviti, bimbingan adalah ke arah mendidik terutamanya kepada pelajar terutama dalam memilih kerjaya. Bimbingan juga merupakan satu elemen daripada aktiviti kaunseling dalam membantu individu seperti kaunseling kelompok, konsultasi dengan pihak pentadbir dan guru dan juga kaunseling keluarga.

 

  Profesional yang terlibat

Mahmood Nazar (2001), pakar psikoterapi mempunyai Ijazah Kedoktoran (ph.D.) dalam bidang psikologi. Tumpuan mereka ialah pesakit yang menghadapi masalah jiwa yang serius dan juga yang tidak begitu serius. Mereka menggunakan kaedah percakapan (verbal) dalam mengendalikan rawatan sakit jiwa atau kecelaruan tingkah laku. Manakala kaunselor pula menurut Brems (2001) adalah seorang yang mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang kaunseling.

  Matlamat

Rickey (1995) menyatakan dalam konteks yang kontinum matlamat psikoterapi adalah lebih kepada melibatkan keseluruhan perubahan ke atas struktur peribadi klien, manakala matlamat kaunseling adalah tepat dan terbatas, lebih terarah kepada perkembangan, lebih berkaitan dengan situasi segera dan lebih mengutamakan dalam membantu individu agar berfungsi dan menjalankan peranan dengan sebaiknya.

Byrne dalam Sapora Sipon et al (2003) menyatakan matlamat kaunseling bagi kaunselor adalah untuk menggunakan kemahiran teknikalnya dengan berasaskan penghargaan terhadap individu, tanpa mengira pendidikan, kecerdasan, warna kulit atau latar belakang individu tersebut. Untuk membantu pihak yang dikaunsel mencapai kesedaran tentang dirinya serta mengekalkan kesedaran tersebut supaya dia menjadi orang yang bertanggung jawab terhadap dirinya dan ini dapat meningkatkan perhatian terhadap kesejahteraan orang lain, dan membantu pihak yang dikaunsel menggunakan dengan sepenuhnya potensi dirinya yang selaras dengan cara hidupnya dan batas etika masyarakatnya.


   Klien dan Tempat

Rickey (1995) menyatakan dari aspek profesional berhubung dengan klien pula adalah psikoterapis berhubung dengan klien yang neurotik atau psikotik manakala kaunselor berhubung dengan individu yang normal. Seting tempat juga berbeza kerana psikoterapis lebih tepat berada di hospital manakala kaunselor bekerja dalam seting pendidikan dan organisasi-organisasi lain.

 Perbezaan dan persamaan antara psikoterapi, kaunseling dan bimbingan.

 
Aspek perbezaan dan persamaan
 
Psikoterapi
 
Kaunseling
 
Bimbingan
 
Jenis pekerjaan
 
Psikoterapis, Terapis, Seorang yang profesional dan terlatih dalam bidang berkenaan
 
 
Kaunselor, seorang yang profesional dan terlatih dalam bidang berkenaan
 
Sesiapa sahaja tidak kira individu (guru, pentadbir dsb), tidak profesional
 
Kaedah menolong
 
Merawat pesakit menggunakan kaedah psikologi disamping ubat-ubatan, klien yang menghadapi masalah yang serius, berlandaskan etika, mempunyai proses, teori sebagai garis panduan pelaksanaan, menggunakan kemahiran-kemahiran kaunseling
 
Menolong klien mengenal diri, klien yang normal dan tidak memerlukan ubat-ubatan, berlandaskan etika, mempunyai proses, teori sebagai garis panduan perlaksanaan, menggunakan kemahiran-kemahiran kaunseling
 
 
Memberi bimbingan, tunjuk ajar, tiada syarat etika, tidak melalui proses, tiada teori khusus, menggunakan kemahiran-kemahiran kaunseling

              

  KESIMPULAN

Berdasarkan penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa dalam perhubungan menolong bolehlah diklasifikasi sebagai perbezaan perhubungan menolong yang profesional dan perhubungan menolong bukan profesional. Psikoterapi dan kaunseling merupakan perhubungan menolong yang profesional kerana ia melibatkan proses-proses, teknik-teknik berasaskan teori-teori yang dijalankan oleh seorang yang profesional seperti psikoterapis dan kaunselor. Ia juga dikatakan profesional kerana mempunyai etika-etika yang perlu dipatuhi dan dijalankan dalam sesuatu seting yang dibenarkan sahaja.  Manakala perhubungan menolong dalam bimbingan tergolong dalam bukan profesional kerana ia tidak melibatkan proses dan pengendalinya juga tidak memerlukan seorang yang profesioal.

Psikoterapi dan kaunseling dapatlah dibezakan melalui intervensi yang dijalankan iaitu psikoterapi dijalankan kepada klien yang mempunyai masalah kejiwaan yang lebih serius berbanding kaunseling yang dijalankan kepada klien yang normal. Secara keseluruhannya adalah menjadi kesukaran dalam membezakan antara psikoterapi dan kaunseling kerana dalam kebanyakan bahan rujukan didapati perkataan psikoterapi biasanya digandingkan dengan kaunseling dan terma bimbingan juga digandingkan bersama dengan kaunseling. Ini membawa maksud bahawa ketiga-tiga elemen ini saling berkait dan sukar untuk dibezakan hanya dari aspek-aspek tertentu sahaja. Melalui pengertian ini bolehlah disimpulkan bahawa dalam psikoterapi terdapat elemen kaunseling dan bimbingan, dalam kaunseling terdapat elemen bimbingan tetapi dalam bimbingan tiada elemen psikoterapi dan kaunseling.Walau bagaimana sekalipun, dalam usaha untuk membezakan ketiga-tiga aspek ini iaitu psikoterapi, kaunseling dan bimbingan terdapat juga suatu persamaan iaitu dari aspek kemahiran yang digunakan dalam perhubungan menolong ini. Elemen-elemen kemahiran seperti empati, membina perhubungan, kemahiran menyoal, kemahiran mendengar, kemahiran interpersonal, kemahiran membuat refleksi, kemahiran meneroka, kemahiran merumus dan sebagainya amat membantu dalam ketiga-tiga perhubungan menolong ini. Dengan menggunakan kemahiran-kemahiran tersebut dapat mengoptimakan keberkesanan dalam menjalankan ketiga-tiga perhubungan menolong ini.

"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper

Panduan Belajar Secara Berkumpulan


Pernahkah kita membaca buku, tetapi apa yang dibaca tidak dapat disimpan di dalam ingatan?  Pernahkah kita merasa kecewa atas segala usaha yang kita telah laksanakan itu?
Jika ini berlaku kepada diri kita, sebenarnya teknik belajar kita adalah tidak sistematik. Belajar cara untuk belajar adalah amat penting. Kaedah dalam belajar adalah kita mempelajari sesuatu ilmu dan teknik belajar yang berkesan untuk mendapat ingatan yang maksimum. Mengingat merupakan satu perkara yang boleh dipelajari. Apabila sesuatu perkara yang kita baca tetapi tidak boleh kita ingati, ia akan menjadi hanya proses ingatan jangka pendek.
Namun apa yang kita mahukan adalah segala fakta menjadi ingatan jangka panjang. Sebagai contoh jikalau kita membaca buku dan kita cuba mangingat. apabila kawan bertanya kita, selalunya ada perkara yang kita boleh ingat dan sebahagiannya kita terlupa.
Contoh yang kedua pula misalnya nombor kad pengenalan yang kita ingat. Nombor kad pengenalan yang kita ingati itu adalah proses ingatan jangka panjang. Contoh proses ingatan jangka panjang yang lain adalah seperti nombor telefon rumah sendiri, nombor telefon rumah teman rapat, warna kereta dan sebagainya. Ingatan jangka pendek akan mudah lupus dari ingatan kita.
Justeru ingatan menjadi perkara penting, lebih-lebih lagi apabila mahu menghadapi peperiksaan. Maka satu kaedah mengingat yang sistematik amat diperlukan.
Proses ingatan dalam pembelajaran amat penting. Oleh yang demikian terdapat pelbagai kaedah untuk mengekalkan ingatan. Sebagai pelajar, setelah kita mempunyai motivasi yang tinggi, kita juga mesti mempunyai kemahiran pembelajaran yang berkesan.
Mengapa dilihat pelajar yang mempunyai kesungguhan yang tinggi tetapi apabila keputusan yang diumumkan, mereka tidak mencapai keputusan yang cemerlang. Sebenarnya di samping motivasi yang tinggi kemahiran belajar yang berkesan perlu ada pada diri pelajar. Kemahiran ini sebagai contohnya termasuklah kemahiran membuat nota secara peta minda, mengambil nota secara neumonik, teknik belajar secara berkumpulan, teknik imaginasi dan lain-lain.
Apabila kita katakan sebagai kemahiran, ia menuntut kita tahu apakah kemahiran yang kita akan belajar. Ia lebih tepat kita sebut sebagai belajar cara untuk belajar.
Selalu kita sebut sebagai "smart study" iaitu belajar dengan kaedah yang betul ditambah dengan minat, motivasi serta kesungguhan yang tinggi. Apabila disebut sebagai kemahiran ia juga perlukan ulangan.
 
Teknik Belajar
Teknik belajar berkumpulan adalah antara teknik belajar yang begitu popular di kalangan pelajar serta mahasiswa adalah secara berkumpulan. Apabila ditanya kepada kita, apakah kita tahu tentang teknik belajar secara kumpulan. Ramai antara kita yang akan mengatakan mereka tahu tentang apakah yang dimaksudkan dengan belajar berkumpulan, tetapi sejauh manakah pengetahuan serta pemahaman kita dalam aspek ini. Apabila ditanya tentang belajar berkumpulan ini, ramai mengatakan bahawa ia hanya sekadar dilaksanakan bersama kawan-kawan. Belajar berkumpulan harus dihalusi dan diteliti. Ini kerana ada segelintir yang mengatakan bahawa belajar berkumpulan hanya membuang masa sahaja. Apabila keluar dari sesi belajar secara berkumpulan, tidak banyak manfaat yang diperolehi. Ini merupakan tanggapan yang salah.
 
Menurut Mohd Yusof Othman (1998), menyatakan satu kaedah yang boleh dilakukan dalam usaha untuk meningkat dan menjana ilmu adalah belajar secara kumpulan. Belajar secara berkumpulan boleh dalam bentuk yang formal seperti membentuk dalam kumpulan tertentu (study circle) dengan matlamat yang sama atau kumpulan  yang tidak formal dana mempunyai ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang berbeza. Belajar secara berkumpulan sebenarnya lebih berkesan berbanding dengan belajar bersendirian. Ini kerana dalam belajar secara berkumpulan, idea atau pemikiran dapat dikongsi bersama. Misalnya ada sebahagian ahli yang membaca buku yang berbeza daripada kita, pandangan daripada buku tersebut dapat diperolehi dengan segera. Begitu juga dengan pengalaman yang berbeza yang dialami oleh setiap ahli  kumpulan. Namun demikian, belajar berkumpulan memerlukan adab dan disiplin diri yang tinggi. Misalnya perlu mengemukakan pandangan secara teratur, bersedia untuk berbeza pendapat, menggunakan kumpulan sebagai wadah untuk "sumbang saran" atau menyemarakkan idea.
Perkara lain yang juga perlu diberi perhatian dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan adalah kesanggupan untuk berfikir secara aktif. Yakni kesanggupan untuk  berhujah dalam minda dengan melakukan analisis dan hipotesis secara kritis dengan penuh adab dan akhlak disamping menyakini wibawa diri orang yang menyampaikan maklumat. Dengan semikian, pemikir yang baik bukanlah pemikir yang stereotype yang tidak boleh menghormati kaedah bagaimana orang yang tidak sealiran dengannya berfikir. Sebagai contoh katakanlah seorang pelajar yang bijak menyenaraikan   isi-isi penting dalam topik "Gejala sosial di kalangan remaja". Pelajar ini mendapat 10 isi. Kemudian tajuk ini diberikan juga kepada kumpulan (5 hingga 7 orang) pelajar. Mereka ini dapat menyenaraikan sekurang-kurangnya 15 isi penting.
Secara luarannya dapat dilihat bahawa belajar secara berkumpulan dapat memberikan sumbangan yang besar jika dibandingkan dengan belajar seorang diri. Namun yang menjadi dilemanya adalah kaedah yang tersusun, sistematik dan sempurna. Di sini dipaparkan kaedah yang betul tentang belajar berkumpulan.
Peranan Belajar Berkumpulan

1. Agihkan setiap ahli dengan satu tajuk
Setiap ahli perlu diberi tanggungjawab. Jika kita menjadi ahli dalam kumpulan tersebut, kita mesti mempunyai satu tanggungjawab yang mesti dipegang. Ini membolehkan kita mengambil berat dan merasakan bahawa kita mempunyai peranan di dalam kumpulan.
2. Ahli mesti sehaluan
Ahli yang dipilih dalam kumpulan mesti mempunyai matlamat yang sama iaitu cemerlang dalam pelajaran. Kita tidak mahu ahli yang ada di dalam kumpulan untuk mencukupkan bilangan. Ahli mesti mempunyai matlamat yang jelas dan bukan hanya kerana ia sahabat karib sahaja. Dikhuatiri jika ahli seumpama ini ada, ia akan menyebabkan kumpulan kita tidak akan mencapai matlamatnya.
3. Setiap ahli perlu menjiwai tajuk tersebut
Apabila kita telah menyediakan ahli dengan setiap tajuk, kita mestilah juga memastikan bahawa kita bersedia dengan tajuk tersebut.Ini sangat penting kerana jika kita telah bersedia maka persoalan yang timbul hasil kemusykilan dari ahli yang lain dapat kita jelaskan.
4. Berbincang dengan guru atau orang yang lebih arif
Sebelum melaksanakan teknik belajar secara berkumpulan ini, sila pastikan kalau-kalau ada perkara yang tidak faham tentang topik yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian berbincanglah dahulu dengan guru. Ini bertujuan untuk kita lebih mendalami tentang topik tersebut. Dengan yang demikian kita akan lebih bersedia semasa perbincangan.
5. Penumpuan semasa ahli membentang
Penglibatana semua ahli membawa implikasi yang besar. Berikan penumpuan yang sewajarnya kepada ahli yang sedang membentang. janganlah ada dia antara kita semasa ahli sedang membentang, kita tidak memberikan perhatian. Andaikan apabila kita sedang bercakap, ada orang yang tidak memberi perhatian kepada kita. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Sudah tentu kita merasai kita tidak dihargai, justeru itu berikan sepenuh-penuh penumpuan semasa rakan sedang membentang dalam kumpulan. Pengormatan dan kesediaan mendengar pembentangan ahli lain merupakan seni dalam aktiviti belajar berkumpulan ini.
6. Bersoal jawab
Kumpulan yang dinamik dan berkembang adalah kumpulan yang wujudnya perbincangan dan soal jawab.  Semakin banyak perkara yan relevan dibincangkan semakin bertambah dinamik kumpulan itu. Ahli kumpulan bukan sahaja mendengar kumpulan lain membentang semata-mata, tetapi sentiasa
bersoal jawab atas perkara yang menimbulkan ketidakfahaman. Ini sebenarnya membuka minda kita agar lebih memberikan penelitian atas isu dan tajuk yang dibincangkan. Ini menjadikan kita individu yang kritikal dan analitikal dalam membincangkan tajuk tersebut.
Minda yang kritikal dan analitikal merupakan minda yang cemerlang. Galakkan diri bertanya hal-hal yang berkaitan yang tidak difahami atau bercanggah dengan pemahaman kita.
7. Agihkan bahan
Di dalam belajar berkumpulan lantik seorang ketua, setiausaha dan bendahari secara bergilir-gilir, iaitu bagi mata pelajaran yang berbeza-beza mempunyai ketua yang berbeza-beza. Ini adalah untuk memberikan peluang dan tanggungjawab kepada semua ahli.  Maka laksanakanlah tugas seperti tugas
mengagihkan bahan-bahan kepada ahli-ahli di mana dilakukan oleh setiausaha. Ketua akan menetapkan masa perjumpaan serta berbincang tentang pembahagian tajuk-tajuk.
Secara ringkasnya belajar berkumpulan banyak membantu pelajar menguasai suatu mata pelajaran jika dilaksanakan dengan betul.
 
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS" Helper