Rabu, Januari 27, 2010

Senyumlah....



Kelebihan senyum...
1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .

9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.

Justeru itu, jangan lupa untuk tersenyum kerana dengan senyuman dapat membantu diri bertindak positif dan dapat membantu orang lain dengan memberi inspirasi dan ketenangan daripada senyuman kita.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Rabu, Januari 20, 2010

Solat Dhuha dan Kelebihannya



Salam buat semua pembaca, pagi ini saya ingin berkongsi tentang suatu perkara yang kita sering terlupa dan terlepas pandang. Sebagai seorang muslim, rasul SAW berpesan bahawa dalam kita melakukan kerja-kerja dan tugas-tugas di muka bumi ini tanpa mengabaikan 'doa'. Doa merupakan senjata yang paling ampuh buat kita. Sebenarnya kita sering tercari-cari jalan penyelesaiannya setiap kali ditimpa musibah dan ujian. Kadang-kala dalam pencarian itu kita menemui jalan buntu kerana dalam keadaan kekalutan dan kebingungan manusia biasanya sukar untuk berfikir secara rasional dan wajar. Penyelesaian tersebut yang sebenarnya kita sendiri tahu ada pada diri kita sendiri, cuma...kita sering terlupa dan terlepas pandang.

Saban hari kita bertungkus lumus mencari rezeki dan wang yang kita perolehi jarang sekali mencukupi. Kita terlupa suatu perkara bahawa rezeki itu semuanya datang daripada Allah, jika Allah mengkehendaki kita mendapat rezeki tersebut, kita akan mendapatnya begitu juga sebaliknya. Namun, saya teringat kepada ungkapan kata-kata yang sering memperingatkan kepada saya oleh seorang sahabat iaitu "Tidak tertolak sesuatu qada' itu melainkan dengan doa". Nah! Begitulah hebatnya kuasa doa ini.

Justeru, untuk menghidupkan doa jalan yang paling mudah adalah dengan bersolat. Solat Dhuha umpamanya sangat banyak fadhilatnya. Bagi yang sering melakukannya pasti dapat mengiakan kehebatan solat dhuha ini. Selain dapat memperluaskan rezeki, jiwa dan hati kita akan mendapat ketenangan dan petunjuk dari Allah dan segala tugas kita dipermudahkan oleh Allah. Di bawah ini saya paparkan kelebihan solat dhuha menurut riwayat-riwayat yang dikemukakan.

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”
(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”
(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”
(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Khamis, Januari 14, 2010

Berfikir, berfikir dan berfikir...

Assalamualaikum dan Salam Bahagia buat semua.
Hati kecil saya tersentuh ketika seorang ibu merujuk kes anaknya yang mengandung di luar nikah. Wajah seorang ibu redup bagai mendung yang menantikan saat bumi bakal disimbahi air hujan. Tatkala, ibu ini memulakan perbualan terdapat garis-garis kekesalan di wajahnya tetapi apa yang lebih menyentuh hati kecil saya adalah begitu besarnya kasih sayang seorang ibu, walaupun anak gadisnya telah mencontengkan arang ke mukanya namun kasih sayang seorang ibu masih menebal dan dalam kepasrahan ibu ini menerima takdir Ilahi tanpa mencemuh dan menghukum si anak.Saya amat memahami keadaan ibu ini dalam keterpaksaan merelakan dan meredhai apa yang berlaku.

Saya ingin meneroka pendapat dan pemikiran remaja terutamanya anak-anak gadis sekarang ini. Tidakkah anda terfikir tentang kesan dan akibat daripada tingkah laku dan tindak tanduk anda bakal ditanggung bukan sahaja oleh diri anda, malah ibu anda sering dihimpit oleh perasaan malu dan tertekan sepanjang usianya. Dan ditambah lagi jika anda mengandung, anak yang bakal anda lahirkan akan menanggung kesannya sepanjang hayatnya dengan membawa 'title' anak luar nikah. Teringat saya satu kes yang berlaku tahun lepas di mana seorang remaja meninggal dunia ketika melahirkan anak hasil hubungannya dengan teman lelaki. Sedih ketika saya mendengar berita ini, sudahlah remaja perempuan ini melalui kesan psikologi yang amat berat semasa mengandungkan anak luar nikahnya, teman lelaki menghilangkan diri. Akhirnya dia seorang diri berjuang dan bergelut dengan maut demi untuk melahirkan anaknya. Lelaki yang tidak bertanggung jawab ini berlalu begitu sahaja. Akhirnya ajal menjemput dia pulang tetapi Allah lebih mengetahui memanjangkan zuriat lelaki tersebut dengan benihnya masih hidup dan sihat ketika ini.


"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"

Rabu, Januari 06, 2010

Tahun Baru dengan Semangat Baru


Assalamualaikum. Agaknya belum terlewat jika saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun 2010. Hari ini merupakan hari yang ke-6 kita berada di tahun baru ini. Pada 18 Disember 2009 yang lepas kita juga menyambut tahun baru hijrah 1431.

Saya selalu mendengar orang berbicara tentang azam baru yang perlu dipahatkan setiap menjelangnya tahun baru. Tetapi bagaimana dengan azam yang sudah terpahat setahun yang lalu? Adakah sudah tertunai? Jika sudah, baguslah...teruskan menanam azam baru agar dapat memberi motivasi dan perangsang supaya tahun ini menjadi tahun yang lebih gemilang dan berjaya.

Bak kata Rasul kita, terdapat 3 golongan manusia; golonga pertama adalah manusia yang celaka hidupnya iaitu manusia yang kehidupannya hari ini lebih buruk daripada semalam, manakala golongan ke-2 adalah manusia yang terpedaya iaitu manusia yang hari ini dan semalam sama sahaja dan golongan yang terakhir adalah golongan yang hari ini adalah lebih baik daripada hari semalam. So, jadilah orang dari kalangan golongan orang ke-3 ini Insya-Allah kita bakal melakar sejarah kegemilangan umat-umat yang terdahulu yang dapat dibanggakan oleh nabi kita nanti.
"HIDUP BIARLAH BERPANDUKAN ALQURAN DAN HADIS"